Anak mahu hutang RM550 juta peneroka Felda dilupuskan


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mahu hutang tanam semula RM550 juta yang membelenggu peneroka Felda dilupuskan sama sekali.
Pengerusinya Mazlan Aliman berkata, hutang itu melibatkan kira-kira 85,000 peneroka Felda di seluruh negara.
Sehubungan itu, pihaknya menggesa kerajaan Pusat membuat satu peruntukan untuk melupuskan jumlah tersebut memandangkan jumlah hutang tanam semula yang terpaksa ditanggung peneroka melebihi RM100,000.
Katanya, cadangan itu sudah dikemukakan kepada pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR) untuk dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
“RM550 juta bukanlah satu jumlah yang besar”
Jika ketirisan wang negara akibat rasuah boleh berlaku sehingga berbilion ringgit, apa salahnya ‘hadiah sebegitu’ itu diberikan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.
Namun katanya, pemansuhan jumlah tersebut tidak termasuk hutang pinjaman perumahan dan perniagaan peneroka yang dianggap sebagai hutang peribadi.
Selain itu bagi membuktikan komitmen PR dalam membela nasib peneroka, Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Peneroka PAS Pusat berkata pihaknya akan mula membuka tawaran permohonan pemilikan tanah Felda seluas kira-kira 367,000 hektar yang kini diuruskan Felda Plantations kepada warga Felda.
Mengikut perkara kelapan daripada 10 janji dalam 100 hari yang harus ditunaikan jika PR memerintah Putrajaya, kewujudan Felda Plantations akan dibatalkan bagi tujuan membuka ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
Mazlan berkata, tawaran itu juga akan turut dibuka kepada golongan berpendapatan rendah dan bekas tentera yang boleh memanfaatkan sehingga 79,000 pemohon dengan empat ekar tanah setiap seorang.
Tawaran yang akan mula dibuka semasa Konvensyen Peneroka Felda dan Generasi Kedua di Pahang 28 Mei depan itu bagaimanapun katanya tidak termasuk kawasan tanah Felda seluas 87,000 hektar di Sabah.
“Saya tak fikir proses pemilikan tanah ini boleh selesai dalam masa 100 hari, cuma kita harap usaha ini mampu menampakkan hasil sedikit sebanyak dalam tempoh tersebut,” katanya yang juga sudah mengemukakan cadangan ini kepada pemimpin PR untuk dimasukkan dalam manifesto

0 Komen pengunjong :