Showing posts with label Enjin Jet. Show all posts

Kes enjin jet: Permohonan kurang ikat jamin - 6 Julai

Mahkamah Tinggi Petaling Jaya hari ini menetapkan pendengaran permohonan pengurangan jaminan sarjan tentera udara, N Tharmendran yang dituduh mencuri dua enjin jet pejuang pada 6 Julai.


Hakim Datuk Su Geok Yiam membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan pendengaran tersebut hari ini.

Timbalan Pendakwaraya Hamidi Mohd Noh memohon penangguhan itu bagi menyediakan afidavit jawapan bagi kes berkenaan.

Hamidi berkata terdapat masalah komunikasi antara beliau dengan pihak atasannya menyebabkan afidavit itu tidak dapat dikemukakan di mahkamah hari ini.

Penangguhan itu juga dipohon bagi mendapatkan arahan lanjut daripada pihak atasannya, kata Hamidi ketika membuat permohonan tersebut.

Datuk Su ketika memutuskan perkara itu berkata, beliau berharap tempoh berkenaan akan dapat menyelesaikan apa-apa "masalah komunikasi" di pihak pendakwaan.


Peguam N Surendran (kanan) berkata beliau berharap mahkamah akan membenarkan permohonan mereka mengurangkan jumlah jaminan berkenaan kepada RM20,000.

Tharmendran didakwa mencuri enjin berkenaan pada Disember 2007 dari pangkalan TUDM Subang dan kini masih ditahan kerana gagal membayar RM150,000 sebagai jaminan.

Mengulas lanjut, Surendran berkata beliau akan mengemukakan bukti baru berkaitan kes berkenaan bagi membongkar kes "kecurian besar-besaran" itu.


"Sekarang kami memiliki dokumen (yang boleh mengaitkan kesalahan seseorang). Kami sedang mengumpul lagi maklumat dan dokumen ini dan kami percaya lebih banyak bukti baru akan timbul," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, beliau juga akan memperkenalkan saksi-saksi baru dalam kes berkenaan untuk membantu siasatan.

"Kita akan bawa saksi ini membuat laporan polis supaya siasatan dapat dilakukan dengan lebih mendalam. Kami percaya lebih ramai lagi yang terlibat," katanya lagi. 

- Malaysiakini
Seterusnya >>>

Kes Enjin Jet : Jual Rumah Untuk Bayar Ikatjamin

Keluarga sarjan tentera udara, N Tharmendran yang dituduh mencuri dua enjin jet pejuang, bercadang menjual rumah mereka untuk mengumpulkan wang bagi membayar ikatjaminnya sebanyak RM150,000.
Bapanya, N Nagarajah, 71 (kiri) berkata, mereka berhasrat untuk menjual rumah keluarga mereka di Kg Jiboi Ampangan, Seremban, kerana mereka tidak mempunyai cara lain untuk mengumpul wang tersebut. 

"Anak saya meminta saya jangan menjual rumah keluarga, tapi saya tidak ada cara lain untuk mengumpul wang untuk membayar ikatjamin tersebut," katanya kepada Malaysiakini hari ini. 

Tharmendran, yang didakwa Januari tahun ini dengan tuduhan mencuri dua enjin J8521-jenis dari pangkalan TUDM di Sungai Besi, ditahan reman di penjara Sungai Buloh, menunggu perbicaraannya pada 19 Julai depan. 

Nagarajah bagaimanapun menghadapi kesulitan untuk mencari pembeli rumah kos rendah mereka, yang dibelinya kira-kira 40 tahun lalu.
Bahkan, jika beliau berjaya menjual rumahnya, Nagarajah - seorang pesara - hanya boleh menjualnya sekitar RM95,000 - dan masih kekurangan RM65,000 untuk membayar ikatjamin anaknya itu. 

"Jika saya mendapatkan menjua rumah ini, saya akan berpindah ke rumah anak sulung saya," kata Nagarajah. 

Jumaat lalu, Nagarajah membuat laporan polis, mendakwa yang anaknya itu telah 'dipukul seperti lembu' oleh pegawai TUDM ketika ditahan di pangkalan Sungai Besi.

- Malaysiakini
Seterusnya >>>

Di Paksa Mengaku Curi Engine Jet

Bapa sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N Tharmendran mendakwa anaknya itu diseksa dan dipaksa mengaku mencuri enjin dua jet pejuang yang dilaporkan hilang ketika dalam tahanan reman.

Nagarajah mendakwa dua pegawai TUDM, yang hanya dikenali sebagai Mejar Azam dan Mejar Ismail membelasah anaknya sepanjang tiga minggu bermula 2 Julai lalu sehingga 17 Julai tahun lalu.

Dia juga mendakwa Mejar Ismail memaksa Tharmendran memakai topi keledar, yang kemudiannya berulang-kali dipukul oleh pegawai berkenaan dengan kayu golf dan bat kriket.

Nagarajah berkata Mejar Ismail juga memberitahu anaknya bahawa semua nama mereka yang disiksanya termasuk Tharmendaran tertulis di topi keledar berkenaan.

Dia seterusnya mendakwa anaknya dibogelkan dan hanya berseluar dalam di sebuah bilik yang berhawa dingin dan tidak dibenarkan tidur kerana sering-kali disoal selepas tengah malam.

“Sepanjang masa berkenaan pangkalan TUDM di Sungai Besi, mereka memaksanya untuk mengaku yang dia mencuri dua enjin jet pejuang F5E berkenaan.

“Mejar Ismail juga mengugut untuk menembak anak saya dan (tertuduh bersama) Rajandran Prasad,” katanya dalam laporannya itu.

Tharmendran didakwa mencuri enjin berkenaan pada Disember 2007 dari pangkalan TUDM Subang dan kini dmasih ditahan kerana gagal membayar RM150,000 sebagai jaminan.

Nagarajah ditemani oleh empat peguam, termasuk N Surendran yang bertindak sebagi peguam utamanya.

Menurut Surendran, Tharmendran memberitahu mereka bahawa dia dipaksa untuk membuat pengakuan bersalah bukan sahaja terhadap tuduhan mencuri enjin jet tetapi juga senarai bahagian jet itu yang hilang.

"Hakikat bahawa dia diseksa untuk membuat pengakuan menunjukkan bahawa dia tidak bersalah,” kata Surendran.

Difahamkan Nagarajah diarahkan sekali lagi ke balai polis di Brickfields bagi memfailkan kenyataannya selang beberapa minit selepas dia membuat laporan.

- malaysiakini
Seterusnya >>>