SHAH ALAM : Keluarga aktivis mahasiswa ‘Occupy Dataran
Merdeka’, Umar Mohd Azmi yang dipenjara sebulan dan denda RM1,000
disarankan untuk menyaman pihak pendakwaraya yang menyebabkan proses
rayuan tidak dapat dijalankan.
Ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau
dimaklumkan oleh pihak media kes itu tidak sempat dibuat rayuan kerana
ketiadaan pendakwaraya.
“Ini perkara yang memalukan kerana seseorang itu boleh dibebaskan
atau ditangguhkan sementara hukuman itu sementara menunggu rayuan.
“Jadi jika pihak pendakwaraya tidak ada, itu menunjukkan mereka tidak
serius untuk memastikan keadilan itu ditegakkan,” kata Shamsul ketika
dihubungi TVSelangor.
Umar dibawa ke Penjara Kajang petang semalam bagi menjalani hukuman
tersebut, selepas gagal mendapat pendengaran penangguhan pelaksanaan
hukuman terhadapnya.
Ujar Shamsul lagi, adalah tidak adil apabila seseorang itu dihukum
penjara atau ditahan dalam keadaan di mana beliau mempunyai peluang
untuk hukumannya ditanguhkan sementara menunggu rayuan.
“Sewajarnya Umar ini tidak perlu ditahan dan dipenjara sementara menunggu rayuan.
“Tindakan menghukum pelajar itu adalah zalim dan memberikan kesan buruk kepada proses demokrasi negara,” katanya.
Sementara itu, laporan laman web menunjukkan sekumpulan aktivis
mahasiswa telah berkhemah di hadapan Penjara Kajang sehingga Isnin ini
sebagai tanda protes terhadap keputusan mahkamah.
Jurucakap Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syaza Muaz Sharudin,
22, berkata, kumpulan mereka telah mula berada di hadapan penjara itu
sejak malam tadi dan tidak akan berganjak sehinngga keputusan rayuan
didengar, Isnin ini.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman terhadap Umar
kerana didakwa menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
menjalankan tugas semasa serbuan terhadap gerakan mahasiswa pada April
lalu.
Umar didakwa pada 23 April mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan
kerana menghalang Mohd Masran Mamat daripada “menangkap dan mengiringi”
aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.
Insiden itu didakwa berlaku semasa serbuan mengejut DBKL ke atas
perkhemahan protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi 22
April lalu.
Aktivis siswa berkhemah di dataran tersebut sebagai bantahan mereka
terhadap Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa
mereka tidak adil.
Seterusnya >>>
SHAH ALAM : Kes aktivis mahasiswa yang dipenjarakan semalam
adalah bukti bahawa polis dan pihak berkuasa mengamalkan sikap berbeza
terhadap parti politik Pakatan Rakyat dan Umno-BN.
Ini dapat dilihat apabila aktivis pro-Umno-BN yang melakukan
keganasan terhadap pemimpin dan penyokong PR dibiarkan tetapi aktivis
pro-PR dihukum dan dipenjarakan.
“Apakah ini merupakan tindakan sengaja pihak polis ataupun keputusan Jabatan Peguam Negara yang tidak mengadakan pertuduhan.
“Ini adalah persoalan yang tidak terjawab sehingga sekarang mengapa
perkara ini dilengah-lengahkan,” kata Ketua AMK Malaysia, Shamsul
Iskandar Mohd Akin.
Beliau berkata sehingga kini, polis masih tidak menjalankan tindakan
susulan terhadap kes insiden membaling cat ke arah Bas Jelajah Merdeka
di Melaka dan Kota Baru.
Malahan masih tiada tangkapan atau dakwaan dalam insiden pergaduhan
di ceramah PR di Batu 8, Gombak pada 4 Dis sehingga mencederakan seorang
aktivis PR.
Akan tetapi, mahasiswa Umar Mohd Azmi, yang merupakan aktivis ‘Occupy
Dataran’, telah dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM 1,000.
Di laporkan bahawa mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan
hukuman terhadap Umar kerana menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) menjalankan tugas semasa serbuan terhadap gerakan
mahasiswa pada April lalu.
Umar didakwa di mahkamah itu pada 23 April mengikut Seksyen 186 Kanun
Keseksaan kerana menghalang Mohd Masran Mamat daripada “menangkap dan
mengiringi” aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.
Insiden itu didakwa berlaku semasa serbuan mengejut DBKL ke atas
perkhemahan protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi 22
April lalu.
Timbalan Presiden Anwar Ibrahim Club Malaysia, Al-Azadi Aljohari
berkata, keputusan memenjarakan Umar adalah tragedi hitam dalam
perjuangan anak muda dan mahasiswa di negara ini.
“Keringat dan perjuangan Umar Mohd Azmi untuk melihat suatu sistem
pendidikan percuma yang dapat dinikmati anak petani, nelayan, pesawah,
golongan menengah dibayar dengan hukuman penjara,” kata Azadi dalam
kenyataan media.
Katanya, pada April 2012, aktivis Mahasiswa telah mengadakan ‘Occupy
Dataran’ untuk memaksa pemerintah memberi pendidikan universiti percuma.
Ujarnya, anak muda dan mahasiswa merupakan ‘human capital’ negara
yang perlu ditatang dengan sistem yang dapat membantu pertumbuhan minda
itu sendiri.
Seterusnya >>>
SHAH ALAM 11 Ogos - Angkatan Muda KEADILAN (AMK) akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi mendesak pihak berkenaan menjalankan siasatan terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan, saksi utama kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif.
Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan ini dilakukan berikutan tiada siasatan yang dijalankan walaupun sudah lebih seminggu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan di Pondok Polis Mahkamah Jalan Duta.
Beliau menambah, usaha tersebut merupakan tekanan berterusan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan membuat siasatan berhubung laporan yang oleh Ketua Umum KEADILAN itu.
Shamsul mendedahkan perkara seperti ini merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah negara Komanwel dan menuntut pihak polis menyegerakan siasatan terhadap Farah dan Saiful di bawah Seksyen 8(1) dan Seksyen 8(2) Akta Rahsia Rasmi 1972.
Beliau berpendapat, kedua individu itu mempunyai akses kepada maklumat sulit yang menjadi rahsia dan tidak boleh didedahkan kepada umum, berikutan 'hubungan sulit' yang dijalinkan oleh mereka berdua.
Isnin lalu anggota AMK Perlis, Tengku Putra Aelmi Tengku Amiruddin membuat laporan polis terhadap Farah dan Saiful di Balai Polis Kangar meminta siasatan dibuat terhadap mereka di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
"Sekiranya pihak polis masih tidak melakukan sebarang tindakan terhadap laporan tersebut, kami bercadang untuk membawa kesemua laporan yang dibuat di seluruh negara ini ke pejabat Peguam Negara," kata beliau lagi.
Perbicaraan Fitnah II yang bersambung Isnin lalu menyaksikan keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan pihak pembelaan untuk membenarkan mahkamah menampilkan Farah dan Saiful sebagai saksi berhubung dakwaan terhadap mereka.
Hakim kemudiannya menetapkan 16 Ogos depan bagi memutuskan sama ada untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Anwar.
Shamsul juga menyelar tindakan media milik Umno-Barisan Nasional yang menyiarkan laporan bahawa Ketua Umum KEADILAN cuba melengah-lengahkan perjalanan kes tersebut.
"Itu hanyalah propaganda Umno-Barisan Nasional. Dalam perbicaraan ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menggunakan haknya bagi mendapatkan perbicaraan yang adil. Jika tidak, adalah lebih baik sekiranya mahkamah mengugurkan tuduhan tersebut," kata Shamsul lagi.
Seterusnya >>>