Isu BTN Rasis : Najib Dan Muhyiddin Membisu Lagi

Mana yang lebih membimbangkan: Seorang pegawai kanan kerajaan mengeluarkan kenyataan rasis,   menghina kaum bukan Melayu, ATAU  tindakan pemimpin Umno dalam kerajaan, khususnya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri melindungi pegawai berkenaan?
Ini persoalan asas yang timbul sekali lagi berikutan kenyataan Timbalan Pengarah Biro Tata Negara Hamim Husin yang menyifatkan kaum Cina sebagai orang bermata sepet yang tidak tidak tahu mengenai agama dan kaum India sebagai kaki botol.
Hamim dilaporkan berkata meskipun berlatar belakang demikian, Umno harus meraih sokongan mereka kerana mereka telah diberikan hak mengundi. 
Hamim berkata demikian pada satu majlis tertutup dengan ahli Puteri Umno.
Umum tahu ini bukan kali pertama ketua-ketua BTN mengeluarkan kenyataan rasis, namun bukan semua kesalahan harus diletakkan atas bahu mereka.
Mereka hanya menjalankan tanggungjawab. Ya, hanya menjalankan tugas kerana  BTN memang mempunyai fungsi khas untuk memupuk semangat ketuanan Melayu di kalangan bumiputera Melayu.
Justeru kurikulum BTN dibentuk sebegitu rupa untuk memastikan peserta Melayu faham rasional di sebalik konsep ketuanan Melayu dan menolak sebarang usaha oleh mana-mana pihak mempertikaikannya.
Tidak apa jika dalam meniupkan semangat jati Melayu itu, kaum Cina dan India diperlekehkan, digambarkan sebagai pendatang, bermata sepet, kaki botol dan sebagainya. 
Hanya Perdana Menteri Najib Razak dan timbalannya Muhyiddin Yassin yang boleh menjawab kenapa mereka terus menghalalkan  kurikulum BTN dalam sebegitu rupa dan kenapa pegawai-pegawai seperti Hamim Husin dibiarkan bermaharajalela menanam api perkauman di kalangan orang Melayu.
Sekali lagi helah Umno untuk memaparkan diri sebagai parti yang memelihara kepentingan semua kaum terdedah sebagai fitnah dan pembohongan semata-mata.
Ahli-ahli Umno terus disuapkan doktrin ketuanan Melayu dan mencemuh yang bukan Islam dalam majlis-majlis tertutup BTN.
Di khalayak ramai, Najib dan Muhyiddin tegas mengatakan mereka mendokong konsep perpaduan dan kesejahteraan antara kaum toleransi, malah memeluk  pemimpin-pemimpin kaum lain di majlis-majlis rumah terbuka.
Sudah tiga hari Hamim mengeluarkan kenyataan rasisnya itu, namun belum ada reaksi daripada Najib mahupun Muhyiddin ataupun Ahmad Maslan,  orang yang bertanggungjawab ke atas BTN.
Namun sikap membisu itu, tidaklah mengejutkan. Ingatkah  kes  guru besar yang mengeluarkan kenyataan rasis terhadap murid-murid mereka – belum ada tindakan diambil, atas alasan Menteri Pelajaran (Muhyiddin) tidak ada kuasa berbuat demikian.
Ingatkah  kes Nasir Safar awal tahun ini?  Beliau selaku  pegawai kanan dalam pejabat Najib  menuduh wanita  Cina sebagai pelacur yang mencari makan di bumi ini manakala kaum India tidak lebih daripada pengemis.
Laporan polis dibuat di bawah Akta Hasutan, namun Perdana Menteri Najib Razak sendiri mempertahankan Nasir di Parlimen dengan menegaskan beliau tidak akan didakwa di mahkamah.
Begitulah  ketegasan Perdana Menteri  dan timbalannya dalam mempertahankan hak dan sensitiviti orang bukan Melayu di Negara ini!.
Kes Hamim juga bakal menemui jalan buntu. NFA atau No Further Action sudah menjadi kelaziman untuk mempertahankan kepentingan Umno.
Tidak kira sekuat mana laungan Presiden MCA, MIC, Gerakan atau parti lain supaya tindakan dikenakan terhadap Hamim dan BTN dibubarkan atau dirombak,  pemimpin Umno tidak akan berganjak apabila ia melibatkan kepentingan mereka.
BTN adalah senjata sulit yang walaupun tidak berapa sulit lagi, namun berkesan untuk terus membawa ideologi ketuanan Melayu demi memastikan Umno terus menjadi tonggak politik Negara.
Dana rakyat, termasuk yang “bermata sepet”  dan “kaki botol” di gunakan setiap hari untuk menganjurkan seminar, membayar gaji pegawai-pegawai seperti Hamim untuk memastikan kelangsungan jangka hayat politik Umno

0 Komen pengunjong :