Showing posts with label Datuk A Samad Said. Show all posts

Pengakuan SPR bukti mereka bersalah


Datuk A Samad Said mengatakan pengakuan dilakukan oleh pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kesal kerana kegagalan dakwat kekal untuk berfungsi dengan baik semasa Pilihan Raya 2013 membuktikan badan penggendali pilihan raya itu bersalah.
Menurut pengerusi bersama Bersih 2.0 itu, pengakuan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf membuktikan pilihan raya umum 5 Mei tidak berjalan dengan baik dan oleh itu beliau seharusnya berundur.
“Bunyinya agak tidak sedaplah. Tetapi secara hormat, sesudah mengetahui beberapa kesilapan, eloklah dia undur, letak jawatan,” kata beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad apabila ditemui oleh The Malaysian Insider pagi ini.
“Jadi dia harus, harus lakukan itu. Jadi pengakuannya itu, bagi saya ialah satu penerimaan bahawasanya apa yang berlaku itu memang betul dia bersalah,” tambah beliau lagi.
Dalam wawancara bersama sebuah akhbar berbahasa Melayu yang disiarkan semalam, pengerusi SPR menyatakan kekecewaan berhubung dengan kegagalan penggunaan dakwat kekal.
"Kalau orang tanya saya sekarang ini, apakah perkara yang paling menyedihkan dalam hidup saya, saya akan jawab dakwat kekal," katanya kepada Sinar Harian.
Pak Samad yang juga seorang Sasterawan Negara mempersoalkan mengapa SPR tidak menguji keberkesanan dakwat kekal sebelum membenarkan ianya digunakan dalam Pilihan Raya 2013 lalu.
“Tidakkah SPR mengujinya dulu? Dia terus sahaja untuk mempercayai. Itu tidak boleh saya fikir ini sebab untuk memberi hak ni, memberi kuasa.
“Saya harap dia berkata itu jujur, sebab itu adalah pengakuan dia bahawasanya memang pilihan raya itu tidak murni,” katanya.
Pengerusi bersama Bersih 2.0 itu juga turut menyarankan kepada penyokong-penyokong mereka agar beramai-ramai menghadiri perhimpunan #Black505 yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat (PR) di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun.
“Kita menyarankan, ataupun merayu supaya ahli-ahli lebih banyak untuk menyertainyalah.
“Kalau Ambiga sendiri sudah kata turun ke jalan raya, jadi kita turun ke jalan rayalah,” kata beliau merujuk kepada seorang lagi pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.
Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata semalam, kegagalan dakwat kekal untuk berfungsi dengan baik tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menuduh SPR membenarkan pengundi mengundi lebih daripada sekali atau melakukan penipuan dalam pilihan raya umum.
Abdul Aziz mendakwa kaedah itu - yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya telah menguji beberapa kali sebelum dilaksanakan pada 5 Mei lalu.
"Tetapi pada hari yang ditunggu-tunggu kuasa Allah lebih hebat apabila dakwat boleh hilang selepas beberapa kali dicuci, di mana silapnya?
"Memang sedih tapi kita tidak berdiam diri. Kita tubuhkan pasukan khas, yang dipengerusikan Datuk Christopher Wan Soo Kee dibantu dua ahli panel lain iaitu Datuk Md Yusop Mansor dan Abdul Aziz Khalidin," katanya.
PR telah mengadakan perhimpunan besar-besaran #Black505 di seluruh negara semenjak 8 Mei untuk memprotes dakwaan penipuan dalam Pilihan Raya 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa walaupun kehilangan undi popular. – 18 Jun, 2013.
Seterusnya >>>

Ibu segala tipu


Dengan sanubari sequdus hasrat
lelangkah yang luhur sepadu hajat
kita berhimpun sepenuh harapan
sedia tentang inti kemungkaran.


Awalnya segala tersenyum ilham
cuaca dan hajat akrab bersalam.
Kita memangkahnya secekal kalbu
rindu memahat sejarah yang syahdu.


Iklim yang gusar tetiba meledak
ketika kendera menyusup rahsia,
dan demokrasi sengaja dikocak
sebijak helah sekejam pendera.


Kertas undi yang terkumpul berbalam
sopan dan segan diusik khayalan,
sebaik senja disenyumi malam
sesenyapnya bermula pencemaran.

Malam debaran tersentap amarah,
cahaya bulan dikoyak-koyaknya,
rahsia gelap memulai dosanya,
berterbanganlah undi yang ditambah.

Kita berhimpun di padang sejarah
demi melawan kemungkaran baru;
demokrasi wajar dipelihara
daripada ibu segala tipu.


Sasterawan Negara
A Samad Said,
Himpunan ‘Suara Rakyat Suara Keramat’,
Kelana Jaya,
8 Mei 2013
Seterusnya >>>

Puisi dianggap jenayah, Pak Samad sedia disiasat polis

KUALA LUMPUR 5 September: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said sedia untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 3.00 petang esok bagi membantu siasatan berkenaan Himpunan Janji Demokrasi pada malam ambang kemerdekaan Khamis lalu.
“Mereka mahu saya datang ke IPD Dang Wangi pada jam 6.00 petang ini, tetapi saya menolak kerana ada acara lain. Lagipun, masa itu terlalu singkat.
“Namun, saya bersetuju untuk hadir selepas anggota Gabungan Janji berunding agar masa itu dianjak kepada 3.00 petang esok,” katanya ketika dihubungi.
Gabungan Janji disertai 47 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menganjurkan himpunan Janji Demokrasi pada malam 30 Ogos lalu di Dataran Merdeka sempena sambutan kemerdekaan negara ke 55.
Walaupun tidak diberikan permit oleh pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), perhimpunan tersebut berjalan aman dengan dihadiri 20,000 rakyat berbaju kuning.
Ketua Polis IPD Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata, polis akan menyiasat sama ada sasterawan itu melanggar undang-undang dengan membaca sajak dalam perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Seterusnya >>>

'Negeri Hang Tuah ada Hang Samseng'

NONE

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said mengecam tindakan sekumpulan pengacau yang membuat serangan di majlis minum petang di Melaka yang sepatutnya melibatkan Pengerusi Bersama BERSIH Datuk S Ambiga Sabtu lalu.

Sambil menyifatkan kumpulan itu sebagai "samsengan", A Samad mengaku malu dengan tindakan mereka kerana ia "bukan cara untuk mewaraskan demokrasi".

"Ketika Ambiga hendak ke Merlimau, lagi dahsyat. Saya dengar lebih kurang 200 samseng di Merlimau sudah menunggu. Ambiga dijemput oleh PAS untuk menghuraikan perjuangan bersih. Itu landas demokrasi.

"Belum pun beliau tiba, teman-teman di sana minta supaya (beliau) jangan datang, sebab samseng sudah ada di negeri Hang Tuah.

"Sudah ada 'Hang Samseng'. Cuba fikirkan, di negari Hang Tuah, ada Hang Samseng," katanya.

Bercakap dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, tokoh yang lebih dikenali sebagai Pak Samad menegaskan, serangan membaling batu hujung minggu lalu "bukan caranya dan mereka memilih cara lain" untuk menunjukkan bantahan mereka.

Dalam kejadian Sabtu lalu, dua ADUN DAP Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew (Bandar Hilir) diserang kumpulan pengacau yang didakwa penyokong Umno dan kumpulan pendesak Melayu PERKASA, sewaktu mereka meninggalkan tempat acara itu.

Bagaimanapun, PERKASA Melaka dan Umno Jasin menafikan terlibat dalam insiden itu walaupun terdapat anggota masing-masing menyertai perhimpunan membantah kehadiran Ambiga dalam acara itu.

Pak Samad yang juga terkenal dengan novel Salina itu turut menyindir pihak yang melakukan "senaman punggung" dan peniaga yang mahu menjaja di hadapan rumah Ambiga esok dan lusa.

"Kita sudah 50 tahun merdeka dan budaya serta budi bahasa kita adalah punggung. Dan selepas itu guna samsengan cat rumah orang. (Apakah) itu budaya kita," katanya.

Selepas perhimpunan BERSIH 3.0, Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur (MBPKL) dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), masing-masing mahu berniaga di depan rumah Ambiga dan melakukan senaman punggung di hadapan rumah Ambiga.

Ia dibuat sebagai menunjukkan bantahan kepada Ambiga yang juga seorang peguam terhadap penganjuran perhimpunan BERSIH 3.0 yang didakwa menjejaskan pendapatan peniaga dan merosakkan imej negara.

Tindakan mereka itu mengundang kemarahan dan bantahan pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Seterusnya >>>

Pak Samad - Kerajaan sedang takut ‘luar biasa’


KUALA TERENGGANU – Naib Presiden PAS YB Salehuddin Ayob berkata sebenarnya perhimpunan aman boleh di jelmakan di mana-mana sahaja dinegara ini sekiranya tidak ada provokasi oleh pihak tertentu.

Menurutnya, ribuan malah puluhan roibu rakyat hadir mendengar ceramah pimpinan PAS di mana-mana sahaj pada maskini berjalan dengan begitu baik tanpa sebarang perkara yang tidak diingin.

“lihat pada hari ini, sambutan yang diberikan oleh rakyat cukup luar biasa, dimana-mana pun kita (pimpinan PAS) hadir pada hari ini,

“membuktikan bahawa perhimpunan secara aman (dan) beretika ini maih mampu kita jelmakan dimana-mana sahaja asalkan tidak ada apa-apa provokasi yang mengganggu himpunan aman seperti ini,”jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas majlis ceramah di Batu Burok dekat sini semalam Jumaat 17 Mei, yang dihadiri lebih 5,000 orang.

Sehubungan itu, Sasterawan Negera Datuk A.Samad Said (Pak Samad) menekankan bahawa BERSIh adalah gerajkan yang benar-benar mahu melihat pilihanraya umum yang akan datang adalah satu pilihanraya yang adil dan bersih.

Beliau melahirkan rasa pelik kerana katanya ada upaya menghuru-harakan keadaan negara ini yang bukan dilakukan oleh ‘oposisi’ tetapi oleh pihak yang memerintah.

“dan saya mula terbayang sekarang bahawasanya ada upaya untuk cuba menghuru-harakan negara ini dengan menimbulkan soal perkauman,

“amat aneh sekali ini bukan dilakukan oleh kita sebagai ‘oposisi’ tetapi oleh orang yang sedang memerintah,”ujarnya.

Beliau yang turut menyampaikan ceramah pada majlis tersebut menyifatkan, ia adalah sebenarnya suatu ketakutan yang amat luar biasa oleh kerajaan.

Oleh itu beliau mengingatkan tindakan kerajaan menimbulkan soal perkauman itu tidak akan menguntungkan sesiapa.

Turut menyampaikan ucapan adalah Koordinator Amanah Negeri Terengganu Datuk Raja Kamarulbahrin dan Senator Mumtaz Nawi.

Hadir bersama adalah ADUN Batu Burok Dr Syed Azaman Syed Ahmad Nawawi dan ADUN Ladang Dato’ Tengku Hassan Omar.

-/buletinonline
Seterusnya >>>

Pak Samad: Kenyataan polis mungkin galak demo 'biadap'

bersih kedah jom100 launching 060412 samad said

Pengerusi bersama BERSIH, Datuk A Samad Said berkata kenyataan polis berhubung demonstrasi 10 Mei di hadapan kediaman Datuk S Ambiga mungkin menjadi galakan kepada Persatuan Veteran Tentera Melayu untuk mengadakan demonstrasi "biadap" pagi ini.
Malah, tidak mustahil sekiranya perhimpunan "senaman punggung" di hadapan kediaman Ambiga pagi ini akan turut diadakan di hadapan kediamannya selepas ini, katanya.
"Saya fikir timbalan IGP ada sebut tak salah berdemonstrasi di depan rumah Ambiga. Barangkali ia agak menggalakkan (demonstrasi dibuat)," katanya ketika ditemui Malaysiakini hari ini.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Samad berkata: "Itu biasalah undang-undang ditafsir oleh orang yang berkuasa. Bukan ditafsir orang yang tak berkuasa."
Katanya lagi, PVTM mempunyai pilihan untuk mengadakan gimik lain tetapi tetap bertindak biadap dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah kediaman Ambiga.
"Ada cara lain tapi dia memang nak memilih (biadap). Dia sengaja. dia memang nak berbiadap," katanya lagi.

Samad bagaimanapun berpendapat, siri demonstrasi di rumah Ambiga tidak akan menjejaskan momentum BERSIH untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Saya tak rasa begitu. Itu sebenarnya intimidasi dan untuk menakut-nakutkan... Tidak mustahil ia akan dibuat di hadapan rumah saya nanti," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak melarang sekiranya demonstrasi "menonggeng punggung" seperti itu diadakan di hadapan kediamannya.

Namun golongan berkenaan akan berdepan dengan reaksi daripada rakyat sekiranya mereka benar-benar berbuat demikian.

"Reaksinya bukan dari saya (tapi) reaksi dari umum. Buatlah," katanya lagi.
Samad mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata polis tidak akan mengambil tindakan ke atas kumpulan peniaga yang mengadakan demonstrasi pertama di hadapan kediaman Ambiga pada 10 Mei lalu.

Khalid memberi alasan, peniaga berkenaan boleh berhimpun dan berniaga di lokasi tersebut memandangkan tindakan itu dibuat di kawasan awam dan tidak mengganggu ketenteraman.
Seterusnya >>>

Pak Samad : “Jangan Hiraukan Kenyataan Menteri Dalam Negeri”.


SHAH ALAM :  Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa terdapat unsur semasa perhimpunan BERSIH 3.0 yang mahu menyebabkan kematian tidak perlu diambil perhatian.
Demikian menurut Pengerusi Bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0) Datuk A. Samad Said ketika dihubungi TVS petang ini.
Menurut beliau kenyataan tersebut boleh dianggap sebagai andaian kerajaan pusat untuk memberikan gambaran negatif terhadap BERSIH 3.0.
“Untuk saya, itu andaian mereka. Itukan sesuatu yang kita tidak tahu hasrat orang jadi kita cuma boleh buat andaian sahajalah dan kita boleh buat tohmahan untuk menyebelahi kita.
“Saya sendiri fikir, itu tidak payah diambil berat. Benda semacam itu akan bertingkat-tingkat dan berkembang-kembang.
“Memang tak perlu dilayan, sebab mantan IGP (Ketua Polis Negara) sudah kata, mantan Perdana Menteri sudah kata, ini pula Menteri Dalam Negeri pun sudah kata dan nanti akan banyak lagilah yang akan berkata,” kata Samad yang lebih dikenali Pak Samad.
Menurut Sasterawan Negara itu lagi, pihak berkuasa sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa yang mampu menjalankan siasatan lebih adil.
“Apa yang harus berlaku adalah seperti yang disarankan mengadakan suatu pemeriksaan yang lebih rasmi, yang lebih adil barangkali untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang khusus daripada membiarkan hal ini agak merayau dan berselerak,” ujar beliau.
Samad turut memberitahu jawatankuasa BERSIH 3.0 pada masa ini masih belum membincangkan samada akan mengadakan satu lagi perhimpunan BERSIH atau BERSIH 4.0.
“Itu masih dalam khayalan lagi, sebab masih jauh lagi, tetapi ada orang yang menginginkannya, itu biasalah.
“Kami akan adakan mesyuarat untuk bincangkannya nanti, saya tak dapat beritahu sekarang, nanti kalau ia berlaku saya akan maklumkan,” kata beliau.
Samad memberitahu lagi, BERSIH 3.0 bukanlah mengejar jumlah penyertaan yang besar semata-mata tetapi mahukan mesej perhimpunan dapat disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.
Seterusnya >>>

‘Ayuh anak muda, gerakkan langkah ke Putrajaya’


TEMERLOH : Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyeru golongan muda bangkit menumbangkan kerajaan yang telah memerintah lebih 54 tahun dan menukarnya dengan  pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang ini.


Tegasnya, sejarah kebangkitan sesebuah bangsa di dunia digerakkan oleh golongan muda kerana memiliki kudrat dan semangat yang kental.

“Setelah 54 tahun kita dicengkam hanya satu parti, sudah sampailah masanya kita kena bangun dan ini adalah tugasan anak muda. Kebetulan pula inilah waktunya yang paling sesuai untuk menukar kerajaan melalui pilihan raya.

“Ayuh anak muda, gerakkan langkah kita ke Putrajaya. Anak mudalah mesti bangkit kerana yang berpuisi ini hanya sorang tua berusia 66 tahun,” katanya dalam majlis Santai Seni Anak Muda Bersama Sasterawan Negara di Esplanade Sungai Pahang di sini petang tadi.

Dalam majlis berkenaan Pak Samad membacakan tiga buah puisi ciptaannya iaitu “Unggun Bersih”, “Gebeng Yang Luka” dan “Melelong Rimba” sambil disambut tepukan gemuruh dan laungan takbir tidak henti-henti oleh kira-kira 500 orang pemuda serta pemudi tempatan.

Sebelum itu 10 orang pemuda diberi kesempatan membaca puisi dan menyanyikan lagu patriotik sambil diiringi petikan gitar akustik.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Temerloh Haji Jusoh Darus, Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad dan Ketua PKR Cabang Temerloh Ahmad Nizam Hamid.

Mengenai demokrasi, Pak Samad berkata demokrasi yang ada merupakan demokrasi yang telah cacat akibat terlalu lama dibiarkan berada di puncak singgahsana sehingga kebebasan dan hak hanya menjadi mainan pemerintah.

Pak Samad yang juga Pengerusi Bersama Himpunan Bersih 3.0, berkata perhimpunan di Kuala Lumpur itu telah mencapai sasarannya apabila berjaya disertai kira-kira 300,000 orang 28 April lalu dan melahirkan rasa bangga kerana lebih 80 peratus adalah anak muda.

Beliau yang dalam rangka program bersama anak muda di Parlimen Maran dan Temerloh mengingatkan, agar terus menyalakan semangat Bersih dan berharap akan ada Bersih 4.0 kerana tuntutan 8 perkara pembaikan PRU belum dilayan.

“Selamat berhimpun lagi, jika hanya bahasa itu yang difahami pemerintah,” katanya.
Seterusnya >>>

Sejak Awal Lagi Anwar Disenarai Sebagai Pemimpin Masa Depan


Pak Samad ketika meluah perasaan dan hatinya malam tadi. Malam tadi para tetamu yang hadir ke rumah Anwar Ibrahimn untuk bertahlil dan bermunjak setiap malam Jumaat berpeluang mendengar luahan rasa Sasterawan Negara A Samad Said kenapa beliau tiba-tiba menjadi berani turun ke tengah gelanggang dan bergabung dengan para ahli politik untuk membela nusa dan bangsa.


Iya.. saya sebelum ini juga tertanya-tanya kenapakah sebab musabab memungkinkan Pak Samad jadi demikian. Apakah yang tidak kena untuk dia menyusahkan diri ke hulur ke hilir menggendung perjuangan rakyat marhaian secara realistik (politik) sehingga disoal kawan dan lawan dan ada yang menghina tindak tanduknya kononnya merosokkan gelaran berprastaj Sasterawan Negara.

Kesediaanaya untuk menjadi kepala himpunan Bersih : Duduk dan Bantah esok diianggap perjalanannya ke kemuncak keberanian yang dia tidak akan turun-turun ke bawah lagi. Keputusan Pak Samad menerunkan diri ke dalam gelanggang bersama politician adalah keberanian dan satu pengorbanan besar yang patut dicontohi.

Malam tadi segala-galanya terdedah apa yang menjadi misteri selama ini. Mednurutnya timbul kesedaran baru dalam jiwanya bahawa penulis atau sasterawan bukan saja kena merakam, mencatat peristiwa tetapi ikut turun ke gelanggang sama bergelumang dengan rakyat.

Mencerita bagaimana dia terbuka hati untuk berjuang, katanya; sebenarnya rakan-rakan penulis juga yang telah pun turun bersama rakyat yang mengajak dan membuka hati saya. Mereka bertanya dan memberi tahu saya bahawa penulis bukan saja setakat merakam dan mencatat tetapi perlu bersama rakyat.

Bertolak dari situlah Pak Samad dari seorang sasterawan yang mencatat di dalam bilik, menjadi sasterawan yang menggembara melihat suka duka rakyat.

Sudah pasti apa yang mendorongnya ialah kerana berleluasanya ketidakadilan dan disusuli sama dengan penyelewengan pihak pemegang kuasa dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab terhadap rakyat. Sebagai seorang berjiwa seni tentunya beliau tidak dapat melihat begitu saja, membiarkan akan kebobrakan itu keculi bangkit membela.

Atas dasar dan menyedari betapa besarnya peranan para penulis dan wartawan, Pak Samad menyeru agar mereka (para penulis) turun ke gelanggang berjuang bersama rakyat.Tekannya tidak cukup setakat merakam peristiwa tetapi perlu bersama bergabung dengan peristiwa. Wartawan atau penulis perlu menjadi agen perubahan masyarakat.

Sememangnya kita mempunyai ramai wartawan katanya, tetapi mereka bukan berkawan dengan rakyat tetapi berkawan dengan kerajaan.

Dari kesedaran inilah dirasakan Pak Samad mula mengubah haluannya menjadi penulis yang berani dan meninggalkan jauh rakan-rakan lain yang masih hanya merakam penderitaan rakyat, bernostalgia dengan bahasa tetapi tidak berani turun ke tengah masyarakat menjadi pejuang dan agen penggerakan rakyat yang nyata.

Sesuatu yang menarik perhatian saya, sebenaarnya menakjubkan saya malam tadi bila mana Pak Samad membongkar rahsia diri dan hidupnya khsnya penglibatannya dalam berperanan memantau bakat-bakat pemimpin negara. Selama ini saya fikir Pak Samad seraus peratus hanya mempedulikan kesusteraan dan tidak pun sedikit terlibat dalam mencambahkan tokoh pimpinan negara menerusi kalamnya.

Menurut ceritanya di awal tahun 70-an beliau sudah diberi tugas agar memerhati dan memberi ruang khusus kepada beberapa pemimpin dalam usaha untuk menjana bakat mereka dan memastikan mereka menjadi pemimpin negara. Katanya ketikan itu semasa berkerja di bawah A Samad Ismail (Allahyarham) beliau diarah untuk menjaga dan memerhati perjalanan juang Anuwar Ibrahim, Sanusi Junid, Hamid Tuah dan Rais Yatim.

"Pak Samad meminta saya memerhati orang-orang ini tanpa dibertahu apakah tujuannya," katanya. Maka katanya dia telah memberi ruang cukup baik dalam akhbar Berita Harian menerusi ruangan di bawah kelolaannya ketika itu. Tanpa menyebut kenapa beliau diberi tugas itu dapat dirasakan bahawa mereka adalah antara orang yang telah dipilih oleh Samad Ismail dengan restui atasan lain untuk mengangkat orang menjadi pemimpin masa depan.

Dari cerita dan pendedahan Pak Samad itu apa yang boleh disimpulkan bahawa Anwar adalah calon pemimpin awal-awal lagi sudah dipilih dan dikenal pasti akan bakat serta idealismenya. Kerana waktu itu orang berkuasa ialah Allahyaraham Tun Razak dapat difahamkan juga bahawa Tun Razaklah mungkin telah memilih Anwar untuk menjadi pemimpin masa depan atau pun atas kehendak Samad Ismail sendiri bahawa nama-nama itu berpotensi menjadi pemimpin.

"Saya tidak tahu kenapa ada juga nama-nama seperti Rais Yatim dalam senarai yang diberikan itu saya tidak tahu," ujar Pak Samad mengakui mungkin baginya Rais bukan seorang berbakat dan bersih untuk menjadi pemimpin.

Kenapa Pak Samad memberanikan diri melakukan pengorbanan dan jihad hari ini, kepada saya sebagai merealisasikan amanah yang telah diberikan kepadanya iaitu menjaga atau bersama Anwar agar Anwar menjadi pemimpin negara.

-/msomelayu
Seterusnya >>>

Duduk Bantah bakal jadi perhimpunan mega sejarah


KUALA LUMPUR: Duduk Bantah pada perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka Sabtu ini, adalah mega sejarah kepada negara ini, kata Pengerusi bersama Bersih 3.0, Datuk A Samad Said.
“Duduk Bantah bukan cebisan sejarah, bahkan ia adalah mega sejarah,” kata Sasterawan Negara itu ketika ditemu bual aktivis sosial, Hishamuddin Rais di konti Radio Bangsar Utama, malam tadi.
Radio Bangsar Utama adalah radio internet bertema Berani Langgar, Laporan Jelas yang diwujudkan baru-baru ini, sempena Bersih 3.0 dan Pilihan Raya Umum (PRU) 13.
Mesra dengan panggilan Pak Samad, beliau percaya himpunan itu sememangnya menjadi hasrat majoriti rakyat Malaysia.
“Selama 54 tahun pilihan raya di negara ini – landasnya tidak betul. Ya, Bersih 3.0 lebih payah untuk ‘dilanggari’ (pemerintah),” katanya yang optimis dengan sokongan padu rakyat.
Ditanya pengalaman menyertai demontrasi ketika muda, beliau mendedahkan pengalamannya menyertai perhimpunan menyelamatkan akidah Natrah Hertogh dalam usia lingkungan 20 tahun di Singapura pada 1950.
“Saya tidak punya peranan besar tapi saya ikut, dan sangat bersemangat,” kata penulis novel Salina, Hujan Pagi dan banyak lagi karya terkenal.
Sasterawan Negara berusia 77 tahun itu turut menegur golongan seniman yang ‘diam’ dan tidak mahu menempatkan diri dalam perubahan.
“Sasterawan menggunakan penulisan. Dan puisi sudah jadi senjata dan peluru. Kalau hanya merakam (sejarah), takkan sampai ke mana-mana,” katanya .
Katanya, seniman tidak wajar memencilkan diri dari perjuangan menegakkan sistem demokrasi, sebaliknya harus berdiri di barisan depan bersama rakyat.
“Seniman wajar ada di tengah-tengah gelora masyarakatnya,” katanya dalam temu bual kira-kira sejam dan turut mendeklamasi sajak ‘Merindu Ruang’.
Pak Samad  yang memetik nama beberapa penulis besar dunia, berkata penyertaan seniman dalam perhimpunan dan bantahan bukanlah perkara baru, sebaliknya berlaku di seluruh dunia
Seterusnya >>>

Pak Samad: Tidurlah di Dataran dengan mimpi indah

NONE

Tidak cukup tidur sahaja, tetapi mimpilah yang indah-indah, begitu pesan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said kepada mahasiswa yang 'berkhemah' di Dataran Merdeka bagi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak lima hari lalu.

Sasterawan berusia 77 tahun itu menyatakan "inilah masanya untuk mereka membetulkan demokrasi".

"Saya menghadiahkan dua beg tidur kepada mereka sebagai simbolik supaya mereka tidur di Dataran Merdeka dan bermimpi yang indah-indah.

"Mimpilah sesuatu yang indah di hadapan, jangan tidur sahaja. Tidur sahaja tidak membawa apa-apa. Tidur dan mimpilah yang indah-indah dan laksanakan mimpi kita itu," katanya.

A Samad sebelum ini juga mendermakan beg tidur dimilikinya sewaktu menunaikan haji dan turut mengambil kesempatan memberikan kuliah berhubung penulisan puisi di situ.

Tokoh yang lebih mesra dengan panggilan 'Pak Samad' turut merayu supaya anak muda dan mahasiswa menyempurnakan apa yang cita-citakannya bagi menjadikan negara ini "tidak dijajah oleh kuasa yang menyakitkan".

"Orang marah bila saya berkata yang memerintah (negara ini) adalah kelompok bangsawan. Tetapi itulah sebenarnya (yang berlaku)... Kenapa dalam tempoh 54 tahun, bangsawan yang harus memerintah," katanya.

Anak Ghabar Baba sertai ceramah
Berucap dengan bahasa penuh sasterawi, A Samad berkata berkata, sekiranya terdapat pihak yang cuba merosakkan khemah mereka, beliau yakin akan ada kelompok akan menggantikan khemah tersebut.

Tindakan tersebut, tambahnya, hanya untuk menakut-nakutkan mahasiswa dan anak muda yang telah berkampung di Dataran Merdeka sejak Sabtu lalu.

Beliau juga mengulangi seruan supaya semua sasterawan lain "berada di tengah-tengah rakyat" seperti yang dilakukannya sekarang.

Sementara itu, keadaan Kelab Sultan Sulaiman (KSS) di ibu negara becak kerana hujan lewat petang tidak menghalang kira-kira 2,000 hadirin menghadiri ceramah pengiraan detik 10 hari menjelang perhimpunan BERSIH 3.0, malam tadi.

Ia turut dikejutkan dengan kehadiran bekas menteri Umno Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir dan anak bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba - Tamrin - yang berucap menyeru semua pihak turun berhimpun ke perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April.

Tamrin antaranya mendakwa terdapat pemberian kad pengenalan biru kepada warga asing sebagai usaha "menjual negara" semata-mata untuk mengekalkan kemenangan.

"Orang tua-tua kata, menang sorak kampung tergadai, kerana nak menang, sanggup jual negara.

"Oleh itu kamu adalah wira, yang tidak mahu negara terjual kepada orang-orang asing, berbanding pemimpin negara (ini)," kata Thamrin.

'Matahari Kuning, menyalalah'
Menghangatkan suasana, aktivis Hishamuddin Rais menyampai ucapan berapi-api 'menghasut' hadirin turun ke perhimpunan yang dilaporkan akan dibanjiri kira-kira 500,000 orang.

"Zaman bercakap dalam mesyuarat, menghantar memorandum sudah tamat. Sudah tiba masanya kita turun ke jalan raya sebelum pilihan raya," katanya yang mendapatkan sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.

Sementara itu, Annie Ooi yang lebih dikenali sebagai "Makcik BERSIH' pula naik ke pentas 'berduet' dengan Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat Dr Mariah Mahmud.

"Kita buat Najib pening, ya?" katanya sambil disambut jawapan "ya", gelak ketawa dan tepukan hadirin.

"Siapa takut dengan polis? Siapa takut dengan Umno? Siapa takut dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur?" tanya Annie, warga emas popular dengan kehadirannya dalam perhimpunan BERSIH 2.0 sebelum ini.

Beliau juga kemudiannya melaung dan cuba mempopularkan slogan "kuning, kuning, Najib pening".

Ceramah itu juga turut diselang dengan petikan gitar dan nyanyian aktivis sosial Amin Iskandar yang menyampaikan lagu bertemakan perhimpunan BERSIH bertajuk "Matahari Kuning, Menyalalah" sambil diiringi tepukan hadirin mengikut rentak lagu.
Seterusnya >>>

Jangan kaitkan soal agama, bangsa dalam Bersih 3.0


KUALA LUMPUR, 6 April — Datuk A. Samad Said menegaskan Wira Perkasa tidak sepatutnya menyerang Datuk Ambiga Sreenevasan dengan isu-isu sensitif kaum dan agama, menambah himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini tiada kaitan dengan perkara-perkara itu. Jelas Sasterawan Negara ini, sesiapa sahaja termasuk umat Islam boleh menyertai perhimpunan kali ketiga anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Wira Perkasa tiada hak untuk menghalang.
“Soal mereka (Wira Perkasa) dengan Ambiga soal yang lain, bagi saya yang penting tiada perbezaan bangsa dan agama dalam perhimpunan itu.
“Sesiapa sahaja yang merasakan landas demokrasi ini perlu dibetulkan boleh menyertainya... itu yang betul,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Dalam laporan The Malaysian Insider awal pagi ini, Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris memberi amaran kepada umat Islam agar tidak menyertai himpunan Bersih 3.0 pada 28 April di Dataran Merdeka kerana ia diketuai oleh Ambiga yang menurut mereka anti-Islam dan “pengkhianat” bangsa.
Beliau berkata bekas Presiden Majlis Peguam itu telah terlalu jauh menyimpang dari perjuangannya, menambah beliau “sekali lagi” menunjukkan tindakan kurang hormat kepada umat Islam dengan mengadakan protes kali ini.
Menurut Irwan, beliau akan melaksanakan “apa sahaja tindakan untuk menentang Ambiga”, mengulang pendiriannya melabel Ambiga sebagai pengkhianat kepada umat Islam dan negara.
Menurut Samad atau lebih dikenali “Pak Samad” berkata Bersih bukan melibatkan Ambiga tetapi anggota-anggota lain yang terdiri dari pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Soal Ambiga yang mereka kata anti-Islam itu hal lain, mereka harus lihat bukan Ambiga sahaja yang berada dalam Bersih.
“Kalau lihat Ambiga seorang yang beragama Kristian yang ingin ditentang, adakah saya sebagai umat Islam ini juga mahu ditentang?” katanya.
Justeru beliau berharap agar Wira Perkasa lebih matang dan bertindak mengikut keadaan semasa bukan demi kepentingan sendiri.
“Jangan kaitkan dengan hal lain; ini soal pembaikan sistem pilihan raya berlandaskan demokrasi.
“Saya merasakan setakat ini kita perlu betulkan sistem yang, siapa sahaja boleh bantu membetulkan keadaan baik yang beragama Kristian atau Islam,” katanya.
Pada 9 Julai lalu, Bersih telah menganjurkan himpunan Bersih 2.0 diadakan di ibu negara mendesak pembaharuan sistem pilihan raya.
Antara tuntutan mereka adalah: membersihkan daftar pengundi, pembaharuan pengundian pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang adil, 21 hari tempoh berkempen, pengukuhan institusi awam, hentikan rasuah politik, dan hentikan politik kotor.
Perhimpunan itu diadakan kerana tidak berpuas hati terhadap laporan 22 cadangan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Selasa lalu tanpa dibahaskan.
Seterusnya >>>

Sasterawan Negara ajak rakyat Johor tolak BN

JOHOR BAHARU : Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyeru rakyat Johor mengundi Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.

"Saya mengajak semua orang kampung, dan golongan yang teraniaya supaya bangkit mengundi pembangkang (Pakatan Rakyat)," ujarnya.

A Samad berkata demikian dalam ucapannya di Dialog Masalah Tanah Rakyat Johor dekat sini.

Program yang dianjurkan PAS Johor berjaya menghimpunkan ramai rakyat Johor, khususnya orang-orang Melayu, mengadu nasib bahawa mereka dianiaya oleh kerajaan Umno BN Johor.

Tegas A Samad, selaku golongan Sasterawan, beliau berkarya dengan puisi dan sajak, untuk mengajak rakyat Johor, supaya bangkit menolak kedangkalan Umno-BN.

Antara pengadu yang hadir adalah golongan nelayan di Penggerang, Kota Tinggi yang mengadu tanah rakyat akan diambil untuk projek Petronas Rapid.

Rakyat bangkit membantah kerana perkampungan nelayan merupakan perkampungan tradisi yang hendak diambil atas alasan pembangunan.

"Tanah kami hendak dirampas, semua hendak dipindahkan, masjid hendak dipindah, rumah, tanah, malah kubur pun hendak dipindahkan.

"Yang hidup teraniaya, yang sudah mati pun menjadi mangsa," ujar wakil nelayan Penggerang.

Hadir sama di majlis dialog tersebut ialah AJK. PAS Pusat, Mazlan Aliman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad, Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dan panel peguam.
Seterusnya >>>

A Samad Said dilantik pengerusi bersama Bersih


KUALA LUMPUR, 17 Jan — Datuk A Samad Said akan dilantik sebagai pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dilihat akan memberi tekanan dalam menuntut transformasi pilihan raya negara. Pengerusi Bersih Datuk S. Ambiga mengesahkan pelantikan itu kepada The Malaysian Insider, menambah satu pengumuman rasmi akan dibuat hari ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH).
“Ya. Saya sahkan mengenainya tetapi kami juga akan mengumuman lain,” katanya apabila ditanya sama ada pelantikan Samad sudah dibuat secara rasmi atau tidak.
Samad, Sasterawan Negara berusia 76 tahun ini yang mencipta fenomena baru semasa Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai lalu bagaimanapun enggan menjawab persoalan itu, sebaliknya mengulas sedang sibuk dengan “rancangan utama” Bersih.
“Saya tidak boleh hendak memberikan sebarang komen mengenai perkara itu tetapi akan ada satu pengumuman, elok anda datang dan dengar sendiri,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Samad menjadi perhatian selepas sajaknya bertajuk “Unggun Bersih” dideklamasikan semasa pelancaran Bersih 2.0, yang turut menyaksikan beliau dipanggil ke balai polis untuk soal siasat.
Penulis veteran ini merupakan antara peserta Bersih 2.0 yang berjaya tiba di Stadium Negara untuk mendesak pilihan raya bersih dan adil bersama Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.
Sementara peserta lain termasuk Ambiga dan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat ditahan pihak berkuasa.
Samad telah dinamakan sebagai pengerusi bersama Bersih melalui kenyataan akhbar baru-baru ini.
“Sidang media esok (hari ini) memang mengenai saya tapi saya tidak tahu secara terperinci. Saya juga diminta hadir lebih awal sebelum sidangh media diadakan,” katanya.
Ditanya sama ada akan menerima jawatan itu, Samad bagaimanapun ketawa sambil berkata ia akan diulas semasa sidang media diadakan.
“Apa-apa saya akan jawab semasa sidang media (sama ada mahu terima atau tidak), kita tunggu sahaja nanti,” katanya.
The Malaysian Insider difahamkan Bersih akan mengumumkan kempen terbarunya hari ini serta respons kepada prestasi semasa Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) yang diarahkan melihat cadangan pembaharuan pilihan raya.
“Kami akan umumkan kempen terbaru dan pandangan kami mengenai PSC,” kata Ambiga.
Seterusnya >>>

Pak Samad: Pemansuhan ISA 'kemenangan ghaib'


Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menganggap pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumum Datuk Seri Najib Razak sebagai suatu "kemenangan ghaib".

Beliau berkata, perdana menteri itu tentunya tidak akan mengakui hal berkenaan tetapi pastinya ada usaha yang menggerak dan mendesak ke arah itu.

"Selama 54 tahun tidak terfikir ISA harus dihakis, tiba-tiba sahaja dapat ilham dan (mereka) harus mengakui kelompok anak muda tidak tahan lagi (dengan ISA).

Beliau juga tidak terkejut berikutan keengganan kerajaan mengakui pemansuhan ISA itu disebabkan tekanan berterusan dari pelbagai pihak khususnya anak muda.

"Tidak pula diceritakan bahawasanya desakan itulah yang mendorongnya untuk berubah. Kalau tidak ada desakan, saya tidak fikir ia akan mansuh kerana ISA sangat mujarab untuk menekan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran antologi sajak Puisi Jadi Senjata yang diterbitkan sehari sebelum himpunan BERSIH 2.0 sebagai tanda sokongan anak muda kepada sasterawan itu.

Perubahan regim


Sinonim dengan gelaran sasterawan rakyat, beliau berharap antalogi puisi itu turut disebar di pedalaman di semua negeri dan tidak hanya berlegar di kawasan kota.

Pada majlis pelancaran itu, beliau mengingatkan betapa perubahan regim hanya mampu dilakukan golongan anak muda.

"Saya sangat yakin hanya suara muda boleh merubah. Orang tua kebanyakannya sudah bersikap (mengambil pendirian), maksudnya mereka tidak mahu diganggu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau yakin penerbitan antologi sususan penggiat seni, Fazallah Pit, membuktikan seni bukan hanya hiburan kerana di tangan anak muda, puisi menjadi senjata.

"Selama ini seni hanya dianggap hiburan tapi di tangan anak muda, puisi jadi senjata.

"Yang berjuang orang lain, yang menyambut kemerdekaan orang lain. Yang berjuang, yang berkuasa orang lain dan kuasa itu berlanjutan sampai 54 tahun.

"Sudah waktunya, setidak-tidaknya untuk satu term (penggal) kita berikan kelainan," katanya yang sering berkempen supaya ditumbangkan BN dalam pilihan raya akhir-akhir ini.
Seterusnya >>>

"Sudah tiba waktunya kita adakan regim change.  Kita sudah memberi masa kepada orang yang memerintah sekarang ini 54 tahun.  Dan kita sudah tidak harus lagi memberikannya lebih dari itu."

Demikianlah kata-kata daripada Sasterawan Negara, A.Samad Said kepada anak-anak muda, ketika merasmikan pelancaran kempen Jom Baca Media Alternatif anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, petang tadi.  Beliau menyebut, antara hal yang boleh dilakukan oleh anak-anak muda adalah "merubah" - dan "regim change" itu hanya menjadi "mungkin" di tangan-tangan anak muda.

A. Samad Said, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad mengakui bahawa dirinya "gemar mendengar daripada mereka yang oppose".  "Saya langsung tak gemar dengar mereka yang sokong.  Sokong tu maksudnya, sokong kerajaan."

Kata-katanya disambut dengan tepukan dan sorakan oleh kira-kira 70 orang hadirin. Pak Samad yang sudah hampir setahun tidak membaca akhbar mainstream, menjelaskan mengapa dirinya memilih media alternatif, "Saya dapat melihat benda-benda yang tidak dapat kita lihat dalam akhbar mainstream."

"Saya mendapati bahawasanya, tanpa media alternatif, akhbar mainstream akan menjadi gangster," dakwa Pak Samad, yang mendakwa gambaran yang dipaparkan dalam media mainstream, hanya "hitam-putih", dengan "Yang memerintah sentiasa betul, yang membangkang, yang tidak memerintah sentiasa salah."

Beliau melihat media alternatif lebih sesuai untuk anak-anak muda, yang akan menjelajah ke ceruk-ceruk untuk memperjelaskan apa yang sedang berlaku kepada rakyat.

Fathi Aris Omar: Media alternatif perlukan sokongan kewangan

Sebelum ini, Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar mengakui bahawa media alternatif berdepan dengan masalah di mana sebarannya lebih terbatas kepada kawasan bandar, sementara penduduk kampung masih bergantung kepada media cetak dan elektronik sebagai sumber maklumat.

Fathi Aris Omar juga berkata, media alternatif berdepan dengan masalah kewangan, di mana ramai peniaga yang masih tidak yakin bahawa iklan di ruang internet mampu membawa pulangan.  Lebih-lebih lagi, di Malaysia, sebahagian iklan dikaitkan dengan syarikat GLC (Syarikat Kaitan Kerajaan), yang berkepentingan bersama parti pemerintah.  Justeru itu, media alternatif memerlukan bukan sahaja sokongan dari segi audiens, tetapi juga sumber kewangan daripada pembaca, sama ada dalam bentuk langganan atau lain-lain.

-/MerdekaReview
Seterusnya >>>

Hampiri Najib di mana sahaja

 KUALA LUMPUR, 28 Julai: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak segera menyelesaikan isu lapan tuntutan Bersih kerana kebangkitan rakyat akan terus merebak.

Menurutnya, Najib sebagai pemimpin negara semestinya berani menghadapi rakyat dengan cara terbaik dan menunaikan permintaan mereka dengan segera.

“Jika suasana demokrasi negara tetap juga tidak berubah, saya sendiri menyarankan agar di mana sahaja Najib pergi, mesti ada sekumpulan anak muda yang berusaha hampiri dan sampaikan memo kepadanya,” tegasnya yang lebh mesra dengan panggilan Pak Samad.

Katanya, pimpinan asas Bersih 2.0 berusaha untuk menyampaikan memorandum tuntutan lapan perkara itu secara aman kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 9 Julai tetapi dihalang.

Setelah selesai himpunan 9 Julai dengan 1,600 peserta ditahan dan seorang meninggal dunia termasuk berbagai tindakan kasar pihak berkuasa, rakyat kini teruskan semangat Bersih dengan memakai kuning pada setiap Sabtu atau Yellow Saturday.

Pak Samad membangkitkan perkara itu ketika diminta mengulas kejadian semalam di mana 10 anak muda ditahan di KL Sentral hanya kerana hendak menyampaikan surat kepada Najib.

“Saya mengikuti peristiwa ini dari masa ke semasa sehingga semua anak muda ini dibebaskan malam tadi," jelasnya dalam wawancara khas dengan Harakahdaily yang diadakan di KL Sentral, hari ini.

Mengulas perkara sama, Pak Samad berkata, Najib mesti berpegang kepada gagasan beliau sendiri, 'Rakyat Didahulukan' kerana anak-anak muda itu juga adalah rakyat.

“Mereka ingin sampaikan hasrat untuk murnikan perlembagaan negara dan meningkatkan demokrasi dan sepatutnya jika saya datang ke tempat umum, itulah yang akan layan terlebih dahulu.

“Sebab itu adalah suara kelompok angkatan muda yang memang berpelajaran, berazam dan ingin membantu negara sebenarnya.

“Saya tidak faham seorang perdana menteri yang mengatakan 1Malaysia dan Rakyat Didahulukan, nampaknya secara praktis tidak mengamalkannya, “ jelasnya yang menjadi tumpuan generasi muda mutakhir ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan sangat berbangga dengan kesanggupan dan keberanian anak muda dalam negara dan di luar negeri yang bersama-sama menggerakkan kebangkitan rakyat.

Menjawab tentang minat golongan muda terhadap penampilan dirinya ke tengah masyarakat sekarang ini hasil daripada mereka mengikuti karya sasteranya sejak di bangku dan kini beraksi membela kebenaran.
Seterusnya >>>

Tidak pernah saya rasa begitu benci pada kerajaan

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang terkenal dengan sikap kelembutannya kini menyimpan satu perasaan benci kepada kerajaan.
Ini berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan Bersih2.0 genap seminggu lalu melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa rakyat.

(Gambar: Pak Samad menurunkan tandatangan pada baju seorang anak muda yang hadir pada malam itu.)

"Tidak pernah saya rasakan begitu bencinya saya pada kerajaan. Itulah waktunya saya lebih benci," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad yang mengimbau kembali pengalamannya di KL Sentral, tempat beliau mula-mula bertembung dengan polis.
Beliau menyifatkan tindakan polis menangani perhimpunan damai itu secara bengis.
Katanya, seluruh rakyat Malaysia yang telah menyertai himpunan itu terus mengkritis kerajaan Umno BN apabila melihat keganasan yang dilakukan oleh pihak polis.
Justeru, beliau kesal kerana pemimpin Umno BN membuat berbagai helah menyatakan polis yang menjalankan tugas ketika itu tidak melakukan tindakan yang kasar kepada rakyat sebaliknya menuduh rakyat yang bertindak kasar.
“Kata-kata itu menjadi luka berdarah buat rakyat Malaysia dan saya percaya Umno BN akan terkubur dalam PRU ke 13 nanti,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Yellow Saturday di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar malam kelmarin. Turut berucap ialah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta anggota Unit Amal yang difitnah membawa pisau semasa himpunan Bersih 2.0, Abdul Razak
Pak Samad juga menceritakan peng.alamannya dalam himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
“Sebelum (gas) ditembak, ada himpitan dari belakang, kelompok polis juga. Jadi kami agak tersepit, seperti di (Hospital) Tung Shin, (kami) tiada jalan alternatif lain, jadi go through saja.
“Menghabiskan hari yang panjang daripada pagi sehinggalah disekat polis kali terakhir kira-kira 300 meter daripada Istana Negara di sebelah petang untuk menyampaian Memorandum yang merupakan amanah rakyat untuk di sembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, amat mengecewakan tiada pertimbangan yang sebaiknya oleh polis.
"Mata saya telah mengalami kecederaan akibat tembakan gas water canon, mereka (Polis dan FRU) nampak saya ketika itu, kalau boleh mereka hendak makan saya”.
“Berbeza dengan demonstrasi pertamanya pada Mac 2007 bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kali ini saya rasakan ujiannya terlalu kuat dengan menempuh pelbagai rintangan.
“Sepatu Nike saya juga hilang apabila dihimpit dengan ramai rakyat disitu lebih-lebih lagi apabila polis datang mengejar rakyat yang berhimpun di situ.
 “Saya bukan sahaja hilang capal, tetapi peralatan yang saya bawa seperti garam, tuala kecil dan air mineral yang dibawa sebagai alat pelindung saya tepaksa diberikan orang lain apabila salah seorang peserta himpunan disitu kelihatan nafasnya menjadi sesak meminta-minta agar diberikan bantuan.
“Saya berikan semua peralatan saya kepada beliau untuk menyelamatkan dirinya, jika tidak mungkin orang itu juga mengalami nasib yang serupa seperti arwah Baharudin.
"Saya seharusnya diapit dua orang peguam, (tetapi) mereka juga hilang apabila kami semua dikejar oleh polis dan FRU untuk mengelak diri daripada ditembak dengan gas.
“Pada Sabtu itu, pakaian saya sudah basah lencun akibat hujan dan dengan tembakan meriam air, saya terus berjalan kira-kira 10 kilometer menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Saya berkaki ayam separuh jalan, berbatu-batu. Ada beberapa anak muda yang nampak saya ketika itu hendak beri saya sepatu Nike tetapi saya menolaknya kerana saya fikir sepatu itu cantik sangat dan biarlah saya bersusah payah untuk masa depan anak bangsa saya sendiri.
"Kemudian saya didatangi oleh seorang lagi anak muda dengan memberi saya sepatu yang besar, saya menerimanya kerana saya fikir perjalanan saya jauh dan banyak halangan yang perlu saya tempuhi untuk menyerahkan Memorandum kepada Agong. Ini merupakan satu pengalaman pahit dan tidak mungkin saya lupakan.
"Tidak pernah saya melihat satu kelompok orang muda yang berbilang bangsa itu bersatu oleh satu cita-cita. Itu sangat membanggakan.
“Saya berpesan berulang kali kepada generasi muda terutamanya kalian seharusnya bertekad bersatu hati untuk mengubah pentadbiran demokrasi Negara ini dalam pilihanraya umum ke -13 nanti, demi masa depan anak cucu kita.
“Orang tua mungkin tidak mampu lagi untuk bekerja kuat, namun kita akan sentiasa memberi sokongan padu bagi menukar pentadbiran kerajaan baru," kata Pak Samad Said disambut laungan Allahu akbar hadirin.
Seterusnya >>>

'Orang Muda Suara Dan Kuasawan Kepada Negara', Kata Pak Samad

GOMBAK  : Genap seminggu selepas perhimpunan Bersih 2.0, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said meneruskan mesejnya dengan menegaskan hanya golongan muda yang mampu membawa perubahan kepada corak kepimpinan negara.

Justeru, beliau menekankan corak kepimpinan itu boleh diubah melalui pilihan raya yang demoktratik.

“Demonstrasi ini hanya boleh diubah oleh golongan muda. Dunia ini untuk anak muda. Suara yang akan mengubahnya ialah anak-anak muda ini. Mereka ialah suara dan kuasawan kepada negara.

“Cuma, kuasa untuk berubah masih lagi dikuasai sekelompok bangsawan. Mengapa tidak kita kawal ia dengan pilihan raya supaya kuasawan pula yang naik,” kata beliau kepada The Malaysian Insider pada ceramah sempena pelancaran ‘Yellow Saturday’ anjuran PAS Wilayah Persekutuan di sini malam tadi.

A Samad Said atau lebih mesra dipanggil Pak Samad turut berharap agar golongan tua dapat mengubah fikiran dan memberi peluang kepada golongan pelapis untuk mencuba tampuk pimpinan.

“Saya berharap pilihan raya akan datang, orang-orang yang tua ini boleh berubah fikiran mereka. Berilah waktu kelompok yang lebih bawah yang datang dari bawah menjadi ketua supaya tidak sia-sia pilihan raya akan datang.

“Berilah suara kita. Berilah undi kita supaya kita tidak tinggal di dunia yang penuh dendam,” katanya.

Sejak sebulan lalu, Samad di sebalik perkembangan sosiopolitik semasa dilihat sebagai “ikon baru”.

Pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 pada 19 Jun lalu, Pak Samad telah membacakan sebuah puisi “Unggun Bersih”, sekali gus membawa kepada tindakan pihak berkuasa menyoal siasat beliau atas dakwaan menghasut.

Di sebalik perhimpunan Bersih 2.0, Samad merupakan antara beberapa personaliti bersama 600 penyokong gabungan menuntut pembaharuan pilihan raya tiba di Stadium Merdeka di setelah dihalang dengan sekatan ketat pihak polis.

Malah, katanya beliau menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 sebagai “satu kejayaan besar” kerana berjaya menarik puluhan ribu rakyat pada 9 Julai lalu.
Seterusnya >>>

'Polis bengis macam nak makan saya'

NONE
Tindakan polis menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0 genap seminggu lalu terus dikritik hebat, sehingga Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang terkenal dengan kelembutannya pun kini merasa amat benci kepada kerajaan.

"Sebelum (gas) ditembak, ada himpitan dari belakang, (oleh) kelompok polis juga. Jadi kami agak tersepit, seperti di (Hospital) Tung Shin, (kami) tiada alternatif jadi go through saja.

"Tidak pernah saya rasakan begitu bencinya saya pada kerajaan. Iitulah waktunya saya lebih benci," kata A Samad yang mengimbau kembali pengalamannya di KL Sentral, tempat beliau mula-mula bertembung dengan polis.

Ketika diwawancara Malaysiakini di Bangsar kelmarin, penulis kreatif pelbagai genre itu bagimanapun, beliau sempat berseloroh bahawa ia masih belum sampai ke tahap "paling benci".

Menghabiskan hari yang panjang daripada pagi sehinggalah disekat polis kali terakhir kira-kira 200 meter daripada Istana Negara di sebelah petang, A Samad menyifatkan tindakan polis menangani "perhimpunan damai" itu secara "bengis".

"(Dikasari) secara langsung tidak. Tetapi dengan wajah dengan apa itu memanglah kalau boleh mereka hendak makan saya," kata lelaki 76 tahun yang bersosok kecil dan berjanggut lebat bewarna putih itu.

Berbeza dengan demonstrasi pertamanya pada Mac 2007 bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), A Samad kali ini menempuh pelbagai rintangan.

Selipar, bukan sepatu Nike
Beliau bukan sahaja hilang capal, tetapi hilang garam, tuala kecil dan air mineral yang dibawanya bagi menangi gas pemedih mata dan meriam air daripada pihak polis.

"Saya seharusnya diapit dua orang peguam, (tetapi) dua orang peguam pun hilang (setelah gas ditembak)," katanya yang mengakui sudah menjangkakan pendekatan keras itu akan diambil pihak berkuasa.

Pada Sabtu itu, dengan baju basah akibat air hujan dan meriam air, A Samad terus berjalan kira-kira 10 kilometer menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya berkaki ayam separuh jalan, berbatu-batu. Ada anak muda hendak beri saya sepati Nike. Ini saya fikir sepatu yang cantik sangat, saya tak mahu.

"Kemudian orang beri saya sepatu yang besar, saya gunakan sebab hendak berjalan agak susah. Sampai di Hotel Midah, Kampung Attap, ada orang membelikan saya selipar. Jadi lepas itu dia pula berkaki ayam," kata A Samad.

Pengarang novel Salina itu juga menyuarakan rasa terharunya pada semangat perpaduan dan hormat menghormati semua bangsa pada hari itu demi mencapai matlamat bersama ke arah pilihan raya yang bebas dan adil.

"Ada anak India hendak bagi sepatu dia, anak Cina hendak beri sepatu dia. Saya merasa amat bangga.

"Tidak pernah saya melihat satu kelompok orang muda yang berbilang bangsa itu bersatu oleh satu cita-cita. Itu sangat membanggakan," kata A Samad Said lagi.
Seterusnya >>>