Showing posts with label FDI. Show all posts

Teroknya !!! FDI merudum 430%, jangan perbodohkan rakyat lagi

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyanggah alasan bahawa pelabur asing tidak ada wang untuk melabur sebagai punca kepada penurunan mendadak pelaburan langsung asing (foreign direct investment-FDI) ke negara ini. Alasan yang tidak matang ini tidak boleh digunakan oleh Tun Mahathir Mohamad sekalipun beliau cuba untuk membela kepimpinan anak didiknya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang gagal memanfaat perlantikannya sebagai Perdana Menteri untuk menarik sokongan pelaburan asing.
PAS mempersoalkan keseriusan pengurusan ekonomi kerajaan pimpinan Najib yang menyebabkan FDI Malaysia jatuh sebanyak 430 peratus. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara ASEAN, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD1, 381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD7, 318 juta pada 2008. Kejatuhan nilai pelaburan ini adalah yang tertinggi berbanding negara ASEAN lain.
Malaysia yang tersenarai dalam kumpulan ASEAN 5 ketinggalan dengan negara Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.
Indonesia hanya mengalami kejatuhan sebanyak 91 peratus dengan nilai FDInya masih lebih tinggi dari Malaysia pada 2009 iaitu USD4, 877 juta berbanding USD9, 318 juta pada 2008. Thailand yang bergolak pada tahun lepas pula alami kejatuhan sebanyak 44 peratus iaitu dari USD8, 570 juta pada 2008 kepada USD5, 957 juta pada 2009.
Alasan bahawa pelabur asing tiada duit disanggah dengan peningkatan pelaburan ke negara jiran Malaysia iaitu Singapura yang memperoleh peningkatan sebanyak 32.87 peratus dengan nilai FDI 2009 berjumlah USD16, 256 juta berbanding USD10, 912 juta pada 2008.
Filipina turut mengalami peningkatan walaupun disibukan dengan isu pengganas dan proses pilihanraya. Negara jiran ini mengatasi Malaysia dengan memperolehi USD1, 948 juta pada 2009 berbanding USD1,544 juta pada 2008 dengan kadar peningkatan sebanyak 20.74 peratus.
Kita tidak lupa bahawa FDI Malaysia pada 1998 lebih rendah berbanding Thailand. Kemudian jatuh lagi pada 2005 iaitu lebih rendah dari Indonesia. 2008 FDI lebih rendah dari Vietnam dan tahun ini terus merosot, lebih rendah dari Filipina. Jangan pula selepas ini FDI Malaysia jatuh lebih rendah dari Brunei, Kemboja, Laos dan Myanmar yang secara puratanya di bawah USD500 juta sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Data-data di atas, sekaligus membuktikan bahawa alasan yang dikemukakan oleh Mahathir adalah tidak releven dan cuba memperbodohkan rakyat.
PAS menyakini bahawa kejatuhan ini berpunca dari beberapa tindakan huru hara yang dicetuskan oleh BN sendiri bermula dengan perampasan kuasa dinegeri Perak yang menyaksikan para pelabur hilang keyakinan terhadap kestabilan politik di negara ini.
Seterusnya Najib juga gagal menjamin tahap keselamatan negara apabila dua enjin pesawat TUDM dicuri, dan kapal selam Scorpene yang dibeli gagal berfungsi dengan baik. Kes rasuah yang turut membabitkan nama Perdana Menteri Malaysia sekarang semasa dalam pembelian kapal ini pula mula disiasat Perancis akhir tahun lepas dan ini mencemarkan imej negara kerana kes ini mulai memasuki mahkamah tahun ini.
Tidak cukup dengan itu, kemasukan secara rahsia mantan Perdana Menteri Thailand dalam buruan, Thaksin Shinawatra yang gagal dikesan Polis Malaysia menimbulkan keraguan kalangan pelabur berkaitan keseriusan kerajaan melindungi negara ini. Malah Malaysia dikatakan menjadi negara transit kepada aktiviti pengedaran dadah, pelacuran, pemerdagangan orang dan pengganas. Imej buruk ini amat menakutkan pelabur asing. Ini tidak termasuk lagi dengan faktor kes jenayah dalam negara.
Tahun 2009 juga menyaksikan Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang cuba diheret ke mahkamah dengan isu liwat. Kredibiliti beliau yang dihormati ramai pihak ini menjadi sebab pelaburan asing tertahan.
Selain itu pembabitan beberapa pemimpin BN dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) juga menjadi tumpuan kerana ia melibatkan aset fasiliti perdagangan negara. Ketirisan yang berlaku dalam projek ini amat menakutkan pelabur asing kerana mereka juga boleh jadi mangsa kebuasan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab jika melabur dinegara ini.
PAS menyarankan agar kerajaan dibersihkan dari pemimpin-pemimpin yang korup dan tamak bagi meningkatkan keyakinan para pelabur dan rakyat terhadap potensi negara ini. PAS juga mahu agensi yang mempromosikan pelaburan ke dalam negara berusaha memikat perhatian pelabur asing dari Australia, New Zealand, India, Afrika, Rusia,  Kanada dan negara-negara latin di Amerika Selatan. Dalam masa yang sama pelaburan dari Amerika Syarikat, Jepun, China dan sekitar negara ASEAN dipertingkatkan.
PAS juga yakin bahawa pelaburan dan nilai perdagangan mampu meningkat lebih tinggi walaupun tanpa perjanjian FTA.
PAS juga mengingatkan Mahathir agak tidak mengambil inisiatif yang membuta tuli membela Kerajaan BN dalam isu ini hanya kerana mahu berterima kasih kepada Najib kerana melantik anak beliau Mukriz menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu kementerian yang bertanggungjawab menarik pelaburan asing ke dalam negara.
Kerajaan BN juga haruslah ikhlas dalam membantu negeri-negeri Pakatan bagi mempromosikan program pelaburan mereka ke negara luar. Sehinga ke hari ini program NCER dan ECER belum lagi menunjukan kesan yang besar kepada negeri-negeri yang terbabit, apatah lagi bila ianya sudah dikuasai Pakatan. Tahap keinginan BN untuk memajukan negeri berkenaan begitu rendah. FDI negara akan terus jatuh merundum jika BN tidak mahu menerima hakikat yang mereka perlu bekerjasama dengan Pakatan dalam memajukan negara ini terutamanya melalui negeri-negeri yang dikuasai Pakatan.

 Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat.
Seterusnya >>>

Putrajaya diserap bau busuk nepotisma

mahfuz1
KUALA LUMPUR: Bau busuk keluar lagi dari amalan nepotisma yang menyerapi pintu masuk Putrajaya berikutan adik Perdana Menteri Najib Tun Razak membuat kenyataan "salah kira-kira" mengenai kejatuhan nilai pelaburan langsung asing (DFI).
Naib Presiden PAS Dato’ Mahfuz Omar berkata, "saya mesti mengucap tahniah kepada Nazir kerana menjadi jurucakap kabinet Najib. Kenyataan Nazir membuktikan amalan nepotisma masih berleluasa di Putrajaya.

Beliau berkata, Nazir, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, memberi komen mengenai DFI yang jelas mengingatkan rakyat Malaysia bahawa budaya nepotisma yang diamalkan oleh pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, di mana melibatkan anak-anak mereka, masih hidup segar.
Ketika era Mahathir dan Badawi, kita lihat anak-anak mereka terlibat.  Mungkin kita boleh menyifatkan pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) sekarang ini sebagai pentadbiran adik beradik," katanya.
Sambil menyifatkan kepimpinan Umno-BN bagaikan "burung-burung unta yang menyembunyikan kepala mereka", Mahfuz berkata, "hanya masa akan menentukan bila rakyat akan menendang mereka keluar."
Bagaimanapun beliau memuji Nazir kerana mengakui kerajaan merasa sakit akibat kejatuhan DFI itu.
Semalam, ketika bercakap kepada pemberita, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengakui kebenaran data yang dikeluarkan oleh Laporan Pelaburan Asing Dunia (WIR) oleh Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pada awal minggu, Bernama melaporkan Nazir sebagai berkata, kejatuhan FDI tidak semestinya negatif.
Beliau berkata "tidak semestinya perkara itu tidak baik" untuk menerima kemasukan DFI yang rendah kerana apa yang penting ialah kualiti pelaburan.
Sebaliknya Nazir mendesak supaya kejatuhan DFI pada 2009 dikaji dengan teliti sebelum membuat kesimpulan.
Bukan lagi destinasi pelaburan
DrDzulkeflyAhmad Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berpendapat sebaliknya. Beliau berkata kejatuhan DFI tidak menolak hakikat bahawa Malaysia bukan lagi menjadi destinasi pelaburan.
"Walaupun saya memahami tentang maksud "pelaburan berkualiti" dan "masa yang sesuai", bagaimanapun komennya tidak dapat mengikis fakta bahawa Malaysia bukan lagi menjadi hab pelaburan, tidak berada di bawah radar, baik pelabur tempatan maupun asing," katanya.
Beliau menyifatkan komen Nazir yang "tidak tentu haluan" itu hanya bertujuan untuk mempertahankan abangnya, Najib.
Dr Dzulkefly berkata data-data Bangsa-Bangsa Bersatu itu sangat jelas dan tidak perlu kepada keterangan lanjut.
"Kekurangan minat di kalangan para pelabur asing telah menyumbang kepada kemerosotan teruk DFI dari AS$2.56 bilion pada 2004 dan AS$1.09 bilion (2005) kepada negatif AS$0.02 bilion (2006), negatif AS$2.7 bilion (2007) dan negatif AS$7.67 bilion pada 2008.
"Keadaan ini diburukkan lagi dengan hakikat bahawa pengaliran pelaburan oleh pelabur tempatan ke luar negara adalan sangat tinggi.  Ketidakseimbangan ini mempunyai kesan buruk kepada ekonomi," ujar beliau.
"Pertama, ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan.  Oleh kerana kekurangan dana untuk menjana aktiviti-aktiviti ekonomi dan pelaburan dalam pelbagai sektor seperti pembuatan dan industri perkhidmatan, sasaran pertumbuhan 6% tidak boleh dicapai.
"Apabila permintaan global jatuh, keadaan akan menjadi lebih buruk kerana memberi kesan kepada faktor eksport dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya ketika ditemui selepas Dialog Bajet Selangor 2011.
Beliau memberi amaran Malaysia tidak mampu untuk berbelanja lagi kerana kini negara dibebani dengan defisit belanjawan yang luas, bersamaan 52% dari KDNK.
Seterusnya >>>

Ada jugak menteri bodoh ?

Mustapa Menteri Bodoh Cuba Pertahan Kejatuhan FDI - MP Indera Mahkota


SHAH ALAM 30 Julai - Malaysia di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional diramalkan bakal terperangkap dalam kawah ekonomi yang paling dalam disebabkan pelaburan langsung luar negara (FDI) yang menjunam kepada paras terendah di kalangan negara Asia Tenggara.
Ini ditambah pula dengan sikap Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dianggap bodoh kerana memberi alasan tolol berhubung kejatuhan teruk FDI.
Mustapa memberi kenyataaan tidak masuk akal apabila berkata kejatuhan FDI sebanyak 81 peratus adalah kerana kerajaan memilih pelaburan asing yang berkualiti sahaja.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang membidas sikap Mustapa berkata negara sebenarnya berada dalam kedudukan yang paling membimbangkan apabila Laporan Pelaburan Dunia 2010 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu  menyatakan Malaysia kehilangan 81 peratus FDI pada tahun lepas.
"Mustapa memperbodohkan dirinya sendiri apabila takut memberikan fakta sebenar negara yang akan mengakibatkan terkubur Umno-Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
"Kerajaan Umno-BN cuba menyelewengkan fakta tetapi malangnya 30 peratus rakyat Malaysia sudah mengetahui apa itu FDI. 30 tahun yang lalu, kita boleh bermegah dan dianggap harimau ekonomi di Asia Tenggara tetapi malangnya Malaysia kini tidak lagi menjadi pilihan pelabur asing," tegas Azan ketika dihubungi Suara Keadilan.
Menurut beliau, Malaysia pada satu masa dahulu menjadi destinasi dan syurga pelaburan asing tetapi semenjak tahun 1999 selepas tragedi pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, situasi ekonomi menjadi bertambah buruk apabila buat pertama kalinya negara mencatatkan belanjawan defisit.
"Ini merupakan kesilapan dasar dan polisi yang diamalkan kerajaan Umno-BN semasa itu yang menyebabkan ekonomi Malaysia menjadi parah. Selepas itu, satu demi satu negara menarik keluar pelaburan mereka kerana tidak lagi yakin dengan sistem yang diamalkan oleh parti memerintah semasa itu," jelas beliau lagi.
Apa yang memburukkan keadaan katanya, kenyataan bekas Ketua Polis Negara yang berkata 41 peratus anggota polis terlibat dengan rasuah serta Umno-BN menganugerahkan projek sehingga individu tidak layak sekali pun mampu menjadi kaya-raya dengan merampas hak rakyat.
"Apa yang kita alami sekarang adalah keadaan di mana ekonomi mengalami kejatuhan yang paling teruk yang dipanggil sebagai 'spiral downward'. Malaysia akan mengalami keadaan ekonomi yang paling tenat jika perkara ini berlaku," ujar beliau.
Dalam pada itu, Azan juga menyelar sikap Mustapa yang mengambil mudah isu kejatuhan teruk FDI dan menyifatkan kebodohan menteri itu sebagai kebodohan kelas satu.
"Pada masa beliau cuba menyelamatkan bosnya demi kepentingan politik dan kroninya, beliau sepatutnya tidak perlu berselindung pada hal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula ketika ini dikhabarkan akan pergi bercuti akibat tidak mampu berdepan dengan tekanan," Azan.
Sebelum itu, Mustapa dilihat cuba menutup kelemahan kerajaan Umno-BN dengan mempertahankan fenomena aliran masuk FDI yang tidak kondusif di Malaysia berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam, Myanmar dan Filipina.
Seterusnya >>>

Umno-BN Jadikan Malaysia Destinasi Tidak Menarik Bagi FDI

SHAH ALAM 26 Julai - Malaysia di bawah pentadbiran Umno-Barisan di mana gejala rasuah dan salahguna kuasa berleluasa sekali lagi dimalukan apabila negara berdepan dengan aliran pelaburan langsung asing (FDI) paling teruk dalam tempoh 15 tahun pada 2009 sekali memberi tamparan hebat kepada tahap dan keberkesanan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malah Umno-BN telah menyebabkan Malaysia kini jauh ketinggalan berbanding Singapura, Taiwan dan Korea Selatan yang pernah memiliki tahap keupayaan ekonomi yang serupa dengan Malaysia pada satu ketika.
Berdasarkan laporan Pelaburan Dunia 2010 yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah FDI pada 2009 jatuh mendadak kepada RM19.04 bilion berbanding RM23.47 pada tahun 2008.
Angka itu menjunam sebanyak RM4.43 bilion dan merupakan pencapaian terburuk pernah dialami Malaysia sejak 1995.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, laporan terbaru FDI itu menggambarkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 6 peratus setahun dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) bakal tersasar.
Beliau menyifatkan andaian Najib bahawa ekonomi negara akan dipacu oleh pelaburan swasta sebagai tidak realistik.
"Ini kerana pelaburan swasta disokong oleh pelaburan tempatan dan dari luar. Isunya Najib membuat andaian pertumbuhan RMK10 dengan sasaran pertumbuhan pelaburan 12 peratus setiap tahun untuk lima tahun dalam RMk10. Garis asas RM50 bilion FDI ditingkatkan sehingga ke paras RM151 bilion iaitu melebihi 100 peratus.
"Berdasarkan laporan mutakhir ini nyata kemungkinan besar sasaran RMK10 tersasar dan jauh meleset. Malaysia paling corot dalam FDI yang bukan sahaja menunjukkan kemasukan FDI yang rendah, tetapi juga pelaburan keluar paling banyak. Ini sangat mencemaskan," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Tambahnya, tanpa suntikan FDI, unjuran pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas teruk sedangkan kerajaan pula tidak mampu berbelanja akibat beban hutang negara yang meningkat.
Menurut Dr Dzulkefly lagi kegagalan kerajaan menggamit FDI juga bermakna  usaha kerajaan menjana pendapatan tinggi di kalangan rakyat Malaysia tidak akan tercapai.
"Mengapa di sebalik usaha kerajaan menarik FDI ini gagal, jawapannya kepada apa yang dilihat pelabur di negara kita," ujarnya.
Tegasnya, pelbagai faktor menjadi punca kemerosotan FDI selain pertumbuhan ekonomi yang kurang memberansangkan disebabkan urustadbir kewangan yang buruk.
Isu integriti kerajaan menghakis minat pelabur asing termasuk amalan rasuah dan ketirisan dalam perbelanjaan awam termasuk amalan-amalan seperti tender secara runding terus.
Manakala kerugian syarikat hubungkait kerajaan (GLC) dan syarikat tersenarai awam (PLC) yang melakukan banyak kesilapan pengurusan dan pelaburan turut menjejaskan kadar kemasukan FDI.
Di samping itu, Malaysia kini tidak lagi menjadi destinasi yang menarik minat pelabur disebabkan kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan,
"Nisbah tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia ialah 300 hingga 400 bagi setiap 100,000 pekerja berbanding negara maju yang memiliki nisbah 3000 kepada 100,000 pekerja. Dari sudut keupayaan tenaga kerja berkemahiran tinggi tidak sampai 25 peratus dari jumlah tenaga pekerja di negara ini," jelas Dr Dzulkefly.
Tambah beliau, kerajaan pula tidak bersungguh dalam meningkatkan pembinaan modal insan di mana hanya sebanyak 0.64 peratus dari KDNK bagi tujuan itu berbanding Taiwan, Singapura dan Korea Selatan yang melabur sebanyak 3 peratus dari KDNK mereka bagi meningkatkan tenaga kerja di sektor berkenaan.
Pada masa yang sama pelabur asing pula kini tertumpu kepada negara-negara yang mampu menawarkan kos tenaga buruh yang murah seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.
"Jika dahulu negara kita merupakan negara yang memiliki tenaga buruh yang murah sekitar tahun 1980an, tetapi kini telah ketinggalan jauh dari Indonesi, Thailand dan Vietnam. Ekonomi Indonesia berkembang lebih baik selepas reformasi dengan mencatatkan lebih banyak pertumbuhan," kata beliau.
Selain itu, kerajaan juga gagal menyediakan prasarana yang lebih selesa bagi menggamit peluang FDI masuk ke dalam negara ini termasuk tahap perkhidmatan internet yang mengecewakan.
Tambahnya, Di Malaysia, sistem demokrasi yang pincang seperti cengkaman kerajaan terhadap pelbagai institusi termasuk sistem kehakiman dan institusi keadilan seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, turut menjadi faktor menjunamnya FDI.
Menurutnya pencabulan hak asasi manusia, media yang berat sebelah dan sekatan terhadap NGO dan parti politik pembangkang menjadi satu sebab kurangnya kepercayaan pelabur asing melabur di negara ini.
"Keyakinan pelabur tidak tertakluk segalanya atas urusan ekonomi, tetapi keyakinan terhadap pelbagai institusi ini," tegasnya.

- Suara Keadilan
Seterusnya >>>

FDI : Malaysia gagal bersaing di Asean julung kali

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Kurang keyakinan terhadap ekonomi negara menyebabkan Malaysia, buat kali pertama ketinggalan di belakang beberapa negara utama rantau Asean dalam menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI).
Malaysia kini hanya mampu bersaing dengan negara-negara Indochina.
Laporan Pelaburan Asing Sedunia (WIR) 2010 yang dikeluarkan PBB menunjukkan Malaysia ketinggalan di belakang Filipina,  Vietnam, Thailand, Indonesia dan Singapura tahun lalu, kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua dalam satu kenyataan hari ini. “Buat kali pertama dalam sejarah, Malaysia menarik FDI  rendah berbanding Filipina," kata Pua.
Filipina menarik AS$1.95 bilion (RM6.24 bilion) FDI berbanding Malaysia AS$1.38 bilion manakala Singapura mencatatkan kadar tertinggi AS$16 bilion.
“Di antara negara-negara Asean, kita hanya menarik lebih tinggi FDI berbanding Kemboja, Myanmar, Brunei, Laos dan Timor-Leste,” tambah Pua.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini berkata apa yang sebelum tidak dibayangkan bahawa Malaysia pada satu hari terpaksa diperbandingkan dengan Kemboja dan Myanamr kini menjadi satu realiti.
Negara-negara yang dijadikan perbandingan itu memperoleh FDI kurang daripada AS$2 bilion tahun lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berusaha untuk memulihkan profil Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa untuk mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar enam peratus setahun sepanjang lima tahun akan datang.
Bagaimanapun kadar FDI Malaysia telah merosot berbanding negara-negara ekonomi utama lain seperti Singapura dan China.
Pentadbiran Najib juga diberi amaran ekonomi kemungkinan perlahan pada separuh kedua tahun ini disebabkan faktor-faktor luaran, tetapi menekankan bahawa pertumbuhan enam peratus boleh dicapai.
Pua berkata, Malaysia mengalami kemerosotan besar FDI di rantau ASEAN sejak 2008 hingga 2009.
“Kerajaan tidak boleh memberi alasan krisis (kewangan global) sebagai sebab kemerosotan FDI, yang kita alami sekarang berbanding dengan negara-negara besar dan kecil di rantau ini,” kata Pua.

- TMI
Seterusnya >>>