Anwar dakwa Soi Lek pengecut


KUALA LUMPUR, 30 April — Datuk Seri Anwar Ibrahim melabel Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai seorang pengecut ekoran kenyataan Presiden MCA itu bahawa beliau orang pertama akan mengundi PKR jika komponen Pakatan Rakyat (PR) tersebut sanggup memansuhkan keistimewaan orang-orang Melayu.
Sehubungan itu, Anwar menekankan, PR akan mempertahankan setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Artikel 153 mengenai hak dan keistimewaan orang-orang Melayu.
“Chua Soi Lek mahu kita bergaduh antara satu sama lain. Kita tidak akan disyaratkan oleh anda. Anda tidak ada keberanian untuk berhadapan dengan amalan rasuah pemimpin-pemimpin Melayu.
“Pemimpin-pemimpin MCA tiada keberanian. Kami (PR) akan bangun dan lawan kedua-dua pemimpin Melayu dan Cina yang rasuah,” kata beliau ketika satu ceramah di Ampang dekat sini malam tadi.
Ketua Umum PR ini berkata perbezaan antara BN dan PR ialah perikatannya berjuang untuk menjaga kepentingan Melayu manakala BN pula hanya melindungi kekayaan keluarga masing-masing. Beliau menambah, sementara Umno mendakwa ia menjadi pelindung hak orang Melayu, mereka terus mengabaikan golongan miskin dan meminggirkan anggota masyarakat sendiri.
“Jangan terperangkap dengan permainan mereka. Kami akan mempertahankan peruntukan-peruntukan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.
Dalam satu mesej menerusi rakaman YouTube baru-baru ini, Dr Chua berkata beliau akan menjadi orang pertama mengundi PKR jika ia sanggup memansuhkan keistimewaan orang Melayu.
“Jika PKR berani meminda Perlembagaan dan memansuhkan keistimewaan orang Melayu, saya adalah orang pertama akan mengangkat tangan untuk mengundi PKR,” kata presiden MCA dalam video yang diposkan menerusi Youtube di laman partinya.
“Mengapa tidak? Tiada parti politik yang cakap mengenai ini. Jika ya, undi orang Melayu akan pergi. Tiada kaum lain akan membatalkan hak dan keistimewaan mereka,” kata beliau.
Dalam ceramahnya, Anwar juga memperlekehkan kempen Utusan “1Melayu, 1Bumi” dan mencabar konsep Umno komuniti Melayu.
“Melayu bagi mereka ialah ahli-ahli perniagaan Melayu, keluarga menteri, keluarga Rosmah (isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) dan anak-anak (bekas perdana menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad). Ini definisi orang Melayu.
“Mereka tidak mahu mempertahankan nasib orang miskin,” katanya lagi.
“Bagi mereka hak-hak orang Melayu adalah keluarga mereka, bagi kami hak-hak Melayu adalah hak komuniti,” katanya lagi.

0 Komen pengunjong :