Malaysia tidak boleh dianggap sebagai sebuah negara demokrasi selagi tidak mengamalkan kebebasan media secara mutlak.
Tokoh wartawan, Said Zahari berkata kebebasan media adalah editor dan wartawan bebas melaporkan sebarang bentuk berita yang sahih tanpa rasa takut.
Paling penting, Said Zahari berkata media seharusnya tidak terikat kepada mana- mana parti politik.
“Surat khabar ini dikuasai samaada oleh pemerintah atau orang orang yang punya surat khabar, ia digunakan untuk kepentingan perniagaan atau kepentingan kuasa mereka. Jadi saya tidak nampak bagaimana kebebasan media yang dicanang.
"Kebebasan akhbar ertinya menulis tanpa takut- takut, menulis tanpa bimbang diambil tindakan dan sebagainya," katanya.
Said Zahari berkata demikian mengulas laporan 'Kajian Kebebasan Akhbar 2011' yang dikeluarkan oleh Freedom House yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Laporan bersempena Hari Kebebasan Akhbar Dunia itu menyaksikan Malaysia sekadar menduduki tangga ke 143 daripada 196 buah negara yang memberi kebebasan kepada medianya.
Dengan hanya mendapat 64 mata, Malaysia berkongsi kedudukan dengan Madagascar dan Angola di Benua Afrika.
Di Asia Tenggara, Filipina, Indonesia, Thailand dan Kemboja jauh meninggalkan Malaysia dengan Filipina menduduki tangga ke 93 dengan 46 mata dan Indonesia, di tangga 108 dengan 53 mata.
Akhbar di Thailand pula menduduki tangga ke 138 dan Kemboja menduduki tangga ke 141.
Sementara Singapura sekadar menduduki tangga ke 150, manakala Brunei ditangga ke 163, Vietnam tangga ke 177, Laos tangga ke 184 dan Myanmar menduduki tangga ke 191.
Menurut kajian itu, 10 negara teratas adalah Finland, Norway, Sweden, Belgium, Iceland, Luxembourg, Andorra, Denmark, Switzerland, Liechtenstein, Belanda dan Palau.
Said Zahari berkata, sepanjang penglibatannya dan pengalamannya berkecimpung dalam dunia media dinegara ini, Malaysia jauh dari landasan yang sepatutnya.
Beliau juga menegaskan permit penerbitan bagi semua media dinegara ini harus dimansuhkan, jika benar media dinegara ini diberikan kebebasan seperti yang dicanang pemerintah.
"Sebaik- baiknya surat khabar tidak perlu ada premit. Sebab kalau ada permit ertinya permit ini harus diperbarui. Kalau permit itu untuk setahun dan tiap- tiap tahun harus diperbaharui dan orang- orang yang berkuasa untuk memperbarui permit itu akan menggunakan kuasa mereka untuk menentukan surat khabar itu baru permit itu akan diberi," jelas Said Zahari.
0 Komen pengunjong :