SHAH ALAM – Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dijangka diadakan seawal hujung tahun ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memerlukan mandat baru daripada rakyat memandangkan mandat sekarang adalah daripada kepimpinan terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, sudah menjadi kebiasaan dan wajar seorang pemimpin negara yang baru dilantik mendapatkan mandat rakyat memandangkan keadaan ekonomi negara juga sudah pulih.
Menurutnya, dengan pilihan raya umum ini nanti barulah kepimpinan Najib dan Barisan Nasional (BN) diuji sejauh mana mereka boleh meneruskan kepimpinan negara dan menidakkan percubaan Pakatan Rakyat: (PR) merampas Putrajaya.
“Saya bersependapat dengan Tun Mahathir Mohamad bahawa pilihan raya umum wajar dipercepatkan dan saya jangka seawal hujung tahun ini ataupun awal tahun depan.
“Jika pilihan raya umum diadakan pada hujung tahun depan, ia sudah menjadi pilihan raya umum biasa dan bukan lagi dipercepatkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
- Sinar Harian
0 Komen pengunjong :