KUALA LUMPUR, 23 Sept: “Soal saudara lompat dan meninggal rakan seperjuangan itu adalah hak saudara, tetapi janganlah mengorbankan prinsip perjuangan, biarlah kita mati daripada hidup bercerminkan bangkai,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Beliau menujukan kata-kata sinis itu kepada Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Mohd Zahid Md Arip yang mendakwa Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari cenderung kepada pembangkang.
Justeru, tegasnya PAS menyokong penuh pendirian Hata untuk mendukung etika kewartawanan dan bukan untuk pemimpin-pemimpin politik atau parti-parti politik.
“Sebenarnya inilah yang sepatutnya dipegang dalam etika kewartawanan, dengan melaporkan secara jujur dan bertanggungjawab,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat telah menjadi mangsa kepada media perdana di negara ini yang melaporkan berita fitnah dan bohong yang jauh menyimpang dari etika kewartawanan.
Beliau menambah, menjadi lumrah sebagai manusia, wartawan tidak sunyi daripada kesilapan tetapi jika perkara itu berlaku sepatutnya dengan segera memohon kemaafan dan membetulkan kembali sebarang kesilapan.
Apa yang berlaku pada hari ini, ujarnya media yang pro Barisan Nasional tidak berpegang dengan etika itu.
Katanya, mereka sanggup membiarkan perkara itu berlegar dan melekat dalam pemikiran pembaca walaupun ianya bohong dan fitnah.
“Contoh yang terbaru ialah kes khatib membaca khutbah di Pulau Pinang dilaporkan Lim Guan Eng menggantikan Yang di-Pertuan Agong dalam doa,” ujarnya.
Begitu juga, katanya Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching difitnah bertazkirah dan memberi bantuan kepada ahli PAS di Surau Al-Huda, Kajang Sentral.
“Walaupun penjelasan diberi mereka masih meneruskan laporan fitnah ini, sikap yang ditunjukkan oleh media ini tidak menggambarkan sikap yang profesional,” katanya lagi.
Apa yang penting kepada mereka, ujarnya ialah dapat memenuhi agenda politik jahat tuan mereka.
“PAS sedar banyak juga wartawan jujur dalam laporan, tetapi dikhianati oleh ketua pengarang mereka untuk memenuhi citarasa golongan penindas rakyat di negara ini,” katanya.
PAS, katanya bukan minta dipuji, tetapi laporlah yang benar dan tidak kecil hati kalau berita mengenai PAS tidak dilaporkan tetapi tidak rela berita mengenai perjuangannya difitnah sehingga mengelirukan rakyat di negara ini.
Tambahnya, kemampuan untuk menjernihkan tanggapan fitnah kepada PAS adalah terbatas melalui media Harakah yang dikenakan dengan syarat-syarat yang ketat, sedangkan berita fitnah disebarkan oleh media BN ke pelosok kampung.
“PAS ingin mengingatkan Zahid Md Arip , bukankah dulu kita sama-sama menentang laporan media yang berat sebelah terhadap pembangkang ketika kita sama-sama menuntut keadilan dalam sebuah negara demokrasi.
“Kalau pun saudara sudah menyeberang di sana, janganlah lupa perjuangan kita semasa berada di atas pentas untuk menuntut hak sebuah parti politik di negara ini,” ujarnya.
0 Komen pengunjong :