SHAH ALAM 23 JULAI : Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Hatta Wahari menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia menghalang seorang pengamal undang-undang daripada memasuki negara ini tanpa alasan munasabah akan memburukkan imej negara ini di mata dunia.
Menurut Hatta, dikhuatiri tindakan berterusan seperti itu hanya akan mengakibatkan negara luar terus hilang kepercayaan terhadap Malaysia dari segenap hal.
" Kalau berterusan begini, imej Malaysia akan terus jatuh. Dan saya percaya banyak negara akan menarik diri dari Malaysia untuk melabur. Dan ini akan menjejaskan negara kita,"katanya kepada Tv Selangor.
Semalam, peguam Perancis William Bourdon yang mendedahkan tentang urusniaga kontoversi berkaitan pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa melibatkan sogokan jutaan ringgit kepada pegawai kerajaan Malaysia, telah dihantar pulang selepas ditahan di Jabatan Imigresen di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau dihantar pulang menaiki pesawat menuju ke Paris pada jam 11.30 malam tadi.
Bourdon sepatutnya menghadiri satu lagi siri penerangan sama di Petaling Jaya malam tadi selepas di Pulau Pinang malam semalam.
Namun tidak semena-mena, Bourdon yang berkhidmat dengan pertubuhan tanpa keuntungan, Sherpa, yang khusus membela hak asasi manusia dan jenayah menentang kemanusiaan di tahan di KLIA dan dihantar pulang tanpa diketahui alasan yang digunakan.
Mengulas senario itu, Hatta berpendapat, ada sesuatu yang tidak kena sehingga menyebabkan peguam Perancis itu dihantar pulang.
" Saya rasa ada satu masalah yang berlaku sekarang ini. Apakah sebab peguam untuk siasat Scorphene ini dilarang masuk ke Malaysia. Yang keduanya, adakah peguam ini telah melakukan kesalahan sehingga dia tidak dibenarkan masuk ke Malaysia. Dan ketiganya, mengapa tindakan ini diambil tanpa mengambil kira kesannya kepada imej Malaysia itu sendiri,"tegas Hatta.
"Saya rasa tindakan ini sesuatu yang tidak wajar dan harus dikutuk oleh orang ramai,"katanya lagi.
Bourdon, peguam yang mengendalikan skalndal Scorpene yang difailkan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dijangka mendedahkan butiran kontroversi mengenai pembelian kapal selam negara dengan firma gergasi pertahanan Perancis DCNS.
Syarikat itu didakwa membayar komisyen “yang amat tinggi” kepada pegawai kerajaan Malaysia yang terbabit dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu.
Bayaran komisyen kepada pegawai kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.
Suaram memfailkan kes ini tahun lalu melalui Bourdon dan pasukannya mengenai dakwaan firma pertahanan negara itu membayar RM540 juta sebagai komisyen kepada Perimekar.
Perimekar adalah subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamnya adalah isteri Abdul Razak Baginda.
Abdul Razak pula adalah rakan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang didakwa terbabit dalam pembunuhan penterjemah warga Mongolia Altantuya Shaariibuu tetapi kemudiannya dibebaskan.
Siapa cakap gaji aku RM1 juta? – Jojo Ghazali
14 hours ago
0 Komen pengunjong :