Mustahil wang ihsan Pulau Pinang dari sumber judi


GEORGE TOWN, 23 Sept — Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang menuduh kerajaan negeri menggunakan hasil sumber judi untuk tujuan pembayaran wang ihsan melalui program penghargaan warga emas. Katanya, dakwaan sebuah blog dan Pemuda Umno pusat minggu lalu adalah berdasarkan kepada imaginasi, berniat jahat serta fitnah yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran.
Menurut beliau lagi kerajaan negeri yang mengamalkan amalan berjimat cermat melalui konsep cekap, akauntabiliti dan telus telah berjaya menjimatkan jumlah peruntukkan dalam bajet kerajaan negeri sebanyak RM20 juta bagi program tersebut.
“Daripada peruntukkan yang diberikan kita telah membelanjakan sebanyak RM10.7 juta dan masih mempunyai lebihan RM9.3 juta untuk meneruskan program penghargaan warga emas.
“Suka ditegaskan di sini bahawa wang ihsan tersebut bukan hasil dari sumber judi. Ia adalah hasil dari pungutan cukai tanah serta sumber selain dari judi.
“Kerajaan negeri juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan lesen judi sedangkan kerajaan pusat sahaja yang mempunyai kuasa untuk meluluskan semua lesen judi yang ada dalam negara kini,” katanya lagi.
Sabtu lalu, Pergerakan Pemuda Umno meminta kerajaan negeri Pulau Pinang memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog kononnya pemberian wang ehsan iaitu RM100 setahun kepada warga emas dan RM1,000 kepada waris keluarga warga emas meninggal dunia menerusi program penghargaan warga emas adalah menggunakan wang daripada sumber judi.
Ketua Penerangannya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng perlu segera memberi penjelasan kerana dakwaan dalam blog “pisau.net” itu telah  menimbulkan kegelisahan dan rasa kurang senang segelintir penerima wang ehsan itu, terutama yang beragama Islam
Malik menambah, dakwaan mereka adalah umpama pekerja upahan yang sentiasa menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.
Pada anggapan mereka dengan membuat fitnah dan tohmahan sedemikian rakyat akan mengalih sokongan kepada mereka.
“Namun begitu, tidak mudah untuk memperdayakan rakyat yang telah memberi sokongan kepada kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat.
“Selama hampir 30 bulan kita menerajui kepimpinan kerajaan negeri, rakyat sudah merasa selesa dengan amanah dan tanggungjawab yang diterajui oleh Guan Eng bersama-sama kepimpinan PAS dan PKR,” ujarnya lagi.
Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung menambah, kerajaan negeri terpaksa mengadakan penjelasan dan penerangan kepada rakyat negeri ini ekoran dakwaan-dakwaan tidak berasas itu.
Program penerangan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menjelaskan perkara sebenar mengenai tuduhan yang dibuat.
“Risalah penerangan dan penafian mengenai setiap tuduhan yang dilemparkan oleh Umno dan BN yang bertopengkan blogger-blogger yang ada akan kita pantau dan ambil tindakan supaya rakyat tidak terpedaya dengan dakwaan mereka,” tegasnya lagi.
Kelmarin, Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Utara di Butterworth.
Dalam laporan itu Pemuda Pakatan Rakyat meminta suruhanjaya itu membuat siasatan segera terhadap dakwaan yang berunsurkan fitnah yang dilemparkan oleh blog berkenaan.

0 Komen pengunjong :