Showing posts with label Husam Musa. Show all posts

Idris Jusoh angkuh minta PAS jangan bertanding

husam release 240613 01Ketua jentera PAS untuk pilihan raya kecil Kuala Besut Datuk Husam Musa berkata Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II Datuk Seri Idris Jusoh bersikap angkuh kerana meminta agar parti itu tidak bertanding dalam pilihan raya tersebut.
“Itu kenyataan yang sangat angkuh,” kata Husam (kiri) dalam satu sidang media hari ini.

Husam berkata PAS tetap berpeluang untuk menang walaupun Idris mendakwa majoriti BN akan meningkat dalam pilihan raya ini.

Idris yang juga ketua Umno Besut meminta PAS tidak meletakkan calonnya di Kuala Besut bagi menghormati kemenangan BN dalam pilihan raya umum lalu dan bulan Ramadan.

Ahli Parlimen Besut itu juga berkata, PAS tidak mempunyai harapan untuk menang memandangkan BN mendapat undi majoriti sebanyak 2,434 dalam pilihan raya umum lalu.

Idris juga yakin, jika berlaku pertembungan, BN akan mendapat pertambahan majoriti sehingga 4,000 undi memandangkan taraf ahli parlimennya sebagai menteri pendidikan kedua.
Seterusnya >>>

Ribuan sertai majlis Free Husam, Exco dakwa Umno terlibat


KOTA BHARU: Dengan didengari oleh ribuan orang yang memenuhi sebuah dewan di sebuah sekolah, Umno didakwa terlibat dalam insiden penangkapan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Ketua Penerangan PAS Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohd Fadhli Hassan mendakwa insiden penahanan Husam merupakan antara permulaan perancangan Umno-Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum keempat belas (PRU-14).

Bagi beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu tidak sepatutnya ditahan.

“Dengan tuduhan yang dibuat ke atas Datuk Husam itu, dia tak sepatutnya ditahan.  Cukuplah dia dipanggil untuk memberi kerjasama kepada pihak polis," katanya.

Ketua Penerangan PAS Kelantan itu bercakap pada majlis ceramah perdana sempena pembebasan Husam di Dewan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqaddum Ma’rif, Pasir Tumboh malam tadi.

Turut hadir Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) Abdul Latiff Abdul Rahman yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri.

Hadir sama Adun Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus, Adun Kelaboran Mohamed Zaki Ibrahim, Adun Tawang yang juga Pemangku Dewan Ulama PAS Kelantan Hassan Mahmood, Adun Gual Periuk Mohamad Awang.

Ketua Lajnah Guaman PAS Kelantan Hisyam Fauzi, mantan Setiausaha Politik MB Kelantan Annual Bakri Haron dan Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) Nazeri Deraman turut hadir.

Husam yang ditahan dua hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu sejak 23 Jun dan dibebaskan kira-kira 5.00 petang 24 Jun semalam dibebaskan dengan jaminan RM3,000 serta jaminan polis, dalam tempoh sebulan.

“Sekarang ini setiap pergerakan yang dibuat (badan-badan kerajaan), mesti ada perancangan Umno-BN, tambahan pula dia (Umno-BN) sedar bahawa (prestasinya) pada PRU-14 nanti dia amat teruk.

"Jadi mereka akan buat perancangan daripada awal lagi supaya tidak berlaku sebagaimana pilihan raya baru-baru ini,  dia rasa nak mati sangat-sangat.  Jadi ini adalah perancangan dia, ini baru permulaan.

“Jadi ini sangat-sangat merisaukan kita," kata Fadhli.
Seterusnya >>>

Husam dibebaskan dengan jaminan


Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa hari ini dibebaskan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada kira-kira jam 5 petang ini dengan jaminan RM3,000.

Menurut peguamnya, Hisham Fauzi, Husam dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan.

"(Dibebas dengan) jaminan polis untuk sebulan dan dengan surat penjamin dan RM3,000. Kalau nak dakwa pun mungkin dalam tempoh itu. Tapi tak tahu lagi (didakwa atau tidak).

"Sama ada siasatan disambung atau tak kita tak ada masalah dan kita boleh bawa Datuk Husam untuk beri keterangan lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Majistret Kota Bharu semalam membenarkan polis menahan Husam selama dua hari untuk melengkapkan siasatan.
Beliau dibawa ke Kota Bharu sebaik ditahan pada petang Sabtu lalu di Kampung Pandan, Ampang mengikut Akta Hasutan 1948.
Siasatan tersebut dijalankan ke atas kenyataannya yang dilaporkan mengajak orang ramai menyertai perhimpunan 'Black 505' di ibu negara.

Akhbar Harakahdaily antaranya melaporkan Husam sebagai berkata: "Andaikata kita terkorban, atau satu daripada kita terkorban, insya Allah ia adalah syahid fi sabillah."
Seterusnya >>>

Husam direman 2 hari, polis halang MB lawat


KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa direman selama dua hari selepas ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan di Kuala Lumpur petang semalam.

Majistret Nik Ambri Mohamad membuat keputusan itu pada permohonan reman dikemukakan polis di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hari ini.

Peguam Hisham Fauzi yang mewakili Husam berkata, pada awalnya pihak polis memohon tahanan reman sehingga empat hari.

“Namun kami pasukan peguam membantah dengan alasan Husam ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, di mana akta itu mensyarat sama ada perkataan yang diucap termasuk dalam kategori menghasut atau tidak.

“Lagi pun polis sudah mendapat rakaman ucapan dan boleh buat keputusan sama ada menghasut atau tidak. Kalau menghasut polis boleh buat pertuduhan di mahkamah dan jika tidak hendaklah bebaskan segera,” katanya kepada pemberita di luar IPD.

Hisham bersama empat lagi peguam mengendalikan kes tersebut bagi pihak Husam yang juga Adun Salor.

Menurutnya tidak timbul keperluan polis menahan lebih lama Husam dan tidak memerlukan kehadirannya lebih lama di lokap IPD.

Malah keterangan saksi-saksi lain yang diperlukan boleh dilakukan tanpa perlu Husam berada di lokap.

“Tidak perlu menahan lebih lama. Mahkamah arah bebas esok sebelum jam 12 malam,” ujarnya.

Menurutnya juga permohonan reman dibuat polis kepada mahkamah negeri Kelantan bagi mengadakan mahkamah tertutup di IPD.

Sedangkan kata Hisham, Naib Presiden PAS itu bersedia untuk hadir ke mahkamah bagi permohonan reman tersebut.

“Sepatutnya didengarkan di mahkamah majistret. Kalau polis hendak sambung reman mereka kena buat permohonan lagi kepada mahkamah.
“Jadi siasatan perlu diselesaikan hari ini dan esok. Malam ini Husam akan bermalam di lokap,” katanya.Hisham yang juga Pengerusi Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan turut melahirkan rasa kesal terhadap polis Kelantan kerana tidak membenarkan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob datang melawat Husam yang tiba sekitar jam 12.10 tengah hari.

Menurutnya, polis perlu sedar Husam merupakan Naib Presiden PAS dan seorang Yang Berhormat mewakili rakyat Kelantan dan bukannya rakyat biasa.

“Sepatutnya polis benarkan MB datang menziarahi Husam di lokap IPD. Kami peguam meluah rasa kesal kerna polis enggan membenarkan MB atau mana-mana Exco menziarahi Husam di lokap, tanpa sebarang alasan.

“Kami amat kesali. Sepatutnya tidak dilakukan polis. Ini menggambarkan mereka tidak menghormati kerajaan dan rakyat negeri Kelantan.

“Saya berharap polis segera mengubah keputusan itu dan membenarkan MB hadir menziarahi Husam. Negeri ini ada ketua dan sepatutnya MB dibenarkan menziarahi mana-mana Adun yang ditahan,” ujarnya.

Kata beliau polis bersikap tidak profesional dan memberi imej yang buruk dalam sebuah negara demokrasi.
Seterusnya >>>

Husam dibawa ke IPD Pengkalan Chepa


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Husam Musa yang ditahan di Balai Polis Ampang petang tadi, kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pengkalan Chepa, Kelantan.

Menurut maklumat yang diterima Harakahdaily, Adun Salor itu dibawa dengan kereta proton Waja polis kira-kira jam 6 petang tadi.

Beliau dijangka tiba di IPD Pengkalan Chepa lewat malam ini.

Difahamkan waran tangkap terhadap Husam dikeluarkan polis Kelantan pada 20 Jun lalu.

Terdahulu, kira-kira jam 4 petang tadi Husam melalui khidmat pesanan ringkas SMS memaklumkan bahawa beliau ditahan di Desa Pandan ketika sedang dalam perjalanan menuju ke Himpunan Aman Black 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Beliau memaklumkan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Ia dipercayai ada kaitan dengan kenyataannya mengenai ‘syahid fi sabilillah’ berhubung penyertaan pada himpunan aman Black 505 di Padang Merbok hari ini.

Dalam perkembangan lain, penyokong Pakatan Rakyat akan berkumpul di IPD Pengkalan Chepa bermula jam 11:00 malam ini.
Seterusnya >>>

Husam Musa ditahan polis

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa ditahan oleh polis hari ini di Pandan.
Menurut Husam, beliau percaya penahanannya bertujuan untuk menghalang beliau menghadiri perhimpunan bagi membantah dakwaan penipuan dalam Pilihan Raya 2013.
“Saya ditahan di Pandan tadi lebih kurang jam 4.00 petang. Sekarang ini saya berada di IPD Ampang,” kata Husam apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider merujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang.
“Saya dibertahu oleh polis, mereka menahan saya kerana pihak polis Kelantan mahu saya ditahan. Tapi saya berada di Kelantan sejak tiga hari lalu takde pula yang menahan saya,” tambahnya.
Baru-baru ini, Husam mengeluarkan kenyataan menggesa penyokong dan ahli PAS untuk menyokong perhimpunan Black 505.
"Andai kata kita terkorban, atau satu daripada kita terkorban, insya Allah ia adalah syahid fi sabillah," kata Husam disiarkan pada 18 Mei oleh Harakahdaily.
Seterusnya >>>

Kenapa Najib tidak 'ditendang'


KOTA BHARU: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mempertikaikan kenapa Datuk Seri Najib Razak tidak ‘ditendang’ dari Perdana Menteri  berikutan pencapaiannya dalam Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU-13) lebih lemah berbanding Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi dahulu?

Husam yang juga Adun Salor mendakwa dahulu pemimpin Umno ‘tendang’  Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi  daripada menjadi Perdana Menteri kerana pencapaian BN yang lemah pada PRU-12.

“Namun hari ini pencapaian Najib lebih lemah dari Pak Lah.  (Oleh itu) kalau dulu Pak Lah ‘ditendang’, kenapa Najib tidak ditendang?” Husam mempersoalkan.

Beliau berceramah pada majlis kesyukuran kemenangan calon PAS Parlimen Kubang Kerian pada PRU-13,  di Pasir Tumboh dekat sini malam tadi.

Turut menyampaikan ceramah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Hadir sama Ahli Parlimen baru Kubang Kerian Ahmad Baihaki Atiqullah, Adun baru Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus dan Adun baru Demit Mumtaz Md Nawi.

Dalam perkembangan berkaitan,  Husam mencadangkan Najib meletakkan jawatan dan memberi peluang kepada Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

“Saya bukan sokong Muhyiddin, tetapi bagilah peluang kepada Muhyiddin.

“Ini kerana jelas bahawa tanggungjawab politiknya begitu apabila Najib gagal, dia kenalah serahkan kepada timbalannya," katanya.

Husam mengulas perkembangan semasa ke arah pembentukan Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas PRU-13.

Umum mengetahui pencapaian Datuk Seri Najib adalah jauh lebih rendah daripada pencapaian diperolehi Pak Lah pada PRU-12.

Naib Presiden PAS itu mendakwa undi keseluruhan BN di bawah kepimpinan Najib pada PRU-13,  5 Mei baru-baru ini adalah di bawah 50 peratus.

Pakatan Rakyat (PR) mendapat mejoriti seluruh negara ialah 250,000 lebih daripada BN di mana kerusi  BN kuang tujuh kerusi lagi iaitu daripada 140 kepada  133 kerusi.

Difahamkan, Kabinet baru akan dibentuk Isnin ini.

Dalam perkembangan ini, Husam mendakwa beliau difahamkan, Muhyiddin menuntut supaya dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Justeru, dakwa Husam,  Najib rasa tergugat, bahkan Tun Mahathir sendiri menyebut bahawa dia tidak sangka yang pencapaian Datuk Seri Najib pada PRU-13 lebih lemah berbanding pencapaian Pak Lah pada PRU-12.

Husam mendakwa, dari segi Perlembagaan menurut Tun Mahathir bahawa Datuk Seri Najib adalah sebagai Perdana Menteri, namun dari segi amalan Umno maka terpulanglah kepada Umno sendiri sama ada Umno masih mahukan Datuk Seri Najib atau pun tidak.

Selain itu, Husam turut mengulas laporan dakwaan ‘tsunami Cina’ telah berlaku pda PRU-13.

Husam mendakwa kaum Cina bukan tidak mahu pemimpin Melayu tetapi mereka mahukan pemimpin Melayu yang bersih, kerajaan yang adil dan berjiwa rakyat, dan yang ada kedaulatan undang-undang.

Husam mendakwa itu yang ‘hilang’ dari negara kita sama ada di kalangan orang Cina, Melayu, India dan umumnya.

“Jadi jangan mengaitkan isu ini untuk menjadikan ketegangan kaum sama ada di Terengganu,  Kedah, Kelantan dan lain negeri di Malaysia,” ujarnya.
Seterusnya >>>

Nama tercicir, Husam tak kisah


Kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) untuk meneruskan pentadbirannya di Kelantan sejak 23 tahun lalu, sedikit tercalar dengan berita keciciran nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa dari barisan Exco kerajaan negeri.
Keciciran atau dengan bahasa yang lebih kesat ‘penyingkiran’ Husam yang juga Naib Presiden PAS memeranjatkan banyak pihak terutama para penyokongnya di kawasan DUN Salor.
Hari ini di Kota Bharu, beratus-ratus penyokongnya berhimpun di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memprotes terhadap penyingkirannya dari barisan Exco negeri.
Pasukan polis mengawal kawasan di sekitar Jalan Kuala Krai, di mana terletaknya bangunan pejabat kerajaan itu. Suasana agak tegang dengan kehadiran beratus-ratus penyokong setia Husam.
Pada sekitar jam 11.00 pagi tadi wakil mereka kelihatan keluar dari bangunan itu dan para penyokongnya kemudian beredar dari kawasan itu.
Semalam, kira-kira 150 penyokongnya, diketuai Timbalan Pengarah II Majlis Tindakan DUN PAS Salor, Mohd Nuri Mat Yaacob menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di rumahnya.
Berita ini dengan cepat dipungut dan dipolitikkan oleh akhbar arus perdana, yang mendakwa Husam digugurkan kerana tidak mendapat ‘restu’ Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Akhbar itu memetik Ahmad sebagai berkata, bahawa nama Husam telah diletakkan di tempat paling atas antara barisan pimpinan yang dipilihnya dan perkara ini diberitahu Ahmad kepada para penyokong Husam di rumahnya.
Namun katanya nama Husam telah ditolak oleh baginda menyebabkan beliau terpaksa mencari pengganti lain untuk memastikan proses angkat sumpah dapat dijalankan.
Husam tidak diberitahu
Husam sendiri merasa kecewa mengenai cara beliau digugurkan dari senarai itu tetapi beliau tidak kisah dengan keputusan itu dan menambah, beliau tidak diberitahu mengenai keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Negeri yang menyenarai-pendekkan senarai itu.
Beliau meminta agar isu penyingkirannya tidak seharusnya dikaitkan dengan pihak istana dan menekankan bahawa Sultan adalah seorang pemerintah yang adil dan saksama.
Husam yang tewas di kerusi Parlimen Putrajaya kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tetapi berjaya mempertahankan kerusi DUN Salor, merupakan salah seorang pemimpin yang mendapat ‘endorsement’ dari majoriti ahli PAS.
Husam bukan sahaja merupakan seorang pemimpin yang berwibawa tetapi salah seorang yang disebut-sebut layak untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar menggantikan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Selain menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, beliau juga memegang portfolio penting iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri.
Keciciran nama Husam agak sukar dipercayai kerana beliau juga merupakan seorang pemimpin yang disayangi dan dibimbing secara peribadi oleh Mursyidul Am PAS.
Secara kebetulan, pengguguran Husam dari barisan Exco Kelantan bertepatan pula dengan keputusan Nik Aziz untuk melepaskan jawatan Menteri Besar kepada Timbalannya Datuk Ahmad Yakob.
Permintaan Husam supaya isu ini tidak dikaitkan dengan pihak istana ialah bagi mengelak ianya diputarbelit oleh musuh-musuhnya terutama Umno-Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menunggu peluang untuk menyerang PAS.
Isu ini dibimbangi akan digunakan oleh Umno-BN untuk memburuk-burukkan PAS seolah-olah dengan kenyataan Ahmad, PAS menyalahkan pihak istana berhubung isu penyingkiran Husam.
Husam juga mahu supaya isu ini tidak menimbulkan perselisihan faham di kalangan barisan Exco dan rakyat negeri Kelantan dan sekali gus di dipolitikkan oleh Umno-BN dan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Inilah Husam Musa yang memiliki peribadi mulia yang harus dicontohi.
Seterusnya >>>

Najib perlu buka laluan untuk Muhyiddin – Husam

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus memberikan laluan kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui negara kerana keputusan PRU13 yang mengecewakan.

“Pada 2008, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Puad Zarkashi dan lain-lain pemimpin Umno telah buat kenyataan – meminta Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) untuk bertanggungjawab dengan kegagalan di PRU12.

"Kalau logik singkir Pak Lah ialah universal, logik yang sama perlu dipakai pada Najib. Morally, Najib harus buka laluan untuk Muhyiddin untuk ganti beliau sebagai Perdana Menteri,” kata Husam semalam.

Menurut Husam, Najib mencatat keputusan yang lebih teruk daripada Pak Lah di mana BN kalah dalam undi popular kepada Pakatan Rakyat buat pertama kalinya dan juga kehilangan tujuh kerusi parlimen kepada 133 daripada 140 daripada apa yang dicapai Pak Lah.

Husam juga menyentuh ungkapan ‘Tsunami Cina’ yang diguna Najib untuk mencari kambing hitam atas prestasi BN yang semakin merosot.

“Isu itu dibangkitkan untuk sambung hayat politik Najib yang terumbang-ambing dengan keputusan PRU13. Ungkapan itu juga menandakan konsep 1Malaysianya telah gagal. Konsep itu adalah satu-satunya modal Najib – sekarang modal ini sudah gagal, maka beliau harus berundur,” tegas Husam.

Husam juga menolak hujah politik Najib mengenai ‘Tsunami Cina’ yang menyebabkan kemerosotan BN kerana BN hampir-hampir kehilangan Terengganu yang peratus undi Melayunya 95 peratus.

“Saya menolak politik perkauman dan anti-Cina. Saya yakin ada cetusan lain untuk mengekalkan beliau (Najib) sebagai Perdana Menteri,” kata Husam.
Seterusnya >>>

Husam Musa kehilangan bondanya


(Husam Musa mencium tangan bondanya yang berada di hospital sebelum berangkat ke Putrajaya sebelum ini bagi membawa panji-panji Islam di sana. Ibunya meninggal dunia tengahari ini.)

 KUALA LUMPUR: Menjelang hari penting untuk calon PAS Putrajaya, Datuk Husam Musa esok, bonda beliau Hajah Salma Haji Idris meninggal dunia tengahari ini.

Solat jenazah untuk Allahyarham akan disempurnakan selepas solat Asar petang ini di Masjid Kota,  Salor.


"Sama-sama kita doakan Allahyarhamah ditempatkan di kalangan para anbiya dan orang-orang yang beriman," kata pembantu Husam dalam satu kenyataanya pagi ini.

"Dan semoga Datuk Husam sekeluarga terus tabah mengharungi perjuangan membela rakyat dan negara.  Al-Fatihah," katanya lagi.

Husam sangat rapat dan menyayangi ibunya itu. Hampir kesemua keputusan besar yang hendak dibuatnya akan dimaklumkan dahulu kepada ibunya untuk memohon restu.

Sebelum menyertai pilihan raya di Putrajaya Husam telah ke hospital di mana ibunya sedang mendapat rawatan untuk memohon restu beliau.
Seterusnya >>>

‘Hentikan politik seluar dalam’


PUTRAJAYA: Calon Parlimen Putrajaya Datuk Husam Musa memberi jaminan Pakatan Rakyat tidak akan menggunakan politik kotor sekiranya diberi mandat mentadbir kerajaan Pusat.
Naib Presiden PAS itu berkata, corak politik pentadbiran Pakatan tidak akan menggunakan ‘seluar dalam yang besar’ untuk menyerang pihak lawan.
“Jika kita berjaya ambil Putrajaya, kita akan hentikan politik seluar dalam besar dan sebagainya, kita sendiri tidak berminat dengan seluar dalam Tun Dr Mahathir (Mohamad),” katanya di hadapan kira-kira 3,000 penyokong di Presint 3 di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjamin harta yang selama ini dikaut kroni Umno-Barisan Nasional (BN) akan dirampas dan diagihkan semula kepada rakyat jika berjaya mengambil Putrajaya pada 5 Mei ini.
“Sekiranya Pakatan berjaya ambil Putrajaya, saya akan pastikan semua harta haram yang diambil oleh mereka (BN), dikembalikan kepada rakyat.
“Saya akan pastikan mereka pula tahu apa ertinya rasa bankrap dan rasa susah,” katanya.
Beliau turut meyakinkan penyokongnya bahawa Pakatan akan terus membela kebajikan kakitangan awam selain menambah baik sistem kerja jabatan kerajaan.
“Kita akan pastikan dengan di bawah kerajaan Pakatan, kita akan jaga prestasi dan perkembangan kakitangan pegawai-pegawai kerajaan.
“Masalahnya kakitangan dan pegawai kerajaan ini, kuasa mereka ditentukan oleh orang tertentu,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengulangi isu sama dalam manifesto Pakatan, antaranya penurunan harga minyak, pendidikan percuma dan penghapusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Turut dibangkitkan isu kronisme dalam kalangan keluarga Mahathir termasuk isu pemilikan syarikat arak San Miguel.
Seterusnya >>>

Kalau saya balik Kelantan, Tun balik Kedah - Husam

PUTRAJAYA: Calon PAS bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa mengingatkan Tun Mahathir Mohamad agar jangan memperkecilkan dan menjadikan Kelantan penduduk kelas kedua sehingga orang negeri itu tidak boleh bertanding di Putrajaya.

Husam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang menyuruh Husam balik ke Kelantan kerana masalah di negeri itu masih tidak selesai.

"Saya datang ke sini bukan sebagai orang Kelantan tetapi, sebagai rakyat Malaysia," tegas Husam dalam sidang medianya lewat petang tadi.

Malah Husam turut membidas Tun Mahathir yang wajar pulang ke Kedah negeri asalnya manakala Datuk Najib Tun Razak pula kembali ke Pahang.

"Kalau saya kena balik Kelantan, Tun pun kena balik Kedah, Datuk Najib kena balik Pahang. Kalau semua orang kena balik negeri masing-masing, jadi tidak ada orang yang hendak bertanding di sini.

"Tengku Adnan sendiri, dia rasa dia orang tempatan, tetapi dia bukan orang tempatan dia daripada Melaka, rumah dia di Jalan Duta, itupun dia ada rumah di sini. Kalau saya menang esok, saya sewa rumah di sini tidak jadi masalah," ujar Husam.

Dalam ceramah umum 'Pertahankan Putrajaya' di sini semalam Tun Mahathir menyuruh Husam kembali ke Kelantan dan memperbetulkan negeri itu dengan membina pejabat dan rumah-rumah yang sempurna untuk rakyat dan penjawat awam sehingga berjaya.

Apabila berjaya, kata Tun Mahathir, Husam boleh minta diberi peluang bekerja di Putrajaya tetapi bukanlah sebagai Perdanan Menteri.
Seterusnya >>>

Husam : Tak perlu serang saya, tangkap penjenayah segera

Husam Musa

PUTRAJAYA - Datuk Husam Musa menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein  menghentikan 'serangan' yang tidak berasas terhadapnya berhubung isu kematian Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Allahyarham Datuk Shaharuddin Ibrahim kelmarin.

Sebaliknya Naib Presiden Pas itu mendesak kerajaan supaya memberi fokus untuk menangkap segera penjenayah yang masih bebas sebelum hari pengundian 5 Mei.

"Itu bukan isunya. Isunya adalah sudah tiga hari jenayah ini berlaku, kita tak dapat tangkap penjenayah terbabit juga.

"Jadi saya cadangkan kepada beliau fokus kepada penjenayah tersebut, jangan jadikan ini satu isu, nanti penjenayah itu pula bergelak ketawa," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Mini Karnival Kanak-kanak, di sini, hari ini.

Semalam,  Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno membidas Husam kerana mendakwa pembunuhan Shaharuddin adalah disebabkan kerajaan korup.

Hishammuddin berkata, kenyataan calon Pas bagi kawasan Parlimen Putrajaya itu adalah biadap dan sama seperti kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua berhubung kejadian pencerobohan Lahad Datu bulan lalu.

Tian Chua sedang berhadapan dengan kes mahkamah.

Hishammuddin berkata, Husam patut berhati-hati kerana kata-katanya boleh menyinggung perasaan penjawat awam di seluruh negara.

"Beliau tidak bertanggungjawab kerana mengaitkan kematian pegawai kastam tersebut dengan rasuah," katanya.

Mengulas lanjut, Husam yang juga calon kerusi Parlimen Putrajaya mendakwa Hishammuddin cuba menyembunyikan masalah keselamatan dengan membangkitkan isu tersebut.

"Datuk Hishammuddin cuba nak sembunyikan hal ehwal keselamatan, kawalan keselamatan negara dengan membuat serangan terhadap saya tidak fasal-fasal," katanya lagi.
Seterusnya >>>

Husam menunggu di gerbang Putrajaya

Putrajaya, adalah pusat pentadbiran kerajaan Malaysia, lambang kuasa kerajaan Barisan Nasional yang memerintah Malaysia lebih setengah abad. Dengan itu Umno yang menjadi tulang belakang BN selama ini diasosiasikan dengan kekuasaan di Putrajaya.
Namun Putrajaya terlalu kecil jika dibandingkan dengan empayar Rom dan Parsi di zaman klasik yang berkuasa ratusan tahun lamanya. ia  lebih kecil lagi Constantinople dibandingkan dengan empayar Rom di sebelah timur, iaitu empayar Byzantine/Constantinople Istanbul/Turki.

Dalam sejarahnya Empayar Byzantine/Constantinople dapat ditakluki dan dibebaskan oleh seorang pemuda, berumur 21 tahun – Sultan Muhamad atau bergelar Muhamad Al-Fateh, perwira muda yang luar biasa, anak Sultan Murad sekitar abad ke-15.

Saya mengingat semuanya ini ketika berdiri di depan Datuk Husam Musa, calon PAS/Pakatan Rakyat untuk parlimen Putrajaya. Lawannya, Tengku Adnan Tengku Mansor dari BN.

Husam adalah pemimpin politik heavyweight, yang dianggap oleh sesetengah orang sebagai ‘tokoh politik yang suka berdepan dengan cabaran besar’ sesuai dengan sifatnya yang sangat dinamik, lincah terbuka, suka membaca dan berstrategi.

Husam adalah produk dari kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, justeru selama puluhan tahun beliau bukan saja belajar mengenal tasawuur Islam seluas-luasnya, bahkan belajar kaedah kepimpinan Islam seperti yang diserlahkan oleh Mursyidul Am PAS itu.

Oleh itu melihat watak Husam yang luar biasa itu, Tuan Guru Nik Abd Aziz, barangkali, ‘melepaskannya’ bertanding di luar Kelantan – Parlimen Putrajaya, suatu langkah yang disafatkan oleh beberapa kalangan sebagai ‘berani dan berisiko tinggi’ - memandangkan kawasan Parlimen Putrajaya ini kononnya adalah sebagai ‘kubu kuat’ Umno/BN yang tidak akan terkalahkan, justeru di sana pusat pentadbiran kerajaan di mana ada persepsi umum mengatakan bahawa kakitangan kerajaan biasanya akan mengundi BN atas sebab-sebab yang diketahui umum.

Husam bercita-cita untuk membawa Tuan Guru Nik Abd Aziz menjadi imam solat Jumaat di Masjid Putrajaya kiranya Putrajaya dapat dikuasai Pakatan Rakyat selepas PRU ke-13 ini. Bagaimanapun pada pendapat saya, semangat perjuangan Tuan Guru sudahpun berada di lubuk hati penghuni Putrajaya.

Memang pelbagai tekanan dilakukan kepada penjawat awam di Putrajaya supaya tidak menghadiri ceramah dan program Husam yang lain, tetapi beliau mempunyai strategi sendiri menemui pengundi yang lebih 10,000 orang itu.

Setiap ada kesempatan, beliau dan petugasnya menemui pengundi Putrajaya di mana saja – di kantin, di kafetaria, pasar mini, hentian teksi dan bas, orang-orang perseorangan yang bersiar-siar di tepi tasik dan di mana saja.

Puluhan ribu orang telah menghadiri beberapa majlis ceramahnya bersama pemimpin Pakatan yang lain di Putrajaya minggu lalu dan ini sangat membimbangkan pihak lawannya. Bagi pemerhati politik, ini tanda pengundi di situ, dari golongan manapun, sudah mahukan perubahan.

Saya menemui Husam di pejabatnya di Putrajaya dalam keadaan cuaca dingin dengan hujan di luar berterusan.

Beliau kelihatan tenang saja, ceria dan yakin. Beliau mengatur strategi dengan formula mengetahui sedalam-dalamnya kekuatan dan kelemahan musuh, membaca suasana persekitaran, bila masa bertahan dan bila masa menyerang, di samping menyediakan secukupnya peralatan lojistik.

Semua langkah Husam ini mengingatkan saya mengenai teori dan strategi peperangan panglima perang termasyhur China Sun Tzu atau Sunzi di zaman klasik China, Dinasti Zhou. Mungkin juga Husam telah membaca buku Sun Tzu ini.

Baru-baru ini, Husam melahirkan rasa kecewa berhubung peristiwa di mana ada AJK di sebuah surau di Putrajaya dipecat berkuatkuasa serta merta hanya kerana membenarkan beliau mengadakan majlis suai kenal di surau tersebut.

"Saya mohon pada semua sahabat yang baru saya kenali di Putrajaya, penduduk Putrajaya dan seluruh rakyat negara Malaysia yang beragama Islam supaya berdoa mohon kepada Allah supaya budaya politik sempit begini ditamatkan pada 5 Mei ini," katanya.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan mood perubahan warga Putrajaya semakin meningkat.

Husam bercita-cita, jika Pakatan Rakyat berjaya mentadbir negara, beliau akan mengesyorkan supaya dibina satu sekolah Maahad Tahfiz Sains di Putrajaya seperti di Kelantan yang telah berjaya melahirkan tenaga profesional dan pada masa yang sama hafiz al-Quran. Dengan kata lain, golongan profesional dapat menguasai Al-Quran.

Husam juga turut menyatakan harapannya jika Pakatan Rakyat berkuasa nanti, untuk mengatasi masalah perumahan di Putrajaya termasuklah masalah harga rumah yang tinggi, bilangan rumah yang tidak cukup dan keluasan rumah yang tidak selesa yang sangat mendesak kepada masyarakat di sini.

Saya yakin, tokoh pemimpin seperti Husam ini juga bercita-cita untuk menjadikan Putrajaya ini sebuah kota pentadbiran yang benar-benar menjunjung amanah rakyat dan menjadi kota ilmu yang menyinarkan cahayanya ke mana-mana.

Memanglah harapan kepada Husam sangat tinggi dan jika Pakatan Rakyat berkuasa, saya kira, Husam antara orangnya, yang mampu membawa perubahan di Putrajaya ini.

Akhirnya, saya menyimpulkan, jika Allah s.w.t. menghendakinya,  kemenangan Pakatan Rakyat akan tercapai dan Putrajaya akan dapat dibebaskan seperti Muhamad Al-Fateh membebaskan Constantinople, walaupun Husam tidaklah semuda Muhamad Al-Fateh.

Kini Husam menunggu di gerbang Putrajaya.
Seterusnya >>>

Pakatan Rakyat perintah, pertukaran guru mesra keluarga


PUTRAJAYA: Calon PAS bagi Parlimen Putrajaya Datuk Husam Musa berkata, sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, sistem pertukaran guru akan diubah ke arah lebih 'mesra keluarga'.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Husam yang juga Naib Presiden PAS itu berkata, pada waktu ini ramai guru-guru terpisah jauh dari anak isteri masing-masing ekoran sistem pertukaran guru yang tidak berpandukan kepada konsep yang betul.

"Ada pasangan guru dipisahkan, suami di Johor, isteri di Perlis, isteri di Selangor suami di Sarawak. Apa perasaan mereka? Siapa yang akan bertanggungjawab menguruskan anak-anak yang masih kecil?

"Bayangkan ada pasangan muda terpaksa berpisah kerana tiada konsep mesra suami isteri. Ada yang berseloroh, macam mana kalau perdana menteri dan isteri dipisahkan begitu. Saya harap Datin Seri Rosmah dapat faham rungutan kakitangan awam ini," kata Husam.

"Kalau Pakatan Rakyat diberi mandat mentadbir negara, saya berjanji kepada lebih kurang 400,000 guru di Malaysia bahawa kalau ada pertukaran guru, kita akan buat dengan cara mesra keluarga," katanya lagi.

Konsep itu juga ujarnya akan diguna pakai kepada semua kakitangan awam di pelbagai sektor dan bukan khusus kepada guru sahaja.

Sehubungan itu juga katanya, satu forum Debat Putrajaya akan diadakan dan beliau menawarkan diri untuk tampil di pentas debat itu.

Beliau turut mengajak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tampil bersama bagi membincangkan tajuk 'Kebajikan Guru'.

Menurutnya, Muhyiddin adalah individu paling layak memandangkan beliau adalah menteri pelajaran.
Seterusnya >>>

Jika menang, Husam mahu TG Nik Aziz jadi imam di Putrajaya


PUTRAJAYA: "4 minggu lagi akan bertemu hari Jumaat semula. Ketika itu, kita tidak tahu siapa akan memerintah.

"Jika diberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat, Murshidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat akan menjadi Imam untuk solat Jumaat."

Itulah kata-kata Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS yang bakal bertanding di Putrajaya kali ini.

“4 minggu lagi akan bertemu hari Jumaat. Sekiranya saya berjaya tawan P-125 Putrajaya & Pakatan Rakyat berjaya tawan Malaysia, saya akan pastikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Imam untuk Solat Jumaat selepas kemenangan,” katanya.

Kata-kata Husam disambut dengan hebat oleh warga maya di Facebook. Di laman Page Rasmi P-125 Putrajaya, kata-kata itu mendapat 1,707 Likes dan 133 shares.

Keratan kata-kata Husam kemudian menjadi viral di Facebook dan dishare di pelbagai segmen komuniti.

“Doakan ia menjadi kenyataan,” ialah kata-kata yang ditulis sebagai membalas harapan Husam.

“Tak sabar nak solat belakang Tok Guru... moga2 statement ni akan menjadi kenyataan..semangat Putrajaya nanti disinari dengan majlis ilmu insya'Allah amin,” tulis Fastaqim Kama Umirta di laman Facebook Harakahdaily.

Peminat Facebook Ustaz Tuan Ibrahim pula menulis: “Amin.. perkenankanlah Ya Allah…”tulis Marley Zane.

Di Facebook Ustaz Nasrudin Hassan pula, peminat Jatt Omar menulis, “Kami doakan agar TGNA boleh menjadi imam dimana2 tanpa ada halangan.....kita sebagai pengundi harus jalankan tanggungjawab ini.”

Marilah sama-sama kita menjalankan tanggungjawab untuk memastikan harapan ini terjadi.
Seterusnya >>>

Hasrat Husam nampaknya tidak kesampaian...

KUALA LUMPUR: Hasrat Datuk Husam Musa untuk bertembung dengan Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor di Putrajaya dalam pilihan raya umum kali ini mungkin tidak akan kesampaian.

Ini kerana, angin semakin kencang bertiup kononnya Tengku Adnan tidak akan diletakkan sebagai calon di Putrajaya kali ini.

Ini ekoran satu laporan polis dibuat ke atas beliau kerana menampar seorang pemimpin Umno tempatan yang datang berjumpa beliau.

Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Presint 7, 5 April lepas itu dipercayai menjadi pukulan terakhir untuk mengenepikan beliau sebagai calon Putrajaya.

Sebelum ini, media mula memainkan berita kononnya Tun Dr Mahathir sendiri akan bertanding di Putrajaya.

Nama rakan Khairy Jamaludin, Zaki Zahid juga disebut-sebut bakal bertanding di Putrajaya.

Namun hubungan beliau dengan Khairy dipercayai menjadi penghalang utama kepada pemilihan beliau sebagai calon.

Zaki Zahid sebelum ini adalah Ketua Unit Dasar Pejabat Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi.

Di sebalik itu, sebuah akhbar melaporkan Dr Mahathir yang sibuk berkempen seluruh negara sekarang berminat untuk bertanding di sana.

"Sumber Sinar Harian yang mendapat maklumat daripada Pejabat Perdana Menteri juga mengesahkan tentang pertemuan antara Najib dan bekas perdana menteri itu baru-baru ini," lapor akhbar itu.

Ekoran itu, NGO yang berpusat di Kelantan, 'R' menyatakan kesediaan mereka untuk bertemu dengan jentera Mahathir di Putrajaya.

"Nampaknya Tun Mahathir risau bandar kebanggaannya iaitu Putrajaya tumbang ke tangan "Sultan Muhammad Al Fateh Melenium" aka  Dato Husam Musa," tulis Presiden R5, Nazri Deraman kepada Harakahdaily.

Bagi beliau, kerisauan Tun Mahathir ada sebabnya, kerana Tengku Adnan Mansor dilihat tidak berupaya langsung untuk melawan tokoh besar itu.

Bagi beliau, pengunduran Tengku Adnan akan dilihat memberi kemenangkan moral yang besar kepada seluruh jentera Pakatan Rakyat untuk memenangi PRU13 nanti.

Dilihat juga kenyataan arwah Ustaz Fadzil Noor, mantan Presiden PAS yang mendoakan Mahathir lanjut usia bagi Tun melihat kemusnahan yang pernah dilakukan sewaktu memegang jawatan PM dulu menjadi REALITI dgn Kekalahan Tun Mahathir di tangan Husam Musa dalam bandar rekaannya, tulis Nazri lagi.

"InsyaAllah kami yakin dan percaya, rakyat Putrajaya dan Malaysia tidak sabar untuk melihat pertempuran paling sengit di Malaysia dalam PRU13 nanti di Putrajaya dan tumbangnya BN di Malaysia," kata Nazri.

Bagi beliau, kerusi Putrajaya akan dinilai oleh masyarakat dunia, kerana ia merupakan pusat pentadbiran Malaysia.

"R menyokong penuh kesediaan Dato Husam Musa untuk bertanding di Parlimen PUTRAJAYA, dan akan mengerahkan seluruh jentera dan aktivis R seluruh negara bagi membantu jentera kempen di Putrajaya.

"Ayuh jadilah Sukarelawan R untuk menumbangkan Tun Mahathir dan mana-mana calon BN di Putrajaya, untuk Malaysia BARU," ajak Nazri kepada semua penyokong Pakatan Rakyat.
Seterusnya >>>

'Saya datang untuk menang'

Husam Musa

PUTRAJAYA – “Saya takut dan belum ada keyakinan, tetapi saya datang Putrajaya untuk menang,” demikian reaksi dizahirkan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Menurut Husam, beliau sedang mengumpul keyakinan untuk merampas kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Parlimen Putrajaya  yang di miliki tokoh hebat.

“Ku Nan dah bagi amaran kepada pengundi Putrajaya dua pertiga majoriti untuk tolak saya, jadi saya takut.

“Saya akan cuba, ditambah dengan kekuatan jentera, kemenangan itu tidak lagi mustahil,” katanya ketika sidang media, semalam.

Ketika diminta mengulas risiko diambil untuk menawan pusat pentadbiran negara itu akan menjejaskan politiknya, Husam berkata ia boleh diumpamakan sebagai modal perniagaan, modal besar, untung juga besar.

“Dengan perubahan atmosfera politik belakangan ini tiada apa yang mustahil, semut pun boleh tumbangkan gajah, bila sampai masanya.

“Saya yakin pengundi di sini lebih terbuka, rasional dan munasabah. Penerimaan mereka terhadap saya membawa mesej sangat positif,” katanya.

Husam  turut memaklumkan posisinya akan kekal di Dewan Undangan Negeri (Dun) Salor, Kelantan.

“Tetapi kehadiran saya di sini bukan untuk Kelantan tetapi untuk rakyat, Putrajaya dan transformasi bakal dibawa PR dalam landskap politik negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Husam memaklumkan beliau dalam usaha mendekati rakyat dan pengundi di Putrajaya dengan mengadakan sesi lawatan mendengar rintihan berhubung beberapa keperluan dijanjikan tetapi masih belum dilunaskan.

“Walaupun belum mahir selok belok Putrajaya tetapi saya gembira dengan bahasa tubuh masyarakat di sini walaupun dalam seragam penjawat awam mereka tidak segan mendekati saya, bergambar bersama.

“Ini reaksi positif, kemungkinan mereka tahu selepas ini kerajaan pakatan akan ambil alih tampuk pemerintahan Putrajaya dan negara amnya,” katanya.

Menurut beliau antara rungutan rakyat di situ ialah kos hidup yang tinggi, pembinaan monorel tidak seperti dijadualkan dan pembinaan sekolah agama.

“Malahan kos hidup kakitangan sokongan juga agak membebankan,” katanya.

Dalam lawatannya beliau sempat melawat Jabatan Pendaftaran Negara, medan selera, masjid, pasar malam dan surau menemui penduduk setempat.
Seterusnya >>>

PRU13: PAS berpantang 90 hari

SERI KEMBANGAN: PAS berada dalam tempoh berpantang selama 90 hari sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata Naib Presidennya,  Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, dalam tempoh berpantang ini, PAS tidak boleh melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat untuk memilih PAS pada PRU13.

"Kalau orang perempuan berpantang selepas bersalin, kita berpantang sebelum bersalin. Kandungan kita ialah harapan perubahan rakyat Malaysia.

"Jadi sewaktu berpantang ini, kita tidak boleh melakukan satu pun kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan di Konvensyen Mara Bersama Keberkatan Menuju Putrajaya di sebuah hotel dekat sini hari ini.

Husam juga berkata, PAS tidak boleh mengabaikan pengundi-pengundi yang sangat penting untuk membantu kemenangan parti.

Undi yang dimaksudkan ialah undi tentera dan peneroka Felda  yang sebelum ini berpihak kepada BN.

"Kali ini kita mensasarkan 45 peratus undi tentera. Kita tak boleh abaikan undi tentera.

"Begitu juga undi Felda. Sebab itu kita memberikan fokus khas kepada Felda dengan program-program yang diatur," katanya di hadapan kira-kira 1,000 jentera dari setiap negeri yang hadir.

Jentera yang hadir merupakan wakil dari 60 Parlimen yang disasarkan bertanding pada PRU13.

Tambah Husam juga, ahli khususnya jentera harus mendekati pengundi dengan komunikasi yang paling baik selain menjaga hubungan dengan Allah.

"Dalam tempoh ini kita mesti berhubung dengan manusia lain dengan komunikasi paling baik.

"Hubungan kita dengan Allah juga harus diperbaiki dengan memperbanyak doa dan munajat kepada Allah," katanya.
Seterusnya >>>

PRU13: PAS berpantang 90 hari

SERI KEMBANGAN: PAS berada dalam tempoh berpantang selama 90 hari sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata Naib Presidennya,  Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, dalam tempoh berpantang ini, PAS tidak boleh melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat untuk memilih PAS pada PRU13.

"Kalau orang perempuan berpantang selepas bersalin, kita berpantang sebelum bersalin. Kandungan kita ialah harapan perubahan rakyat Malaysia.

"Jadi sewaktu berpantang ini, kita tidak boleh melakukan satu pun kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan di Konvensyen Mara Bersama Keberkatan Menuju Putrajaya di sebuah hotel dekat sini hari ini.

Husam juga berkata, PAS tidak boleh mengabaikan pengundi-pengundi yang sangat penting untuk membantu kemenangan parti.

Undi yang dimaksudkan ialah undi tentera dan peneroka Felda  yang sebelum ini berpihak kepada BN.

"Kali ini kita mensasarkan 45 peratus undi tentera. Kita tak boleh abaikan undi tentera.

"Begitu juga undi Felda. Sebab itu kita memberikan fokus khas kepada Felda dengan program-program yang diatur," katanya di hadapan kira-kira 1,000 jentera dari setiap negeri yang hadir.

Jentera yang hadir merupakan wakil dari 60 Parlimen yang disasarkan bertanding pada PRU13.

Tambah Husam juga, ahli khususnya jentera harus mendekati pengundi dengan komunikasi yang paling baik selain menjaga hubungan dengan Allah.

"Dalam tempoh ini kita mesti berhubung dengan manusia lain dengan komunikasi paling baik.

"Hubungan kita dengan Allah juga harus diperbaiki dengan memperbanyak doa dan munajat kepada Allah," katanya.
Seterusnya >>>