Showing posts with label Pengarah Pilihan Raya DPPP. Show all posts

Umno kini terhegeh-hegeh cari simpati PAS

KUALA LUMPUR, 4 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan tindakan Umno yang mempelawa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) dan duduk bersama dengan BN sebagai tindakan tersepit dan terdesak.
Pengarah Pilihan raya DPPP, Mohd Firdaus Jaafar berkata, Umno kini ibarat ‘orang hampir lemas yang cuba berpaut pada apa sahaja’ sedangkan mereka selama ini yang memburukkan PAS di mata masyarakat dengan pelbagai tuduhan hodoh dan menghinakan.
Selama ini, katanya mereka sombong dengan menganggap mereka sahaja parti terbaik untuk kaum Melayu dan PAS adalah sebuah parti yang sesat serta tidak mempunyai masa depan.
Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai menambah, perlu dingat bahawa selama puluhan tahun Umno hidup dengan membuli dan mengganyang musuh politik mereka.
Menurutnya, PAS dan lain-lain parti pembangkang tidak pernah diberikan hak dalam pentas demokrasi yang sebenar.
Bahkan, ujarnya hampir setiap hari media massa milik mereka memburukkan pemimpin PAS dan PR.
Selain itu, katanya hampir seluruh jentera kerajaan dipergunakan semaksima mungkin dalam memastikan pembangkang khususnya PAS terus jatuh terduduk dalam setiap pilihan raya umum dan kecil.
“Apakah dalam keadaan demikian, Umno masih terhegeh-hegeh mencari simpati PAS?” soalnya.
Tegasnya, DPPP mengingatkan bahawa PAS telah melalui pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang jalan perjuangan mereka dalam pentas politik di Malaysia, bukan sekadar ugutan dan fitnah, bahkan pemimpin PAS pernah dikenakan ISA, dipenjara, bahkan dibunuh.
Ini semua, jelasnya dilakukan oleh pemimpin Umno yang kononnya mahu memperjuangkan bangsa Melayu.
Beliau menambah, masih segar dalam ingatan bagaimana tindakan Umno terhadap kerajaan Terengganu yang majoritinya bangsa melayu pada tahun 1999-2004 apabila dinafikan royalti petroleum hanya kerana mereka diperintah oleh PAS.
Begitu juga, ujarnya nasib yang sama diterima oleh Kerajaan PAS Kelantan yang sehingga ke hari ini terpaksa memperjuangkan hak untuk mendapatkan royalti petroleum di mahkamah.
Menurutnya lagi, sejarah juga membuktikan bahawa PAS tidak pernah mengkhianati hak orang melayu sebaliknya Umnolah yang menjadi petualang dalam menghakis hak keistimewaan orang melayu.
“Apakah kita lupa bahawa biasiswa telah digantikan dengan PTPTN, bagaimana bantuan sekolah agama rakyat ditarik?” tanya beliau.
Beliau turut mempersoalkan ke mana perginya saham bumiputera yang bernilai 52 bilion.
Ini, katanya semua berlaku kerana Umno sememangnya tidak pernah memikirkan bagaimana mahu membantu orang melayu sebaliknya menyalahgunakan kuasa yang di amanahkan dengan mengaut keuntungan peribadi.
Tambahnya tindakan mempelawa PAS ini menjelaskan kepada semua bahawa sebenarnya sokongan orang Melayu kepada Umno sudah semakin terhakis.
“PAS pula dilihat sebagai pengganti yang sesuai bagi orang Melayu, lebih-lebih lagi dengan budaya politik kotor dan keji yang mereka amalkan seperti video lucah seperti yang dipaparkan sekarang,” katanya.
Tegasnya, orang Melayu sudah semakin meluat dengan politik ‘Machiavelli’ Umno sehingga sanggup mengenepikan syariat Islam.
DPPP juga, katanya melihat tindakan Presiden Umno yang mempelawa PAS keluar daripada PR dan bersama dengan BN sebagai helah politik semata-mata demi untuk menimbulkan rasa kurang senang dikalangan rakan-rakan di dalam PR.
“Dan ini juga merupakan jalan terakhir untuk menyelamatkan sisa-sisa riwayat Umno yang semakin menghampiri penghujungnya.
“PAS tidak sesekali akan terpedaya dengan umpan Umno sehinggalah akhirnya Pakatan Rakyat memenangi PRU ke 13,” tegasnya.
Seterusnya >>>

Rakyat Sarawak perlu tolak politik ‘jembalang’ BN

KUALA LUMPUR, 2 Apr: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabelkan parti selain Barisan Nasional sebagai ‘jembalang dan hantu yang bermulut manis’ adalah kenyataan paling bodoh daripada seorang pemimpin negara.
Pengarahnya, Mohd Firdaus Jaafar melahirkan rasa hairan bagaimana kenyataan itu boleh timbul daripada pemimpin tertinggi negara.
Beliau mengingatkan, tidakkah Muhyiddin tahu bahawa Barisan Nasional adalah ‘jembalang dan hantu’ yang dia sendiri maksudkan.
“Bukankah BN yang menawarkan pelbagai janji manis yang bertujuan mengelabui mata pengundi Sarawak, dan setelah menang pilihanraya mereka sekali lagi hilang umpama hantu dan jembalang tanah?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Tambahnya, sifat jembalang dan hantu yang suka menghisap darah rakyat adalah sifat BN sejak dulu hingga kini.
Baginya, Muhyiddin cuba mengajar rakyat Sarawak erti demokrasi ala BN iaitu hanya BN sahaja layak memerintah negeri Sarawak.
Katanya lagi, BN perlu ditolak dan tidak layak memerintah negeri dan negara.
“Inilah mentaliti ‘budak sekolah rendah’ yang ada dalam pemikiran pemimpin BN sedangkan demokrasi sebenar mengajar rakyat erti kebebasan memilih parti dan kepimpinannya,” katanya yang juga ahli Parlimen Jerai.
Menurutnya, menyekat kebebasan rakyat dari berfikir dan memilih parti yang mereka sukai adalah suatu tindakan yang tidak bertamaddun.
 Sepatutnya, kata beliau Muhyiddin berkempen menerangkan jasa dan sumbangan BN ataupun memberikan janji BN kepada rakyat Sarawak untuk kesekian kalinya.
Pakatan Rakyat, ujarnya telah memberikan janji 100 hari memerintah dalam Buku Jingga.
“Soalnya, apakah janji seterusnya BN kepada rakyat Sarawak?” tanya beliau lagi.
Beliau menambah, sudah 50 tahun negara diperintah BN, dan sudah acap kali rakyat dijanjikan dengan pelbagai janji ‘melangit’ menjelang pilihanraya.
Beliau berkata, BN sebenarnya masih mengamalkan cara demokrasi lapuk serta ketinggalan zaman.
Sebab itu, katanya mereka sering kali mengeluarkan kenyataan yang cuba mengelirukan rakyat ketika berkempen dan bercakap seolah-olah rakyat buta dan bodoh.
“Kali ini, biarlah rakyat menjadi hakim dan menentukan masa depan mereka sendiri. Jangan dimomokkan dengan politik ugut seperti ini.
“Politik ‘jembalang’ dan ‘hantu’ sudah tidak laku dalam pilihanraya Dun Sarawak kali ini,” ujarnya.
Seterusnya >>>

Najib macam yakin berlaku rampasan kuasa

KUALA LUMPUR, 23 Okt: Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak Najib bahawa akan pertahan Putrajaya walau terpaksa hilang nyawa seolah-olah yakin akan berlaku rampasan kuasa secara keganasan.
Biarpun Najib tidak menyebut mahu mempertahankan Putrajaya dari dirampas pihak mana, namun dipercayai ditujukan kepada Pakatan Rakyat.
Ini kerana Pakatan Rakyat sejak tsunami politik 2008, telah meletakkan sasaran mahu menguasai Putrajaya menggantikan kerajaan BN.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar, kenyataan Perdana Menteri itu juga seolah-olah tidak faham amalan demokrasi di negara ini.
"Najib masih tak faham demokrasi, PR nak kuasai Putrajaya bukan dengan rampasan kuasa. Kita guna saluran pilihan raya, dengan rakyat yang tentukan.
"Mungkin juga dia lupa, yang merampas kuasa secara ganas ni Umno BN. Merekalah yang merampas Perak dari Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.
Najib ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno berkata, Umno perlu mempertahan Putrajaya dari pihak yang mahu merampasnya biarpun terpaksa hilang nyawa.
Firdaus bagaimanpun turut mempersoal niat Najib di sebalik berkata begitu, atau mungkin mempunyai agenda politik tersembunyi.
"Adakah dia cuba menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat ini perampas kuasa secara ganas?" soalnya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan, kenyataan tersebut dilontar Najib hasil daripada perasaan takut melihat sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.
Tambahnya lagi, ianya juga mungkin menggambarkan Umno tidak boleh menerima jika Pakatan Rakyat benar-benar dapat menguasai Putrajaya.
"Atau Najib mahu ahli Umno bertindak ganas pada Pakatan Rakyat jika dapat menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti," katanya.
Bagaimanapun tegasnya, Pakatan Rakyat tetap bertekad dan sedang berusaha untuk menguasai Putrajaya, dengan sokongan padu rakyat negara ini.
Sementara itu, Presiden PKR, Datin Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan mahu Najib memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut yang disifatkan sebagai anti-demokrasi.

"Saya mewakili pimpinan dan anggota KEADILAN mendesak agar Presiden Umno menarik semula kenyataan beliau yang jelas sekali berniat jahat dan bersifat anti-demokrasi.

"KEADILAN juga menuntut supaya Datuk Sri Najib memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan memberi jaminan bahawa sekiranya perubahan Kerajaan Persekutuan benar-benar berlaku dalam Pilihan Raya Umum akan datang, maka Umno BN akan menyerahkan kuasa secara terhormat dan dalam suasana yang aman dan harmoni," katanya.
Seterusnya >>>