Perkembangan terbaru siasatan suruhanjaya diraja (RCI) menyiasat dakwaan
pemberian kewarganegaraan untuk undi di Sabah memerlukan daftar pemilih
dibersihkan seboleh yang mungkin sebelum pilihan raya umum ke-13, kata
bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Simon
Sipaun.
Katanya,
ia adalah langkah terbaik yang boleh dilakukan sekarang, walaupun
langkah yang lebih sempurna, ialah menangguhkan pilihan raya untuk
membersihkan daftar pemilih sepenuhnya.
"Kita kesuntukan masa,
sekurang-kurangnya perlu ada usaha untuk membersihkan pengundi hantu
yang jelas dari daftar pemilih," kata bekas setiausaha negeri Sabah itu
ketika dihubungi Malaysiakini.
Sebelum ini, dua bekas
pegawai Jabatan Pendaftaran Negara - dalam keterangan mereka kepada
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang di Sabah - mendakwa
menerima arahan untuk mengeluarkan resit sementara kad pengenalan
kepada warga asing di Sabah untuk membolehkan
mereka mengundi.
Mereka
mengaitkan dua orang kanan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad sebagai orang atasan yang mengeluarkan arahan tersebut.
Semalam,
dua rakyat India dan Pakistan menceritakan pengalaman mereka menjadi
warganegara dalam masa dua tahun selepas tiba di Sabah.
Menurut
Simon, beliau gembira dengan perjalanan RCI setakat ini walaupun
keterangan yang diberikan saksi-saksi RCI adalah perkara yang telah
sekian lama 'diketahui' penduduk Sabah.
Menurutnya, beliau tidak
menafikan sesiapa sahaja untuk menjadi rakyat Malaysia namun kebanjiran
warga asing dengan status kewarganegaraan yang meragukan memberi kesan
buruk kepada lanskap ekonomi, sosial, dan politik Sabah.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR 16 Jan: Bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sabah,
Ramli Kamaruddin mendedahkan, beliau mula merekrut pengundi hantu
selepas secara peribadi menerima arahan dari Timbalan Menteri Dalam
Negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.
Ketika
memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai
pendatang di Sabah hari ini, Ramli mendakwa, beliau diarahkan untuk
mengeluarkan resit kad pengenalan (IC) kepada pendatang asing
menggunakan butiran mereka yang sudahpun ada dalam daftar pemilih tetapi
tidak pernah mengundi sebelumnya.
Beliau mendakwa menerima panggilan dua minggu sebelum pilihan raya
negeri Sabah pada 1994 untuk menemui Megat Junid di sebuah hotel.
Beliau mendakwa telah diarahkan untuk membantu memastikan akan
kemenangan kerajaan negeri yang disokong oleh kerajaan Persekutuan.
Ramli mendakwa telah diarahkan untuk mengeluarkan resit JPN
menggunakan nama dan nombor IC pengundi yang sudah ada dalam daftar
pemilih dengan tujuan bagi membolehkan mereka mengundi.
Resit JPN adalah slip kad pengenalan sementara yang dikeluarkan
sebelum menerima kad pengenalan sebenarnya. Dokumen tersebut adalah
memadai untuk mengundi, jelas beliau
Seterusnya >>>