Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kematian penolong pengarah Kastam, Ahmad Sarbani Mohamed tiada persamaan dengan nasib yang menimpa mendiang Teoh Beng Hock, jelas satu pemesongan fakta.
Ahli parlimen Klang, Charles Santiago ketika dihubungi Tv Selangor berkata, rakyat bawahan juga dapat melihat dengan jelas persamaan dalam kedua-dua kes ini.
"Pada pandangan saya, Najib Razak memang hendak putar belitkan isu sebab apa yang jelas ialah mendiang Teoh Beng Hock jatuh daripada bangunan SPRM. Sama juga dengan Allahyarham Sarbani,"tegas Charles.
Kenyataan Najib semalam yang dilihat tidak serius dalam menangani kes berkenaan dibuktikan hari ini apabila Jemaah Menteri yang bermesyuarat juga gagal untuk memutuskan sama ada akan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat punca kematian Allahyarham Sarbani.
Najib sebelum ini hanya mengarahkan satu siasatan menyeluruh diadakan dan tidak bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja.
Malah menurut beliau, kematian Sarbani dan Beng Hock adalah berbeza apabila insiden yang melibatkan penolong pengarah Kastam itu "berlaku secara tiba-tiba" dan bukan ketika siasatan dijalankan berbanding Beng Hock yang disoal-siasat lebih 10 jam sebelum ditemui terjatuh di Tingkat 5, Plaza Masalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz juga turut membayangkan membayangkan kerajaan hanya akan menubuhkan inkues, itu pun katanya setelah polis selesai menjalankan sisasatan.
"Proses menentukan kes kematian mengejutkan ini lazimnya membabitkan penubuhan sebuah inkues sebelum Suruhanjaya Diraja boleh ditubuhkan,” kata Nazri.
Selain ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) semalam mendesak supaya Suruhanjaya DiRajaya ditubuhkan supaya kes ini dapat disiasat seadil-adilnya.
Antara NGO terbabit ialah Saya Anak Bangsa Malaysia(SABM), All Women’s Action Society (AWAM), Malaysias For Beng Hock, Lawyers For Liberty (LFL), Persatuan Masyarakat Wilayah Persekutuan dan Selangor (PERMAS) dan Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS).
Sementara itu mengulas kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah bahawa kecederaan yang didapati pada tubuh Allahyarham konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi, Charles yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor berkata, keluarga mangsa termasuk rakyat mahukan penjelasan yang lebih terperinci mengenainya.
"Itu pada pandangan saya, mesti dikeluarkan dengan data yang terperinci. Terperinci dalam maksud apa sebenarnya yang berlaku? Dan hal itu mesti disahkan oleh pakar-pakar bebas.
"Memang dia jatuh, itu semua orang tahu. Tetapi persoalan kita, kenapa dia jatuh? Dan apa yang berlaku dalam tidak kira satu jam atau 10 minit (beliau masuk ke bangunan berkenaan). Apa sebenarnya yang berlaku yang menyebabkan Allahyarham jatuh, itu persoalannya.
Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B, yang merujuk kepada kehilangan sumber cukai berjumlah RM3 bilion.
Namun negara kemudian dikejutkan dengan berita kematiannya di bangunan SPRM Wilayah Persekutuan Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, kira-kira 10.15 pagi, Rabu lalu.
Ia adalah kejadian kedua melibatkan pegawai kerajaan ditemui mati di bangunan SPRM sejak 2009.
Tragedi berlaku ketika sebuah Suruhanjaya Diraja sedang menyiasat prosedur operasi SPRM susulan kematian bekas pembantu Exco Kerajaan Selangor Teoh Beng Hock, yang mati pada Julai 2009.
Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, namun satu badan siasatan diwujudkan bagi menyiasat punca kematian Teoh.
Selepas 17 bulan dibicarakan mahkamah menetapkan tiada keputusan dicapai yang mana tidak dapat dipastikan sama ada Teoh membunuh diri atau dibunuh.
Ekoran keputusan itu, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat punca kematian Teoh.
0 Komen pengunjong :