Showing posts with label Mohd Nazree Yunus. Show all posts

Umno menjahanamkan agenda Melayu - Naib Exco AMK

SEREMBAN: Seorang anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR mendakwa Umno-Barisan Nasional (BN) telah menggagal dan menjahanamkan agenda Melayu dengan rasuah dan ketirisan kewangan menjangkau RM28 bilion setahun.
Sambil mengajak Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berdebat tentang isu ini, naib exco AMK PKR Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, Pemuda Umno sudah tidak ada isu. Masalah rakyat tidak menjadi fokus. Yang menjadi fokus ialah sibuk menjahanamkan orang lain.
“Ini berbeza dengan semangat yang ditonjolkan ketika Kongres Nasional PKR di Pulai, Johor tempoh hari. Hak dan keadilan untuk rakyat dibahas dengan baik oleh para perwakilan, pemimpin dan anggota PKR.
“Banding sahaja tiga tahun pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan dengan 54 tahun pemerintahan Umno-BN. Ternyata momentum dan dasar keprihatinan rakyat oleh Pakatan begitu cepat melonjak dan konsisten,” kata Mohd Nazree kepada FMT hari ini.
Mohd Nazree yang juga merupakan Ketua AMK Negeri Sembilan berkata Formula “6 Jahanam” Pemuda Umno nampaknya tidak menjawab cabaran AMK apakah Umno-BN berani meminda Perlembagaan agar Perdana Menteri itu dipilih daripada orang Melayu sahaja.
“Ini sekadar cabaran AMK kepada Umno kerana Umno sering mencanang bahawa mereka adalah jaguh Melayu. Hari ini andai kata Melayu mencabar mereka agar putuskan secara undang-undang bahawa Perdana Menteri perlu Melayu, apakah jawapan mereka?
“Sah….. cabaran politik ini tidak mampu dijawab oleh Pemuda Umno. PKR adalah parti berbilang kaum. Kita mendukung semangat integrasi dengan baik dan tidak cauvanis seperti Umno dan rakan sekutu,” ujar beliau.
Lalu Mohd Nazree melontar lapan persoalan untuk dijawab dan didebat oleh Khairy nanti:
  • Siapakah yang menjahanamkan negara dengan rasuah selama 54 tahun?
  • Siapakah yang membenarkan Singapura keluar dari Malaysia?
  • Siapakah yang menyerahkan tanah di Genting Highlands selama 999 tahun kepada Lim Goh Tong dan menukar hutan menjadi lubuk judi?
  • Siapakah yang bertanggungjawab terhadap kehilangan RM50 bilion saham Bumiputera sejak Merdeka?
  • Siapakah yang menyusutkan keluasan Tanah Rezab Melayu hampir 50% sejak Merdeka?
  • Siapakah yang menyerahkan Pulau Batu Putih dan Tanjung Pagar kepada Singapura?
  • Siapakah yang mengagalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan ketirisan berbilion ringgit?
  • Siapakah yang melepaskan telaga minyak yang bernilai puluhan bilion ringgit kepada Brunei?
Seterusnya >>>

Serah Kuasa Pendakwaan Kepada SPRM Bukti Kerajaan Serius Lawan Rasuah

SHAH ALAM 6 Ogos - Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda (Inska), Mohd Nazree Yunus mendesak Seksyen 145(3) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa pendakwaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuktikan agensi itu serius untuk membanteras gejala rasuah.
Nazree berkata pada masa kini Perlembagaan memperuntukkan hanya Peguam Negara sahaja yang boleh mengemukakan sebarang prosiding jenayah dan membuat keputusan pendakwaan dalam mahkamah.
Beliau berkata Seksyen 58 Akta SPRM 2009 jelas menunjukkan kuasa pendakwaan terletak di bawah tanggungjawab Peguam Negara dan bukannya SPRM.
"Apa yang menjadi persoalan apakah wujud kebebasan pendakwaan pada SPRM? Saya cukup optimis untuk melihat ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang sama-sama bersetuju untuk meminda Perlembagaan berkaitan kuasa pendakwaan oleh Peguam Negara.
"Bagi sidang Parlimen yang akan datang, usul perlu dikemukakan untuk meminda Perlembagaan dalam memberi kuasa kepada SPRM bagi mendakwa pesalah jenayah rasuah," tambah Nazree.
Ini kerana jelas Nazree langkah SPRM untuk mendesak agar menteri Kabinet mengisytiharkan harta tidak akan membawa perubahan yang besar dalam agenda memerangi rasuah jika kuasa pendakwaan hanya terbatas kepada Peguam Negara.
Peranan SPRM akan menjadi kecil dan terpaksa menunggu kebenaran pihak Peguam Negara sebelum pendakwaan sebarang kes rasuah.
Sehubungan itu Inska mahu SPRM menetapkan  pengisytiharan harta dan aset oleh Menteri Kabinet meliputi juga ahli keluarga mereka disamping ahli politik yang memegang jawatan tinggi sama ada pada peringkat kerajaan pusat mahupun negeri.
Nazree yang juga mantan Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi Malaysia (Gerak) berkata SPRM perlu menyiasat Menteri dan pegawai tinggi kerajaan sekiranya terdapat keraguan berhubung pemerolehan harta mereka.
Tindakan ini bagi membuktikan kepada rakyat bahawa Abu Kassim mengotakan apa yang dikatakannya sebagai bukti kesungguhan badan tersebut melawan gejala  rasuah dan bukan sekadar cakap kosong sahaja.
"Mekanisme pengisytiharan harta juga perlu meliputi ahli keluarga menteri Kabinet supaya langkah pengisytiharan harta dilihat lebih menyeluruh. SPRM perlu mendakwa mana-mana menteri yang terlibat rasuah walaupun yang masih memegang jawatan.
Tumpuan juga harus diberikan terhadap siasatan kes berprofil tinggi dan seterusnya mendakwa mereka yang terlibat ke mahkamah," tegas Nazree dalam satu kenyataan Rabu lalu.
Langkah ini wajar dikaji oleh SPRM kerana tanpa pendakwaan kes berprofil tinggi secara serius, persepsi rakyat terhadap kredibiliti SPRM sukar dipulihkan.
Seterusnya >>>