Anwar : UMNO Bukan Pembela Nasib Melayu


MUAR 28 MEI :Perjuangan UMNO dalam membela nasib orang Melayu hari ini hanyalah ibarat menanam tebu di pinggir bibir sahaja, kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, tegas beliau, Umno kini tidak mampu mengekalkan prinsip-prinsip Melayu seperti yang ditonjolkan pada era Tun Sri Lanang dan juga Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali dengan nama pendeta Za'ba.

Anwar  berkata, perjuangan pemimpin-pemimpin Melayu dahulu tidak korup seperti  pemimpin UMNO hari  ini yang hanya bersandarkan kepada amalan politik jijik yang menjengkelkan sehingga sanggup menjatuhkan martabat sesama umatnya.  

"Pejuang-pejuang asal seperti Tun Sri Lanang yang hebat, apa hebatnya? hebatnya kerana ilmu, prinsip, hebatnya kerana Melayunya tebal mengikut syarak maknanya ikut hukum, jangan rasuah, jangan rompak, jangan hina, jangan aib kaum sendiri, itu dia Tun Sri Lanang."

"Za'ba, pendeta Za'ba, pemikir Melayu, sasterawan ahli bahasa ulung, apa pandangan dia? Bila bicara soal Melayu, miskin apa Melayu? miskin harta benda tapi dia bimbang yang miskin akhlak, miskin budi pekerti, miskin semangat tewas tak sanggup berjuang menolak sistem penjajah Inggeris."

Anwar kini dihujani  pelbagai fitnah yang dilemparkan oleh UMNO sejak 13 tahun lalu. Beliau dihambat dengan kes Liwat I dan II, paling terbaru beliau dikaitkan dengan video seks yang disebarkan oleh trio Datuk T.

Bukan itu sahaja,malah  isteri, anak dan cucu beliau juga turut terkena tempias gelora politik kotor UMNO ini.

Anwar berkata demikian dalam ceramah di hadapan kira-kira 2,500 orang dalam Ceramah Umum Pakatan Rakyat di Parit Pecah, Muar Johor malam tadi.

Kedatangannya ke Johor kali ini disambut dengan beberapa trak Unit Simpanan Persekutuan atau FRU dan kawalan ketat puluhan anggota polis yang tiba seawal  jam 7 malam lagi.

Namun ceramah kali ini mendapat kerjasama pihak polis yang mensyaratkan supaya program itu tidak menghalang lalu lintas kawasan ini.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Dato Dr Mahfodz Mohamed, Pengerusi PKR Johor, Dato Dr Chua Jui Meng, ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.

Dalam ceramah ini, Anwar turut menyeru supaya semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh tun Seri Lanang dan Pendekta Zaaba diteladani oleh pemimpin hari ini.

Pemimpin yang berusia 63 tahun itu turut menegaskan pemerintahan UMNO kini lebih mementingkan isteri dan juga anak-anak serta kroni semata-mata. Manakala rakyat terus dihimpit kesusahan akibat sikap tamak haloba mereka.  

"Bukan perkayakan keluarga dia, ini orang pimpinan UMNO bercakap soal Melayu tapi akhirnya mereka yang kaya-raya, bagi kontrak kat bini dia, bila bagi IPP bagi kat siapa? Kroni-kroni seperti YTL Corporation Berhad, Malakoff Corporation Berhad dan Genting Sanyen." 

Baru-baru ini kerajaan menarik subsidi gula bernilai RM116 juta,  tetapi mengekalkan peruntukan RM19 bilion setahun kepada syarikat IPP seperti YTL Corporation Berhad, Malakoff Corporation Berhad dan Genting Sanyen.

Namun Rabu lalu Perdana Menteri mengumumkan tiada kenaikan bagi petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) demi membunuh desas desus bahawa ia akan naik bulan depan sebanyak 20 sen.

Bagaimanapun pengumuman Najib ini dilihat ada kaitan dengan pilihan raya umum ke-13 yang dijangka diadakan tahun ini.

0 Komen pengunjong :