Ahli AMK dakwa blogger pro-Umno ugut bunuhnya


Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam oleh penulis blog Harapan Rakyat apabila beliau mendakwa menerima mesej ugutan bunuh melalui laman sosial Facebooknya, di Shah Alam, semalam.

Mohd Azuan Ab Rahman, 33, yang juga ahli pemuda PKR (AMK) berkata ugutan untuk membunuhnya diterima daripada seorang penulis blog pro-Umno iaitu Papa Gomo pada 20 Mei lalu.

Menurutnya, blog Harapan Rakyat mula diaktifkan kira-kira setahun lalu dan melalui laman tersebut beliau berbalas pendapat dengan penulis blog dan pelayar internet lain mengenai hal ehwal semasa terutama isu-isu berkaitan politik.

Mohd Azuan berkata, baru-baru ini beliau menerima permintaan Papa Gomo untuk menyertainya sebagai ahli namun setelah aktif sebagai rakan dalam laman tersebut beliau dipercayai membuat ugutan bunuh berikutan tidak berpuas hati dengan pendapat yang diberikannya kepada blogger atau pelayar internet lain.

“Sebelum ini saya ada menerima permintaan sebagai rakan di akuan Facebook saya oleh dia (Papa Gomo) tetapi tidak pernah ada hubungan yang baik namun apabila saya buka akaun itu pada 20 haribulan (Mei lalu).

“Saya menerima mesej ugutan (bunuh) itu melalui komen saya kepada orang lain yang mungkin kerana dia (Papa Gomo) tidak puas hati dan cuba mengugut supaya saya menghentikan segala kenyataan di laman tersebut," katanya dalam siaran rancangan Detik Semasa, terbitan TV Selangor.

Bagaimanapun menurut Mohd Azuan, beliau tidak dapat mengenal pasti mana satu pendapatnya yang menimbulkan kemarahan Papa Gomo sehingga menyebabkan beliau menerima ugutan sedemikian.

Kata Mohd Azuan, antara mesej yang dihantar oleh Papa Gomo kepada Harapan Rakyat pada 20 Mei lalu adalah “nak mati ke?” dan “memang nak mati dah hang ni…tunggu lah masanya” .

Manakala pada 21 Mei pula, mesej itu semakin lantang seperti “Bunuh je, kasi kerat xxxx (dipadamkan) tu hehehe” dan pada 22 Mei pula berbunyi “Kau Islam ke? Bunuh je” dan “he he he takut ke apa? Rumah dah jumpa…..huhuhu”.

Dalam pada itu, naib ketua AMK Azmizam Zaman Huri yang mengiring Mohd Azuan membuat laporan polis berkata pihaknya menyifatkan ugutan bunuh tersebut sebagai satu perkara yang serius.

“Ini satu perkara yang sangat serius dan kita memandang berat perkara ini kerana ia melibatkan ancaman nyawa seseorang malah terhadap keluarga Mohd Azuan sendiri. Pihak polis harus mengambil tindakan segera iaitu dengan memastikan kawalan keselamatan di rumah beliau dan kawalan keselamatan keluarga beliau.” katanya.

Jelas Azmizam lagi, AMK percaya ugutan yang dibuat Papa Gomo ini merupakan tindakan terdesak pihak tidak bertanggungjawab berikutan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat dan majoriti penulis blog serta pelayar internet hari ini condong dan bersimpati dengan perjuangan Pakatan Rakyat.

“Papa Gomo kini mungkin sudah terdesak kerana beliau tahu rakyat hari ini lebih bijak menilai kenyataan-kenyataan bernas dari blogger pro-Pakatan yang majoritinya penyokong Pakatan sendiri," katanya.

Papa Gomo dipercayai adalah penulis blog atau 'cybertrooper' upahan Umno-BN dan tulisannya seringkali menjadi rujukan media kawalan Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3 untuk membidas Pakatan Rakyat.

0 Komen pengunjong :