Showing posts with label Pengarah Strategi KEADILAN. Show all posts

NFCorp turut terlibat perniagaan pasaraya mewah di Singapura


PETALING JAYA 28 Feb: KEADILAN hari ini mendedahkan National Feedlot Corporation(NFCorp) turut terlibat dalam perniagaan pasaraya mewah di Singapura, selain tiga buah restoran dan pelaburan RM44 juta kondominium  di republik  itu.
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, perniagaan itu dikendalikan syarikat Farmhouse Supermarkets Pte Ltd yang sahamnya dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.
“Siasatan KEADILAN mendapati saham syarikat tersebut dimiliki suami Shahrizat, (Datuk Seri) Mohamad Salleh Ismail Wan Shahinur Izram Salleh dan Wan Izrarana Fatimah Zabedah.
“Setiap nama memegang saham berjumlah SGD666,667,” kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Menurut beliau, Farmhouse Supermarkets Pte Ltd dipercayai dibiayai oleh Malayan Banking Berhad dan United Overseas Bank Limited melalui kaedah sama untuk membeli dua kondominium mewah di Marina Bay Suites.
Siasatannya mendapati Farmhouse Supermarkets Pte Ltd  menjadi ‘anchor tenant’ kepada kompleks pasaraya mewah Star Vista, di kawasan elit berdekatan Nanyang Technology University.
“Pasaraya yang diusahakan oleh Farmhouse Supermarkets Pte Ltd ini dijangka mula beroperasi dalam suku ketiga tahun ini, apabila kompleks Star Vista siap,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, siasatan KEADILAN juga mendapati Farmhouse Supermarkets Pte Ltd telah menandatangani perjanjian sewaan dengan CapitalMalls (pemaju) bagi 28 unit ruang kedai di kompleks tersebut.
Tambah beliau, sewa ruang kedai seluas 3,000 meter persegi itu dianggar mencecah S$900,000 sebulan atau RM2.2 juta sebulan, mengikut harga pasaran semasa.
“Sudah tentu perniagaan pasaraya ini akan dibiayai oleh dana awam yang disalurkan bagi tujuan penternakan lembu seperti yang dimandatkan oleh NFC, seperti yang berlaku di dalam pembelian-pembelian aset mewah lain sebelum ini,” tegasnya.
Sehubungan itu,  katanya, KEADILAN mendesak  NFC menjelaskan komitmen kewangan yang telah dibuat melalui Farmhouse Supermarkets Pte Ltd, termasuk perjanjian sewaan yang telah dimeterai.
“Tindakan tegas perlu dilakukan segera untuk merampas kembali kesemua dana yang telah diselewengkan secepat mungkin dan mendakwa individu terbabit di mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan jenayah perdagangan.
“Jika ini tidak berlaku dalam minggu ini, KEADILAN akan melakukan pendedahan setiap minggu hinggalah Dewan Rakyat bersidang pertengahan bulan Mac ini,” tegas beliau.
Seterusnya >>>

PKR: Dr M bohong, terus bohong

NONE

PKR hari ini menunjukkan rekod kerajaan yang menunjukkan bahawa Malaysia menerima dana daripada Bank Dunia pada 1999 untuk menangani kiris kewangan.
Merujuk kepada apendiks Belanjawan 2010, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, ia jelas menunjukkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berbohong dan terus berbohong dengan menafikan perkara itu.
"Kalau pun Tun Mahathir meragui dokumen-dokumen rasmi dari Bank Dunia, beliau tidak boleh menafikan dokumen rasmi kewangan negara yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia dan diluluskan di Parlimen," katanya.
Berdasarkan belanjawan 2919 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober 2009, kerajaan menerima bantuan untuk sektor sosial daripada institusi global pada 1999.
Seterusnya >>>

Lengah debat NFC, bukti Khairy penakut – Rafizi


KUALA LUMPUR 13 Dis: Perdebatan isu skandal National Feedlot Corporation (NFC) yang melibatkan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil masih lagi tidak mendapat kata putus dari Ketua Pemuda Umno dalam penetapan tarikh.
Justeru, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menyelar tindakan Khairy Jamaluddin yang melengahkan masa sebaliknya hanya mampu menggunakan orang bawahannya untuk menyerang beliau di laman sosial Twitter.
“Bila Khairy tidak berani debat, dia hantar kaki maki hamun anak-anak buah untuk alih perhatian. ‘Typical’ Pemuda Umno,” sindirnya di Twitter semalam.
Rafizi pada 18 November lalu mencadangkan agar debat tersebut dibuat semalam dan telah memberi masa sebulan untuk Khairy menjawabnya namun ia terpaksa dibatalkan.
Ini berikutan, wakil Khairy telah menghantar surat balas melalui email mengatakan Khairy tidak dapat menghadiri debat pada tarikh tersebut dan kononnya ingin bertemu bagi menetapkan tarikh dan masa yang dipersetujui bersama.
Justeru Rafizi membalas surat tersebut dan mencadangkan agar debat skandal NFC itu diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) yang juga Ibu Pejabat Umno.
Rafizi dalam satu surat dihantar kepada Khairy meminta agar beliau memberikan satu tarikh menjelang 12 Disember sebelum jam 12.00 tengahari dan sehingga kini tiada respon.
“Jelas Khairy tidak berminat untuk mempertahankan NFC, komennya sebelum ini hanya cakap kosong,” kata Rafizi di Twitter semalam.
“Dah pukul 12.30 tengahari, saya masih belum dapat jawapan dari Khairy. Maknanya tarikh dah tamat, saudara tak berani dan tak berminat,” kata Rafizi.
Khairy di Twitter sebaliknya hanya menjawab dan mempersoalkan tarikh debat dan mengatakan tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan debat tersebut.
Bagaimanapun, Rafizi tetap akan meneruskan debat rakyat yang bakal berlangsung 19 Disember ini yang turut menjemput ahli Umno untuk berdebat berkenaan isu ini.
“Oleh kerana Khairy tidak berani debat (Skandal NFC) lembu, kita akan teruskan debat rakyat, tempat akan diumumkan kemudian,” jelas Rafizi.
Meskipun isu itu membabitkan Datuk Seri Shahrizat Jalil, sebaliknya Khairy kelihatan ghairah membela Ketua Wanita Umno yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.
Skandal NFC mencetuskan kontroversi kepada negara apabila KEADILAN mendedahkan banyak penyalahgunaan wang dana RM250 terhadap projek lembu tersebut.
NFC merupakan syarikat menternak lembu kebangsaan yang dimiliki Shahrizat yang didakwa mengalami kerugian dalam operasinya namun pada masa sama NFC didedahkan membeli dua buah kondominum mewah di Bangsar, membiayai percutian keluarga Shahrizat ke luar negara, dan pakej umrah.
Terbaru, NFC didedahkan membeli kereta Mercedes berharga RM534,622 serta dua bidang tanah berharga RM3,363,507 di Putrajaya.
Seterusnya >>>

PKR: Beli kondo guna dana NFC keputusan ‘gila’


KUALA LUMPUR, 14 Nov — Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam penjelasan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kononnya pembelian kondominium di Bangsar bernilai RM10 juta menggunakan dana Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dengan menyifatkannya sebagai satu keputusan “gila”.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, jika pun ada aliran tunai sementara menanti lebih banyak pusat ternakan satelit di sekitar Gemas, ia wajar diletakkan sebagai “pelaburan cair” seperti melabur di pasaran wang ataupun ekuiti berbanding membeli hartanah.
“Ia satu keputusan yang gila,” kata beliau pada sidang media hari ini.
Hari ini, Rafizi berkata Jabatan Perkhidmatan Penilaian dan Hartanah mendapati bahawa pada akhir tahun lalu sebanyak 66,328 unit kondominium tidak terjual.
Katanya, jabatan itu juga mendapati 20 peratus kondominium bernilai RM1 juta atau lebih yang dibina pada suku ketiga tahun ini tidak terjual, bernilai hampir RM549 juta.
“Pakar hartanah antarabangsa DTZ Research juga berkata pada 10 November bahawa risiko kejatuhan harga bagi hartanah mewah juga akan berterusan dan bekalan berlebihan hartanah mewah akan mengurangkan hasil daripada sewa,” kata Rafizi.
Rafizi juga mencabar Khairy agar berdebat secara terbuka dengannya pada bila-bila masa dan di mana-mana mengikut pilihan Ketua Pemuda BN itu.
Minggu lalu, Khairy mempertahankan penyaluran dana hampir RM10 juta daripada projek NFC, yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil sambil berkata, tiada unsur penyelewengan dalam pembelian hartanah itu sebaliknya ia merupakan satu bentuk “pelaburan yang paling selamat.”
Sehubungan itu Ketua Pemuda Umno ini menegaskan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali lagi telah membuat tuduhan tidak berasas untuk memesong rakyat berhubung isu NFC.
“Semalam mereka cuba memesongkan rakyat dengan tuduhan penyelewangan dana bagi membeli apartmen One Menerung, Bangsar yang dikatakan hak milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Perkara ini mudah disensasikan kerana jika dilihat sepintas lalu pasti ramai akan tanya apa kaitan projek NFC dengan pelaburan hartanah? PKR mungkin rasa teruja dengan hujah mereka tapi saya ingin tegaskan bahawa tuduhan tersebut jauh terpesong, bak jauh panggang dari api,” kata Khairy.
Seterusnya >>>

Penyelewengan NFC: Rafizi cabar Khairy debat


KUALA LUMPUR 14 Nov : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mencabar Ketua Pemuda Umno untuk berdebat secara terbuka berkenaan isu penyelewengan wang rakyat dalam Projek Fidlot Kebangsaan.
Ini kerana katanya, meskipun isu itu membabitkan Datuk Seri Shahrizat Jalil, namun Khairy Jamaluddin kelihatan ghairah membela Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.
“Kami (KEADILAN) bersedia pada bila-bila masa untuk berbahas secara terbuka. (Isu) ini bersabit dengan Datuk Seri Shahrizat Jalil, tetapi beliau (Khairy) yang paling ghairah membela dan (cuba) menegakkan keadilan dan nampaknya beliau ada segala maklumat mengenai NFC (National Feedlot Corporation),” kata Rafizi.
“Kebelakangan ni banyak pertelingkahan di dalam twitter, statement dan sebagainya. Cukuplah saya keluarkan satu senarai (penipuan), (lepas itu ) esok dia jawab lain.  Dia (Khairy) akan terus memperbodohkan diri beliau sendiri.
“Jadi cara terbaik untuk kita betul-betul terbuka ialah melalui satu perbahasan terbuka khas melalui isu ini,” kata Rafizi.
Minggu lalu Rafizi menyifatkan alasan Khairy bahawa kondominium yang dibeli oleh NFC bagi tujuan pelaburan adalah tidak masuk akal.
Khairy mengatakan bayaran sebanyak RM9.8 juta itu dibuat supaya National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC) mendapat pulangan pelaburan memandangkan projek lembu fidlot oleh NFC mengalami kelewatan operasi.
Seterusnya >>>

PKR: K'jaan 'rompak' rakyat bagi suap kroni, kapitalis

orange book forum klscah 250111 rafizi ramliPKR hari ini melabelkan pengumuman kenaikan tarif elektrik semalam sebagai 'rompakan di siang hari' kerana ia hanya menguntungkan kapitalis dan membebankan rakyat.

Ketua strategi parti itu, Rafizi Ramli, apa yang berlaku sebenarnya adalah kenaikan kos yang ditanggung oleh pembekal tenaga bebas akan dipindahkan kepada TNB yang kemudian menyalurkannya kepada pengguna.

Lebih malang, katanya, mekanisme baru itu juga akan menyaksikan tarif elektrik dinaikkan sebanyak dua kali kerana kos arang batu dan gas yang digunakan bagi menghasilkan tenaga akan disemak setiap enam bulan.

"Kedudukan kewangan TNB pada status quo, rakyat yang menanggung kenaikan tarif dan IPP langsung tidak menerima sebarang kesan daripada langkah ini kerana kos bahan api disalurkan melalui mekanisme itu.

"Ini benar-benar merompak rakyat bagi menyuap kroni dan kapitalis,” kata Rafizi kepada wartawan hari ini.
Seterusnya >>>

Petronas tanggung RM21 bilion kerugian dari perjanjian IPP-Rafizi


KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa kerajaan mengkaji semula keseluruhan industri penjanaan dan pembekalan tenaga di negara ini supaya berlaku adil kepada rakyat.
Menurut beliau, selepas menjadikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai kambing hitam oleh kerajaan, Petronas pula terpaksa menanggung bebanan sehingga RM21 bilion setiap tahun.
“Untuk berlaku adil, keseluruhan industri penjanaan dan pembekalan elektrik perlu dikaji. TNB dipaksa menandatangani perjanjian membeli elektrik dari penjana bebas pada kadar yang tinggi. Lebih dari separuh kos TNB adalah untuk membayar Syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP). Yang dimarahi rakyat adalah TNB kerana TNB yang menjadi kambing hitam dan budak jahat.
“Lebih teruk, apabila perjanjian itu juga menyebut kalau ada sebarang kenaikan kos bahan api (gas, arang batu), IPP ini tidak perlu menanggungnya.
“Akibatnya Petronas pula yang terpaksa menanggung sehingga berjumlah RM21 bilion setiap tahun berdasarkan anggaran terbaru kita,” kata Rafizi yang juga bekas Pengurus kanan di Petronas.
Untuk rekod, TNB dipaksa membeli tenaga daripada IPP dengan harga mahal manakala Petronas pula diarah menjual gas dengan harga lebih murah kepada syarikat tersebut.
IPP pula kemudian membeli tenaga lebih mahal daripada Indonesia dan kawasan minyak JDA di sempadan Malaysia-Thailand.
Rafizi baru-baru ini mendakwa Petronas terpaksa membeli setong minyak dengan harga RM40 dan dijual pula kepada IPP dengan harga RM10.
Katanya, ekoran keresahan Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan rakyat berhubung kenaikan tarif elektrik, mereka terpaksa menenangkan rakyat kononnya kerajaan memotong subsidi korporat.
“Bila rakyat mula bangkit, BN resah dan mahu menenangkan rakyat dengan menghebahkan kononnya memotong subsidi korporat. Tetapi jalan yang diambil adalah dengan menghukum rakyat, apabila tarif elektrik dinaikkan supaya kenaikan harga bahan api (arang batu dan gas) ditanggung oleh rakyat.
“Ini akan beri kesan kepada harga barang dan melonjakkan lagi kadar inflasi yang sudah tinggi akibat beberapa siri kenaikan harga baik gula, harga petrol, diesel dan lain-lain sejak kebelakangan ini.
“Dalam keadaan gaji rakyat yang tidak naik akibat kegagalan BN mewujudkan agihan kekayaan yang adil, ini akan menyukarkan lagi hidup seharian rakyat,” kata beliau kepada Keadilandaily.com.
Selain itu katanya, kerajaan perlu mengambil inisiatif yang bijak bagi mengelakkan kenaikkan tarif elektrik yang membebankan rakyat.
“Runding dengan IPP supaya caj yang terlampau mahal yang dikenakan kepada TNB atas elektrik yang dijual dikurangkan, kerana caj yang terlalu tinggi hingga memberi keuntungan besar dan berat sebelah inilah yang menyebabkan tarif elektrik di Malaysia tinggi.
“Apabila caj dari IPP ini dikurangkan, barulah beban kewangan TNB boleh dikurangkan dan subsidi bahan api (gas dan arang batu) boleh dikurangkan agar wang boleh digunakan untuk tujuan lain sementara tarif lektrik dikekalkan kerana penjimatan dari caj IPP yang lebih rendah boleh digunakan untuk menampung kenaikan kos bahan api,” kata beliau.
Seterusnya >>>

Berbilion subsidi IPP, tapi kerajaan masih naikkan tarif elektrik- Rafizi


KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata tidak ada sebab kerajaan menaikkan tarif elektrik di negara ini kerana peruntukan RM19 bilion hingga RM22 bilion subsidi gas yang diberikan kepada syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP), bertujuan untuk mengurangkan tarif tersebut.
Menurut Rafizi, sekiranya dibandingkan dengan negara jiran seperti Thailand, tarif elektrik di negara itu jauh lebih rendah berbanding Malaysia walaupun mereka tidak memperuntukkan subsidi kepada syarikat seperti IPP.

“Selama ini, subsidi gas diberikan kepada syarikat besar IPP dengan tujuan untuk mengurangkan tarif elektrik kepada rakyat, tetapi tarif elektrik di negarakita lebih tinggi daripada jiran yang lain seperti Thailand.

“Ini bermaksud kerajaan sepatutnya boleh potong peruntukan subsidi kepada syarikat IPP dan pada masa yang sama mengurangkan tarif elektrik.

“Thailand tidak ada subsidi gas diberikan kepada syarikat seperti IPP tetapi tarif elektrik mereka jauh lebih rendah,” ujarnya ketika dihubungi keadilandaily.com.

Katanya, sekiranya penjelasan kerajaan bahawa kenaikan tarif itu perlu berikutan subsidi IPP tidak dapat ditampung, ia tidak bertepatan dengan realiti sebenar.

“Apa pun, tindakan samada menaikkan harga minyak RON 95 atau tarif elektrik tidak boleh menutup mata rakyat kerana rakyat sudah celik. Mereka tahu hasil kekayaan negara ini diurus secara salah oleh kerajaan.

“Rakyat pertama sekali yang akan merasa terkesan. Sepantas kilat, harga barangan akan turut naik kerana peniaga akan mengalihkan beban itu kepada pengguna.
“Ini menunjukkan BN tidak boleh mengurus ekonomi dalam masa jangka pendek dan menyelesaikan masalah ekonomi secara holistik dalam jangka masa panjang.
Tambahnya, beliau juga menolak kemungkinan harga minyak RON95 tidak akan dinaikkan kerajaan berikutan peningkatan tarif berkenaan.
“Peningkatan tarif elektrik ini juga tidak dapat membendung kemarahan rakyat jika dikatakan RON95 tidak dinaikkan. Jelas RON95 akan dinaikkan kerana ini adalah janji BN kepada rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Khairul Anuar Ahmad Zainuddin menyifatkan kerajaan bermuka-muka apabila membuat keputusan itu yang bertentangan dengan slogan ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’.
“Kerajaan sebenarnya tidak ikhlas menolong rakyat kerana sehingga hari ini kita tidak dapat lihat apa yang diberi kerajaan kepada rakyat untuk mengurangkanbeban mereka,” kata Khairul Anuar ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Justeru beliau menyeru rakyat menilai semula kerajaan yang ada, apakah mereka mengutamakan kebajikan rakyat selari dengan slogan yang dilaungkan selama ini.
“Rakyat boleh lihat kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya tidak punyai iltizam untuk memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada rakyat. Mereka tidak pernah berniat baik untuk menolong rakyat, tetapi yang berlaku mereka yang menindas rakyat dengan kenaikan harga,” katanya.
Laporan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau hari ini melaporkan kenaikan kadar tarif elektrik dijangka akan diumumkan pada 25 Mei ini.
Menurut laporan itu, kerajaan telah meluluskan kenaikan tarif berkenaan yang sepatutnya diumumkan pada Khamis lalu tetapi ditangguhkan kerana pengumuman kenaikan harga gula juga dibuat pada masa yang sama.
Akhbar itu yang memetik sumber berkata, kerajaan memilih menaikkan harga elektrik dan bukannya harga petrol RON95 kerana bimbang tindakan itu akan mencetuskan kemarahan besar-besaran rakyat.
Seterusnya >>>

Pembohongan Eskay tentang video fitnah semakin terserlah - Rafizi

NONE

KUALA LUMPUR: Pembohongan Ahli Perniagaan,Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengenai rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terserlah, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
Beliau diminta mengulas kenyataan Eskay semalam yang menafikan menuduh Anwar melakukan zina, ketika ditanya wartawan selepas memberi keterangan di Balai Polis Kepong berhubung sumpah laknat yang dibuatnya minggu lalu.
“Orang seperti Eskay, lama kelamaan kredibiliti akan terserlah dengan kebohongan. Ceritanya tidak konsisten. Kita boleh senaraikan daripada awal. Mula-mula kata tempat (kejadian seks) berlaku di hotel, kemudian di spa dan apartment di Ampang.
“Selain itu, perkara asas dia berbohong pasal jam (Omega) yang dikata dicuri tetapi dalam video jelas ia tidak dicuri dan tidak wujud pula. Pada awal dia kata jam itu adalah bukti yang kuat tetapi kemudian kata tidak ada kena mengena pula.
“Ini salah satu dari rentetan penipuan, kita boleh masukkan senarai-senarai baru. Malah sumpah laknat yang dibuatnya juga satu penipuan. Seperti pepatah Inggeris, orang yang berbohong dengan satu pembohongan akan terus berbohong untuk menutup pembohongan lain yang dilakukannya,” ujar Rafizi kepada Keadilandaily.com.
Rafizi dalam pada itu turut ditanya mengenai ugutan Eskay, kononnya akan mendedahkan ‘perkara baru’ mengenai Anwar.
Menurut Rafizi, sejak dari awal tuduhan yang dibuat Eskay terhadap Ketua Umum KEADILAN itu tidak memberi sebarang kesan kepada KEADILAN, kerana rakyat tidak mempercayai fitnah yang dilemparkan.
“Ia tidak memberi kesan kepada kita, fokus kita jadi kerajaan dan memenuhi kehendak rakyat yang bersabit tentang menjaga kebajikan rakyat.
“Di pihak KEADILAN, ini perkara biasa apabila kita dilontar fitnah demi fitnah. Tetapi kita tumpu hal ehwal pentadbiran negara dan membanteras rasuah.
“Mereka cipta fitnah baru, kita dah lali. Rakyat sudah muak dan tidak teruja lagi dengan cerita mereka, akhirnya ia makan diri,” ujar beliau yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kenyataan terbaru Eskay itu juga menunjukkannya semakin gelabah dan mula mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri dari tuduhan yang dibuatnya sebelum ini.
“Mungkin dia takut dikenakan tuduhan qazaf. Tetapi kita akan teruskan dan pastikan dia dikenakan tuduhan qazaf di mahkamah syariah.
” Dia mula cari jalan untuk keluar dari tuduhan menuduh Datuk Seri Anwar berzina,” katanya.
Semalam, Eskay menafikan menuduh Anwar melakukan zina, sebaliknya menyerahkan beban dakwaan itu kepada wartawan yang menonton video itu di Hotel Seri Carcosa Negara pada 21 Mac lalu.
“Saya tidak pernah menuduh Anwar berzina. Bila saya tuduh dia berzina? Soal dia zina atau tidak berzina tidak ada kena mengena dengan saya,”
“Saya menghubungi wartawan untuk tanya sama ada orang dalam rakaman itu adalah Anwar, itu sahaja. Anda yang paling rapat dengan dia, selalu mewawancara dia,” katanya kepada pemberita yang kelihatan tercegang dengan kenyataan itu, lapor Malaysiakini.
Ketika ditanya mengenai jam tangan jenama Omega yang diserahkan kepada pihak polis, Eskay enggan menjawab mengapa jam Omega itu relevan dengan kesnya berikutan rakaman video itu langsung tidak menunjukkan jam tangan berkenaan.
Sebelum ini, terdapat percanggahan keterangan yang diberikannya dan kenyataan yang dibuat polis. Eskay mendakwa kejadian seks itu berlaku di sebuah hotel melibatkan seorang pelacur warganegara China.
Manakala polis pula berkata video itu dirakam di sebuah kondominium dan pelaku wanita dalam video itu adalah seorang pelajar di sebuah kolej di ibu negara.
Seterusnya >>>

Rahim Thamby Chik Adalah "Hipokrit" Kata PKR


Tan Sri Rahim Thamby Chik tidak perlu menafikan dendam beliau terhadap  Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghalalkan tindakannya mendalangi fitnah video lucah untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang itu.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli berkata Rahim tidak dapat memendam perletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994  apabila terpaksa mendedahkan penglibatannya dalam video lucah itu Isnin lalu.

"Dia kalau tak berdendam, tak adalah ulang balik macam mana Anwar menyebabkan dia kena letak jawatan, kononnya Anwar berbohong Mahathir lindungi dia tapi  Anwar yang suruh dia letak jawatan. Dia cakap.

"Hari ni dia cakap tak dendam dengan Anwar, pendapat saya sudah jelas, orang yang sedang marah,jelaslah menyebabkan dendam terhadap Anwar. Orang juga sudah tahu dia jadi dalang kepada video tu sebab dendam kepada Anwar,"kata Rafizi lagi.

Malah menurut Rafizi, Rahim hanya membuang masa untuk mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai perasaan dendam terhadap Anwar memandangkan rakyat sedia maklum akan karektor bekas Ketua Pemuda Umno itu.

"Rahim Thamby Chik, dia nak cakap apa cakaplah tapi rasanya untuk rakyat Malaysia termasuklah orang yang tak pernah kenal beliau, bila dia mula korek balik dan faham balik siapa Rahim ni, tak ada orang akan percaya cakap dia,"kata Rafizi ketika dihubungi Tv Selangor hari ini.

Setelah dicemuh oleh pelbagai lapisan rakyat, Rahim hari ini menggunakan akhbar Mingguan Malaysia untuk mendakwa beliau didorong oleh semangat patriotik dan
bukannya dendam dalam mendedahkan video lucah itu.

Rahim mendakwa video itu menujukkan  Anwar mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur namun dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat yang dijemput beliau untuk menyaksikan rakaman itu yakin orang dalam rakaman hitam putih itu bukan Anwar.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Faris Musa, berkata Umno menggunakan Rahim sebagai ayam tambatan untuk menjatuhkan Anwar
menerusi fitnah seks.

“Tidak ada alasan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur. Secara jelasnya bahawa video itu merupakan video yang palsu dan berdasarkan kepada orang yang  pernah melihat dan menyaksikan video itu terutama sekali Datuk Johari Abdul orang yang pertama melihat video yang ditayangkan oleh beliau dan Datuk Eskay  dengan Datuk Shuib tu menyatakan dengan cukup jelas bahawa ianya bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Seterusnya >>>

Manipulasi waktu twitter, Utusan didesak mohon maaf atau disaman


KUALA LUMPUR: Utusan Malaysia yang memetik laporan blog tajaan Umno, kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membuat sebarang twit ke akaun twitternya pada masa rakaman video palsu itu berlangsung, didesak memohon maaf atau berdepan saman dari KEADILAN.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Anwar menghantar sembilan pesanan ke akaun twitternya antara jam 10.38 malam hingga 11.06 malam berbanding waktu rakaman video berkenaan antara jam 10.20 malam hingga 10.41 malam.
“Semua laporan mereka yang menonton rakaman itu tidak menyebut sipelaku melakukan seks sambil memegang telefon untuk menghantar pesanan twitter,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.
“Pesanan yang dihantar jelas dibuat  Anwar kerana lenggok bahasa dan interaksinya dengan pengikut yang diketahui umum. Mustahil sipelaku dalam video adalah Anwar,” katanya yang mengemuka bukti sekali gus mematahkan fitnah yang disiarkan blog yang dibiayai Umno sebelum dipetik Utusan Malaysia.


Rafizi juga kesal kerana Utusan Malaysia mendakwa wujud perbezaan masa antara laman facebook dan twitter, kononnya pesanan yang dirakam di facebook sejam lebih lambat dari twitter.
“Ini pembohongan besar yang sengaja direka. Dua petikan skrin dari twitter dan facebook Anwar yang menunjukkan pesanan yang dibuat melalui twitter dihantar ke facebook, dua minit kemudian,” katanya.
Rafizi berkata, pesanan pada jam 12.22 tengah hari pada 26 Mac 2011 di twitter dicatat waktunya sebagai 12.24 tengah hari di facebook.
“Ini membuktikan kepada rakyat Malaysia betapa hinanya Utusan Malaysia yang tanpa segan silu menyiarkan fitnah tanpa usul periksa. Asal dapat menyebarkan dakyah tuan punya iaitu Umno.
“KEADILAN mendesak Utusan Malaysia memohon maaf. Jika enggan berbuat demikian, KEADILAN akan mempertimbang tindakan lanjut terhadap Utusan Malaysia dan penulis blog Umno itu,” katanya.
Seterusnya >>>