Komponen BN tidak yakin pada Umno

KOTA BHARU, 19 Sept: Parti komponen Barisan Nasional (BN) seolah-olah tidak menaruh keyakinan seratus peratus kepada Umno dalam menerajui BN apabila dilihat percanggahan pandangan yang tercetus di kalangan mereka menyebabkan timbulnya krisis dalaman.
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, keadaan itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) yang semakin stabil.
Justeru, beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri berkata, Kerajaan Persekutuan yang didominasikan Umno BN semakin gentar terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) terutama memandangkan majoriti mereka di Parlimen kurang daripada dua pertiga.
“Dan ini menyebabkan mereka mungkin merasa tidak selesa dengan suasana yang ada, bahkan perbalahan di kalangan parti-parti komponen BN serta parti lain di luar Semenanjung menjadi punca permasalahan yang dihadapi Umno BN.
“Sebaliknya, PR dilihat semakin kuat, semakin baik dari sehari ke sehari, dan kita yakin prestasi PR menjadi akan lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum 2008 (PRU 2008), insya Allah,” katanya yang juga Adun Kelaboran.
Becakap kepada media pada Rumah Terbuka PAS Kelantan sempena Hari Raya Aidilfitri di Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, semalam, beliau mendakwa demokrasi yang diamalkan di negara kini berat sebelah.
“Ini jelas apabila kita dihalang untuk mengadakan ceramah politik secara terbuka di semua kawasan di Kelantan dengan alasan di luar musim pilihan raya, sedangkan kita mahu rakyat mengetahui maklumat mengenai parti dan kerajaan negeri dengan baik dan telus meski pun penerangan boleh diadakan di premis sendiri.
“Kita mahu mengadakan ceramah di pentas terbuka terutama di padang dan di tempat terbuka, ramai orang boleh hadir.
“Justeru, kita meminta supaya pihak Kerajaan Persekutuan bersikap lebih terbuka selaras kehendak negara yang dikatakan mengamal demokrasi, dan parti PAS sendiri adalah parti berdaftar, kita halal mengadakan program parti dan tidak bergerak bawah tanah,” ujarnya.
Tambahnya, Kerajaan Pusat tidak perlu takut untuk memberi permit kepada PAS mengadakan majlis penerangan parti secara terbuka. 
Ini, katanya kerana menurut rekod yang ada, PAS menganjurkan program besar sekali pun membabitkan kehadiran puluhan ribu orang, namun tidak berlaku apa yang disifatkan sebagai rusuhan.
“Bahkan tidak menimbulkan permasalahan kepada pihak keselamatan.  Kita boleh bekerjasama dengan mereka dalam menjaga keamanan dan kawalan lalu lintas,” katanya sambil menegaskan bahawa itu rekod PAS selama memerintah Kelantan lebih 20 tahun.

0 Komen pengunjong :