Tokoh wartawan A Kadir Jasin mempertahankan siri kritikannya terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang disifatkannya boros, cemerkap menguruskan kewangan dan tidak sensitif terhadap perasaan rakyat.
Ini kerana, menurut bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu, masih banyak masalah membimbangkan dalam pentadbiran Najib, selain kesan negatif rasionalisasi terhadap ekonomi.
“Adakah beliau raja berkuasa mutlak yang tidak boleh disentuh barang sedikit pun?
“Atau adakah dia keramat hidup yang bebas daripada segala bentuk kesilapan?” sindir Kadir.
Menulis di blognya semalam, Kadir juga membangkitkan langkah Najib dua tahun berturut-turut bercuti di luar negara dan kemudian “menjanjikan khabar buruk” kepada rakyat dengan memansuh dan mengurangkan subsidi secara serentak.
Dalam tulisan panjang itu, Kadir juga membangkitkan soal kemerosotan nilai ringgit, masalah defisit belanjawan, hutang negara yang makin meruncing serta penjualan aset bagi mengatasi masalah kewangan negara.
“Ini bukan cerita khayalan rekaan saya. Bukan fitnah. Ini adalah kata Bank Dunia yang kita menjadi anggotanya,” katanya lagi.
-/ Malaysiakini
Seterusnya >>>
Datuk
A. Kadir Jasin percaya media arus perdana hanya akan bebas seperti
media baru apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan
raya.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar New Straits Times itu tersebut
mengakui media arus perdana dikawal oleh pemerintah BN dimana polisi dan
hala tuju mereka turut ditentukan oleh kerajaan.
"Pemerintah menguasai media arus perdana dan mereka yang berada dalam
organisasi terpaksa mengikut polisi yang disediakan," kata A. Kadir
dalam dalam satu seminar "GE:13 An Analysis and Aftermath" hari ini di
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dalam pada itu, A. Kadir berpendapat selagi pemerintah tidak bertukar
maka sukar untuk melihat sebarang perubahan serta menegaskan perubahan
media yang lebih bebas berlaku negara jiran seperti Thailand dan
Indonesia berlaku kerana pertukaran pemerintah.
"Untuk melihat media yang dikawal dan dikuasai oleh kerajaan, dimana
media arus perdana akan berubah saya tidak fikir ia akan berlaku.
"Kita lihat contoh negara jiran seperti Thailand dan Indonesia dimana
mereka tidak mempunyai masalah ini kerana pemerintah bertukar,"
tegasnya lagi.
Dalam pada itu, keputusan pilihan raya pada 5 Mei lalu adalah jelas
menunjukkan keengganan kerajaan BN untuk berubah meskipun kehilangan
sokongan daripada masyarakat Cina dan India berbanding Pilihan Raya
2008.
"Selepas pilihan raya, media arus perdana mengatakan kerajaan tidak
kalah walaupun Cina dan India tidak pilih mereka kerana Umno kuat.
"Mereka berkata kami tidak akan berubah dan kamu perlu mengikut jejak
kami," kata A. Kadir merujuk kepada keputusan pilihan raya baru-baru
ini.
Pencapaian BN dalam Pilihan Raya 2013, lebih buruk daipada 2008.
Kerusi di Parlimen jatuh daripada 140 kepada 133. Manakala bagi
kerusi DUN, BN merosot daripada 306 kepada 274 walaupun dapat menawan
semula Kedah dan mengesahkan penguasan ke atas Perak.
Isu kebebasan media khususnya arus perdana menjadi perkara yang sering
dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat (PR), malahan beberapa pemimpin PR juga
telah memenangi beberapa saman ke atas media kawalan kerajaan tersebut
atas laporan berat sebelah dan fitnah yang diterbitkan mereka.
Kes
terbaru adalah pada minggu lalu apabila bekas Menteri Besar Perak,
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menang dalam kes fitnah terhadap
Utusan Melayu (M) Bhd berkaitan plat WWW1 yang dibeli oleh Sultan Johor.
Bagaimanapun, PR dikatakan mempunyai penguasaan lebih banyak di media
baru yang dikatakan adalah penentu kepada keputusan pilihan raya 5 Mei
lalu terutamanya media sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan
laman-laman berita alternatif lain.
Awal Januari lalu, media melaporkan kedudukan Malaysia yang merosot
ke tangga 145 daripada 179 negara lain dalam Indeks Kebebasan Akhbar
sedunia.
Seterusnya >>>
KUALA LUMPUR, 11 Ogos: Pendedahan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, Datuk Kadir A Jasin bahawa Perdana Menteri mempunyai 11 pegawai media mengejutkan banyak pihak walaupun ia sebelum ini bukan menjadi rahsia di kalangan pengamal media.
Bilangan pegawai media ini amat mengejutkan kerana semasa Tun Dr Mahathir, beliau hanya mempunyai tiga pegawai media sahaja.
"Seorang pegawai media Perdana Menteri berkata, PM ada 11 pegawai media yang terdiri daripada bekas pengarang, wartawan kanan dan eksekutif TV. Paling ramai Dr Mahathir ada sepanjang jadi PM adalah tiga," tulis Kadir dalam blognya.
Menurut sumber antara nama besar di kalangan pegawai media Najib adalah Datuk Seri Farid Redzuan (bekas CEO TV3), Datuk Khalid Mohamad (bekas Ketua Pengarang kumpulan Utusan) dan Jalil Abdul Hamid (bekas Timbalan Ketua Biro Reuters Malaysia).
Di samping mereka bertiga ada Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (Setiausaha Akhbar PM), Datuk Seri Jalaludin Bahaudin (Penasihat Media PM), Datuk Hardev Kaur (bekas Timbalan Ketua Editor Kumpulan NST yang kini menjadi Pegawai Khas PM).
Menurut maklumat yang Harakahdaily terima, Jalil bersama dengan Datuk Khalid kini menyertai Pasukan Komunikasi Kebangsaan (National Communication Team) yang berpejabat di Boulavard, Mid Valley.
Datuk Seri Farid Ridzuan pula dikatakan dipinjamkan ke Pejabat PM untuk tugasan khas berkaitan dengan belia termasuk menguruskan media baru.
Datuk Hardev Kaur adalah penasihat khas Najib selaku Menteri Kewangan.
Menurut sumber, pasukan penasihat yang bertugas bersama APCO sebelum ini masih bertugas dengan pejabat Perdana Menteri.
"Kesemua mereka masih bertugas cuma bukan atas nama APCO lagi sekarang," kata satu sumber kepada Harakahdaily.
Ada juga yang memaklumkan, gaji mereka semuanya amat besar iaitu kira-kira sama dengan gaji yang mereka dapat ketika bertugas dengan jabatan mereka sebelum ini.
Di samping bimbang dengan bilangan pegawai media yang ramai ini, Kadir Jasin dalam tulisannya juga secara sinis membandingkan bilangan menteri dalam kebinet Najib ekoran perlantikan G Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang terbaru.
Kalau menambahkan bilangan, menaikkan KPI, maka KPI Perdana Menteri naik se takuk lagi. Beliau baru sajamenambah bilangan anggota kabinetnya kepada 30 dengan melantik seorang ahli politik kecundang, tulis Kadir.
"Sebenarnya saya pun tak tahu kedudukan KPI menteri, pegawai dan jabatan. Yang saya baca, Idris Jala kata, kadar jenayah menurun dan matlamat NKRA sedang dicapai.
"Tapi yang saya baca setiap hari orang kena bunuh, mayat reput ditemui, orang kena ragut sampai mati dan macam-macam lagi jenayah ngeri. Yang saya tengok, tak ada kawasan perumahan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang tak dikepung dan dikawal siang malam," tulisnya.
Perdana Menteri melantik presiden MIC, Palanivel a/l Govindasamy aka G. Palanivel menjadi seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menaikkan bilangan mereka kepada lima.
Seperti Koh Tsu Koon dan Shahrizat Abdul Jalil, Palanivel juga kalah pilihan raya umum. Dia kalah kepada calon PKR di Hulu Selangor dan tidak dicalonkan untuk bertanding pilihan raya kecil kawasan yang sama tahun lalu.
Dalam PRU akan datang, dia dikatakan akan bertanding di Sungai Siput, Perak, kawasan bekas bosnya S Samy Vellu yang kalah kepada DAP, tulis Kadir.
"Memang kabinet kita besar. UK dengan 62 juta penduduk ada 23 menteri, Perancis 66 juta ada 23 menteri, Amerika 312 juta ada 12 ahli kabinet dan Switzerland lapan juta ada tujuh menteri. Kita ada 28 juta penduduk dan 30 menteri. Tidak hairanlah susah nak jumpa menteri sebab tak tahu yang mana satu," tulis Kadir Jasin lagi.
Seterusnya >>>