Showing posts with label Umno/BN. Show all posts

BN: Yusof masuk pasukan Anwar wujud syak wasangka kes Liwat II


KUALA LUMPUR, 24 Mei — Ketua-ketua Barisan Nasional (BN) telah melahirkan kemusykilan mengenai kemasukan Datuk Yusof Zainal Abiden ke dalam pasukan pembela Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan mendakwa langkah itu akan mewujudkan kesangsian mengenai ketekunan bekas Peguamcara II itu sewaktu membicarakan kes Liwat II. Mereka memberitahu The Malaysian Insider bahawa tindakan Yusof itu “tidak profesional” kerana ia merosakkan persepsi awam ke atas pembicaraan selama dua tahun ke atas Ketua Pembangkang Anwar.
“Dia tidak wajar menyertai pasukan Anwar kerana ia mewujudkan syak wasangka di dalam minda awam bahawa beliau mungkin sengaja menggagalkan kes Liwat II,” kata Datuk Nur Jazlan Mohamad, Ahli Parlimen Pulai Umno.
MP Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut berkata “integrity [Yusof] sekarang akan disangka kerana mungkin akan ada mereka yang berfikir beliau berpakat sulit dengan Anwar dan tidak serius untuk memenangi kes itu”.
Tuduhan liwat kedua Anwar telah di dalam jangka masa sedekad menerima perhatian antarabangsa, di mana Ketua Pembangkang itu mendakwa kewujudan motif politik di sebelakang tuduhan itu.
Anwar semalam melaungkan penyertaan bekas Peguamcara II itu ke dalam pasukan pembelanya untuk tuduhan perhimpunan haram sebagai suatu kemenangan simbolik, dan berkata Yusof tidak lagi ingin mengambil bahagian di dalam  apa yang beliau menyifatkan sebagai “kekotoran”.
Ketua Umum PKR itu berkata sekiranya Yusof mempercayai yang beliau bersalah, tidak mungkin bekas Peguamcara II yang baru sahaja meninggalkan jawatan awamnya itu menyertai pihak beliau.
“Yusuf tiba dengan komitmen penuh dan persembahannya pada hari ini membukitikan yang dia hanya ingin melihat keadilan”, kata Anwar.
Apabila didekati oleh The Malaysian Insider, Yusof berkata: “Anwar menghubungi saya semalam, dan saya tidak teragak-agak menyahut.”
Akan tetapi Majlis Peguam menunjukkan bahawa menurut amalan dan etika peguaman, Yusof mungkin perlu menolak kes di mana keadaannya boleh mengandungi konflik walaupun pada umumnya beliau mesti menerima sebarang kes yang dibawa kepadanya asalkan fi yang dibayar berpatutan.
Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo juga melabelkan Yusof sebagai “tidak profesional” memandangkan beliau baru sahaja selesai menbicarakan kes liwat Anwar.
Ketua MCA Kuantan  Ti Lian Ker, yang juga seorang peguam, berkata Yusof harus faham bahawa “keadilan adalah sesuatu yang perlu nampak dilaksanakan”.
“Saya bukan mendakwa sebarangan, tetapi minda awam sekarang melihat kepentingan politik sebagai begitu tinggi, dan semua orang mungkin disyaki atau dipermainkan,” kata Ti.
Nur Jazlan pula berkata Tan Sri Gani Patail sekarang perlu melajukan rayuan ke atas pembebasan Anwar di dalam kes Liwat II.
“Kita sekarang tidak pasti samada wujudnya langkah sengaja untuk merosakkan perlaksanaan keadilan di dalam kes itu,” kata beliau.
Anwar, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, dan Ketua Bahagian Rembau Badrul Hisham Shaharin semalam dituduh mengambil bahagian di dalam perhimpunan awam Bersih 3.0 pada 28 April di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman.
Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah.
Hakim Mahkamah Sesi Mahmud Abdullah menetapkan 2 Julai sebagai permulaan perbicaraan.
Seterusnya >>>

BN boleh hilang Perak, Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Barisan Nasional (BN) boleh kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13, demikian menurut keputusan pilihan raya olok-olok melainkan parti-parti komponennya meletakkan muka-muka popular yang berpotensi dan memastikan jentera di peringkat akar umbi menjana sokongan pengundi. The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya latihan yang diadakan baru-baru ini menunjukkan BN boleh kehilangan sehingga 15 daripada 56 kerusi di Johor, dikuasai Pakatan Rakyat (PR).
Persekitaran itu tidak pernah diduga tetapi BN telah hilang enam kerusi di Johor pada pilihan raya umum 2008.
Daripada enam kerusi itu PAS menguasai dua manakala DAP pula empat.
Difahamkan Perlis, di mana BN menguasai 14 daripada 15 kerusi, kemungkinan akan kehilangan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan salah satu daripada tiga bahagian Parlimen di tangan Pakatan Rakyat disebabkan kemarahan penduduk negeri itu mengenai isu Wahabi termasuk tindakan meletakkan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dalam senarai pengganas.
“Pilihan raya olok-olok ini menunjukkan banyak kelemahan. Dan, isu Wahabi tidak membantu,” kata satu sumber Umno kepada The Malaysian Insider.
Seorang pemimpin Umno yang semakin meningkat juga memberikan sentimen yang sama sambil menegaskan, BN perlu meletakkan muka-muka baru untuk menyegarkan kedudukan perikatan itu sementara memastikan jentera peringkat bawah peringkat aktif bagi mendapatkan sokongan menyeluruh.
“Masalahnya ialah jentera Umno boleh bekerja jika diberikan motivasi, tetapi ahli parti komponen kelihatan tidak diberikan motivasi,” kata pemimpin Umno itu.
Beliau mendedahkan bahawa Umno hanya boleh menang 27 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak meskipun BN memerintah semula negeri itu sejak awal 2009 ekoran tindakan melompat parti melibatkan tiga wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.
Pada Jun lalu, Umno negeri itu yakin boleh menang 33 kerusi dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menolak laporan The Malaysian Insider bahawa kemenangan hanya boleh dipastikan jika calon yang betul dipilih kali ini.
Difahamkan beberapa pemimpin Umno bahagian di Perak keberatan untuk berkempen atau mendaftar pemilih baru melainkan mereka pasti akan menjadi calon pilihan raya umum ke-13.
“Umno Perak kuat dan boleh menang 33 kerusi negeri tetapi pemimpin-pemimpin bahagian tidak mahu bergerak kecuali mereka atau calon pilihan mereka diturunkan,” kata sumber Umno ketika itu.
Pada Mac 2008, Umno bertanding di 34 daripada 59 kerusi Dewan Undngan Negeri di Perak dan menang 27 kerusi manakala MCA pula satu. Pakatan Rakyat memperoleh 31 kerusi.
“Keadaan tidak berubah di Perak dan kini keadaan yang sama wujud di Negeri Sembilan memandangkan pembangkang menjadi semakin kukuh, melihat pada kemungkinan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak akan kekal sebagai menteri besar,” kata sumber Umno.
Mohamad disebut-sebut akan bertanding kerusi Parlimen.
Kata sumber itu, mereka melobi dengan kuat untuk mendapatkan kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Tetapi mereka lupa bahawa kemenangan ketika pilihan raya umum 2008 adalah tipis,” katanya lagi.
Di negeri itu, BN menguasai 21 daripada 36 kerusi manakala 15 dimenangi Pakatan Rakyat, yang yakin untuk mengambil alih negeri itu kali ini.
Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS kini menguasai kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor selain memperoleh 82 kerusi Parlimen.
Perikatan itu menyasarkan akan memperoleh lebih banyak kerusi kali ini dan mengurangkan lagi majoriti BN pada pilihan raya umum ke-13.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memberi bayangan bila pilihan raya umum akan diadakan tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberitahu BN agar bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum dalam waktu terdekat.
Kebanyakan penganalisis dan pemimpin pembangkang menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh setahun ini tetapi ada juga mengatakan ia kemungkinan diadakan seawal November ini selepas Bajet 2012 dibentangkan di Parlimen awal 7Oktober dan sebelum perhimpunan agung tahunan Umno.
Seterusnya >>>

Di sini mencela, di sana merayu

 KUALA LUMPUR, 22 April: Itulah kiasan yang menggambarkan karenah kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap kaum Tionghua sekiranya seseorang itu mengikuti berita-berita media tradisional Umno Barisan Nasional kebelakangan ini.

Semenjak menerima tamparan hebat di Sarawak ekoran kehilangan 15 kerusi, 12 di tangan DAP akibat kejatuhan undi popular sebanyak 8 peratus, Umno Barisan Nasional melalui lidahnya, Utusan Malaysia telah melancarkan serangan bertubi-tubi kepada kaum Tionghua dengan label-label seperti ‘tidak mengenang jasa’ dan menuduh kononnya komuniti Cina mahukan kuasa politik muktamad.
(Gambar: Pengarang media Umno mencerca Cina Malaysia selepas ditolak Cina Sarawak)

Utusan turut menyeru kerajaan BN Sarawak tidak lagi boleh bersikap terlalu pemurah untuk memberikan tempat kepada perwakilan kaum Tionghua di dalam kabinetnya.

Bahkan, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed turut serta memainkan sentimen yang sama dengan menuduh DAP telah berjaya memisahkan kaum Tionghua daripada kerajaan ekoran kemenangan bergaya parti itu di Sarawak.

Bukan itu sahaja, dalam satu tindakan yang dilihat merobek koyak slogan 1Malaysia ciptaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan telah menyeru pemiliknya, Umno untuk melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi” untuk menyatukan orang Melayu sebagai reaksi kepada dakwaan bahawa kaum Tionghua sudah bersatu-padu di bawah DAP.

Cadangan Zaini itu ditolak oleh Mahathir hari ini dengan mengatakan bahawa beliau berharap benda itu tidak berlaku kerana itu satu tindakan yang akan membinasakan negara, meskipun NGO kegemarannya, Perkasa sudahpun menawarkan diri untuk mengelapai pergerakan tersebut.

“Saya harap ia tidak akan berlaku. Ia amat tidak baik... orang ramai harus fikir mengenai ini, kita menuju malapetaka jika ia berlaku,” kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, Najib turut menjauhkan pentadbirannya daripada seruan Zaini – dengan mengatakan bahawa cadangan 1Melayu, 1Bumi cumalah satu pandangan peribadi, namun beliau tidak mengatakan secara jelas samada Umno menerima atau menolak idea tersebut.

“Ia pandangan peribadi penulis. Di sudut kerajaan, kami sudah pun ada satu konsep yang jelas dan kami akan meneruskan usaha-usaha kami,” beliau berkata.

Namun, situasi suram antara kerajaan Umno Barisan Nasional dengan kaum Tionghua dalam negeri kelihatan jauh lebih positif di peringkat antarabangsa, apabila kerajaan persekutuan tengah berusaha keras untuk berinteraksi dengan para pelabur kaum Tionghua daripada negara China untuk melabur di dalam negara.

Delegasi yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini berada di Shanghai sedang merayu syarikat-syarikat China untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.

“Malaysia mengalu-alukan pelaburan China di dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan, khususnya di dalam aktiviti teknologi tinggi, bernilai tambah dan berasaskan pengetahuan.

"Sebagai respons terhadap peningkatan minat pelabur China, Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini sedang berunding secara aktif dengan syarikat China yang berminat di dalam sektor logam, kimia, pengangkutan, elektronik dan elektrik, automotif dan makanan," katanya yang dipetik akhbar Berita Harian.

Tambahnya, sehingga kini terdapat lebih 120 syarikat berkepentingan China beroperasi di Malaysia dengan pelaburan modal lebih AS$250 juta (RM754 juta).
Seterusnya >>>