Rosmah ‘pemangku Perdana Menteri’ langgar protokol?

rosmah_mansor_02
Tindakan Datin Seri Rosmah Mansor mewakili suaminya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri satu acara rasmi dan membacakan teks ucapan Najib menimbulkan persoalan mengenai isu protokol.
Malahan tindakan itu turut memalukan dan menjejaskan kredibiliti jawatan nombor dua kerajaan, Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang sepatutnya memangku tugas-tugas Perdana Menteri ketika ketiadaannya.
Demikian menurut Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Kim ketika dihubungi FMT hari ini.  Beliau turut melahirkan rasa hairan apabila PM dengan sewenang-wenangnya membelakangkan protokol yang sedia ada.
"Saya tak faham mengapa PM boleh membiarkan isterinya yang seolah-olah memangku tugas PM ketika ketiadaannya.  Tidak ada sesiapakah yang boleh menasihati Rosmah dalam hal ini seperti pegawai protokol atau menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri?" soal beliau.
Beliau berpendapat amalan seperti ini bukan sahaja menjatuhkan maruah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai TPM, malah agak memalukan keseluruhan rakyat Malaysia umumnya apabila Rosmah dilihat semakin jauh mencampuri urusan rasmi kerajaan.
"Apa yang dilakukan oleh Najib dan Rosmah ini secara langsung atau tidak langsung, seolah-olah memalu dan menjatuhkan maruah TPM. Bukan TPM sahaja yang mendapat malu, kita rakyat Malaysia turut mendapat malu," ujar beliau.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang turut melahirkan kebimbangan kemungkinan berlaku perbincangan rahsia antara Najib dan Rosmah berhubung rahsia kerajaan.
Bincang rahsia kerajaan suami-isteri
"Saya agak bimbang kalau-kalau PM terlebih dahulu berbincang dengan isterinya tentang dasar-dasar yang ingin kerajaan laksanakan atau pun rahsia lain kerajaan.
"Datuk Seri Najib tentu tahu, rahsia kerajaan bukan untuk dibincangkan suami isteri tetapi perbincangan harus dilakukan dengan Menteri-menteri atau pun di Parlimen.
"Ini amalan yang bahaya apabila membiarkan seseorang yang tidak mempunyai apa-apa jawatan rasmi dalam kerajaan dan kabinet sewenang-wenangnya mempengaruhi keputusan kerajaan.
"Suatu tindakan harus diambil bagi menghentikan amalan yang menakutkan ini terus berlaku," tambah beliau.
Saran Rosmah tanding PRU 13
Beliau menyarankan Rosmah agar turut bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 kelak sekiranya ingin mengambil bahagian secara serius dalam urusan kerajaan.
"Mungkin pada masa itu, kalau dia menang PRU 13 PM boleh lantik dia sebagai TPM menggantikan (Tan Sri) Muhyiddin," kata beliau dengan nada sinis.
Ahad lalu Rosmah berucap mewakili Perdana Menteri dalam satu majlis rasmi, Karnival Deepavali 1 Malaysia di Klang setelah Najib dijangkiti penyakit cacar.
Tindakan tersebut menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan beberapa ahli politik dan pengamal undang-undang terkenal dalam negara ini.
Rosmah kelihatan cenderung untuk mencampuri urusan pentadbiran kerajaan dan membelakangkan Menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam sesuatu perkara.
Antara Kementerian yang pernah dianggap sebagai ‘terganggu’  akibat tabiat Rosmah ini adalah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelancongan Malaysia serta beberapa Kedutaan Malaysia di luar negara.

2 comments :

  1. baru la politik rumah tangga namanya....

    hik hik hik....


    nanti gaduh atas tilam pun masuk parlimen...baru la tak boring menonton parlimen bersidang....

    ReplyDelete