KUALA LUMPUR, 22 Sept: Rakyat Terengganu harus 'celik' dalam memilih pemimpin agar tidak berhadapan dengan pelbagai masalah akibat kelemahan pemimpin yang dipilih.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pemimpin yang wajar dipilih ialah pemimpin yang mengamalkan dasar Islam yang sebenar, bukan mengambil sebahagian sahaja untuk kepentingan politik mereka.
"Rakyat Terengganu kena pilih pemimpin yang mempunyai agenda Islam yang jelas dan mesti tengok individu yang memperjuangkan dasar agama, bukan memperjuangkan dasar kebangsaan atau pembangunan semata-mata atau sesuatu yang tidak lengkap dan tidak syumul.
"Perjuangan Islam ialah perjuangan yang syumul yang membabitkan pembangunan, akhlak, adat dan semua sekali," kata Nik Zawawi ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbalahan berpanjangan di antara penyokong-penyokong bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Penyokong-penyokong Idris mendakwa Ahmad sebagai 'bodoh' dan 'tidak pandai memerintah negeri' manakala penyokong-penyokong Ahmad pula menyifatkan Idris sebagai 'jahat dan 'tidak tahu adab'
Nik Zawawi mengakui kepimpinan Idris semasa menerajui negeri dahulu hanyak memberi tumpuan kepada pembangunan materialistik serta meninggalkan ajaran Islam..
Ahmad pula ujarnya, memang lemah dari sudut pengurusan dan juga tidak mementingkan ajaran Islam.
"Bagi saya, dua-dua kepimpinan begini tidak berguna. Kepimpinan Idris dahulu memang banyak memberi perhatian kepada pembangunan semata-mata dan meninggalkan masalah adab sopan termasuk dengan Sultan dan meninggalkan banyak ajaran Islam yang menyebabkan banyak kecacatan berlaku.
"Ahmad Said pula memang dari sudut pentadbiran negeri memang lemah di samping dia meninggalkan ajaran Islam," katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.
Tambahnya, pemimpin yang tidak mengamalkan dasar Islam akan berdepan dengan pelbagai masalah termasuk masalah pembangunan, akhlak dan moral.
"Oleh kerana pemimpin Umno oleh kerana dasarnya lari daripada Islam, maka kita dapat lihat kecacatan di pelbagai aspek.
"Sebab itu kalau kita tengok di negara kita bukan sahaja di Terengganu, di negeri yang lain pun, soal keruntuhan moral amat ketara,” ujarnya.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat Terengganu agar tidak membuat kesilapan dalam memilih pemimpin dan meletakkan agama sebagai kriteria utama.
"Kalau tidak meletakkan Islam di hadapan, kita akan berdepan dengan masalah yang sama sebagaimana kita pernah pilih pemimpin-pemimpin sebelum ini.
"Kita tidak ada pilihan yang lain kecuali kita kena tukar dasar itu sendiri yang mana pemimpin yang bakal kita pilih ialah pemimpin yang membawa dasar agama yang lengkap, barulah negara kita selamat," katanya.
0 Komen pengunjong :