Dalam keadaan yang cukup tertekan dengan situasi yang melingkunginya, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) mutakhir ini menjalankan satu kegiatan yang didakwa dalam rangka Tanggung Sosial Korporat atau CSRnya.
Diberi nama Tabung Budi, SYABAS sedang menggalakkan pengguna dan khususnya kakitangannya untuk menyerahkan wang RM11.40 sebagai nilai harga air percuma yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada rakyatnya untuk Tabung Budi SYABAS.
Mengikut Enakmen Bekalan Air Selangor 1997 atau Selangor Water Suply Enactment, 1997, SYABAS diberi lessen untuk menjalankan kegiatan dalam hal mengurus dan membekal air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Adalah difahamkan bahawa SYABAS tidak dimandatkan dan juga tidak diberi kuasa untuk membuat apa-apa pungutan wang dari pengguna-pengguna dan tidak sama sekali diberi mandat untuk mengumpul dana dan tidak dari wang yang hasil dari air percuma yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada pengguna-pengguna di Selangor.
Justeru kegiatan SYABAS menggalakkan pengguna-pengguna menyerahkan wang sebanyak RM11.40 sebagai nilai air percuma yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor adalah bertentangan dengan mandat dan terma perjanjian tiga pihak - Federal, kerajaan Negeri dan SYABAS sendiri seperti juga terkeluar dari bidang kuasa Enakmen Bekalan Air Selangor 1997.
Tambahan, Tabung Budi yang diselenggarakan oleh SYABAS ini jelasnya tidak dapat ditentukan ketelusannya dan juga tidak ada pertanggungjawabannya kepada pihak lain selain SYABAS. Jelasnya SYABAS telah terlibat dalam membuat dua kali kutipan dari pengguna dan dana itu pula tidak dapat dijamin akan sampai seluruhnya kepada golongan miskin dan kumpulan sasaran.
SYABAS tidak dihalang untuk menunaikan CSRnya kepada masyarakat kurang berkemampuan dengan keuntungan yang dilaba sekian lama ini. Akan tetapi cara yang dilakukannya ini jelasnya menimbulkan pelbagai pertikaikan bahkan bercanggah dengan peruntukan undang-undang khususnya Enakmen Bekalan Air Selangor 1997.
SYABAS digesa supaya tidak memburukkan lagi hubungan dengan kerajaan negeri Selangor dengan segara memberhentikan kegiatan tidak bertanggungjawab ini bagi memurnikan keadaan untuk mencari jalan penyelesaian baik bagi krisis air di Selangor.
SYABAS boleh terbudi dan beramal dengan apa jua cara dengan hasil keuntungan bersih dari kegiatan pengurusan air tetapi jangan sampai Tabung Budi dipertikaikan kebersihannya dan 'nawaitu'nya
.
*Tulisan ini dipetik dari blog Dzukefly Ahmad selaku Ahli Panel Air Selangor, Ahli Parlimen Kuala Selangor, juga AJK PAS Pusat.
0 Komen pengunjong :