Showing posts with label Dr Mohd Asri. Show all posts

Jika tidak mahu dikritik jangan jadi kerajaan – Dr Asri

KUALA LUMPUR: Jika kerajaan tidak mahu dikritik sila jangan jadi kerajaan bagi sebuah negara yang penduduknya berakal dan merdeka, tulis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi facebook.

Menurutnya, jika kerajaan sentiasa berprasangka buruk kepada rakyat yang mengkritik, maka kerajaan itu akan menjadi musuh rakyat yang berakal dan enggan akal mereka dimandul.

Justeru, ujarnya pihak kerajaan hendaklah faham bahawa bukan semua yang mengkritik ataupun tidak berpuas hati dengan kerajaan itu menyokong ataupun suka dengan pembangkang.

Katanya, rakyat mengkritik kerajaan kerana memang hak mereka memuhasabah kerajaan yang memerintah negara mereka dan mengambil cukai serta mengenakan kuasa ke atas mereka.

Bekas Mufti Perlis itu menegaskan bahawa tiada kerajaan tanpa rakyat.

Sehubungan itu, jelasnya apabila rakyat merdeka jiwanya dan mempunyai pengetahuan serta maklumat maka mereka tidak akan bersetuju dengan kerajaan dalam perkara yang menjejaskan kepentingan mereka sebagai rakyat.

Beliau menambah, tidak semestinya kritikan itu kerana mereka menjadi agen pembangkang ataupun ingin menumbangkan kerajaan dengan senjata seperti yang diandaikan oleh mereka yang naif.
Seterusnya >>>

Dr Asri : Umno Perlu Undur Sebab Gagal Sekat Politik Wang


SHAH ALAM : Umno harus berundur dari persada politik negara ekoran pengakuan pemimipinnya bahawa politik wang sudah menjadi budaya di dalam Umno yang perlu diterima oleh masyarakat termasuk agamawan yang ingin menyertai parti itu.
Saranan itu dibuat oleh bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin kerana amalan itu menyebabkan negara diterajui pemimpin yang kaya tetapi tidak semestinya mampu mentadbir negara dengan bijak.
Selain itu, menurutnya budaya politik wang itu akhirnya akan melibatkan unsur-unsur rasuah yang akhirnya tidak dapat dikawal.
“Terima kasih kepada Ustaz Syahrin kerana menjawab dengan jujur, tetapi saya rasa kalau Umno begitu parah bererti Umno kena berundur.
“Kita tidak akan dapat keluar dari masalah ini jika Umno terus dengan cara itu sebab tak kira parti mana akan terpaksa ikut amalan itu.
“Kerana orang Melayu dah terbiasa memilih pemimpin bukan kerana ketajaman minda dia, ada idea dan sebagainya tetapi soal dia banyak duit.
“Sebab itulah bila seseorang itu jadi pemimpin Umno dia mesti ada duit, mesti ada projek dan perkara ini semakin hari semakin disuburkan,” ujar Dr Mohd Asri dalam program Wacana Sinar bertajuk ‘Peranan Ulama Menasihati Pemimpin’ di sini hari ini.
Seorang ahli panelis program itu Syahrin Md Jamaluddin mengakui bahawa wang memainkan peranan amat penting dalam mempengaruhi kedudukan seseorang pemimpin dalam Umno.
Syahrin yang merupakan Exco Pemuda Umno berkata pemimpin Umno samada peringkat bahagian ataupun pusat yang tidak memiliki sumber kewangan yang kukuh tidak akan bertahan melebihi tiga bulan dalam Umno.
Syahrin memberi contoh di mana ahli Umno akan meminta duit untuk menjalankan program seperti permainan bola sepak dan sambutan keagamaan daripada pemimpin bahagian mereka.
Sementara itu, seorang lagi panelis Datuk Siddiq Fadzil pula berkata mekanisma pemilihan pemimpin berdasarkan wang itu merupakan mekanisma ‘enjit-enjit semut’.
“Ini yang dipanggil mekanisma ‘enjit-enjit semut’, siapa sakit naik atas,’ jadi mekanismanya begitu, pemimpin yang naik atas itu juga pemimpin sakit.
Seterusnya >>>

Dr Asri : Semua Pihak Harus Diberi Peluang Sama Rata Untuk Wadah Politik


SHAH ALAM, 7 OKT : Politik matang di Malaysia hanya boleh dicapai sekiranya kerajaan memerintah memberikan peluang sama rata kepada semua pihak untuk menerangkan wadah mereka.
Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, politik yang matang hanya akan wujud jika masyarakat diberikan peluang untuk membuat penilaian secara adil dan saksama.
Beliau berkata, walaupun fahaman politik itu sama sekali berbeza, namun rakyat perlu diberi ruang untuk membuat penilaian secara matang dan memahami hujah semua pihak.
“Kepimpinan dan media perlu memberi ruang kepada semua pihak untuk kemukakan hujah dan bukan hanya terhad kepada satu pihak sahaja.
“Sebagai contoh, masyarakat kampung tiada rujukan selain televisyen (media perdana) sahaja. Bagaimana hendak buat penilaian yang adil?
“Mereka hanya bergantung kepada informasi itu. Oleh sebab itu kita perlu perluaskan lagi hal ini supaya ada penilaian seimbang untuk rakyat tahu mana yang terbaik.
“Jika keadaan ini tidak berubah, kita tidak akan berjaya mencapai politik matang,” ujarnya dalam Forum Politik Matang Menurut Perspektif Islam di Dewan Megawati, di sini malam tadi.
Forum yang merupakan anjuran Pejabat Parlimen Shah Alam itu dikendalikan moderator, Profesor Madya Dr Sufian Husin dan disertai dua ahli panel lain iaitu Hasrizal Abdul Jamil dan Dr Khairudin Aman Razali At-Takiri.
Hadir sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan lebih 300 peserta.
Menurut, Hasrizal, Malaysia masih tercicir dari sudut ilmiah literasi (kesusasteraan) yang menjadi rujukan pemimpin dalam mengetengahkan fahaman politik masing-masing.
Beliau berkata, kebanyakan pemimpin di negara ini masih menggunapakai ideologi lama yang kini dilihat tidak lagi sesuai untuk diaplikasikan pada masa sekarang.
“Politik matang itu harus mempunyai tiang ilmu. Kita ketinggalan dari sudut penterjamahan buku tidak seperti Turki yang sudah semakin ke depan dengan penghasilan buku berkualiti untuk menjadi rujukan para pemimpin.”
.
Seterusnya >>>

Dr Asri: Saya lebih suka negara sekular jika......


Bekas mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau lebih suka menerima konsep negara sekular berbanding negara yang menggunakan agama untuk kepentingan politik.
Tegas profesor pelawat Universiti Oxford itu lagi, golongan agama "nampak buruk" apabila kumpulan tersebut menggunakan agama sebagai alat politik.

"Politik dan agama memang patut bergabung, kerana agama membimbing politik. (Tetapi apabila) agama dijadikan alat politik, saya lebih rela (terima) negara sekular.

"Saya lebih suka negara yang memisahkan agama daripada politik. Kalau agama itu digunakan untuk kepentingan politik, sekurang-kurangnya agama kita selamat, yang kena orang politik saja.

"Apabila orang buat salah, dan menghalalkan kesalahan itu atas nama Allah, lebih baik pisahkan sahaja," katanya.

Dr Asri menegaskan beliau lebih suka negara barat yang tidak menggunakan nama tuhan, daripada negara yang menggunakan nama tuhan sehingga tuhan itu kelihatan zalim.

"(Tuhan) kelihatan macam menghalalkan kesalahan. Sebab itu berhati-hati dalam fatwa-fatwa agama," katanya.

Beliau mengulas satu laporan akhbar Utusan Malaysia pada Ogos lalu yang mendakwa berdosa sekiranya menyokong parti DAP.

Laporan berkenaan memetik pandangan seorang guru pondok yang antara lainnya menyatakan bahawa DAP  "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud."

Berucap dalam sesi penggulungan di Konvensyen Fiqh Siasah di Shah Alam lewat petang semalam, Dr Asri berkata, beberapa ahli parlimen DAP Pulau Pinang menemui beliau berhubung isu berkenaan.

Beliau menjelaskan, sekalipun guru agama itu  "memakai serban dan mempunyai pondok", tetapi guru tersebut belum berhak untuk "membuat keputusan yang besar" seperti itu.

"Ada akibat besar, bila kata orang kafir harbi ni... Dr Yusuf Qaradhawi cakap negara kafir harbi negara Israel sahaja, Amerika tidak termasuk kerana terlibat dengan perjanjian PBB dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, kenyataan guru pondok berkenaan akan menyebabkan pengundi sukar membuat keputusan apabila ia "diruncingkan" lagi menjelang pilihan raya.

"Bagi orang Melayu, mengikut analisis pilihan raya, antara perkara yang akan mempengaruhi mereka adalah isu agama dan bangsa

"(Bila) orang besar agama kata, tak boleh dia kata salah, dah tak boleh buat keputusan dah," katanya sambil menggesa agamawan lebih memberi pandangan alternatif kepada rakyat.
.
Seterusnya >>>

Dr Asri: Umno masih guna hujah agama tahun 80-an


Bekas mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin mengkritik sesetengah pemimpin Umno yang didakwanya masih menggunakan hujah PAS pada 1980-an, antaranya berhubung isu sokongan kepada calon bukan Islam.

Dr Asri mendakwa masih terdapat pemimpin Umno mendakwa tidak boleh mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya, sedangkanPAS kini tidak lagi bercakap mengenai perkara itu lagi.

"Ini masalah kepada (pemimpin) Umno. Dia cuba menonjolkan dirinya lebih Islamis daripada PAS dengan mengambil tafsiran PAS era 80-an. Tak boleh pangkah, tak boleh undi, tak boleh campur dengan orang kafir.

"Saya dengar perkara ini masa saya sekolah rendah dulu. PAS pun tak bercakap (lagi) dan tapi Umno pula cakap, tak boleh undi non-Muslim.

"Saya tak sokong belah mana, tapi awak kata tak boleh untuk orang, tapi boleh untuk kamu, itu yang pelik," kata Dr Asri menjawab soalan hadirin berhubung mengundi dan memberi ketaatan kepada bukan Muslim.

Bercakap dalam forum fikah politik Islam di Shah Alam, Dr Asri juga beliau menggesa tindakan tersebut dihentikan dan memilih calon yang "kurang membawa mudarat dan memberi lebih manfaat".

Demo: Tembak gas buat apa?
Katanya, calon yang dipilih mewakili rakyat mestilah berfungsi boleh menyampaikan hasrat pengundi di kawasan yang diwakilinya.

Mengulas mengenai isu semasa seperti demontrasi terhadap dasar kerajaan, Dr Asri berkata perkara itu dibolehkan dengan syarat-syarat tertentu.

"Dalam kerajaan dalam bentuk demokrasi, boleh berhimpun tetapi mereka tidak boleh mengganas atau merosakkan harta benda.

"Tujuan berhimpun sekadar untuk mengubah apa yang mereka rasa sukar. Sebab itu, saya cadang kepada pihak kerajaan lain. Biar mereka berhimpun, kerajaan tolong beri air, roti. Jadi semua orang gembira.

"Terima kasih banyak daripada perdana menteri di atas perhimpunan ini, kes ini akan di bawa ke tengah. Cukuplah. Apa masalahnya. Yang pergi tembak (gas) buat apa. Ia mengundang masalah baru, melainkan dia mengganas," katanya.

Mengulas mengenai hukum memilih perdana menteri wanita, Dr Asri berkata tidak menyokong pandangan yang "mutlakkan" pengharaman wanita menjawat jawatan tersebut.

Beliau mengulas perkara tersebut selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Mentaati Pemerintah: Di antara Literal dan Maqasid" di Konvensyen Fikah Politik Islam Semasa di Shah Alam petang ini.
.
Seterusnya >>>

Asri selar ulama Umno membisu dalam isu melibatkan parti tersebut

KUALA LUMPUR, 7 Sept ― Bekas mufti Perlis,  Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyelar ulama muda dalam Umno yang mengambil sikap membisu terhadap budaya politik samseng yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Dr Asri juga berkata budaya politik samseng seperti serangan ke atas bas, menunjukkan punggung pada gambar pemimpin, membaling kasut dalam masjid, tarian punggung dan  lain-lain adalah bukti masyarakat kini semakin kehilangan adab sopan dan berakhlak buruk.
“Perbezaan politik bukan lagi membawa pertarungan minda dan tawaran khidmat pengurusan yang lebih baik, tetapi sebaliknya yang berlaku,”kata Asri dalam kenyataannya di  laman rasminya www.drmaza.com.
Insiden serangan bas jelajah merdeka ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Bharu dan kemudiaannya serangan ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) di masjid baru-baru ini mencerminkan imej  sebenar budaya politik ganas yang berlaku dalam negara.
Kontroversi memijak potret perdana menteri (PM) Najib Razak dan isteri dan kibaran bendera baru pada malam kemerdekaan diperbesar-besarkan oleh media  hingga memaksa polis mengambil langkah drastik bagi menangkap pesalah tersebut.
Ekoran beberapa insiden yang berlaku, Dr Asri menasihati ulama-ulama muda yang berada dalam parti politik untuk menyuarakan pendirian mereka dengan adil dan bukannya  mengikut kehendak parti semata-mata.
“Semalam jumpa beberapa tokoh Umno, mereka kata tolong beritahu ustaz-ustaz muda yang masuk Umno tu jangan terlalu mengampu. Kami pun tak suka,” tulis Dr Asri dalam  laman sosial Twitter.
Dr Asri juga memberi contoh dalam isu demonstrasi yang mencerminkan kedangkalan ulama dalam Umno yang sibuk mengharamkan dengan segala fatwa tetapi berdiam diri  apabila penyokong sendiri menganjurkan demonstrasi sambil menyifatkan golongan ulama yang menjual agamanya adalah seperti anjing.
“Dalil-dalil agama dan nama ‘salafussoleh’ dikhianati atas kedangkalan pengetahuan, ataupun kepentingan politik ‘orang muda agama’.
“ Maka tidak pelik jika Allah  menyifatkan golongan ulama yang menjual agamanya seperti anjing,” katanya lagi.
Turut tidak terlepas daripada teguran Dr Asri dalam kenyataannya tersebut ialah bekas penyanyi kumpulan Elite, Abby Abadi yang menyertai parti Islam, PAS baru-baru  ini.
Pertelingkahan melibatkan bekas mufti Perlis tersebut dengan Abby menarik perhatian ramai minggu lepas apabila kedua-dua mereka bertikam lidah dalam menyuarakan  pandangan ke atas isu hukum hudud.
Dr Asri mempersoalkan pihak PAS yang memberikan platform kepada Abby untuk bercakap tentang isu-isu berkaitan dengan Islam dan politik tanpa sebarang ilmu dan  pendidikan yang selayaknya.
“Di celahan itu yang menarik hari ini artis-artis yang baru masuk politik sehari dua pun seakan sudah menjadi ‘sarjana Islam’.
“Mula mengeluarkan hukum ke atas orang  lain. Sambutannya hebat. Modalnya bukan ilmu, tapi ‘wajah dan penampilan’ yang memikat penganjur.
“Kita hendaklah tahu seperti yang disebut oleh para sarjana Islam, bab politik islami bukan mudah untuk dihuraikan,” katanya lagi.
.
Seterusnya >>>

Bekas mufti: Terkeluar Islam jika persenda hudud

NONEBekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberi amaran kepada golongan yang mempersenda usaha untuk melaksanakan hukum hudud kerana perbuatan demikian boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari Islam.

Dr Mohd Asri berkata, sendaan itu boleh dilihat ketika Kelantan mula memperkenalkan hukum hudud – melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

"Mempersendakan teks al-Quran ataupun as-Sunnah seperti sendaan sesetengah pihak apabila Kelantan ingin melaksanakan hudud dengan menyatakan ‘sesiapa yang ingin makan sup tangan sila ke Kelantan’ adalah melampaui batasan agama.

"Bahkan, jika pengucap sedar dan bermaksud menghina nas al-Quran dan as-Sunnah, maka dia terkeluar dari Islam," katanya dalam satu tulisan di blognya, drmaza.com.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa golongan yang menolak hukum hudud yang tertulis di dalam al-Quran sahaja yang akan terkeluar daripada Islam.

Golongan yang menolak penafsiran oleh para sarjana atau mana-mana individu mengenai undang-undang Islam itu, tidak akan jatuh hukum sehingga murtad, katanya.
''Sebagai seorang muslim, kita tak boleh persoalkan hukum tuhan. Cuma di sini ada perbezaan dalam menafsirkan undang-undang hudud.

''Ada tiga. Pertama, bagi orang yang menentang hukum yang ada di dalam al-Quran, dia terkeluar agama. Bagi orang yang menentang penafsiran tidak semestinya mereka menentang hudud tetapi mereka hanya menentang penafsiran (hukuman) hudud.

"Dan ketiga, apabila seseorang mengatakan, hukuman itu tidak dapat dilaksanakan pada zaman ini kerana tidak cukup syarat atau suasana tidak sesuai, tidak boleh dikatakan mereka sebagai menentang hudud," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Asri berkata, hukum hudud yang termaktub di dalam al-Quran boleh memberi lebih daripada satu penafsiran.

Katanya, mereka yang memberi penafsiran mengenai hukuman itu pula tidak semestinya menentang Islam. Sebaliknya, hanya melontarkan pandangan mengenai hukuman tersebut.

"Umpamanya (bila ada yang bertanya) apa syarat tangan untuk dipotong, apa kesan jika tangan dipotong. Serta beberapa pandangan sarjana mengenai hukuman ini. Jika beberapa pandangan terhadap penafsiran itu yang berlaku sekarang, itu bukan menentang hudud.

"Kalau tolak penafsiran, sebagai contoh, PAS- mengenai enakmen liwat atau kes zina dan empat orang saksi. Itu bukan menentang al-quran tetapi (menentang) penafsiran," jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd Asri berpendapat, situasi yang berlaku sekarang bukan mengenai seseorang yang menentang hukum Allah itu tetapi hanya memberikan pendapat mengenai kesesuaian melaksanakan hukuman berkenaan.

"Saya rasa kini mereka bukan menentang hukum tuhan tetapi memberi pendapat dengan mengatakan suasana sama ada sesuai atau tidak untuk melaksanakan hudud. Bukan hudud itu tidak sesuai tetapi suasana.

"Kita kena tahu sama ada orang itu pertikaikan hudud itu sendiri atau mengatakan hukuman itu sesuai atau tidak sesuai. kalau pertikai hudud itu sendiri, dia telah keluar agama tetapi kalau menentang penafsiran hudud itu, tidak sampai hingga terkeluar daripada agama," katanya lagi.

Kelantan promosi hudud

Dalam tulisan di blognya itu, beliau turut mempertahankan usaha melaksanakan hudud seperti dijalankan kerajaan negeri Kelantan yang disifatkannya sebagai tindakan yang jujur untuk melaksanakan perintah Allah.

Namun, langkah itu terhalang kerana tidak mendapat kerjasama oleh kerajaan persekutuan, kata Dr Mohd Asri lagi.

"Kelantan telah memainkan peranan mempromosi hukuman itu. Walaupun masih terbatas disebabkan banyak kekangan, namun apa yang penting hukuman itu dibahaskan, dibincangkan dan dipromosikan.

"Ijtihad baru juga perlu dilihat bagi mencapai maksud keadilan jika ia dilaksanakan," katanya.
Tambahnya, beliau mendapati demikian apabila melihat kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memberitahunya: “Jika Allah tanya saya di akhirat, saya akan beritahu Kerajaan Pusat menghalang saya melaksanakannya”.
"Di Kelantan suasana kondusif untuk hudud terikat bukan sahaja dengan persekitaran dalam negeri tetapi juga dengan pentadbiran pusat.
"Selagi Kelantan tidak mendapat kerjasama Pusat sepenuhnya, tidak mungkin suasana kondusif itu dapat diwujudkan. Selepas itu banyak lagi perkaitan lain yang mesti dilangsaikan sebelum dilaksanakan.

"Maka, bukan menjadi kesalahan Kelantan jika beberapa hukuman hudud tidak dilaksanakan disebabkan keterbatasannya," kata Dr Mohd Asri lagi.
Awal tahun lalu, Nik Abdul Aziz menjelaskan bahawa Kelantan memutuskan untuk tidak melaksanakan enakmen tersebut kerana bimbang kerajaan persekutuan akan campur tangan dengan mengisytiharkan darurat dan merampas pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, perdana menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke Kelantan dan memberi amaran untuk mengambil tindakan sekiranya undang-undang itu dilaksanakan.
Selain Kelantan, Terengganu turut meluluskan undang-undang serupa melalui Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Kisas yang diwartakan pada 2002) ketika negeri itu berada di bawah pentadbiran PAS.
BN yang mengambil alih pentadbiran Terengganu selepas itu juga tidak melaksanakan peruntukan tersebut kerana belum cukup persediaan, seperti dinyatakan seorang wakil kerajaan dalam persidangan DUN akhir tahun lalu.
.
Seterusnya >>>

Dr Asri: Pilihan raya waktu haji satu kesalahan

NONEMantan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin berpendapat mengadakan pilihan raya umum (PRU) sewaktu musim haji adalah satu kesalahan.

"Mengadakan PRU semasa musim haji seakan-akan sengaja solat di tempat orang lalulintas.

"Kesalahan bukan kepada yang melintas tetapi kepada yang sengaja memilih tempat solat di tempat orang ramai melintas.

"Orang yang sengaja memilih tempat lalulintas itu yang berdosa," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya lagi, perkara itu sebenarnya pernah diulas ramai ulama, termasuk Ibn Hajar dalam bukunya berjudul Fathul Bari yang mengulas hadis-hadis sahih Bukhari.

Asri juga menggesa agar ulama yang mengkaji perkara itu agar "memahami dan melihat hukum pada dimensi yang lebih luas".

Polemik pilihan raya umum sewaktu musim haji mula timbul apabila Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru anggota parti itu yang terlibat langsung menangguhkan ibadah tersebut jika pilihan raya berlangsung pada tempoh masa sama.

Mufti Perlis sependapat, S'gor sedikit berbeza

Seruan itu dibuatnya kerana PAS memerlukan ahli-ahlinya untuk menggerakkan jentera kempen sewaktu pilihan raya.

Turut mengulas perkara itu sebelum ini, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang berpendapat pilihan raya pada musim haji tidak wajar kerana ia bakal melemahkan umat Islam.

Menurutnya, langkah itu jika dilaksanakan adalah satu tindakan tidak adil kepada umat Islam dan akan menyebabkan umat Islam lemah dari segi politik.

“Janganlah mewujudkan fitnah dan kekeliruan kepada umat Islam dalam soal ibadat mereka kerana kecelaruan dan perangai kurang cerdik orang politik,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sementara itu, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid pula mengambil pendirian sedikit berbeza apabila berpendapat haram bagi mereka yang pertama kali berpeluang menunaikan haji menangguhkannya demi mengundi dalam pilihan raya.

"Bagi mereka yang berniat untuk mengerjakan haji dan ini adalah kali pertama, di mana cukup bekalannya sepanjang berada di sana dan cukup bekalan yang ditinggalkan untuk ahli keluarganya di sini dan aman perjalanannya, maka hukumnya wajib.

“Jika dibatalkan niat itu hanya kerana perkara duniawi... sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji maka matinya dalam keadaan jahiliah," beliau dipetik sebagai berkata.
.
Seterusnya >>>

Belanja melampau, pelajar tanggung beban


Saya baru sahaja menonton rakaman demonstrasi Mansuh PTPTN oleh sebahagian mahasiswa. Izinkan di sini saya coretkan beberapa pendapat saya tentang hal tersebut;

Pertamanya, saya ucapkan tahniah kerana mereka ada keberanian. Itulah sikap sepatutnya bagi anak muda, tidak bacul tetapi bertindak balas dengan persekitaran.

Mereka terlalu muda dan sedang menimba pengalaman. Saya rasa tidak salah untuk mereka meneliti beberapa ulasan saya di sini. Mungkin kita berbeza tapi bukan bererti membenci. Pandangan ini mungkin boleh memberikan sedikit manfaat untuk perjuangan mereka yang seterusnya.

Adalah hak mereka untuk melaungkan hasrat ataupun berdemonstrasi, namun setiap tindakan sekalipun di medan perang 'fi sabilillah' mempunyai disiplin yang mesti dipatuhi.

Saya sedar bahawa kemarahan rakyat bukan sekadar tertumpu kepada isu PTPTN, tetapi korupsi, penyalahgunaan kuasa, gaya mewah 'orang-orang tertentu' yang melebihi kewajaran dan lain-lain. Kesemuanya itu membangkitkan kebencian yang berjangkit kepada pelbagai isu yang lain.

Pada saya, alangkah baiknya jika mereka mahasiswa yang terlibat hanya melaungkan slogan tuntutan mereka tanpa mengiringinya dengan slogan-slogan yang berbau parti-parti tertentu. Ini bagi menunjukkan bahawa mahasiswa itu bebas dalam menentukan halatuju mereka tanpa ditentukan oleh pihak lain, samada pembangkang ataupun kerajaan.

Alangkah baiknya jika mereka mengawal bahasa dalam slogan-slogan yang dilaungkan. Orang muda bersemangat tapi juga beradab dan berhemat. Slogan-slogan yang buruk Allah tidak suka dan hanya mengikis simpati mereka yang belum menentukan pendirian.

Alangkah baiknya juga jika mereka tidak bertakbir ALLAH AKBAR mengiring ucapan yang tidak elok. Kalimat Allah itu boleh mengiringi semangat yang membakar dan pendirian yang tegas, tapi amat tidak wajar untuk mengiringi ucapan yang berunsur makian dan cercaan.

Isu samada memansuhkan langsung PTPTN, ataupun menghapuskan bunga (riba/pengurusan) ataupun menyusun semula agar tidak menjadi beban boleh dibahaskan secara ilmiah. Boleh dilihat di sudut positif dan negatif.

Isu sebenar bagi saya yang membakar segala isu yang lain ialah wang dan harta negara ini banyak dibelanja secara salah dan tidak telus. Kebocoran di sana sini. Belanja yang melampau pada urusan yang tidak wajar, sedangkan para pelajar yang miskin ataupun kurang kemampuan dipaksa tanggung beban.

Jika negara belanja dan diurus secara telus, mungkin memansuhkan PTPTN tidak dilihat begitu perlu, sebaliknya ditimbang semula beberapa aspek dalam PTPTN itu.

Mahasiswa hendaklah terus memikul idealisme perjuangan tetapi hendaklah berakhlak dan mempunyai pendirian yang ilmiah dan mantap.
Seterusnya >>>

Gantung Aziz Bari tindakan paling tidak tamadun : Dr Asri

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kini mengikuti program felo di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS)  menyifatkan tindakan pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung perkhidmatan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai “satu tindakan paling tidak bertamadun dalam dunia akademik.”
“Saya membaca berita penggantungan Prof Dr Aziz Bari. Bagi saya itu adalah satu tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik.
“Ternyata perlantikan ‘kepimpinan baru di UIA’ itu tidak melambang ketokohan akademik, tetapi lebih kepada nilai-nilai politik,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Bekas penuntut UIA berkata, kepimpinan pusat pengajian tinggi itu sekarang tidak di bawah orang yang terbilang dari segi pemikiran dan dunia ilmu, sebaliknya orang yang berpotensi melakukan tindakan yang melambangkan kejumudan fikiran yang bertentangan dengan norma dunia akademik.
Tambah beliau, tindakan ke atas Aziz merupakan “sesuatu yang amat memalukan dunia akademik kita.” “Tindakan ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad. Tindakan ini adalah tindakan mengampu,” kata beliau lagi.
Asri yang juga tenaga akademik Universiti Sains Malaysia menambah, “setahu saya rektor UIA sekarang merupakan ahli MAIS (Majlis Agama Islam Selangor).”
“Saya bimbang ada kepentingan konflik dalam tindakan terhadap Prof Aziz,” kata beliau sambil menambah, Malaysia hanya mencampak diri ke zaman kegelapan Katolik yang membakar tokoh-tokoh akademik protestan atas tuduhan derhaka kepada istana dan heresy kepada agama.”
Katanya, sebagai lepasan UIA, beliau rasa telah berlaku kesilapan besar dalam pengurusan akademik di universiti itu hari ini.
“UIA yang patut bertaraf pusat pendidikan dunia, telah bertukar menjadi pejabat agama yang penuh kesempitan fikiran,” tambah beliau.
Seterusnya >>>

Mengapa Saya Sokong Mufti Pulau Pinang?


Saya amat bersetuju dengan keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan agar suara bacaan al-Quran tidak dikuatkan melalui pembesar suara seperti yang berlaku di kebanyakan masjid sebelum waktu solat.


Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak. Seperti yang lepas, saya berpegang kepada alasan-alasan berikut menyokong keputusan berkenaan;
1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi Nabi Muhammad SAW. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.


2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.


3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.


4. Sebenarnya, Nabi Muhammad SAW sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nab, kata Abu Sa'id al-Khudri: “Ketika Nabi beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi berada di tempat ibadah baginda.


Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).


Dalam hadis ini Nabi Muhammad SAW melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid.


Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya. Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin rh mengulas hadis ini dengan katanya: “Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid).


"Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa..tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid... dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini...boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara.


Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).


Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Arab Saudi yang penduduknya semua Islam. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.


Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai.


Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata: “Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan.


"Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).
Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?


Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi Muhammad SAW dan juga menjaga Islam yang harmoni.


Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya.
Seterusnya >>>

'Ke Mana Perginya Wang Zakat Kita?'

ULASAN 7 OGOS : Saya belum ingin mengulas tentang serbuan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya seperti yang disiarkan oleh berita beberapa hari ini di sudut tindakan serbuan' itu.

Cumanya, sepertimana yang kita ketahui bahawa tiada manusia yang bertamadun yang boleh menerima tindakan provokasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara penganut agama tanpa alasan yang sah.

Saya ingin menyentuh tentang orang Islam yang hadir di majlis tersebut yang dikatakan oleh pihak media hadir mereka terpengaruh dengan agama Kristian disebabkan sikap baik penganut agama berkenaan membantu mereka.

Difahamkan bahawa orang Islam yang hadir, terutama ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin. Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal.

Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa 'jatuh hati' dan 'terhutang budi'. Di sini beberapa persoalan patut ditimbulkan;

1. Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta 'sedekah' kepada orang lain?

2. Mengapa kerenah biokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri.

Untuk mendapatkan RM100-200 pun, begitu banyak kerenahnya. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih.

Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?

3. Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan muallaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah Muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan dari umat Islam khususnya zakat?!

4. Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang Muslim menerima bantuan daripada bukan Muslim. Apatah lagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat.

Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.

5. Jika dibincangkan di sudut bantuan, pada asasnya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu.

Selagi mengikut peraturan dan undang-undang, seseorang boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa terbatas dengan agama atau bangsa.

Janganlah jika kita gagal membantu – sedangkan kita mampu - kita menyalahkan orang lain yang membantu. 

6. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan.

Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik. Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat Muslim?

Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?

Maka, banyak persoalan perlu masyarakat Muslim tanya diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Tabiat menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita!
Seterusnya >>>

Asri nasihat ulama muda kaji kedudukan mereka dalam Umno

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap ulama-ulama muda, yang menyertai Umno tahun lalu, mengkaji balik kedudukan mereka dalam parti itu ekoran tindakan pihak tertentu terus mengaitkan mereka dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.
Isu ini menjadi perhatian ekoran laporan media semalam bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meminta para mufti dan agensi agama negeri mengambil tindakan memantau amalan tersebut.
Asri dan 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu disenaraikan sebagai pihak yang perlu dipantau.
Bagaimanapun sehingga kini belum ada pengesahan rasmi mengenai laporan media semalam.
Sehubungan itu, Asri berkata, beliau terkejut apabila ada pihak yang menganggap sekitar 40 ulama muda, kebanyakannya merupakan rakan beliau dan menyertai parti teras Barisan Nasional (BN) itu setahun lalu, didakwa menggunakan politik sebagai platform untuk mengembangkan fahaman Wahabi dan dikaitkan boleh menjurus kepada aktiviti pengganas.
“Saya tahu mereka ini (ulama muda) bertungkus-lumus membantu Umno dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ulama muda dalam parti politik dan menjalankan kerja-kerja mendakwah, tetapi mereka dilabelkan macam ini.
“Jadi, saya meminta mereka mengkaji semula kedudukan mereka dalam parti (Umno), sama ada mahu kekal sebagai ulama muda dalam Umno,” kata Asri kepada The Malaysian Insider hari ini.
Dalam tulisan di laman Facebooknya semalam, Asri berkata “pada hari ini satu taklimat keselamatan diberikan kepada para mufti dan pegawai agama di seluruh negara... tamat pada pukul 1 tengah hari... beberapa tokoh dimasukkan sebagai mengancam keselamatan negara... saya pun dimasukkan juga... saya tidak kisah, memang ada pun pendapat saya yang tidak sama dengan kerajaan pusat termasuk dalam isu Bersih.”
“Namun yang peliknya 40 ulama muda Umno juga dimasukkan dalam senarai pengganas khusus Ustaz Fathul Bari (Mat Jahya)... demikian setelah mereka berhempas membela kerajaan Umno, inilah balasannya.”
Malah kata Asri, “(kerajaan) Arab Saudi dan ulamanya dianggap negara pengganas.. parti politik tertentu yang menerima bantuan daripada Arab Saudi juga dianggap ada unsur pengganas... sudah pasti lulusan Madinah semuanya pengganas... inilah apabila madu dibalas racun, penawar dibalas tuba... elok ulama muda Umno mengambil langkah yang drastik...”
Ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu dilihat sebagai rakan Asri. Asri juga pernah dikatakan akan menyertai Umno bersama mereka ketika itu, tetapi bekas mufti itu memutuskan untuk kekal di luar arena politik dan meneruskan pendirian beliau tanpa memihak mana-mana pihak.
Cakap-cakap mengenai isu Wahabi dan penyertaan ulama muda dalam Umno pernah kedengaran sebaik sahaja mereka menyertai parti itu tahun lalu tetapi dinafikan oleh mereka dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider.
Difahamkan mesyuarat pagi semalam merumuskan pihak-pihak dipercayai ada kaitan dengan amalan Wahabi akan berakhir dengan pembabitan terorisme.
Mesyuarat itu adalah susulan kepada pertemuan tahun lalu yang membincangkan isu berkenaan amaln Wahabi di peringkat pusat pengajian tinggi.
Difahamkan mesyuarat semalam telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang popular negara ini termasuk tokoh-tokoh ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.
Selain Asri antara nama yang disebutkan ialah Fathul dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya.
Dalam komen awal semalam, Asri berkata beliau terkejut dengan kemunculan semula isu amalan Wahabi sedangkan menurut beliau ia sepatutnya sudah “reda.”
Sementara itu, Fathul Bari memberitahu semalam bahawa beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung perkembangan terbaru ini.
Beliau sebaliknya menegaskan agar pihaknya diberi peluang untuk membuat penjelasan dengan MKN.
Isu mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) muncul awal tahun lalu.
Ketika itu nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Juanda juga muncul. Nama tokoh-tokoh itu dilaporkan dibangkitkan pada satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman ketika itu.
The Malaysian Insider difahamkan nama Hadi dan Shahidan tidak muncul kali ini.
Isu itu sekali lagi muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”
Mengulas lanjut, Asri memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihak berkuasa boleh memanggilnya untuk mendapatkan penjelasan pada bila-bila masa, bukannya membuat tanggapan sedemikian.
“Dua hari lalu, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ada datang berjumpa saya di rumah saya (di Pulau Pinang). Ketika masa perhimpunan Bersih 2.0, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar juga ada menghubungi saya untuk berkongsi pandangan.
“Jadi, mereka (pihak berkuasa) boleh menghubungi saya bila-bila masa jika memerlukan maklumat dan penjelasan... bukan menyenaraikan dan melabelkan seperti ini,” kata tenaga akademik Universiti Sains Malaysia ini, yang akhir 2009 dikenakan dakwaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor mengadakan kuliah agama tanpa tauliah di Hulu Klang.
Bertolak daripada pendiriannya berkaitan dengan isu-isu politik mutakhir, Asri juga berkata, pihak-pihak tertentu menentang fahaman Wahabi kononnya membawa fahaman sempit dan bertentangan dengan prinsip sebenar Islam.
“Saya menyokong usaha menentang jika fahaman Wahabi membawa fahaman sempit. Tetapi pihak yang membawa amalan Wahabi cuba membawa unsur progresif dan unsur-unsur yang sesuai dengan persekitaran moden, tetapi tidak meninggalkan prinsip Islam... misalnya isu kedudukan wanita dalam masyarakat.
“Seperti yang dikatakan oleh Barat, kita patut menentang dan mengelak perkara-perkara yang membawa kepada fahaman sempit,” kata Asri sambil menambah, “dalam perkembangan sekarang, mereka yang menentang kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan berhimpun juga seharusnya dianggap sebagai mereka yang mengamalkan fahaman Wahabi.”
“Sebab mereka tidak dapat membezakan antara fahaman progresif dan konservatif,” katanya lagi.
Asri merupakan antara tokoh agama progresif memberikan pandangan dan pendirian terbukanya mengenai perhimpunan Bersih 2.0 yang berlangsung di ibu negara 9 Julai lalu. Ia dikatakan kurang disenangi oleh sesetengah pihak dalam kerajaan dan Umno.
Seterusnya >>>

Wahabi: Kerajaan Jangan Bingkas Tuduh, kata Dr Asri

SHAH ALAM  : Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan sebarang tindakan Majlis Keselamatan Negara mengaitkan beliau dan ulama lain kepada fahaman Wahabi dan aktiviti keganasan sebagai tuduhan sempit dan tidak berasas serta hanya mencerminkan ruang demokrasi yang semakin terhad di negara ini.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya menerima kepelbagaian pandangan dan tidak bingkas membuat tuduhan melulu sebagaimana yang dizahirkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Dr Asri berkata jika benar MKN membuat dakwaan sedemikian, beliau tidak terkejut kerana "sekarang ini orang yang memakai baju kuning pun boleh dianggap komunis".

Beliau berkata pihak yang menunding jari kepada beliau dan rakan ulamanya sebagai pengikut Wahabi dan mengaitkan mereka kepada keganasan harus bermuhasabah.

"Apa fahaman Wahabi yang difahami oleh Barat? (Mengikut Barat ia adalah) satu fahaman yang sempit...menerusi pandangan tidak demokratik, maka bagi saya antara pandangan yang dipelopori oleh kelompok yang dianggap sebagai wahabi ini ialah mereka ini mengharamkan demokrasi, kebebasan bersuara, demonstrasi aman dan perkara terbuka. Ini adalah yang ditakrifkan wahabisme oleh Barat," kata Dr Asri.   

Beliau menegaskan trend kerajaan ketika ini seperti 'mengharamkan' perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu sendiri adalah mirip aliran pemikiran Wahabi ala Barat. Justeru itu, kata beliau, tidak wajar kerajaan melontar tuduhan itu kepada individu lain.

"Pelbagai maklumat yang diputar-belitkan, walaupun media antarabangsa menunjukkan baru0baru ini banyak ketidakadilan dan tidak sepatutnya dilakukan kepada mereka yang hadir dalam perhimpunan 9 Julai, tetapi maklumat di pihak kerajaan menyatakan mereka diberikan layanan yang baik, bahkan orang awam pula dikatakan sebagai pengganas," kata beliau kepada TvSelangor.    

"Saya rasa (tuduhan) ini bertujuan untuk mengalih pandangan rakyat daripada isu yang pelbagai kemudian bawa rakyat bincang isu yang lain, sedangkan kita ada banyak isu yang lain yang lebih utama," tambah beliau.

MKN hari ini dilaporkan mendakwa beberapa tokoh agama di Malaysia, termasuk Dr Mohd Asri sebagai mendokong fahaman Wahabi yang menurut kerajaan mempunyai kaitan dengan aktiviti terorisme.

Menurut sumber yang dipetik oleh Malaysiakini, MKN mendakwa seramai 40 ulama muda Umno turut dikaitkan dengan fenomena itu, malah mereka dikatakan disokong oleh kerajaan Arab Saudi dan beberapa negara Arab lain.

Dr Asri berkata MKN melakukan silap besar mengheret kerajaan Arab Saudi dalam isu itu, memandangkan implikasi antarabangsanya.

"Kerajaan telah mengambil risiko yang bahaya kerana mengaitkan Arab Saudi. Saya juga bimbang ini akan membawa hubungan yang buruk antara Malaysia dan Arab Saudi sedangkan kita memerlukan mereka dalam kuota haji dan seumpamanya."
Seterusnya >>>

Himpunan Bersih: Dr Asri minta Putrajaya tubuh panel khas siasatan

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Sementara polemik mengenai Himpunan Bersih 2.0 berterusan, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul mencadangkan agar Putrajaya menubuhkan satu badan khas bagi menyiasat kebenaran mengenai dakwaan kekerasan melibatkan pihak berkuasa.
Kata bekas mufti Perlis ini, selepas pendedahan rakaman video yang didedahkan polis semalam ia telah menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan mengenai kekerasan yang digunakan pihak keselamatan semasa menghuraikan perhimpunan yang turut disertai pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat.
Asri yang dilihat sebagai pemerhati politik negara berkata demikian sehari selepas polis mengumumkan hasil siasatan melibatkan enam jawatankuasa mereka semalam.
Pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang pulang dari luar negara mendakwa perhimpunan 9 Julai lalu bertujuan menggulingkan kerajaan pimpinannya.
Petang tadi, Suhakam mengumumkan terma rujukan mengenai usaha mereka mahu mengadakan siasatan awam mengenai kekerasan pihak berkuasa sebelum dan selepas perhimpunan 9 Julai.
Namun kata Asri, rakaman yang diperoleh oleh peserta dan media menunjukkan sebaliknya tentang apa yang berlaku berbeza dengan apa yang didedahkan polis.
“Saya rasa kita perlu hentikan cerita apa yang berlaku semasa Himpunan Bersih 2.0 dan saya cadangkan kerajaan tubuhkan badan analisis yang akan menganalisis secara jujur tentang peristiwa yang berlaku.
“Hasil dari analisis itu kerajaan perlu membuat penilaian semua tindakan mereka terhadap Himpunan Bersih 2.0 dan pertimbangkan cadangan yang diberikan oleh badan itu agar kerajaan dapat mengawal imej mereka,” katanya pada sidang media selepas Forum Kepimpinan Wanita Dari Perspektif Islam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) di Bangi, hari ini.
Jelas beliau, hasil daripada analisis itu juga turut boleh diguna pakai oleh Putraya sebagai panduan selain untuk tujuan penambahbaikan sistem yang sedia ada.
Ketika dihubungi the Malaysian Insider kemudian, Asri berkata badan itu perlu membuat analisis secara jujur demi kepentingan sama ada yang memihak kepada kerajaan ataupun pihak lain.
“Sekarang ada maklumat kata pihak kerajaan yang betul, malah ada maklumat kata penganjur dan pembangkang... kita kena ada jalan penyelesaian,” katanya yang yakin bahawa hasil siasatan panel bebas ini akan membantu menaikkan imej kerajaan bahawa ia terbuka dan bersedia mendengar pandangan ramai.
Asri juga mahu kerajaan bersikap terbuka dengan menyediakan ruang dalam media sama ada di saluran televisyen kendalian RTM ataupun memberikan lesen siaran kepada pembangkang.
“Di Bahrain, kerajaan mendakwa pembangkang pergi kepada media luar sebab tiada ruang di media dalam negara... jika kita tidak menyediakan ruang kepada pihak lain termasuk pembangkang, mereka pasti akan mencari media alternatif,” jelas beliau.
Semalam polis telah menayangkan rakaman video berhubung Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara sambil menegaskan tiada kekerasan dilakukan ke atas peserta perhimpunan kecuali mengakui insiden Hospital Tung Shin.
Hasil siasatan mengenai insiden hospital itu dijangka siap minggu depan.
Asri menambah, ekoran daripada perhimpunan anjuran Bersih 2.0 imej negara di mata dunia telah terjejas.
Justeru kata beliau, badan khas itu perlu bersikap adil dan jujur dalam memberikan cadangan kepada kerajaan.
“Jawatankuasa badan ini boleh terdiri daripada pakar atau pemerhati politik yang tidak menyebelahi mana-mana parti.
“Mereka perlu mengkritik tanpa berpihak pada mana-mana parti dan cadangan yang diberikan adalah untuk kepentingan kerajaan. Mereka perlu ambil orang seperti ini untuk kebaikan negara,” tegasnya.
Jelas Asri lagi, jawatankuasa Bersih 2.0 boleh terus meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanan tuntutan yang dikemukakan namun mesti mengikut prosedur yang betul.
“Tuntutan dari gabungan Bersih 2.0 perlu dibuat secara matang. Saya harap pihak kerajaan dan SPR tidak menutup pintu rundingan.
“Saya harap kerajaan ambil ikhtibar dari negara teluk. Media sepatutnya diberi ruang untuk membincangkan isu seperti ini,” katanya sambil menambah lapan tuntutan Bersih 2.0 itu mesti dibincangkan secara matang.
Selain itu kata beliau, bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit media perlu menganjurkan forum atau perbincangan secara langsung agar rakyat boleh membuat penilaian dengan adil.
“Jika mereka menyiarkan sebuah forum antara gabungan Bersih 2.0 bersama pihak SPR dan berbincang, rakyat boleh tengok dan nilai secara matang.
Ini juga boleh mengelakkan demonstrasi. Media perlu diberi ruang. Kerajaan juga perlu mulakannya sekarang kerana kini kita sedang berada di era baru. Jadi kerajaan perlu mulakan dengan cara yang lain. Kita perlu buka ruang antara Bersih dan SPR,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai tayangan video oleh polis, Asri berkata, kedua-dua pihak baik polis dan Bersih 2.0 mempunyai kesilapan mereka sendiri.
Beliau berkata, jika kebenaran untuk berhimpun di dalam stadium diberikan dan polis mengawalnya dengan baik, imej polis tidak akan terjejas di peringkat antarabangsa.
“Kita telah mengawal perhimpunan ini secara emosi. Kita perlu belajar sesuatu daripada peristiwa ini. Majoriti ahli sarjana berpendapat pengendalian isu ini tidak akan memuaskan imej kerajaan. Jika mahu kendalikannya, kendali secara profesional,” katanya.
Seterusnya >>>

Dr Lo'Lo' Yang Saya Kenali - Dr Asri


BELASUNGKAWA : Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini.


Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang.


Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.


Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo'lo' Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya.


Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut 'insyaAllah'.


Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM.


Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo'lo Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.


Saya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi SAW nasihati kita: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: 'aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.


Peringatan jawatan mufti


Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo'lo'. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo'lo' sejak sebelum saya menjadi mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya.


Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum. Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo'lo' menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut.


Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu. Antara yang beliau sebut “Saya juga seorang manusia yang daif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya.


“Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam.


“Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.


Itulah antara kandungan email beliau.


Lahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu.


Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau.


Masuk Umno


Apabila saya menjadi mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau. Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin Umno.


Apabila berhenti dari jawatan mufti, pada hari yang berikutnya saya terus ke United Kongdom. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester.


Layanan baik Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap baik ibunya kepada saya.


Apabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo'Lo' yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak.


Sempat saya bercakap dengan beliau. Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya: “Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang ada”.


Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga kami bertanya khabar.


Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini.


Apabila timbul berita saya akan masuk Umno, Dr Lo'lo' menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau:“Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk Umno. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu. Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama”.


Cabaran dunia


Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap langkah. Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya: “mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk Umno.


“Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk Umno? Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk Umno”.


Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan memberikan nasihat.


Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk Umno, Dr Lo'lo sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata: “Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk Umno, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS.


“Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini. Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk Umno”.


Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya.


Saya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama Pakatan Rakyat Dr Lo'lo' kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya. Kadang-kala bahasanya 'tegas'.


Saya sering tersenyum apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang yang prihatin.


Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya 'Ulama atau professional jadi pemimpin'.


Hamba Allah yang baik


Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam kepimpinan PAS.


Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz.


Dr Lo'lo' meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam kedaan yang uzur terbaring di katil.


Wajahnya sudah kelihatan bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau: “ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik”.


Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi. Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan kasih-sayang Allah.


Kata-kata yang tidak lahir di saat-demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada Allah.


Kemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS.


Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau.


Ustaz sampul


Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat.


Antara yang beliau kata; “Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana”.


Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau 'pendakwah'.


Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah. Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan.


Kata-kata Dr Lo'lo' itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.


Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan keadilan.


Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya.


-Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas mufti Perlis dan surat ini dikirimkannya kepada Malaysiakini, lewat petang semalam
Seterusnya >>>

BN perlu buang pemikiran feudal jika nak kekal kuasa, kata Dr Asri

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Susulan perhimpunan 9 Julai, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Barisan Nasional (BN) perlu membuang pemikiran feudal jika mahu terus mendapat sokongan rakyat terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Jelas bekas mufti Perlis, dalam kepimpinan BN terlaku ramai “golongan pengampu” berbanding golongan yang boleh membantu parti perikatan untuk terus dilihat relevan dalam arena politik sekarang.
“Dalam pemerintah sekarang semua orang nak tunjuk kononnya dia setia (kepada pemerintah) walaupun kenyataan yang dikeluarkan adalah bodoh, tapi dia rasa tidak mengapa yang penting perdana menteri tahu.
“Dalam Umno bila ada pemimpin bagi kritikan, dia ini dianggap musuh walaupun idea yang diberikan adalah baik, namun ia dianggap bahaya kerana unsur feudal tidak ditinggalkan,” katanya dalam satu program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di ibu negara malam tadi.
Program dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan dihadiri intelektual, lebih banyak menyentuh perhimpunan 9 Julai lalu anjuran Bersih 2.0 dan diprotes Pemuda Umno.
Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang mengetuai perhimpinan Patriot membantah Bersih 2.0 Sabtu lalu.
Tegas Asri (gambar), BN yang diketuai Datuk Seri Najib Razak harus memilih pemimpin yang boleh membantu pentadbiran kerajaan seterusnya boleh menarik sokongan rakyat.
“Kalau kerajaan pandai tangani ini, ia akan beri kelebihan tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya... pemikiran feudal ini perlu dibuang.
“Kalau perlu cari pemimpin yang boleh bantu kerajaan bukan kaki pengampu, ramai rakyat sekarang tidak tahu mahu mengundi siapa sebab mereka masih melihat keadaan dan kumpulan ‘third force’ ini jumlahnya lebih besar.
“Ramai yang nak masuk politik supaya dapat bodek pemimpin dan dapat hasil, namun kesannya nanti ia akan meroboh institusi yang ada, sebagai contoh khutbah Jumaat... institusi agama digunakan apa dalil agama yang mengharamkan perhimpunan, dalil agama digunakan untuk memburukkan orang lain.,” katanya.
Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 anjuran Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.
Dalam pandangan yang dikemukakan di hadapan kira-kira 30 orang, Asri juga menyamakan BN seperti “seorang bapa yang menakutkan anak agar tidak ke tempat gelap kerana ada hantu.”
Kata beliau, strategi sedemikian sudah tidak berguna kerana rakyat sudah matang dan informasi boleh diperoleh melalui pelbagai cara.
“Saya menggambarkan kerajaan sebagai seorang bapa kepada seorang anak yang menakutkan anaknya agar jangan pergi ke tempat gelap kerana ada hantu, pada waktu kecil anak akan terima tapi bila anak sudah besar dan belajar di universiti ia sudah tidak berguna.
“Kerajaan dan pemimpin sudah terlupa bahawa sekarang bukan lagi zaman 70-an kerana kerajaan sudah tidak lagi boleh menghalang maklumat... dulu memang orang baca Utusan Malaysia tapi sekarang orang sudah tidak baca dan tidak percaya,” katanya.
Asri juga secara peribadi mengatakan beliau berasa dukacita dengan langkah Putrajaya menangani perhimpunan itu yang menyaksikan seorang lelaki terbunuh didakwa terkena gas pemedih mata yang dilepaskan pihak keselamatan.
“Itu hak mereka untuk tidak berkumpul, saya bukan menyokong mana-mana pihak tapi ia menyebabkan kita tidak boleh untuk melangkah ke hadapan.
“Saya percaya kalau perdana menteri benarkan, polis benarkan, malah turut membantu melancarkannya saya rasa kerajaan akan dapat kredit... dan saya sangat dukacita cara kerajaan menangani perkara ini,” katanya.
Sementara itu penganalisis politik Anis Yusal Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, lapan tuntutan yang dikemukakan Bersih 2.0 boleh dibincangkan dengan SPR.
Lapan tuntutan yang perlu dilaksanakan itu adalah membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
“Saya tidak nampak tuntutan ini terlampau, ia boleh dibincangkan dan SPR perlu memberikan sebab-sebab yang munasabah mengapa ia tidak boleh dilakukan.
“Saya tidak faham mengapa perkara yang jelas sebegini boleh dianggap tidak munasabah, kalau benda asas seperti ini tidak boleh dibincangkan, bagaimana?” katanya.
Bekas pesuruhjaya Suhakam Datuk Dr Denison Jayasooria pula berkata Putrajaya perlu lebih matang dalam menangasi isu-isu yang sensitif.
“Selepas ini, banyak perkara yang perlu dilakukan (kerajaan), segala masalah yang berlaku perlu diselesaikan. Kerajaan juga perlu menggunakan pendekatan komunikasi yang lebih bagus dan lebih terbuka,” katanya.
Seterusnya >>>

Dr Asri: ‘Islam tak beri pemerintah lesen lakukan apa sahaja’

KUALA LUMPUR  – Dalam pandangan dilihat menyentuh kesan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Putrajaya telah mempergunakan pemimpin agama untuk mempertahankan kuasa sebagaimana disaksikan di rantau Timur Tengah.
Bekas mufti Perlis berkata pemerintah di Timur Tengah yang sebahagian besarnya adalah “korupsi dan zalim” mempergunakan pemimpin agama untuk membela mereka.
“Mereka (pemimpin agama) memahami nas-nas al-Quran dan Hadis secara literal dan menganggap urusan muamalat dan siasah sama seperti ibadat khusus yang tidak boleh dilakukan pembaharuan dan tokok tambah,” kata tokoh agama yang memperlihatkan pendirian progresif.
Tenaga akademik dari Universiti Sains Malaysia ini memberitahu, keadaan itu wujud apabila kelompok terbabit mentafsir hadis-hadis politik secara literal, yang seakan-akan Islam memberikan ‘lesen’ besar kepada pemerintah untuk melanyak rakyat dan rakyat pula diikat kaki, tangan dan mulut dengan nas-nas agama dari bertindak atau membantah.
“Lebih hodoh lagi, hanya nas-nas yang ‘kelihatan’ propemerintah sahaja yang dibaca, diforumkan, diwar-war dalam pelbagai saluran sedangkan nas-nas yang memberikan amaran terhadap kezaliman pemerintah tidak pula dicanangkan,” kata beliau.
Di Malaysia kata Asri, “kita dapat melihat fonomena ini semasa isu demonstrasi panas baru-baru ini dalam masyarakat.”
“Di sini bukan bertujuan menyokong atau menentang demonstrasi aman, tetapi sekadar ingin membincangkan kefahaman sesetengah pihak mengenai hadis-hadis berkaitan,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 anjuran Bersih 2.0 untuk menuntut transformasi pilihan raya yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan dan disokong Pakatan Rakyat mengemukakan lapan tuntutan yang perlu dilaksanakan iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat ditahan.
Jelas Asri, tindakan berbentuk keganasan tidak boleh dilakukan terhadap rakyat sekiranya tiada pententangan dilakukan termasuk perkara yang boleh menyebabkan kerosakan yang lebih besar.
“Hadis tentang taat dan patut sekali pun dirampas harta dan dipukul itu, ia merujuk kepada keadaan di mana jika penentangan dilakukan akan menyebabkan kerosakan yang lebih besar seperti pemerintah akan membunuh atau memusnah orang lain yang tidak bersalah sedang kita tidak mampu memberikan sebarang kesan kepada mereka.
“Ini terutama di zaman dahulu yang terkenal dengan penumpahan darah. Begitu juga di bawah rejim-rejim yang zalim yang hanya merugikan para penentang dan negara secara umumnya,” katanya.
Jelas beliau, keadaan kini sudah berubah yang mana setiap negara terikat dengan peraturan antarabangsa terutamanya mengenai hak asasi manusia.
Namun, katanya, apabila dunia berubah negara-negara terikat dengan peraturan antarabangsa mengenai hak asasi rakyat.
“Juga, apabila negara-negara itu meletakkan dalam perlembagaan mereka tentang hak-hak rakyat, dalam ertikata lain membantah pemerintah dalam negara demokrasi aman itu adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap menentang negara kerana diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan negara dan persetujuan antarabangsa,” katanya.
“Maka, konteks Hadis sudah berbeza,” kata Asri sambil menambah, “Islam bukanlah agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja dan rakyat wajib mendiamkan diri.”
Oleh itu tegas beliau, jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah.
Dengan mengambil contoh daripada Hadis, Asri berkata “Rasulullah sendiri sebagai pemerintah membenarkan diri Baginda dibalas.”
Tegas beliau, pemerintah tidak dibenarkan sama sekali untuk bertindak sewenang-wenangnya apatah bertindak ganas terhadap rakyat.
“Jika pemerintah itu diberikan wewenang untuk memukul dan mengambil tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan itu?
“Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama? Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu,” katanya.
Seterusnya >>>

Dr Asri : Polis Patut Permudah Proses Demonstrasi


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEibb8FiciR1wzcs5D7qbzi4r39MwpH_G2IcCldU_EyNB4xF0YQpYCl4asN3zln8iWqQwjkrSXri-nF9D9lQdKgLMpPwg4G0mw-cl8LAyTDam3-qn4expiM5wLe5E6XMo01OLOW0Z5QmR1S4/s320/mufti1.jpgSHAH ALAM: 23 Jun: Adalah haram bagi mana-mana pihak, tidak kira peserta demonstrasi ataupun polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Oleh itu, kata beliau, sesiapa yang mahu menyertai demonstrasi seperti Bersih 2.0 hendaklah berazam tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, mencederakan sesiapa, dan memaki hamun.

Sebaliknya, kata Dr Asri, mereka harus melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati dengan cara yang aman.

“Pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses itu berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.

“Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan, katanya.

Dr Asri berkata, sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.
“Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak. Polis, rakyat dan golongan atasan,” katanya.

Beliau berhujah demikian dalam kolumnya di portal Malaysiakini hari ini berhubung isu perhimpunan rakyat yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0 yang dijadualkan 9 Julai depan.
“Setelah saya mendengar taklimat BERSIH dan menilainya, saya dapati tujuannya baik, menuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh
Perlembagaan.

“Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti. Maka, saya tidak mempertikaikan BERSIH di sudut tujuannya,’ kata Dr Asri lagi.

Bagaimanapun beliau bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkan perhimpunan itu dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum, “sedangkan tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihanraya”.

“Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan mungkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.
“Namun, oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan.

“Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr Asri berkata, SPR hendaklah menunaikan tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turun ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai.

“Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman,” kata beliau.

Bagaimanapun beliau menegaskan memelihara keamanan adalah syarat utama keharusan mengadakan demonstrasi, “jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak”.

Beliau mengemukakan hujah bahawa demonstrasi jalanan ini pernah berlaku di zaman Rasulullah.

Katanya, Nabi Mohammad s.a.w. pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya membuat bantahan di jalan.

“Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi: “Sesungguhnya jiranku menyakitiku”.

“Sabda Nabi: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”.

“Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”.

“Maka mereka berkata:“Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”.

Hadis berkenaan, kata Dr Asri, diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dan Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih.
Seterusnya >>>

Umno hipokrit kecam konsep negara kebajikan PAS

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Umno memperlihatkan sikap hipokrasi mereka dengan menentang pendirian terbaru PAS, yang minggu lalu mengetengahkan konsep negara berkebajikan.
Sehubungan itu kata Asri, Umno sebagai parti teras Barisan Nasional (BN) dan mewakili suara orang Melayu, seharusnya mengalu-alukan perubahan pendirian PAS yang sebelum ini dilabel sebagai konservatif dan fanatik.
“Saya tidak tahu apa pendirian Umno sebenarnya. Dulu Umno yang mengecam PAS kata dikuasai oleh golongan ulama, sekarang golongan profesional ada, mereka masih hentam.
“Saya lihat Umno macam hipokrit... dulu dia (Umno) yang mengatakan bahawa PAS ini (parti) jumud, jadi saya lihat ini sikap yang tidak betul,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
“Kita tidak sepatutnya hentam mereka, sebaliknya perlu terbuka dan mengalu-alukan perubahan pendirian PAS ini... dulu bukan Islam takut dengan konsep negara Islam, sekarang PAS lebih terbuka, lebih ke depan daripada Umno... patut Umno alu-alukan dan bukannya mengkritik PAS,” kata beliau.
Tenaga akademik ini mengulas perkembangan kritikan ke atas PAS sejak pada Jumaat lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Ke-57 menekankan konsep membangun negara berkebajikan.
Dalam komen balasnya semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata konsep negara berkebajikan dibawa Pakatan Rakyat khususnya PAS adalah selari dengan kehendak Islam.
Katanya, konsep berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material, sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.
Justeru kata Menteri Besar Kelantan itu, kedua-dua perkara tersebut membawa kebaikan kepada rakyat dan keluarga lebih selamat daripada menerima masalah tekanan kewangan dan penularan gejala negatif sosial.
Kata Nik Aziz, berkebajikan itu ialah perkara yang boleh memberi keselamatan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat.
Ini pandangan kedua Asri mengenai pendirian PAS yang menyentuh konsep negara berkebajikan.
Sabtu lalu, beliau menyifatkan PAS sudah mula memperlihatkan “kemajuan memberangsangkan” memandangkan ia sanggup mengakui bahawa dalam al-Quran tidak disebut negara Islam, cuma ditekankan ialah negara berkebajikan.
Muktamar PAS yang berakhir Ahad lalu dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.
Kata Asri, sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih ke hadapan, namun hari ini dengan kenyataan Hadi akan memberi nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.
Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 Jumaat lalu, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk ‘negara Islam’, isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.
Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama ‘negara Islam’ itu semata-mata.
“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.
“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya.
Dalam ulasan terbaru ini, Asri berkata, pendirian Umno seolah-olah menunjukkan bahawa “keadaan sudah terbalik” memandangkan parti itu ditolak ke belakang manakala PAS pula kelihatan dan menunjukkan sikap keterbukaan.
“PAS kini nampak lebih terbuka macam Umno dalam tahun 1980-an, patut Umno lebih mengalu-alukan perubahan sikap PAS... dulu mereka yang hentam ulama PAS, kononnya PAS ini fanatik... sekarang sudah terbalik keadaan,” kata Asri lagi.
“Sekarang PAS sudah berubah, Umno pula menentang. Saya pun tidak tahu apa yang Umno buat, saya rasa Umno sudah silap perhitungan,” katanya lagi.
Seterusnya >>>