Showing posts with label Karpal. Show all posts

P'raya umum Januari ini demi 'survival Najib' - Karpal


Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai pilihan tetapi untuk membubarkan Dewan Rakyat seawal Januari tahun depan, bukan untuk kepentingan rakyat tetapi demi survival politiknya.

Katanya, bukan menjadi rahsia lagi bahawa cubaan menikam Najib seperti penerbitan sebuah buku yang membidas pentadbirannya dilakukan oleh ahli-ahli dalaman Umno sendiri.

Turut memburukkan lagi keadaan, kata Karpal beberapa pemimpin kanan BN menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah kerana mendakwa tiada ruang bersuara dalam Umno.

"Tidak syak lagi, bahawa pilihan raya umum semakin dekat... saya jangkakan sekitar Januari.

"Ini kerana tekanan yang dikenakan ke atas PM semakin mendesak, sebagai contoh dari kumpulan Amanah dan juga dari dalam partinya sendiri. Mereka kata, dia tidak layak untuk jadi PM.

"(Justeru), dia (Najib) tidak mempunyai pilihan tetapi membubarkan Dewan Rakyat supaya pilihan raya umum dapat diadakan. Ini bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk survival diri sendiri," kata Karpal pada satu sidang akhbar semalam.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Najib akan membubarkan parlimen pada suku pertama tahun depan walaupun jangka hayat pentadbirannya tidak akan berakhir sehingga 2013.

Awal bulan ini, sebuah buku berjudul ‘Kesilapan-kesilapan Najib’ yang memaparkan apa yang didakwa sebagai kegagalan Najib selaku presiden Umno dan sebagai Perdana Menteri kini berada di pasaran.

Buku yang ditulis bekas pemimpin Umno, Wangsa Maju, Shahbudin Husin menuntut supaya Najib mengorbankan dirinya dan meletakkan jawatan sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.
Seterusnya >>>

Karpal pertahan hubungan DAP-PAS, mahu pendirian dihargai

KUALA LUMPUR, 5 Julai — Pengerusi DAP Karpal Singh masih mempertahankan hubungan dengan PAS meskipun kedua-dua komponen Pakatan Rakyat  itu mempunyai pendirian berbeza sambil memberitahu pendirian itu perlu “dihargai, diterima dan dihormati kedua-dua parti.”

“Parti-parti Pakatan Rakyat mempunyai pendirian sama dalam isu penting seperti hak kemanusiaan, Akta Keselamatan Dalam Negeri melainkan PAS-DAP, negara Islam adalah isu yang perlu diselesaikan,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyifatkan isu yang berlaku sekarang sebagai masalah keluarga dan tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap PR.
Peguam veteran itu meminta PAS menerima hakikat bahawa Malaysia ketika ini adalah negara sekular, bukannya sebuah negara Islam.
Menurut Karpal, perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa negara ini adalah sekular dan PAS seharusnya menerima kandungan tersebut.

“PAS harus terima apa yang saya nyatakan. Sudah kerap kali dan disokong apa yang saya katakan tadi.
Ini bukan isu kompromi tetapi soalnya sekarang adalah... isu ini perlu diterima,” kata beliau dipetik Sinar Harian ketika ditemui wartawan di Kuala Terengganu.

Karpal sebelum ini dicabar Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya membuktikan konsep negara Islam acuan PAS yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun adalah salah.

Karpal bagaimanapun turut memberikan contoh berhubung satu kes pada 1988 bahawa hukuman gantung telah diputuskan lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas.

“Jika ia mengguna pakai undang-undang negara sekular, bermakna ini negara sekular, bukan Islam,” katanya lagi.
Semalam, seorang pakar undang-undang dan penganalisis politik, Prof Aziz Bari berkata debat mengenai negara Islam dan negara sekular tidak perlu dibangkitkan kerana polemik itu tidak akan menguntungkan sesiapapun, sebaliknya hanya mengelirukan umat Islam dan menakutkan bukan Islam. Oleh itu menurut Aziz, semua orang harus berhenti dari bercakap tentang negara Islam kerana berpendapat orang Islam tidak akan jatuh kafir hanya kerana tidak bercakap tentang negara Islam.

“Tetapi bagi orang politik mereka lain, bagi mereka ini soal prinsip. Orang politik dari parti mana puan asyik prinsip saja. Atau pun mereka bertindak demikian kerana takut nanti orang tanya kenapa tidak persoal tentang perkara itu (negara Islam). Ini sebenarnya masalah antara Karpal dan Nik Aziz tadi,” kata dalam satu temu bual.

Nik Aziz berkata PAS akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam PR termasuk DAP. Menteri Besar Kelantan itu menganggap kenyataan Karpal yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam PAS jika PR dapat menguasai pentadbiran negara, sebagai kenyataan peribadi.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider minggu lalu Karpal mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

“Mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal ini. Kami tidak boleh kompromi agar negara berubah menjadi negara Islam (jika PR mengambil alih kerajaan pada masa depan),” kata Karpal.

- TMI
Seterusnya >>>

Karpal Menang Kes Hasutan Sultan Perak

Ahli parlimen veteran DAP, Karpal Singh hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan menghasut selepas pihak pendakwa gagal membuktikan prima facie. Karpal menghadapi tuduhan menghasut berhubung kandungan sidang akhbarnya pada 6 Februari 2009, di mana beliau berkata tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Sultan Perak atas peranannya dalam krisis perlembagaan negeri tersebut pada 2009.

Hakim Azman Abdullah berkata pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie untuk memanggil tertuduh bagi membela diri. Katanya pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kenyataan Karpal Singh telah menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap Sultan Perak.

Azman berkata apa yang pihak pendakwaan perlu buktikan dalam kes itu ialah kenyataan tersebut mempunyai "kecenderungan menghasut" dalam mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan seperti dalam peruntukan Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata pendakwaan hanya membuktikan kejadian selepas solat Jumaat di Masjid Ubuddiah adalah satu tunjuk perasaan sedangkan orang ramai hanya mengetahui tentang kenyataan Karpal melalui berita yang disiarkan pada jam 6 petang dan 9 malam pada hari tersebut.

Lagipun, katanya, saksi-saksi pendakwaan terutamanya Pengarah Jabatan Penguatkuasa Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Mazlan Othman hanya memberikan keterangan secara lisan dan tidak ada satu dokumen pun dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk menyokong kenyataan Karpal Singh menyebabkan timbulnya komen-komen di laman blog tentang tindakan Sultan.

Azman juga berkata tidak ada satu dokumen dikemukakan untuk menyokong keterangan Mazlan bagi mengaitkan kenyataan Karpal Singh dengan apa yang terkandung dalam laman web Kerajaan Negeri Perak.

Hakim juga berpendapat keterangan pegawai penyiasat, ASP Suhaimi Mohamad, sendiri bahawa sebanyak 103 laporan polis dibuat ekoran kenyataan Karpal adalah lebih kepada untuk menunjukkan kemarahan dan kebencian pengadu terhadap tertuduh dan bukan terhadap Sultan Perak.

Pada 17 Mac tahun lepas, Karpal Singh, yang juga Pengerusi DAP, minta dibicarakan terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan pada sidang akhbar mengenai Sultan Perak di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, Jalan Pudu Lama, di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari 6 Februari.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Azman dalam penghakimannya juga berkata hujah pihak pendakwaan bahawa Karpal Singh tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian yang meliputi isu undang-undang yang sukar difahami oleh pemberita-pemberita yang membuat liputan tidak boleh diterima sebagai asas untuk mempersalahkan tertuduh.

"Hujahan pendakwaan ini seolah-oleh memberi gambaran bahawa jika difahami sebenarnya maksud kenyataan akhbar tertuduh, ianya tidak akan terjumlah kepada suatu yang menghasut atau buruk yang hendak disampaikan," kata hakim.

Azman juga menjelaskan bahawa tertuduh telah memberikan pendapatnya dengan merujuk kepada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Perak dan nas undang-undang yang mana kesemua itu telah dibekalkan kepada pemberita yang hadir.

Malah, kata hakim, video kenyataan akhbar dan transkrip yang dikemukakan tidak terdapat kenyataan menghasut oleh Karpal tetapi hakim itu berkata Karpal hanya menyebut: "Saya ingin menjelaskan, bahawa ini bukan soal peribadi. Ini adalah soal perlembagaan dan saya rasa ia harus dihormati oleh semua pihak termasuk Raja."

Sebaik sahaja Azman membacakan penghakimannya, ahli keluarga Karpal serta pemimpin DAP menepuk tangan dan mengucapkan tahniah kepada Karpal yang hanya senyum di kerusi rodanya.

Karpal Singh memberitahu pemberita beliau gembira dengan keputusan itu.Timbalan Pendakwa Raya Noreen Badaruddin berkata beliau akan merujuk keputusan mahkamah hari ini kepada Pejabat Peguam Negara, sama ada untuk merayu atau tidak.

- Bernama.


Kembara Jr.......... Itulah, lain kali jangan hanya tau buat lapuran polis aje, fikir dulu masak-masak sebelum buat lapuran. Hah!! kan sekarang siapa yang malu? diri juga yang suka mengadu domba orang yang malu. Tak tau pulak sape yang malu,....sape-sape yang makan lada dialah yang rasa pedasnya.

Lawannn.....Tetappp.....Lawannn
Seterusnya >>>