Umno-BN Fobia Kartun Zunar

SHAH ALAM 28 Sept - Badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam tindakan menahan kartunis politik, Zulkiflee Anwar Ulhaque aka Zunar yang membuktikan corak intimidasi berterusan untuk mengekang kebebasan berekspresi di negara ini.
Koordinator Suaram, Hasbeemasputra Abu Bakar dalam satu kenyataan semalam mendesak agar kerajaan menghentikan ugutan dan pendakwaan terhadap rakyat yang hanya menggunakan hak yang termaktub dalam Perlembagaan untuk bersuara dan memberi pendapat termasuk kritikan terhadap kerajaan dan dasarnya.
"Pelanggaran jelas terhadap hak asasi manusia dalam usaha kerajaan mengekang kebebasan berekspresi menimbulkan persoalan berhubung komitmen Malaysia kepada standar has asasi paling asas dan minima yang diterima pakai seluruh dunia, apatah lagi tanggungjawab sebagai ahli dilantik dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu," kata beliau.
Suaram menambah 10 anggoa polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields yang diketuai ASP Arikrishnan Apparau telah menyerbu pejabat Zunar pada pukul 4.00 petang pada 24 September lalu serta merampas 66 naskah buku kartun terbarunya, Cartoon-o-Phobia yang dijangka dilancarkan pada sebelah malam.
Penahanan Zunar di bawah Akta Hasutan dan pengharaman tiga buku beliau sebelumnya, 1 Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun, adalah beberapa bukti usaha kerajaan untuk mengugut dan mensasar secara selektif personaliti awam tertentu dengan tujuan menghadkan ruang bicara dan diskusi dan menutup suara bangkangan.
"Pendirian kritikal Zunar terhadap kerajaan Barisan Nasional dalam karyanya menjadikannya sasaran untuk ugutan dan intimidasi. Oleh sebab itu Suaram mengecam penahanan beliau sebagai satu lagi salahguna kuasa pihak polis, yang nampaknya bertindak atas arahan kerajaan yang terus menerus mengekang kebebasan bersuara - hak yang dijamin di bawah Deklarasi Hak Asasi Manusa dan juga dalm Perlembagaan Malaysia," kata Hasbeemasputra.
Tambah Suaram, Zunar telah di bawa ke beberapa buah balai polis bermula dari Brickfields dan berakhir di Sepang.
"Roadshow ini adalah tidak perlu sama sekali kerana kenyataan beliau boleh diambil ketika berada di IPD Brickfields dan kemudiannya dibebaskan atas jaminan polis.
"Peguam beliau juga tidak diberikan cukup notis pendengaran reman serta arahan reman juga diserahkan tanpa kehadiran peguam beliau.Ini adalah jelas salahguna kuasa; penafian hak Zunar mendapatkan keadilan; dan pelanggaran proses perundangan di mana badan kehakiman sepatutnya melindungi hak tahanan," kata beliau lagi.

0 Komen pengunjong :