KUALA LUMPUR : Dalam isu pembekuan pinjaman Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN terhadap Universiti Selangor
(Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), Timbalan Presiden
PAS Mohamad Sabu menyindir 'kebijaksaan' Menteri Pengajian Tinggi, Datuk
Seri Khaled Nordin dalam menimbulkan kontroversi ini.
Mohamad berkata sepatutnya Khaled membuat perbandingan epal dengan epal dalam isu ini.
“Jgn bandingkan kerajaan PR selangor dgn kerajaan pusat. Banding
mesti epal dgn epal. Bkn epal dgn ikan yu,” tulis beliau di laman
Facebook beliau.
Mohamad menegaskan bahawa PR berjanji akan memberikan pendidikan
percuma apabila ia diberi mandat untuk memerintah kerajaan pusat pada
PRU13 bukan memerintah di peringkat negeri.
“Kenapa Menteri Pengajian Tinggi begitu tidak cerdik?” soal beliau.
Awal minggu ini, PTPTN dengan disokong Menteri Pengajian Tinggi dan
Timblan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak membekukan
pinjaman pelajar baru Unisel dan meminta kerajaan negeri Selangor
membuktikan keupayaan memberikan pendidikan percuma kepada
pelajar-pelajar terbabit.
Khaled berkata pembekuan tersebut sekadar ingin menguji sama ada
negeri Pakatan Rakyat Selangor adalah serius dalam menyediakan
pendidikan percuma.
“Sekarang mereka telah mengakui kepentingan PTPTN, jelas sekali
mereka tidak dapat mencapai matlamat memberikan pendidikan
percuma,” kata beliau.
Bagaimanapun, tindakan tersebut ditarik balik semalam selepas
mendapat pelbagai kritikan, dari dalam dan luar Umno yang merasakan
tindakan tersebut tidak wajar.
Ramai penganalisa politik melihat kontroversi PTPTN kali ini adalah
pertembungan antara Muhyiddin dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
dalam Umno, di mana kedua-duanya mempunyai keperluan berbeza untuk
kekal hidup di dunia politik.
Sekiranya Najib berjaya memenangi dua pertiga semula, Muhyiddin
dijangka akan menghadapi kesukaran mempertahankan kedudukannya pada
pemilihan Umno yang bakal berlangsung tahun ini dan digantikan dengan
sepupu Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Naib Presiden
Umno.
Untuk menyelamatkan dirinya dan memberikannya peluang untuk
mengguling Najib, Muhyiddin perlu memastikan Najib gagal mendapat 2/3
majoriti malah keputusannya merosot berbanding Tun Abdullah Badawi di
2008, tapi BN masih kekal menang di PRU-13.
Sekiranya terlebih melakukannya, BN bakal tertewas dan Muhyiddin juga bakal hilang segala-galanya.
Disebabkan itu, rakyat akan dapat melihat pertembungan puak pemikiran
lama dengan puak transformasi sebegini dengan lebih kerap menjelang
PRU-13.
.
Seterusnya >>>
Setiausaha politik kepada menteri besar Selangor Faekah Hussin
berkata kenyataan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) berhubung pinjaman untuk siswa di universiti bawah kerajaan
negeri itu bukan sahaja penuh "emosi politik" tetapi juga "kurang
cerdik."
Katanya, dakwaan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor
tidak mampu memberi bantuan kewangan juga menunjukkan bahawa pengerusi
PTPTN Datuk Ismail Mohamaed Said "diperangkap oleh pemimpin tertinggi
Umno-BN."
"Malang bagi Pengerusi PTPTN (Datuk Ismail Mohamaed
Said) selepas menurut perintah menteri kini terpaksa menjilat semula
keputusan itu dan membuat kenyataan berbohong kononnya kerajaan Selangor
tidak mampu memberi pendidikan percuma kepada pelajar.
"Kenyataan
beliau bukan sahaja penuh emosi politik tetapi kurang cerdik
memandangkan kerajaan negeri telahpun mengumumkan skim bantuan khas
untuk pelajar yang teraniaya oleh pembekuan tersebut," katanya dalam
satu kenyataan.
Beliau mengulas tindakan PTPTN membekukan
pinjaman kepada siswa di sua buah institut pengajian tinggi bawah
kerajaan negeri itu - Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti
Islam Selangor.
Tidak sampai 24 jam, PTPTN semalam bagaimanapun
menarik semula tindakan membekukan pinjaman kepada siswa baru Unisel
selepas menerima bantahan keras termasuk daripada pemimpin BN seperti
ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Langkah itu pada awalnya
disokong kuat oleh timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,
menteri pendidikan tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan menteri pertanian
Datuk Seri Noh Omar.
Mengulas lanjut, Faekah berkata penjawat
awam seperti pentadbir PTPTN perlu melihat perjalanan isu berkenaan
sebagai satu amaran kepada mereka "agar tidak dengan membabi buta
menurut arahan ahli politik."
"Selaku penjawat awam, mereka
sepatutnya mempunyai integriti dalam memastikan kepentingan rakyat,
dalam kes ini para pelajar, diutamakan. Mereka tidak harus membenarkan
pentadbiran di jabatan mereka ditadbir oleh ahli politik.
"Justeru,
jika mana-mana ahli politik atau menteri yang emosi, kebudak-budakkan
dan tidak cerdik dalam pendekatan mereka, penjawat awam selaku golongan
profesional perlu berani menyatakan pandangan.
"Ini termasuk
mengajar dan mengingatkan para menteri yang tidak faham akan prinsip
doktrin pengasingan kuasa - di antara eksekutif dan legislatif,"
katanya.
Tambahnya, menteri Umno berkenaan juga perlu
menghentikan amalan "bersembunyi di celah kain seorang kakitangan awam"
seperti dalam tindakan mereka dalam isu pembekuan pinjaman itu.
Menteri
berkenaan tidak harus berperangai seperti ahli politik jalanan tetapi
sebaliknya perlu bersikap sebagai negarawan demi khidmat untuk semua
rakyat tanpa mengira bangsa, agama mahupun ideologi.
.
.politik, katanya
lagi.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR-BN dilihat sengaja menunjukkan kuasanya apabila
mencabar kerajaan negeri Selangor berhubung isu pembekuan PTPTN terhadap
pelajar Unisel.
Bagaimanapun, tindakan itu hanya menunjukkan sikap sombong dan angkuh
BN kerana cabaran itu dibuat tidak kena pada masa dan tempatnya.
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, berkata
cabaran itu tidak kena pada tempatnya memandangkan tanggungjawab memberi
pendidikan terletak kepada kerajaan pusat.
"Ini bukan masa untuk cabar atau menguji kerajaan negeri Selangor. Ia
hanya menyusahkan bukan sahaja pelajar, tetapi ramai pihak.
"Kalau betul hendak minta kerajaan negeri tanggung pendidikan, jangan
ambil cukai dari Selangor," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily,
hari ini.
Tambah beliau lagi, biarpun PTPTN menarik semula pembekuan pinjaman
tabung itu, pelajar tidak perlu berterima kasih kerana ia merupakan hak
pelajar terbabit.
Malah, katanya kerajaan sewajarnya tidak perlu bertindak membekukan
pinjaman tersebut kepada pelajar baru Unisel hanya kerana berbeza
fahaman politik.
Selain itu, beliau berkata dasar federalisme tidak diamalkan di
negara kita menjadikan kerajaan BN sering mengamalkan dasar diskriminasi
dan pilih kasih terhadap mana-mana negeri yang diperintah Pakatan
Rakyat.
"Dalam isu royalti, Terengganu dan Kelantan telah disisihkan.
Sekarang, mereka cuba buat kepada Selangor pula. Mereka mengamalkan
kezaliman dalam tindak-tanduk mereka," tegas beliau lagi.
Awal minggu ini, PTPTN dengan disokong Menteri Pengajian Tinggi dan
Timblan Perdana Menteri bertindak membekukan pinjaman pelajar baru
Unisel dan meminta kerajaan negeri Selangor membuktikan keupayaan
memberikan pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar terbabit.
Bagaimanapun, tindakan tersebut ditarik balik hari ini selepas
mendapat pelbagai kritikan yang merasakan tindakan tersebut tidak wajar.
.
Seterusnya >>>
SHAH ALAM 9 JUN : Tindakan bolak balik(flip- flop) Kerajaan Pusat
dalam isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN)
terhadap mahasiswa baru Universiti Selangor(Unisel) dianggap sebagai
tidak matang oleh mahasiswa yang ditemui.
Tinjauan TVSelangor terhadap mahasiswa Unisel rata-rata kecewa dengan permainan politik murahan sebegitu.
Seorang
pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan, S Jamunah,19, berkata, sesebuah
kerajaan yang bertanggungjawab tidak wajar mencampuradukkan perbezaan
pendapat politik sehingga bersikap diskriminasi terhadap golongan
pelajar.
“Kami mohon agar janganlah dipolitikkan isu-isu pendidikan ini
sehingga menjejaskan kami kerana kami masuk ke universiti bukan untuk
berpolitik tetapi untuk belajar dan mengejar cita-cita kami.
“Tindakan ini juga tidak adil kepada kami sedangkan kami juga seperti
pelajar-pelajar lain yang berhak untuk mendapat pinjaman bagi membiayai
pendidikan kami apatah lagi kami juga bukan daripada golongan yang
berada,” ujar Jamunah sambil berharap berita penarikan pembekuan PTPTN
itu bukan drama politik semata-mata.
Sementara itu, seorang lagi pelajar, Anas Basir A. Bakar,19,
meluahkan rasa kurang selesa dengan senario politik hari ini yang
dilihat semakin sakit.
“Sejak
isu pembekuan ini timbul, saya sememangnya tidak bersetuju dan
membantah keras tindakan tersebut kerana merasakan semua ini sebagai
permainan politik yang kotor dan lebih kepada dendam.
“Lebih menyedihkan, kami sebagai pelajar pula yang terpaksa menjadi
mangsa politik tidak sihat sebegini sedangkan kami ini golongan yang
seharusnya di beri perhatian tanpa sebarang prejudis kerana kami tunggak
negara di masa hadapan,” luah Anas yang kini berada di tahun kedua
jurusan perakaunan.
Ditanya pemansuhan PTPTN dan dasar pendidikan percuma yang hebat
dibincangkan akhir-akhir ini, Marfika Adnan Haris Fadzilah, 21, berkata,
beliau bersetuju seandainya dasar berkenaan tidak membantutkan
pembangunan serta kemajuan negara.
“Semestinya saya bersetuju seandainya ia benar-benar mampu
dilaksanakan dan yakin dasar sebegitu pasti memberi manfaat kepada
sumber tenaga kerja rakyat negara ini secara keseluruhannya,” kata
pelajar jurusan kewartawanan yang berasal dari Perak ini.
Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid dalam satu kenyataan
mengumumkan pencairan aset hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi
hasil penyusunan semula hutang TALAM yang dianggarkan bernilai RM30 juta
bagi membantu pelajar yang teraniayai akibat tindakan pembekuan
pinjaman PTPTN terhadap pelajar baru Unisel.
Bagaimanapun, seperti seperti diumumkan Naib Canselor Unisel, Prof Dr
Anuar Ahmad, pembekuan pinjaman tersebut secara rasminya balik dan
pelajar-pelajar baru juga sudah boleh membuat permohonan pinjaman secara
atas talian bermula semalam.
.
Seterusnya >>>
Setiausaha
politik kepada menteri besar Selangor Faekah Hussin berkata arahan
menteri pengajian tinggi membekukan pinjaman Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada siswa universiti bawah
kerajaan negeri kini memakan diri ekoran desakan dan kecaman termasuk
oleh akar umbi parti komponen BN.
Tambahnya, arahan yang disokong
timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga menteri
pertanian Datuk Seri Noh Omar itu "adalah berniat jahat yang akhirnya
memakan diri sendiri."
"Kita percaya pembekuan ini ditarik balik
kerana tidak tahan dengan desakan dalaman dan luaran atau juga (menteri
pengajian tinggi) Datuk Seri Khaled Nordin baru sedar bahawa pembekuan
ini seumpama menggali kubur untuk dirinya dan Umno," katanya dalam satu
kenyataan.
Beliau juga percaya bahawa Khaled Nordin – yang
didakwanya sebagai calon untuk jawatan menteri besar Johor yang baru –
akan dipersalahkan apabila BN gagal merampas Selangor ekoran isu
pembekuan pinjaman ini.
Selepas ini, Khaled Nordin akan dijadikan
kambing hitam sebagai punca kekalahan Umno-BN, nasib yang sama dialami
(bekas menteri besar) Dr Khir Toyo.
"Kita berterima kasih kepada
Khaled Nordin yang juga disebut-sebut bakal menggantikan Datuk Abdul
Ghani Othman, Muhyiddin dan Noh yang telah menggagalkan transformasi
yang dicanang perdana menteri," katanya lagi.
Beliau mengulas
laporan hari ini yang menyebut bahawa PTPTN mengambil keputusan untuk
menarik balik pembekuan pemberian pinjamannya kepada siswa Universiti
Selangor dan Kolej Universiti Islam Selangor.
Khaled Nordin hari ini dilaporkan Utusan Online
sebagai berkata tindakan menarik balik pembekuan pinjaman itu diambil
ekoran "rayuan dan penjelasan Unisel bahawa ia tidak berniat untuk
memberi pendidikan percuma kepada pelajar."
Khaled memutuskan
demikian susulan keputusan kerajaan Selangor untuk menggunakan hartanah
seluas 500 ekar bagi membantu pelajar yang dalam kesukaran meneruskan
pengajian.
Keputusan itu juga dibuat selepas menerima tentangan
keras, termasuk daripada ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang
menyifatkan sekatan pinjaman tersebut sebagai "politik buruk" dan
tindakan yang salah dari segi moral.
.
Seterusnya >>>
Selepas
pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN kepada
pelajar-pelajar Universiti Industri Selangor (UNISEL) dibekukan,
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan yang
angkuh sekali – seperti mahu “mengajar” para pelajar di negeri Pakatan
Rakyat.
Beliau menyifatkan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi tersebut
sebagai ‘adil’ dengan maksud ingin “menampar” pentadbiran Pakatan,
khususnya PKR yang begitu lantang memperjuangkan isu pendidikan percuma.
Tindakan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran jelas sekali adalah
tindakan politik yang tidak ada justifikasi rasional sama ada ia
bertujuan untuk mengkaji semula sistem tersebut atau berdasarkan apa-apa
saranan munasabah dari pihak profesional kepada kerajaan.
Malah tindakan politik UMNO dan Barisan Nasional ini nyata sekali
mahu mendera ibu bapa dan pelajar di institusi pengajian tinggi agar
menanggung padah akibat permainan politik manusia-manusia yang gila
kuasa. Inilah moral politik yang sedang UMNO perjuangkan.
Kita yang waras seharusnya melihat bahawa soal penentangan atau
pertembungan idea berkenaan dengan isu pemansuhan PTPTN di antara UMNO
dan PKR ini adalah soal politik dasar. Jika berlaku dialog atau bahas,
maka ia dianggap baik sekali dalam rangka demokrasi yang matang.
UMNO mangsakan pelajar, ibu bapa
Tetapi apa jua penentangan soal idea politik, tidaklah seharusnya
menjadikan pelajar-pelajar UNISEL yang majoritinya orang Melayu sebagai
tebusan politik oleh UMNO.
Bagaimana mungkin UMNO yang kononnya memperjuangkan “nasib bangsa
Melayu” sanggup memudaratkan dan menzalimi anak bangsa sendiri hanya
semata-mata kerakusan kuasa dan permainan politik kotor mereka.
Nah sekarang, siapa tindas siapa?
Jika merujuk kepada kenyataan Muhyiddin itu, maka ingin kita soal kembali, di mana ‘adil’nya tindakan kerajaan dalam isu ini?
Hakikatnya, isu pemansuhan PTPTN ini masih di peringkat perbahasan
dan perbincangan oleh semua peringkat dan semua pihak. Ia suatu proses
yang memakan masa, ia perlu melibatkan semua pandangan dan saranan.
Malah, sesuatu dasar itu tidak akan dapat dilaksanakan tanpa mendapat
mandat yang kukuh dari rakyat. Hakikat ini harus difahami dan diterima
oleh semua pihak.
Malah, salah satu cadangan PKR adalah memansuhkan PTPTN dan
digantikan dengan pendidikan percuma. Kementerian yang dikuasai UMNO
cuba bermain politik dengan memansuhkan PTPTN hanya terhadap para
pelajar UNISEL tanpa memperkenalkan pendidikan percuma. Ini penindasan
namanya.
Pelajar, ibu bapa perlu buat penentuan
Oleh kerana para pemimpin UMNO gila main politik, maka pelajar dan
ibu bapa tidak banyak pilihan kecuali bertindak atas dasar kebenaran dan
keadilan. Oleh itu, pertarungan sebenar adalah pada pilihan raya umum
ke-13 akan datang.
Jika begini perangai pemimpin UMNO yang sudah terserlah kebencian
mereka terhadap anak bangsa sendiri yang menuntut hak dan keadilan,
perlu apa lagi dikekalkan pemerintahan yang zalim ini.
Kita mahukan masa depan pelajar kita cerah dan peluang untuk mereka
mencanai potensi diri terus terbuka tanpa diskriminasi sepertimana
amalan UMNO dan BN selama ia memerintah.
Cukuplah UMNO dengan politik hasadnya, rakyat Malaysia sudah jemu
dengan polemik yang meleret-leret ini. Hentikan kuasa UMNO dalam pilihan
raya yang bakal menjelang tiba.
-/Roketkini.com
.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR 8 Jun: Melihat kemampuan kerajaan Selangor menyelesaikan
masalah sekatan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
melalui pengumuman Universiti Selangor (Unisel) mencairkan aset bagi
membantu mahasiswanya, BN mula cemas dan mengubah taktik dengan menarik
semula pembekuan pinjaman berkenaan.
Presiden
Kelab Anwar Ibrahim (AIC), Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pada
peringkat awal BN menjangkakan golongan mahasiswa yang terlibat akan
cemas dan panik lalu menolak dasar pendidikan percuma dan mengangkat
PTPTN sebagai tunjang yang membolehkan pendidikan tinggi berlangsung.
“AIC sebagai sebuah organisasi anak muda hari ini menyelar tindakan
‘flip-flop’ kerajaan Umno BN yang cuba bermain tarik tali dan berpolemik
tentang pinjaman PTPTN kepada dua IPTS yang dinaungi kerajaan Selangor
iaitu Unisel dan Kuis (Kolej Universiti Islam Selangor),” katanya dalam
kenyataan segera.
Beliau berkata demikian mengulas penarikan semula PTPTN terhadap pembekuan pinjaman terhadap siswa di Unisel dan
Kuis hari ini.
Penarikan itu dipercayai ekoran kecemburuan Kerajaan Pusat terhadap
pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibarhim semalam bahawa
Unisel akan mencairkan asetnya bagi membantu siswa meneruskan
pengajian.
Aset itu merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang Talam.
Menurut Khalid, kerajaan negeri akan membantu Unisel mengapungkan hartanah tersebut di pasaran untuk mendapatkan wang tunai.
Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil dari usaha ini
dan sebahagian wang berkenaan akan digunakan untuk membantu
pelajar-pelajar yang teraniaya akibat dari tindakan kerajaan BN
membekukan PTPTN.
Tambah Saifuddin, AIC juga hairan bagaimana kerajaan yang menguruskan
aspirasi rakyat dan pembinaan masa depan, bertindak dangkal dengan
mengugut masa depan anak muda hanya kerana berbeza polisi dengan musuh
politik.
“Seharusnya BN lebih ampuh untuk menegakkan dasar pendidikan mereka,
bukan dengan membekukan pinjaman PTPTN dan membuat kenyataan dangkal
malah tindakan itu adalah peluang Pakatan Rakyat melaksanakan pendidikan
percuma,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin percaya zaman untuk menggunakan rakyat sebagai ‘tebusan’ politik telah berakhir.
“Saat ini AIC yakin lonjakan sokongan yang datang dari golongan atas
pagar terhadap ketelusan Pakatan Rakyat telah meningkat pada satu tahap
yang membanggakan. Riwayat pemerintah zalim bakal berakhir atas satu
kesilapan yang mereka sengajakan,” katanya lagi.
.
Seterusnya >>>
KUALA
LUMPUR, 8 Jun — Kerajaan persekutuan telah mengundurkan langkah untuk
membekukan pinjaman pelajar universiti milik kerajaan Selangor selepas
menerima kecaman daripada ahli-ahli politik Pakatan Rakyat (PR) dan juga
beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN).
Pegawai Universiti Selangor (Unisel) mengesahkan pembekuan pinjaman
itu ditarik balik hari ini, hanya sehari selepas Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan sebagai langkah itu
adalah “adil” dan jelas sebagaimana kempen PR untuk memberikan
pendidikan universiti percuma.
Sinar Harian melaporkan Naib Canselor Universiti Selangor, Prof Anuar
Ahmad, sebagai berkata bahawa “ini adalah hasil perbincangan dengan
PTPTN ... pada jam 11 pagi. “
Ia dilihat berlaku selepas kritikan daripada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin
dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah hari
selepas Muhyiddin mempertahankan langkah itu sebagai “ujian yang adil”
ikrar pendidikan percuma pembangkang.
PTPTN telah mengesahkan awal hari ini mereka yang baru mendaftar di
Universiti Islam Selangor College (Kuis) turut akan menerima nasib sama
seperti mereka di Unisel yang dinafikan hak mendapatkan pembiayaan
pinjaman pendidikan.
Tetapi Saifuddin menulis di laman Twitter miliknya “rektor Kuis telah
bertemu saya dan saya telah memaklumkan kepada menteri rayuan beliau
bahawa pinjaman PTPTN tidak dibekukan untuk pelajar. Surat rasmi Kuis
akan dihantar tidak lama lagi. “
Ahli Parlimen Temerloh itu juga memberitahu The Malaysian Insider bahawa
dia sedang menunggu jawapan dari Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri
Khaled Nordin selepas “memberitahunya pembekuan itu telah menerima
kecaman dan tentangan secara meluas dan meminta pejabat beliau untuk
membatalkannya.”
Pembekuan itu, yang mana Muhyiddin dan Khaled telah menggelarnya
“ujian” ikrar pendidikan percuma Pakatan Rakyat, telah menerima kecaman
dan bantahan dari pembangkang dan kumpulan pelajar.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menuduh pentadbiran Najib melanggar
amanah, manakala kumpulan pelajar Islam berkata Putrajaya mesti menarik
balik pembekuan dan meminta maaf.
Rasa tidak puas hati itu membawa kepada pemimpin Pemuda BN yang
menyuarakan rasa tidak bersetuju mereka, kerana ia menunjukkan bahawa
“ujian” adalah tidak perlu kerana “adalah jelas Selangor tidak dapat
memberi pendidikan percuma.”
“Cukuplah. Mesti berhenti. Salah dari segi moral dan politik buruk,
“Khairy menulis di laman Twitternya sebagai respon terhadap pembekuan
terhadap mahasiswa Kuis.
“Saya tidak mahu pelajar menjadi mangsa,” kata Ahli Parlimen Rembau itu juga.
Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang, yang telah berkali-kali
mengkritik ikrar pendidikan percuma PR, juga berkata langkah Putrajaya
adalah “salah” dan “PTPTN sepatutnya tahu Pakatan tidak akan memberikan
pendidikan percuma di Unisel.”
“Mangsa Akhir adalah pelajar,” katanya di Twitter.
Tetapi bantahan daripada ahli-ahli parti pemerintah ini datang
selepas pimpinan PKR-Selangor memutuskan untuk mendapatkan RM30 juta
dengan mencairkan aset mereka untuk memberi bantuan kewangan kepada
pelajar-pelajar yang telah dinafikan hak mendapatkan pinjaman.
Seorang pemimpin Umno memberitahu The Malaysian Insider
bahawa jika Selangor berjaya dalam membiayai pelajar yang terlibat, “ia
bermakna mereka telah lulus ujian” yang ditetapkan oleh Muhyiddin.
Ibrahim Suffian, daripada pendapat penyelidik bebas Merdeka Center
juga berkata pembekuan pinjaman itu “berpotensi akan memakan diri BN
jika Selangor boleh mencapai satu penyelesaian yang praktikal dan
cepat.”
“Ini akan merentasi seluruh negara sebagai Unisel mempunyai pelajar
dari negeri lain dan mungkin meledakkan daripada sesuatu yang hanya
popular kepada golongan muda untuk ibu bapa mereka juga.
“Lagipun, Selangor mempunyai rizab yang besar sebanyak RM1.8 bilion
dan boleh menyelesaikan masalah ini dengan cepat,” katanya kepada The Malaysian Insider.
.
Seterusnya >>>