
Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bahawa nama Yang Di Pertuan Agong telah digantikan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah terbukti merupakan satu pembohongan semata.
"Saya sendiri memantau perkembangan tersebut, membaca teks khutbah yang diedarkan dan menerusi rakan-rakan di Pulau Pinang mendapati tuduhan tersebut tidak berasas bahkan ianya merupakan satu fitnah demi laba politik pemerintah yang kian hari kian terdesak," terang beliau.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, pimpinan Umno menerusi akhbar Utusan Malaysia berterusan menggunakan aksi politik perkauman sempit yang usang.
"Kegagalan pentadbiran Datuk Seri Najib (Tun Razak) memahami nurani rakyat Malaysia keseluruhannya yang mahukan sebuah negara yang kekal aman dan sejahtera dizahirkan oleh kenyataan berunsur fitnah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tersebut," ujar beliau.
Kita yakin usaha pimpinan Umno ini tidak akan berhenti di situ sahaja. Mereka pasti menganyam fitnah yang lain pula demi memecah belahkan muafakat masyarakat di negara ini yang mahu hidup dalam kerukunan dan sejahtera.
Mereka menyedari rakyat Malaysia mempunyai keyakinan yang teguh untuk terus beriltizam dengan Perubahan dan demi Malaysia yang Adil.
Oleh demikian, saya menyeru rakyat Malaysia untuk perteguh keazaman bersama Pakatan Rakyat dan mara mengharungi serangan yang tidak akan kunjung diam dari pimpinan Umno itu. Hanya dengan melakukan Perubahan, politik perkauman sempit akan berjaya dihalang.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang berasingan, Naib Presiden PKR Azmin Ali mendesak Jabatan Pendidikan mengambil tindakan terhadap seorang gurubesar yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman ketika perhimpuan sekolah di Johor.
"Gurubesar itu harus digantung sementara menunggu selesainya siasatan dan jika didapati apa yang diucapkannya benar maka beliau harus dipecat," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabangsa.
0 Komen pengunjong :