Showing posts with label Nazri Aziz. Show all posts

RM12 juta kos selenggara kediaman rasmi PM, TPM


KUALA LUMPUR 1 November: Kos penyelenggaraan kediaman rasmi Perdana Menteri (PM) dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi tempoh empat tahun sebanyak RM12,094,707.06.
Kediaman rasmi Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing di Sri Perdana dan Seri Satria dimiliki Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan disewa kerajaan Malaysia.
Penyelenggaraan bagi Seri Perdana bagi tahun 2008 hingga 2011 sebanyak RM6,977,401.80 manakala Sri Satria pula sebanyak RM5,117,305.26.
Jumlah ini dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria di Parlimen semalam.
Mohd Nasir dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan kos penyelenggaraan kediaman rasmi PM dan TPM bagi tahun 2008 hingga 2011.
Nazri memberitahu, kos penyelenggaran bagi Sri Perdana bagi tahun 2008 sebanyak RM1,896,616.80, 2009 (RM1,686,616.80), 2010 (RM1,520,514.00) dan 2011 (RM1,873,654.20).
Sementara itu, kos penyelenggaraan bagi Sri Satria pula pada 2008 ialah RM1,129,992.00), 2009 (RM1,130,007.26), 2010 (RM1,401,502.00) dan 2011 (RM1,455,804.00).
Dalam jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Jun 2011, sejumlah RM48.8  juta dibelanjakan termasuk kos sewa, kos baik pulih, bil elektrik dan bil air untuk kedua-dua kediaman tersebut.
Kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu didedahkan berjumlah RM33 juta sementara kos baik pulih pula RM3.6 juta setahun.
Lebih memeranjatkan, bil elektrik bagi kediaman Perdana Menteri dan Timbalannya sahaja berjumlah RM10 juta dan bil air pula mencecah RM1.9 juta untuk tempoh yang sama.
Pada Disember 2008, iaitu pada masa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan menjelaskan, sewa bagi kediaman PM hanya pada sekitar RM4.15 juta. Manakala RM2.74 juta lagi dibayar bagi sewa kediaman TPM.
1 November 2011, Parlimen diberitahu jumlah perbelanjaan lawatan rasmi PM dan isteri serta TPM dan isteri mengikut tarikh, lokasi dan tujuan dari tahun 2008 hingga 2011.
Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor membelanjakan RM 1,739,332.85 (2008), RM4,811,837.48 (2009) RM5,140,307.99 (2010) dan RM 5,427,172.26 sehingga Jun 2011.
Turut dilaporkan media alternatif sebelum ini ialah kos penginapan Najib dan Rosmah di hotel mewah Atlantis di Dubai lebih RM100,000 hanya untuk semalaman.
Manakala, kos keseluruhan lawatan rasmi TPM dan isteri bagi tempoh sama berjumlah RM8,020,328.07.
Seterusnya >>>

Nazri Aziz digesa muhasabah diri


KUALA LUMPUR, 17 April: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meminta rakyat supaya menolak bakal calon-calon pilihan raya yang kurang ajar dan biadap daripada menjadi wakil mereka di dalam pilihanraya umum yang akan datang.


“Ibarat meludah ke langit yang akhirnya tertimpa muka sendiri, Nazri sememangnya dikenali sebagai salah seorang menteri Umno yang paling terkenal dengan sikap biadap, kurang ajar dan tidak bertanggungjawab sama ada dari segi tutur kata ataupun kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkan,” kata Ketua Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan.

Justeru, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta Nazri muhasabah dan menilai kesilapan serta kekurangan diri sendiri sebelum mahu menyalahkan orang lain.

“Jangan hanya pandai mencari kesalahan dan keburukan orang lain sedangkan diri sendiri dan keluarga tidak terjaga serta menyusahkan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sany berkata, pihaknya merasakan rakyat sememangnya telah mengenali sikap kurang ajar dan biadap pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Antaranya, kata beliau apabila krisis kepimpinan di negeri Terengganu pada tahun 2008, Sultan Terengganu yang ketika itu selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah dilabel sebagai ‘binatang’ oleh puak-puak Umno Terengganu yang bertelagah kerana tidak mengikut hasrat dan kehendak mereka di dalam isu perlantikan Menteri Besar Terengganu waktu itu.

Justeru, ujarnya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan Umno dan Barisan Nasional supaya tidak lagi memperbodohkan rakyat dengan kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah dan tidak berasaskan kepada pembuktian yang sah.

“Semakin banyak kenyataan dan serangan menggila yang ditujukan kepada Pakatan Rakyat akhirnya memberi tamparan semula kepada Umno dan Barisan Nasional,” katanya lagi.

Jabatan Pilihan raya DPPM, tambah Mohd Sany merasakan bahawa pemimpin Umno dan Barisan Nasional kini semakin bercelaru dan tidak keruan setelah mengalami ‘tsunami kekalahan’ pada pilihan raya umum yang lepas.

“Segala salah laku dan buruk sikap pemimpin Umno dan Barisan Nasional serta ahli keluarga mereka kini semakin terlondeh di media arus perdana dan menjadi buah bicara rakyat di merata tempat,” ujarnya.

Oleh itu, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan rakyat keseluruhannya bangkit dan menolak calon-calon Umno serta Barisan Nasional secara ‘total’ di dalam pilihanraya umum yang akan datang supaya Negara Malaysia yang tercinta ini akan lebih aman, sejahtera dan harmoni.
Seterusnya >>>

Nazri Aziz sudah bau UBN akan kalah


Itu menteri suka cakap lepas dan menggunakan bahasa pasar yang kesat, Nazri Aziz berkata dia sudah lama berkhidmat. Sudah jadi menteri selama 13 tahun, timbalan selama lima tahun. Dia kini juga sudah berusia kurang dua tahun untuk jadi 60 tahun. Katanya dia sudah lama mahu lepas jawatan tetapi dihalang oleh pimpinan bahagiannya. Iya ke?

Dalam perkiraan Murai bukan payah sangat kalau nak lepas jawatan atau tidak nak pegang jawatan. Lepas sahaja, berlambak orang yang sedang menanti untuk memegang jawatan. Orang sanggup bertumbuk dan bertampar lagi kerana jawatan. Rasuah tak payah ceritalah, kalau dalam Umno rasuah kerana nak jawatan macam mat rempit naik motor laju, berlambak-lambak. Berlana kok na.

He...yang Murai musykilkan seakan kata-kata Nazri kali ini serius sikit. Semacam ada sesuatu yang sedang mengejar Nazri. Apakah dia juga dapat menghidu akan nasib Umno dan BN pada pilihan raya akan datang. Nazri adalah menteri JPM, dia tahu banyak cerita.

Macam pengesan tsunamilah, si Nazri ini. Nampak riak atau terbunyi gegaran dia sudah dapat mengecam apakah tsunami akan berlaku atau tidak. Mungkin dia juga sudah dapat signal bahawa UBN akan kalah dalam pilihan raya akan datang. BN akan hilang kuasa.

Jadi sebelum ditolak ombak tsunami elok kalau dia melarikan diri awal-awal. Ambil sikap mengundur diri tidak bertanding. Kalau tidak bertanding dia akan terlepas dibaham ombak tsunami yang sudah pasti akan memedihkan mata dan hati.

Begitulah agak-agak Murai. Walaupun kata-kata Nazri itu sebagai test market untuk menilai sejauh mana dirinya di Padang Rengas tetapi dia semacam kegerunan sahaja. Sebagai bangsawan politik di Padang Rengas Nazri tidak akan bimbang dia akan dilawan, orang Padang Rengas tetap sayang kepadanya. Tetapi tentang nasib UBN yang entah entah kini yang membimbangkannya.

Nazri seorang yang bisa. Apa yang berlaku ke atas anaknya yang dikatakan membelasah jaga kondo tidak pun menjadi kudis gatal kepadanya. Nazri menghadapi tragedi lebih besar dari itu berhubung anaknya. Semuanya ok, semuanya lepas. Semuanya boleh dikaunting.

Tetapi bak kedudukan UBN semakin menipis dan menirus macam ekor tikus mondok ini mengganggu kepala Nazri, sebab itu dia membayangkan mahu berundur sebelum partinya kalah. 

-/ http://www.msomelayu.blogspot.com/
Seterusnya >>>

NFCorp melanggar syarat pinjaman : Nazri


KUALA LUMPUR, 14 Feb — Datuk Seri Nazri Aziz hari ini berkata, National Feedlot Corporation (NFCorp) telah melanggar syarat perjanjian pinjaman dengan kerajaan persekutuan.
“Dalam kata lain, telah berlaku kes pecah amanah. Duit tersebut, yang seharusnya digunakan untuk tujuan penternakan lembu telah digunakan untuk tujuan lain.
“Dana berkenaan telah diserahkan berdasarkan projek yang diserahkab kepada NFCorp, yang mana mereka harus menternak lembu dan menjualnya dengan kadar yang lebih rendah,” jelas Nazri kepada pemberita di sini.
“Pinjaman itu diberikan hanya bagi tujuan itu. Sekiranya dana itu digunakan bagi tujuan lain, kita tidak perlukan peguam untuk mengetahui samada berlaku pecah amanah atau tidak, sangat mudah,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio undang-undang itu.
Malah, Nazri turut menafikan laporan akhbar yang menyatakan bahawa beliau telah mengeluarkan kenyataan yang menyuruh rakan Kabinetnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memulangkan sejumlah RM250 juta yang dipinjam daripada kerajaan untuk Pusat Fidlot Nasional (NFC).
“Kerajaan berkuasa untuk menarik semula pinjaman berkenaan sekiranya berlaku aktiviti pecah amanah. Saya kata NFCorp perlu kembalikan duit itu semula, saya tidak menyebut beliau (Shahrizat), tidak ada kene mengena dengannya,” katanya.

Nazri menegaskan, itu merupakan pandangan beliau selaku menteri berkaitan undang-undang, dan kerajaan masih lagi sedang menyiasat pertuduhan terhadap dakwaan berlakunya penyalahgunaan dana kerajaan persekutuan itu.
Menteri itu berkata lagi, beliau mengambil berat terhadap perkara itu dan menyatakan isu itu “tidak mati” walaupun apa pun tindakan yang diambil kerajaan, kerana rakyat ingin tahu ke mana wang itu digunakan.
“Sekiranya penyiasatan SPRM membuktikan berlakunya pelanggaran akta, mereka akan didakwa.
“Kemudian keluarkan tender dan berikan pembida tertinggi terhadap projek itu,” tambah Ahli Parlimen Padang Rengas ini lagi.
Menurutnya, perletakan jawatan Shahrizat ketika ini tidak akan memberi “kesan” dan berkemungkinan akan lebih berkesan sekiranya dibuat lebih awal.
“Kita perlu tunggu sehingga siasatan selesai ... masyarakat kurang sabar, tiada petunjuk, dan tiada arah ke mana mereka hendak tuju,” tambah Nazri.
PKR telah membuat beberapa siri pendedahan terhadap penyalahgunaan dana termasuk RM62 juta untuk tanah, hartanah, dan perbelanjaan yang tidak berkaitan dengan projek penternakan lembu berkenaan.
Shahrizat telah mengambil cuti tiga minggu daripada jawatan sebagai menteri bulan lepas dan kini telah kembali bertugas.
Rabu lalu, beliau telah dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM di Putrajaya.
Timbalan Perdana Mnerteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan melantik juru audit bagi menyemak semula laporan kewangan NFC namun enggan mewujudkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat NFC.
Seterusnya >>>

Nazri mengaku halang guna dakwat kekal pada 2008


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengaku bahawa beliau merupakan pihak yang bertindak menghalang penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum lalu.

Jelasnya, cadangan itu dipersoal pada 2008 kerana berbangkit isu perlembagaan berhubung hak warganegara berumur lebih 21 tahun untuk mengundi.

"Pada 2008 ada cadangan menggunakan dakwat kekal. Orang yang persoalkan sayalah," katanya dalam wacana membincangkang pilihan raya bebas dan adil di Kota Bharu malam tadi.
Turut terlibat dalam forum anjuran kerajaan Kelantan itu bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan exco kanan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Menurut Nazri, ia antaranya mengambil kira hak warganegara layak yang mahu mendapatkan kertas undi tetapi enggan dicalit dakwat kekal.

"(Jika ini berlaku) apa yang akan berlaku? Sebab dalam perlembagaan disebut rakyat yang berumur 21 tahun dan berdaftar layak mengundi.

"Jadi, oleh kerana keadaan sudah terlalu dekat (dengan pilihan raya), SPR mengambil keputusan tidak teruskan dakwat kekal. Itu sahaja sebab perlembagaan belum putuskannya."

Bagaimanapun, tambahnya, selepas jawatankuasa khas parlimen (PSC) mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya membincangkannya, Majlis Fatwa Kebangsaan membenarkan dan peguam negara berkata ia tidak menyalahi perlembagaan, tindakan itu akhirnya dilakukan.

"Jadi, itu sebabnya pada 2008 kita tidak buat," jelasnya lagi.
Nazri mengulas kenyataan Abdul Rashid dalam wacana yang sama bahawa beliau mahu melaksanakan pelbagai pembaharuan ketika menjadi orang nombor satu SPR, termasuk memperkenalkan dakwat kekal, tetapi disekat oleh pihak tertentu yang tidak dinamakannya.

Abdul Rashid juga berkata beliau pada masa itu mendapat surat daripada peguam negara yang menyatakan bahawa penggunaan dakwat kekal bertentang dengan Perkara 119 Perlembagaan Negara.

SPR bawah pimpinan Tan Sri Aziz Yusof  baru-baru ini mengumumkan bersetuju menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum akan datang, setelah mempertimbangkang cadangan PSC – yang dibentuk selepas perhimpunan BERSIH 2.0 – dan Majlis Fatwa Kebangsaan juga berkata ia boleh digunakan.

Sementara itu, berhubung fatwa membenarkan penggunaan dakwat kekal yang pernah dibuat pada 2007, Nazri berkata, kerajaan pada masa itu tidak tahu berhubung kedudukannya kerana ia tidak pernah diumum sebelum ini.

“Dua tiga hari lepas, majlis fatwa umum boleh pakai (dakwat kekal). Ini bermaksud tidak pernah umumlah,” katanya sambil menegaskan hanya 19 negara  di seluruh dunia memakai sistem itu.

Sementara itu, mengulas dakwaan berleluasanya kes pengundi hantu di Sabah, Nazri menjelaskan perkara itu tidak berlaku, sebaliknya melibatkan “orang Islam Filipina” yang secara tradisinya berpindah randah antara republik itu dan Malaysia dan tidak memiliki kad pengenalan.

“Jadi apabila ada negara Malaysia, mereka tidak ada kad pengenalan. Apabila tidak dapat kad pengenalan, mereka tak dibenarkan mengundi. Tetapi mereka ada di negara ini sebelum Malaysia wujud dan sebelum merdeka lagi.

“Isunya ada orang marah di Sabah, ada yang tidak patut dapat kad pengenalan dapat kad pengenalan dan didaftar sebagai pengundi,” katanya.

Katanya, sekiranya projek pengundi hantu benar berlaku di Sabah sehingga melibatkan70,000 pengundi seperti yang didakwa, sudah tentu BN akan melakukannya di negeri-negeri lain juga seperti Kelantan dan Selangor.

Bercakap di hadapan kira-kira 1,000 peserta yang sering mengejek dan membuat bising terhadapnya, Nazri menyimpulkan bahawa pilihan raya yang bebas dan adil merupakan realiti di negara itu dan ia dibuktikan dengan kejayaan PAS menguasai Kelantan dan peratusan keluar mengundi yang tinggi.

“Kita tanya diri kita sendiri, bila mengundi ada paksaan tak? Tidak ada. Kita mengundi ikut sukarela. Orang ramai ada keyakinan terhadap pilihan raya. Peratusan keluar mengundi tidak kurang daripada 28 peratus... puratanya 73 peratus,” katanya.
Seterusnya >>>

Nazri hina mahkamah- AMK


KUALA LUMPUR 4 Nov: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) masih kekal dan terus digunakan di universiti, disifatkan sebagai menghina mahkamah.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Lee Khai Loon berkata, kenyataan Nazri itu sekali lagi menghakis sistem pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan kehakiman di negara ini.
“Nazri Aziz cuba bermain dengan terminologi undang-undang dengan mendakwa kononnya keputusan Mahkamah Rayuan itu hanya satu pandangan institusi kehakiman sahaja.
“Namun, hakikatnya, majoriti rakyat menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Auku bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau melihat kenyataan menteri itu juga sebagai ‘amaran’ terhadap mahasiswa bahawa usaha memansuhkan undang-undang zalim sangat sukar di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
“Auku bukan sekadar undang-undang lapuk, malah ia kerap dimanipulasi kerajaan Umno BN untuk mengekang kebebasan mahasiswa sejak ia dilulus parlimen pada 1971,” katanya.
Oleh itu, beliau mendesak pentadbiran Najib memberi jawapan segera secara rasmi bahawa Auku perlu dimansuh selaras dengan keputusan yang dibuat mahkamah itu.
“Kerajaan perlu akur bahawa prestasi akademik di Malaysia yang kian merosot adalah disebabkan kewujudan Auku yang menyekat kebebasan akademik,” katanya lagi.
Pada 31 Oktober lalu, mahkamah rayuan memutuskan seksyen 15 (5) dalam AUKU yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya yang terlibat dalam parti politik sebagai tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.
Keputusan itu dibuat secara majoriti apabila Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Hulu Selangor April 2010.
Seterusnya >>>

‘Kematian Teoh tidak berlaku jika siasatan ikut standard’


KUALA LUMPUR, 24 Julai — Putrajaya memperakui bekas setiausaha politik DAP Teoh Beng Hock tidakmati dua tahun lalu jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mematuhi prosedur-prosedur siasatan yang sewajarnya dengan betul.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan, beliau tetap bersetuju dengan cadangan suruhanjaya diraja kerana apa yang telah berlaku adalah satu kematian.
Pada sidang media Khamis lalu juga, Nazri berkata kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang melanggar prosedur SPRM berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.
Katanya, hasil siasatan suruhanjaya itu juga mendapati bahawa tiga pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan keterlaluan ke atas Teoh yang didapati melanggar prosedur sedia ada.
Dalam satu temu bual hari ini, tegas Nazri, kematian melibatkan Teoh tidak berlaku kalau sisatan dijalankan mengikut standard siasatan yang telah ditetapkan dan menepati piawaian yang memuaskan.
“Apabila berlaku keadaan macam ini kita kena teima hakikat bahwa ada perkara-perkara yang tidak patut dilakukan,” kata Nazri sambil menambah, “saya ingin mencadangkan supaya SPRM yang bekerja rapat dengan badan pencegahan rasuah di Hong Kong supaya mengikut cara mereka bekerja.”
“Dulu mereka belajar daripada kita, sekarang mereka berada di kedudukan nombor satu,” katanya lagi.
Nazri menambah, prosedur operasi standard (SOP) di Hong Kong mempunyai piawaian yang sangat tinggi dan SPRM seharusnya berunding dengan badan pencegahan rasuah berkenaan.
“Ikut dan contohilah mereka,” kata beliau lagi dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia edisi hari ini.
“Di Hong Kong tuntutan kepada demokrasi sangat kuat, mereka tidak akan bertolak ansur dengan badan pencegahan rasuah di sana kalau SOP yang diamalkan adalah tidak baik,” kata menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal perundangan dan Parlimen ini.
Nazri juga berkata, kerajaan perlu mengakui bahawa sudah tentu ada kelemahan dalam sistem semasa.
“Jangan nafi. Saya bukan tidak hendak mempertahankan pegawai-pegawai ini tetapi saya percaya dan tahu ada perkara yang berlaku.
“Berdasarkan laporan yang kita baca jelas menunjukkan bagaimana siasatan dijalankan secara berterusan,” katanya yang turut mahu SPRM membetulkan diri.
“Dunia dahulu mungkin berbeza, orang tak banyak buat aduan, aliran maklumat juga sangat perjalan, tetapi sekarang apa saja berlaku sekelip mata, semua orang tahu. Mereka mesti berubah,” katanya lagi.
Suruhanjaya siasatan terdiri daripada lima anggota diketuai oleh seorang hakim telah menjalankan prosiding siasatan selama 50 hari dan memanggil 70 saksi.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.
Bagaimanapun menurut Nazri, beliau tidak melihat imej SPRM terjejas dengan penemuan siasatan diraja atas alasan dalam mana-mana organisasi ada segelintir kakitangan yang membuat sesuatu tidak mengikut peraturan.
“Namun pada saya ia tidak menjejaskan kerja baik yang selama ini dilakukan SPRM untuk membendung rasuah,” katanya.
Seterusnya >>>

Nazri: Tiada lagi s'jaya kaji hasil siasatan kes TBH


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata tidak akan ditubuhkan satu lagi suruhanjaya semata-mata untuk memuaskan hati mereka yang tidak puashati dengan keputusan suruhanjaya diraja menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

"Pendedahan laporan suruhanjaya (diraja) kepada umum menutup kes kematian mendiang Teoh dan segalanya telah selesai," katanya dalam wawancara yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini.

"Itu memang tidak boleh dan tidak akan dilakukan. Melainkan ada ruang dibenarkan kepada mahkamah, yang mana mereka nak teruskan, teruskanlah," tambahnya.

Nazri berkata, tidak akan ada lagi satu suruhanjaya untuk kaji keputusan suruhanjaya yang lain.

"Kerajaan telah berbelanja berjuta ringgit untuk suruhanjaya ini dan itu adalah duit rakyat.

"Saya merayu kepada rakyat supaya menganggap episod ini ditutup dan telah selesai dengan keluarnya laporan suruhanjaya (diraja).

"Buatlah kerja-kerja yang boleh memajukan negara dan jangan terus dengan isu ini sehingga kita tidak boleh bergerak ke mana-mana," tambahnya.

Menurutnya, suruhanjaya tersebut dianggotai orang yang tinggi imej dan reputasi mereka.

"Mereka ada reputasi yang perlu dipelihara. TIdak mungkin mereka tunduk kepada tekanan untuk membuat sesuatu keputusan kerana takut atau pilih kasih.

"Kedua, ini di atas permintaan mereka (keluarga Beng Hock) dan bukannya kerajaan.

Ketiga, tujuannya untuk mendapatkan kebenaran, bukannya memuaskan hati mana-mana pihak sama ada keluarga Beng Hock atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Nazri berkata, beliau percaya bukan sahaja keluarga mendiang Teoh tidak berpuashati, SPRM pun tidak berpuashati kerana banyak perkara dibangkitkan tentang aspek penyiasatan mereka.

"Tetapi mereka terima. Yang penting kita tidak peduli sama ada masih ada pihak tidak berpuashati atau sebaliknya kerana tujuan mengadakan mengadakan suruhanjaya ini adalah untuk mendapatkan kebenaran bukan untuk memuaskan hati mana-mana pihak.

"Itu yang penting. Kalau masih ada pihak tidak berpuashati maka terpulang kepada mereka kerana bukan buat sesuatu untuk memuaskan hati sesiapa," tambahnya.

Nazri mengulangi bahawa Malaysia adalah negara bebas, "kalau mereka nak buat rayuan dan memang ada ruang di bawah undang-undang kita, buatlah, kita tak ada perkara yang ditakutkan".

"Soal tidak puashati blogger, pembangkang atau keluarga Beng Hock itu kita faham sangat sebab sepanjang dua tahun lebih telah ditanamkan di pemikiran rakyat bahawa mendiang Beng Hock telah dibunuh.

"Apabila keluar laporan reaksi itu semenangnya kita faham dan telah dijangka. Tetapi saya yakin mereka yang ikuti isu ini dengan penuh sabar, yang mahu kebenaran ditunjukkan, say apecaya mereka dapat menerima laporan yang dibentangkan oleh suruhanjaya," tambahnya.

Katanya, kegagalan Teoh disebabkan oleh kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dimahukan SPRM.

"Keadaan itu berlaku disebabkan overzealous dan melibatkan segelintir kakitangan SPRM. Ini perangai masing-masing, macam mana pun kalau sudah buat salah, kena disiplinkan," katanya.

Nazri mengumpamakan perkara itu seperti pepatah Melayu 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'.
Seterusnya >>>

Nazri 'dibelasah' kerana Ibrahim Ali


Walaupun kenyataan kontroversi berhubung "perang salib" keluar daripada mulut Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pula sebaliknya menjadi mangsa bidasan banyak pihak kerana membiarkan dirinya diperkudakan.

Selepas memaklumkan tiada tindakan boleh diambil kepada Ibrahim kerana kenyataan seumpama itu merupakan norma di Malaysia, Nazri terus diasak pelbagai pihak, antaranya daripada pemimpin PAS, DAP dan Gerakan.

Anggota parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad menyifatkan logik Nazri itu cuba menghalalkan tindakan berdiam diri kerajaan terhadap Ibrahim.

"Ia hujah yang pelik," katanya sambil memberi amaran tindakan itu boleh membuka pintu kekacauaan dan huru-hara dalam masyarakat.

"Kita bercakap tentang terpadamnya keluhuran perlembagaan, (keadaan) tiada undang-undang sepenuhnya."
Nazri juga turut dilaporkan berkata, walaupun kenyataan sedemikian tidak disenangi, rakyat "perlu hidup" dan "jadi matang" menangani watak seperti Ibrahim.

Tunggu darah mengalir?

Katanya, memandangkan ia turut disiarkan di laman sosial seperti Twitter, ia melangkaui keupayaan kerajaan untuk mencegah atau menghukum.

Sementara itu, anggota parlimen Klang Charles Santiago pula berkata, apa pun sentimen dalam masyarakat pada masa ini, tiada yang "seburuk ucapan Ibrahim".

"Tiada sesiapa bercakap tentang perang salib. Hanya Ibrahim yang sediakan pentas untuk orang Islam menentang orang Kristian."

Katanya, sekiranya Ibrahim terus dibiarkan tanpa dihukum, kenyataannya menyebabkan pelbagai kesan lain, seperti menghalau pelaburan asing, mengancam keharmonian, sekali gus memusnahkan konsep 1Malaysia.

Pemimpin GERAKAN Pulau Pinang Baljit Singh pula mempesoalkan sama ada Nazri menunggu "darah mengalir" sebelum mengambil tindakan sepatutnya.

"Kenyataan Ibrahim, jika dibenarkan bertukar kepada aksi, boleh mencederakan orang.

"Adakah Nazri menunggu darah mengalir baru akan mengambil tindakan yang sesuai?" tanya Baljit dengan marah.

Baljit juga menyufatkan ucapan Ibrahim itu berbaur hasutan dan boleh menyebabkan perselisihan antara kumpulan agama.
Seterusnya >>>

Nazri : RCI Hanya Selepas Lelaki Dalam Video Seks Dikenalpasti




KUALA LUMPUR 8 APRIL : Kerajaan akan hanya menubuhkan sebuah Suruhajaya Diraja (RCI) bagi menyiasat video seks yang didakwa membabitkan seorang lelaki yang dikatakan mirip ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas polis mengenalpasti pelaku dalam rakaman pita berkenaan.

"Kabinet memutusakan polis dibenar menyelesaikan siasatan mereka terlebih dahulu,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kepada Malaysiakini selepas menimbulkan isu video seks itu pada mesyuarat jemaah menteri hari ini.

"Tidak cukup untuk hanya mengesahkan ia (video) itu tulen ataupun tidak. Kita mesti kenalpasti individu dalam video itu.

"Kita tidak boleh terburu-buru... ataupun kita akan dituduh (sebagai partisan)," katanya

Menurut Nazri jika siasatan tidak dijalankan secara terperinci dan tergesa-gesa, ia akan menjejaskan kerajaan.
Nazri bagaimanapun tidak mengulas desakan pelbagai pihak supaya Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian pegawai Kastam, Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui mati di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur. -Malaysiakini
Seterusnya >>>

Respons baru Nazri, Datuk T tak akan dilindungi



Trio Datuk ‘T’ yang mendedahkan rakaman video aksi seks didakwa melibatkan mirip seorang pemimpin pembangkang tidak akan dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kes.
Menteri di Jabatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata mereka tidak boleh mendapat perlindungan di bawah akta itu kerana mereka telah mendedahkan maklumat itu kepada orang awam.
Bagaimanapun, mereka boleh dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi sekiranya berlaku pertuduhan bersabit dengan video seks itu selepas siasatan dilakukan.
“Apabila seseorang itu telah memaklumkan atau menzahirkan kepada awam bahawa dialah yang telah memberikan maklumat itu, maka akta itu (Akta Pemberi Maklumat) tidak boleh dipakai lagi ke atasnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
“Sesiapa sahaja yang pergi kepada akhbar atau menzahirkan kepada akhbar tentang maklumat, maka tidak boleh dilindungi. Maka apa yang saya katakana sebagai ‘kemungkinan’ sebelum ini, tidak lagi boleh dipakai,” katanya.
Semalam, Nazri berkata trio Datuk ‘T’ yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Shuib Lazim akan dilindungi di bawah kedua-dua Akta berkenaan sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kes.
Nazri turut menegaskan tidak wujud campur tangan dari pihak kerajaan dalam siasatan yang dijalankan terhadap kes itu seperti yang didakwa oleh pembangkang.
Katanya pertimbangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman video seks itu hanya akan diputuskan selepas siasatan penuh mengenai perkara selesai dijalankan.
“Paling terbaik sekali adalah serah kepada polis untuk menyiasat dan tunggu keputusan siasatan, barulah kita tahu apa tindakan selanjutnya,” katanya.
Menjawab desakan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) yang mahu kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja, Mohamed Nazri berkata kerajaan tidak takut untuk menubuhkan suruhanjaya itu sebaliknya masih menunggu hasil siasatan polis. — Bernama
Seterusnya >>>

Nazri akui wujud pejabat First Lady untuk bantu ‘tugas’ Rosmah



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mengakui kewujudan Divisyen Wanita Pertama Malaysia (FLOM) tetapi berdolak-dalik dengan mengatakan pegawai Jabatan Perdana Menteri (JPM) hanya dipinjamkan untuk membantu ‘tugas’ Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata, mereka yang ditugaskan itu bagi kerja-kerja sementara itu adalah kakitangan yang diambil bertugas di Pejabat Perdana Menteri.
“Tiada kontrak atau kakitangan tetap ditugaskan khusus kepada isteri perdana menteri, sebaliknya pegawai dari jabatan itu dari semasa ke semasa ditugaskan bagi membantu beliau,” lapor Malaysiakini.
Nazri kemudian memberi alasan senarai enam pegawai FLOM pada direktori JPM dikeluarkan dari laman sesawangnya kerana ia sedang dikemas kini, kononnya bagi mengelakkan kekeliruan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan tambahan daripada Anthony Loke (DAP-Rasah) berhubung mengapa divisyen FLOM disenaraikan jika tiada divisyen seumpama itu ditubuhkan.
Sementara itu, HarakahDaily melaporkan, kos keseluruhan lawatan rasmi Rosmah ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh ditanggung kerajaan berjumlah RM134,317.76.
Perkara itu diakui Nazri dalam jawapan bertulisnya terhadap soalan sama Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, soalan Firdaus sama ada kos itu tersenarai dalam bajet 2011, tidak dinyatakan jawapan.
Dalam penjelasan itu, Nazri berkata rombongan yang diketuai Rosmah itu turut disertai Menteri Wanita, isteri-isteri menteri, menteri besar-menteri besar, ketua menteri serta beberapa pegawai kerajaan.
Rombongan ke bandar Riyadh, Muscat dan Dhaka itu juga mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
Isu lawatan Rosmah sebelum ini menjadi pertikaian banyak pihak ekoran didakwa melangkaui bidang kuasa menteri berkaitan yang hanya menjadi peserta rombongan.
Turut dipertikaikan, kos yang ditanggung kerajaan di saat rakyat berdepan pelbagai tekanan ekonomi
Seterusnya >>>

Mata lebam Anwar: Keputusan muktamad menteri Isnin depan



 KUALA LUMPUR, 9 Dis ─ Putrajaya akan mengumumkan keputusan final Isnin ini sama ada perlu membuka semula kertas siasatan berkaitan insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berlaku 12 tahun lalu, ekoran dakwaan wujudnya bukti terbaru.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu The Malaysian Insider semalam, beliau akan menjawab gesaan pembangkang di Parlimen minggu depan berhubung isu itu dan keputusan yang bakal diumumkan adalah “muktamad.”
Nazri berkata, penjelasan telah diperoleh daripada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung dakwaan terbaru bahawa beliau telah memalsukan keterangan dalam siasatan kes Anwar dipukul ketika ditahan di lokap Bukit Aman pada September 1998. Beliau sedang meneliti butiran berkaitan isu tersebut.
“Kami akan menyampaikan pendirikan peringkat menteri Isnin ini dan itu akan menjadi keputusan muktamad berhubung perkara itu,” kata beliau sambil berkata, tidak akan mengeluarkan sebarang maklumat lanjut.
Nazri berkata kenyataan terbaru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang bahawa kes mata lebam sudah ditutup adalah “tepat.”
“Hishammuddin tidak salah dalam mengatakan ia sudah ditutup. Kes itu sudah lama ditutup. APa yang yang berlaku baru-baru ini ialah wujudnya maklumat terbaru.
“Kami akan menjawab minggu depan, tunggu dan lihat,” kata Nazri. Kelmarin, Lim mendesak penjelasan pentadbiran Najib berhubung komitmen Kabinetnya bahawa akan membuka semula siasatan berkaitan dengan insiden mata lebam Anwar sambil mendakwa menteri-menterinya membuat kenyataan-kenyataan yang bercanggah.
Lim mempersoalkan sama ada Hishammuddin merampas tanggungjawab yang diberikan kepada rakan sejawatannya Nazri agar mengendalikan perkara berkenaan, dengan mengisytiharkan kes itu sudah pun ditutup.
“Adakah beliau menyebabkan jaminan Nazri Aziz di Parlimen bahawa Kabinet mahu menyiasat dakwaan baru sebagai sesuatu yang sudah tidak relevan lagi?” kata Lim.
Ahli politik veteran ini merujuk kepada satu surat yang diterima daripada Hishammuddin pada 2 Disember lalu di mana menteri itu menafikan wujudnya sebarang percanggahan dalam kes mata lebam 1998 melibatkan Anwar dan mengisytiharkan kes itu tidak perlu dibuka semula meskipun adanya dawkaan terbaru bukti-bukti telah dipalsukan oleh seorang bekas pegawai penyiasat.
Pada 24 November lalu, Nazri berkata, kerajaan akan menyiasat surat terbuka Datuk Mat Zain Ibrahim yang mendakwa Peguam Negara mempunyai peranan dalam insiden mata lebam Anwar yang berlaku 12 tahun lepas.
Nazri berkata, Kabinet mengarahkan beliau dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berjumpa dengan Gani bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan surat terbuka Mat Zain.
Nazri berkata beliau dan Rais perlu menemui Gani berhubung surat terbuka Mat Zain itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada Isnin lepas, Mat Zain merujuk kepada usul memotong gaji Peguam Negara RM10 yang dibawa Lim pada sidang Dewan Rakyat 9 November lepas.
Beliau juga mengesahkan ada menghantar e-mel kepada Lim pada 14 April lepas.
Hishammuddin dalam respons bertulis kepada pertanyaan Lim mengenai perkara itu ketika sesi perbahasan Bajet 2011 juga memberitahu Lim, Ahli Parlimen Ipoh Timor bahawa, Polis Diraja Malaysia telah melengkapkan pemeriksaan mereka ke atas siasatan lama dan mendapati tiada sebab untuk mengesyorkan bahawa bukti palsu telah diberikan.
Dalam suratnya kepada Lim, Hishammuddin menegaskan, meskipun Mat Zain mendakwa tetapi surat terbukanya tidak mempunyai elemen-elemen yang memerlukan sebarang siasatan susulan polis.
Seterusnya >>>

Malaysia tiada halangan Clinton jumpa Anwar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Malaysia tidak menghalang Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton untuk bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatannya ke negara ini bermula Selasa ini.
Nazri memberitahu, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi Malaysia tidak mempunyai masalah jika Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu berhasrat menemui Anwar.
Seperti pemimpin dunia yang lain, Clinton yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia minggu depan boleh menemui Anwar atas sifatnya sebagai Ketua Pembangkang.
“Permintaan itu pun bukan nak jumpa Anwar, tapi nak jumpa ketua pembangkang... ini biasa macam kita pun kalau pergi ke Amerika Syarikat pun di antara orang yang kita berjumpa selain Presiden, kita juga berjumpa dengan ‘Majority Leader’... Senat, ‘Minority Leader’... itu biasa.
“Jadi, kita tak ada apa-apa halangan untuk dia nak berjumpa dengan Anwar tapi jumpa Anwar bukan kerana peribadi tapi kerana sebagai ketua pembangkang, kerana ketua pembangkang merupakan jawatan yang diiktiraf dan dibayar gaji dalam ‘Standing Order’ kita,” kata beliau selepas menyampaikan hadiah dan sijil sempena Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Abdul Aziz di sini hari ini.
Nazri (gambar) berkata Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pemimpin yang mahu mengadakan lawatan rasmi ke negara ini termasuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang di Parlimen.
Beliau berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan negara berdaulat Malaysia tidak perlu takut dengan sesiapa.
Lagipun kata beliau, Malaysia tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan daripada pengetahuan mana-mana pemimpin dunia termasuk Clinton.
Justeru kata Nazri, sebarang kenyataan yang menghalang Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu mahu berjumpa Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, bukannya datang dari Malaysia.
Nazri diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dari California Chuck DeVore yang menasihati Clinton supaya tidak menemui Anwar dalam lawatan rasminya itu.
DeVore dalam portalnya mendakwa Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu tidak perlu menemui Anwar yang mendakwa dirinya
sering menerima tekanan daripada kerajaan.
Menurut DeVore yang mewakili Parti Republikan, Malaysia tidak seburuk Myanmar dan Anwar tidak mengalami nasib sama seperti Aung San Suu Kyi.
Ia merupakan lawatan sulung Clinton ke Malaysia sejak dilantik sebagai Setiausaha Negara di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama.
Amerika Syarikat merupakan rakan dagang dan niaga Malaysia ketiga paling utama, dengan jumlah eksport negara melebihi AS$25 bilion (RM77.5 bilion) setahun.
Seterusnya >>>

Nazri: Umno mampu atasi pengaruh PERKASA

Menteri di jabatan perdana menteri Datuk Seri Nazri Aziz percaya Umno akan dapat bertahan dalam menghadapi kemaraan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang didakwa semakin berpengaruh di kalangan anggota parti itu.

Katanya, Umno pernah menghadapi ujian yang lebih getir ketika menghadapi pengaruh gerakan Islam dalam Umno yang membentuk PAS, Semangat 46 yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah, malah daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membetuk PKR.

“(Umno) telah diserang dari kiri dan kanan tapi kami masih di sini. Anda fikir PERKASA akan dapat buat lebih baik daripada Semangat 46, PKR atau PAS?” katanya ketika bercakap dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Nazri juga bertegas bahawa PERKASA merupakan satu gerakan ekstremis, namun tiada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk menghalangnya.

Dalam kewajaran itu juga, anggota Umno bebas untuk menganggotai PERKASA, kata Nazri.

“Sebab itulah saya katakan, saya mahu PERKASA didaftarkan sebagai satu parti politik, kemudian barulah kita tahu sama ada anggota Umno benar-benar menyokong mereka.

Jelasnya, apabila PERKASA menjadi parti politik, anggota Umno akan berada dalam kedudukan terpaksa untuk membuat pilihan.

Biar saya bagi tahu, kalau mereka daftar (sebagai parti politik), itu akan menjadi petanda kemusnahan mereka,” kata Nazri yang tidak begitu yakin dengan pengaruh PERKASA.

“Berapa ramai (presidennya Datuk Ibrahim Ali) dapat kumpul di Kelantan? Saya boleh kumpul lebih ramai lagi.” katanya lagi.

PERKASA yang mendapat sokongan daripada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan persepsi berbeza terhadap kewibawaan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sekarang.

Pandangan seolah-olah Dr Mahathir masih lagi berkuasa, dengan sokongan gerakan seperti PERKASA yang giat mengutarakan pandangan yang bertentangan dengan usaha liberalisasi Najib.

Ketika ditanya, Nazri sekadar menepis pandangan tersebut – "ia satu persepsi semata-mata," katanya.

“Sebagai sebuah negara Timur, kita masih hormati bekas pemimpin yang telah berkorban untuk negara. Jadi saya rasa sokongan yang dilihat itu hanya disebabkan rasa hormat (terhadap Dr Mahathir),” katanya.

Dr Mahathir pada Mei 2008 lalu pernah mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu kerana tidak yakin dengan penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir turut mencadangkan ketua-ketua Umno cawangan dan bahagian keluar parti beramai-ramai sehinggalah memaksa Abdullah letak jawatan.
Bagaimanapun, Dr Mahathir mengubah keputusannya kira-kira setahun kemudian selepas Najib secara rasminya menjadi perdana menteri.

“Itu menunjukkan (Umno) kuat, itu saja. Beliau tidak akan kembali jika kita tidak kuat, kata Nazri.


Cetak Halaman Ini
Seterusnya >>>

Nazri Aziz jawab lagi tulisan Awang Selamat

Kepada saudara, tidak kira siapa anda sebenarnya, sudah pasti saya akan respons kepada rencana tulisan saudara. Jika kita percaya pada kebebasan bersuara, biar diketahui bahawa ia bukan sahaja diberikan kepada akhbar, tetapi juga kepada orang perseorangan.
Dalam menggunakan hak saya untuk membalas dan untuk mempertahankan diri saya, sila jangan membuat tafsiran bahawa saya cuba untuk mengelak kritikan terhadap diri saya. Saya sememangnya berhadapan dengan kritikan-kritikan sejak sekian lama pembabitan saya dalam politik dan saya masih berdiri di mana saya berada sekarang.
Saudara Utusan menulis bahawa dia menerima banyak SMS untuk menjustifikasikan yang dia menerima sokongan terhadap artikel mengenai diri saya (minggu lalu). Saya tidak mahu bercakap mengenai SMS dan emel-emel yang saya terima kerana dia tidak berupaya untuk mengesahkannya, tetapi saya pasti dia juga telah dimaklumkan bahawa komen-komen yang dinukilkan oleh orang ramai yang membaca portal, menunjukkan saya juga menerima banyak sokongan daripada rakyat, sebagaimana dia mendakwa menerima dalam jumlah yang banyak.
Mengapa tidak boleh saya menyifatkan anda sebagai rasis apabila anda kelihatan kecewa dengan pujian dan respons-respons positif yang saya terima daripada bukan Melayu dan cuba untuk meletakkannya sebagai negatif terhadap diri saya, khususnya yang datang daripada Kit Siang dan Guan Eng. Dengan berbuat demikian, anda dengan jelas meletakkan diri anda sebagai, kita orang Melayu, menentang bukan Melayu. Adakah hanya komen dan pujian orang Melayu perlu diambil kira dan yang lain-lain pula diketepikan, atas alasan yang sendiri yang tahu. Anda mempunyai perjalanan yang begitu jauh untuk menerima bahawa Malaysia adalah sebuah negara milik rakyat Malaysia yang terdiri daripada semua kaum, yang menzahirkan kesetiaan mereka kepada tanah lahir mereka ini.
Sememangnya saya adalah betul apabila bercakap mengenai pengalaman sifar anda dalam politik kerana anda menulis “apabila Melayu tidak mengundi”. Biar saya menyebut bahawa analisis anda menunjukkan bahawa “apabila bukan Melayu tidak mengundi”, kesannya adalah sama. Anda tidak faham langsung apa yang cuba saya terangkan iaitu “apabila majoriti rakyat Malaysia tidak mengundi”, maka kita semua berhadapan dengan masalah.
Salah satu perkara yang paling buruk untuk dilakukan ialah memberi alasan-alasan terhadap kegagalan anda dengan mengatakan yang lain juga gagal berbuat demikian. Ini adalah sikap mengaku kalah dan pastinya menganggap sebagai satu takdir. Mengapa tidak anda melihat di sekitar anda dan saya pasti bahawa anda boleh mengenal pasti akhbar-akhbar yang telah berjaya dan menggunakannya sebagai contoh untuk berusaha menaikkan bilangan pembaca akhbar anda. Saya suka mengikuti akhbar Utusan yang lama dan saya mahu anda bekerja keras ke arah menjadikananya akhbar yang gemilang semula.
Saya amat gembira dengan sokongan anda kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dan bagi memastikan kami boleh berjaya. Saya mahu anda menunaikan apa yang anda perkatakan dan menyokong dasar 1 Malaysia, yang merupkan ilham Perdana Umno dan Pengerusi BN. Beliau berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang, maka janganlah mencetuskan suasana yang sukar buat beliau.
Awang tidak perlu memberitahu saya mengenai kedudukan Utusan sebagai sebuah Institusi Melayu dan perjuangannya sama seperti Umno. Sebelum anda menyertai Utusan, saya telah berada dalam Pemuda Umno, bermula sebagai anggota Exco sehingga sebagai Timbalan Ketua dan sebagai Pemangku Ketua Pemuda Umno pusat untuk satu tempoh selama satu setengah tahun. Ini adalah bukti kelayakan saya. Jika saya berada sebagai seorang pemimpin Malaysia pada hari ini, banyak kredit harus dihulurkan kepada Tun Mahathir. Kerana beliau saya berada di sini seperti hari ini dan banyak terhutang kepada beliau. Saya hanya mahu “sifu” saya terus membantu saya dan kepada yang lain-lain agar menjadi pemimpin yang baik di negara bertuah ini dan tidak membezakan negara ini hanya kerana kaum, kepercayaan, agama dan gender. Untuk menjadi seorang rakyat Malaysia tidak semestinya anti-Melayu. Saya berharap yang ini akan difahami oleh semua.
Akhirnya, dalam usaha menyebarkan mesej kepada publik sebagaimana didakwa oleh Awang, adalah penting mesej-mesej anda keluar dengan jelas dan terang buat mereka. Ini kerana anda tidak boleh dipanggil setiap kali untuk membuat penjelasan. Yang perlu anda ingat sepanjang masa ialah bukannya apa yang anda fikirkan perlu, tetapi apa yang khalayak membuat tanggapan tentang anda.  Sedih untuk diperkatakan di sini bahawa bukan Melayu menganggap Utusan sebagai rasis. Dan, itu sebabnya saya membawa isu saya rakyat Malaysia terlebih dahulu dan orang Melayu kemudian, sekiranya anda tidak faham apa sebabnya.
Apa pun Awang, saya tidak tahu siapa anda sebenarnya
.
* Surat ini oleh Datuk Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz adalah untuk membalas tulisan Awang Selamat yang bertajuk “Lagi Jawapan buat Nazri Aziz” yang diterbitkan oleh Mingguan Malaysia hari ini.
Seterusnya >>>

Surat Nazri Untuk Awang Selamat Yang Tak Selamat.

BUCHAREST, Sept 20 — Saya ada membaca komen Awang Selamat terhadap saya dalam kolumnya. Saya ingin membuat beberapa penjelasan supaya pembaca tidak menganggap apa yang dia tulis itu adalah betul. Pertama, saya tidak pernah takut untuk dikritik oleh pembangkang. Saya mahu Awang datang ke Parlimen dan melihat dan mendengar dengan sendiri ucapan-ucapan yang menyakitkan hati dan serangan yang saya terima ketika saya mempertahankan kerajaan berhubung isu-isu yang berkaitan dengan Perdana Menteri. Sepanjang tempoh 33 tahun pembabitan saya dalam politik, saya tidak terlepas daripada kritikan mana-mana pihak termasuk komen terbaru daripada Awang. Saya sendiri tidak tahu tentang Awang kerana saya tidak tahu siapa dia Awang. Saya harap dia juga seorang lelaki macam saya dan membuktikan bahawa dia tidak takut untuk berhadapan dengan kritikan dan bersembunyi di sebalik nama samaran yang dia gunakan.
Saya juga bukan anti Dr Mahathir. Bagi saya, setakat ini beliau adalah Perdana Menteri terbaik yang saya pernah berkhidmat. Bagaimanapun, sebagai seorang bekas Perdana Menteri juga ada banyak kekurangannya. Awang sewajarnya keluar daripada peredaran masa dan berhadapan dengan hakikat bahawa saya kini berada dalam kerajaan sebagai seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bukan sebaliknya. Justeru, yang mengkritik kerajaan ialah Tun Mahathir dan bukan sebaliknya. Sudah tentu, sesiapa sahaja tanpa mengira siapa yang mengkritik kerajaan akan menerima serangan dalam tindakan saya mempertahankan kerajaan, sebagimana yang telah saya lakukan ketika Tun Mahathir dan Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri.
Dengan mengatakan begitu, saya mahu Awang mengetahui bahawa saya sentiasa tahu siapa ketua saya. Ia buka Kit Siang ataupun Anwar kerana mereka bukan Perdana Menteri Malaysia, Pengerusi BN ataupun Presiden Umno. Saya tidak pasti sama ada Awang tahu siapa ketuanya kerana dia memperkecilkan dasar 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri dan mempromosikan perkauman sempit Ibrahim Ali yang sememangnya bukan ahli Umno. Awang harus bertanya pada dirinya persoalan yang dia ajukan kepada saya.
Bersopan kepada pembangkang adalah tindkaan tepat untuk diambil dalam amalan demokrasi kerana seperti saya mereka juga dipilih oleh rakyat. Sudah tentu Awang terperangkap dalam peredaran waktu masa-masa lalu di mana ahli-ahli Parlimen kerajaan bukan sahaja tidak melibatkan mereka bersama, malah membenci mereka dalam kebanyakan masa. Awang tidak akan faham perkara ini kerana dia bukan seorang ahli Parlimen yang dipilih, diletakkan di Dewan menerusi suara rakyat. Awang tidak pernah terfikir bagaimana lima Ahli Parlimen PKR boleh melompat ke kumpulan anggota bebas kalau bukan kerana kesopanan yang diperlihatkan oleh saya kepada mereka selaku Meneri Hal Ehwal Parlimen. Bilangan mereka yang melompat untuk menyertai kokus bebas telah mengatasi satu-satunya wakil rakyat tunggal dari kawasan Pasir Mas, hero orang Melayu yang diagung-agungkan oleh Awang. Umno tidak pernah meminta ataupun memerlukan Ibrahim untuk membantu kami, tetapi kerjasama dengan dia hanya akan menyebabkan kami kehilangan undi. Tun Mahathir sendiri memberitahu kami bahawa beliau telah hilang 90 peratus undi di Kota Setar Selatan yang merupakan kerusi Parlimen majoritinya orang Melayu pada 1969 di tangan Yusof Rawa, di mana dilaporkan bahawa Tun mengatakan beliau tidak memerlukan undi orang Cina. Ini adalah perkara yang perlu dibelajari daripada peristiwa itu.
Sudah tentu, Awang tidak akan faham kerana dia bukan sahaja tidak pernah menawarkan dirinya sebagai calon pilihan raya, tetapi juga pembaca tidak tahu siapa dia sebenarnya. Ahli-ahli politik macam saya, yang telah bertanding empat pilihan raya dan yang telah menang, selalunya jelas dengan apa yang kami perkatakan dan tidak semberono macam Awang. Kita perlu menghimpunkan undi tanpa mengira kaum dan kami tidak duduk di zon selesa macam Awang. Dia boleh tulis dan mengatakan apa sahaja tanpa ada rasa tanggungjawab dan secara semberono dengan menyedari bahawa dia tidak akan dihukum oleh para pengundi.
Itu sebabnya mengapa Awang, jika anda bertanya apakah agenda saya, saya merasakan setiap budak sekolah akan tahu bahawa matlamatnya ialah mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang dan Datuk Seri Najib kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saya berharap Awang juga mempunyai agenda yang sama melainkan ketuanya adalah orang lain.
Akhirnya, saya mahu menasihatkan Awang agar berpegang pada apa yang dia lakukan dan tahu apa yang terbaik dan tidak mencampuri politik negara yang pengetahuannya jelas cetek dan sifar pengalaman. Dia harus memberi tumpuan untuk menaikkan edaran akhbarnya yang terus merosot. Kedudukan itu dengan sendiri menunjukkan prestasi dan standardnya yang rendah di mana Utusan terpaksa merujuk kepada laporan media alternatif elektronik baru sedangkan ia seharusnya bertindak sebaliknya. Itu yang sepatutnya menjadi KPI dan ukuran kejayan dia dalam bidang yang dia mendakwa dia mewakili. Saya punya sudah pasti iaitu memenangi kerusi Padang Rengas bagi BN dalam pilihan raya umum akan datang tanpa mengira sama ada saya menjadi calonnya ataupun tidak. Sehingga itu kita harus terus melihat.
Dan, bagi saya, saya adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu dan kemudian baru saya orang Melayu. Apakah mana-mana pentaksub ada masalah dengan soal ini?
Seterusnya >>>

Nazri cabar Perkasa jadi parti politik, cabar Umno-BN

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Di sebalik perang kenyataan mengenai dasar perjuangan Perkasa, Datuk Seri Nazri Aziz mencabar pertubuhan bukan kerajaan hak orang Melayu itu agar mendaftar sebagai parti politik, sekali gus berhadapan dengan Umno jika merasakan komponen BN tersebut telah gagal dalam menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera.
Jika tidak, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini, pertubuhan tersebut harus berhenti daripada mendakwa yang ia mempunyai asas sokongan yang besar.
“Saya ingin mengesyorkan agar Perkasa mendaftar sebagai sebuah parti politik... hanya dengan itu kita boleh melihat sama ada mereka benar-benar berpengaruh sebagaimana mereka dakwa,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Kepimpinan Perkasa telah berulang kali menegaskan pertubuhan itu tidak akan dijadikan parti politik dan tidak akan menyertai politik.
Presidennya Datuk Ibrahim Ali turut menegaskan perkara itu baru-baru ini.
Seterusnya >>>

Nazri Pula Bidas Utusan

KUALA LUMPUR 15 SEPT - Seorang lagi pemimpin tertinggi UMNO mempersoal tindakan akhbar milikan parti itu, Utusan Malaysia yang cuba merendahkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan mempertahankan NGO Perkasa.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini dengan jelas mempersoal agenda sebenar editorial Utusan Malaysia dalam temu ramah yang dengan The Malaysian Insider.

"Saya tidak faham Utusan. Siapa bos mereka? Najib atau Dr Mahathir? Kadangkala saya tertanya adakah mereka ada agenda untuk membawa kkembali Dr Mahathir untuk menggantikan Najib," beliau dilaporkan berkata.

Nazri turut meminta agar Utusan memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti itu  dengan menyokong agenda 1 Malaysia Najib seperti akhbar politik yamg lain.

"Jika kita lihat Harakah, mereka promosikan program PAS, Suara Keadilan promosikan PKR, The Star promosikan MCA, tetapi akhbar Umno sendiri, Utusan tidak menyokong bos mereka," katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin membidas Utusan Malaysia menerusi twitternya.
Seterusnya >>>

Tengku Muhamad Faris Sebagai Sultan Kelantan Sah - Nazri

13 Sept - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata kerajaan persekutuan menganggap pelantikan Tengku Mohamad Faris sebagai sultan Kelantan, sebagai sah.
"Ia termasuk di bawah bidang kuasa Majlis Perajaan Negeri. Dan kerajaan persekutuan menerima apa saja keputusan majlis itu," kata beliau yang juga Menteri undang-Undang.
Nazri merujuk kepada kes di Negeri Sembilan dua tahun lalu apabila kerajaan tidak masuk campur dalam urusan Majlis Perajaan Negeri yang dianggotai oleh empat Undang walaupun memilih selain daripada waris lelaki terdekat Sultan sebagai pewaris takhta.
Nazri turut menyatakan mahkamah juga tiada kuasa untuk mencampuri urusan majlis berkenaan.
Minggu lalu, para peguam yang dilaporkan mewakili Sultan Tuanku Ismail Petra yang gering menyerahkan dua permohonan ke Mahkamah Persekutuan untuk menghalang sebarang percubaan untuk melucutkan takhta beliau.
Seterusnya >>>