KUALA LUMPUR 23 Jun - Pakatan Rakyat menggesa kerajaan Umno-Barisan Nasional supaya tidak menindas rakyat berhubung kadar tol yang akan dikenakan selepas jambatan kedua Pulau Pinang siap nanti.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata DAP mengalu-alukan pegumuman kerajaan untuk mengurangkan kadar tol Link Kedua antara Johor Bahru dan Singapura sebanyak 30 peratus tetapi pada masa yang sama meminta supaya perkara yang serupa harus dilakukan bagi jambatan Pulau Pinang.
"Saya rasa amat kagum dengan pengumuman Najib yang akan mengurangkan kadar tol di sana sebanyak 30 peratus dan kita mengalu-alukan tindakan tersebut.
"Apa yang menghairankan, kerajaan Umno-BN berbuat demikian selepas mendapati laluan lebuh raya tersebut mengalami kerugian kerana kurangnya kenderaan menggunakan laluan tersebut," kata Guan Eng pada sidang media di parlimen pagi tadi.
Katanya, kerajaan sepatutnya menurunkan kadar tol selepas syarikat tersebut mendapat balik modal dan pulangan yang lumayan.
Dalam pada itu beliau berharap kerajaan dapat mengkaji semula kenaikan kadar tol di jambatan Pulau Pinang selepas jambatan kedua Pulau Pinang siap kelak.
"Kita juga berharap supaya kerajaan Umno-BN dapat mengamalkan semangat 1Malaysia yang diwar-warkan dengan menurunkan kadar tol sebanyak 30 peratus di jambatan Pulau Pinang seperti mana yang diumumkan Najib semalam," jelas Ahli Parlimen Bagan itu.
Dalam perjumpaan di Putrajaya semalam, persetujuan dicapai antara Najib dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, bagi membincangkan pelaksanaan perkara yang dipersetujui (POA) berkaitan tanah milik KTMB di republik itu.
Link Kedua merujuk kepada laluan jambatan sepanjang 47 kilometer dari Tanjong Kupang ke Senai di Johor dan sebuah jambatan dua tingkat yang menjadi lebuh raya dua hala tiga lorong yang menghubungkan Tanjung Kupang di Johor dan Tuas, Singapura.
Kadar tol sekarang dari Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor ke Tuas, Singapura mengikut kelas kenderaan ialah RM1.60 bagi motosikal, kereta (RM10.80), van dan kenderaan kecil lain (RM24.40), trak (RM48.90), teksi (RM8.10) dan bas (RM13).
- Suara Keadilan
0 Komen pengunjong :