Showing posts with label Baru Bian. Show all posts

Isu Taib Undur : Rakyat Muak, Pemimpin Jelak


SHAH ALAM 20 MAC: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud sepatunya mengumumkan pengganti beliau jika benar mahu berundur dari jawatan itu.
“Saya tidak percaya dengan pengumuman Taib itu. Kalau kita imbas kembali dalam tahun 1995, akhbar mengatakan dia akan berundur dalam lima tahun sebelum pilihanraya ketika itu. Tahun 2000 dia masuk pilihanraya, 2006 pun dia masuk lagi. Itu sepuluh tahun selepas tahun 1995 dan sekarang ini sudah lima belas tahun.
" Dan sekarang dia mengumumkan pengunduran lagi tetapi selepas pilihanraya tetapi tidak memaklumkan bila selepas pilihanraya,” kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak, Baru Bian yang sudah jelak dengan pengumuman sama yang diulang oleh Taib.

Beliau menyifatkan kenyataan untuk berundur oleh Taib tidak ubah sebagai gimik politik semata-mata untuk meredakan tekanan rakyat yang mahu menggulingkan pemerintahan diktator Barisan Nasional.
“Bagi saya itu hanya gimik sahaja memandangkan beliau ingin menyertai pilihanraya akan datang dan sekiranya dia berundur dasar pemerintahan Barisan Nasional terus dilaksanakan dan kerana itu tiada bezanya kerana dasar mereka sama,” katanya.

Semalam Taib pada program "Senada Sejiwa" di Serian menggambarkan bahawa beliau hanya akan mengundur diri apabila berpuas hati bahawa pemimpin baru di negeri itu boleh bekerjasama dengan baik.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana penganti yang berpotensi.

Sementara itu mengulas pembahagian kerusi Pakatan Rakyat di negeri itu Baru berkata, semua proses berjalan lancar dan beberapa masalah berhubung parti mana yang sepatutnya layak meletakkan calon telah dibincangkan supaya ia realistik dalam usaha memperoleh kemenangan pada pilihanraya DUN Sarawak.

“Setahu saya, PAS hanya (mahu bertanding) tiga kerusi yang mereka boleh yakinkan kita dan ia tidak mendatangkan masalah kepada kita.
" Bagi SNAP mereka memaklumkan untuk bertanding 28 kerusi tetapi secara realitinya kita telah berbincang dengan mereka dan mencadangkan kawasan untuk mereka dan bersifat realistik dan praktikal memandangkan mereka kekurangan jentera di bawah, tidak ada jelajah, tidak ada siri ceramah.
" Saya (juga) sudah mengadakan perbincangan terbuka dengan setiausaha mereka dan minggu hadapan kita akan kembali berbincang. Sekiranya mereka merasakan calon mereka boleh menang maka kita akan berbincang untuk meletakkan yang terbaik,” jelasnya.

Tambah Baru lagi, gerak kerja kempen sudah dijalankan dan lima isu penting telah dikenalpasti untuk diberikan tumpuan.

“Lima isu akan kita gunakan sebagai kempen iaitu isu tanah asal yang merupakan isu besar. Kedua isu kemiskinan di Sarawak, ketiga isu infrastruktur di seluruh negeri, isu mengenai pendidikan dan khidmat perubatan serta isu pemerintahan yang adil. Semua ini telah diputuskan untuk kempen kita,” katanya lagi.
Seterusnya >>>

Pilihan Raya Sarawak: KEADILAN sudah lama bersedia


KUCHING:  KEADILAN sudah lama bersedia dan sentiasa bersedia untuk berdepan Pilihan Raya Negeri Sarawak pada bila-bila masa, kata Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian.
Baru mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan Isnin ini.
Bercakap kepada Suara Keadilan, Baru menjelaskan, tahap kesiap siagaan parti itu kali ini lebih baik berbanding pilihan raya negeri 2006.
“Kita baru sahaja selesai mengadakan Konvensyen KEADILAN dan gerak kerja aktif dalam kalangan parti diteruskan. Mudah-mudahan kita mampu melakukan kejutan kali ini,” katanya kepada Suara Keadilan.
Menyentuh mengenai agihan kerusi sesama komponen Pakatan Rakyat, Baru berkata, gabungan parti itu bersama PAS, DAP dan SNAP menjadikan meja rundingan sebagai penyelesaian secara kekeluargaan.
Menurut Baru yang juga Biro Politik KEADILAN Pusat, tindakan media pro BN mempropagandakan isu itu sekadar usikan nakal untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat.
“Hakikatnya, hanya wakil komponen Pakatan Rakyat yang berunding. Laporan media BN hanya berprasangka jahat dan saya yakin persepsi yang ingin mereka cipta akan memakan diri,” katanya.
Tambah beliau,  krisis yang melanda sekutu BN di Sarawak, semakin parah dan sukar diselesaikan sehingga kini meskipun dengan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sekalipun.
“DUN Pelagus misalnya, Presiden Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Taib Mahmud mahukan kaum Cina, Larry Sng Wei Shen sebagai calon. Manakala Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), James Jemut Masing mahukan calon Dayak.
“Berpuluh tahun mentadbir, satu kerusi yang diwakili menteri (Larry) pun terlalu sukar  diselesaikan?” soal Baru.
Menurut rekod, DUN Pelagus merupakan kuota untuk PRS namun sehingga kini, Taib tetap mahu Larry bertanding di kawasan itu.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sarawak mengundi setiap calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya kali ini sekaligus memberikan peluang untuk perubahan dasar secara menyeluruh dilaksana negeri itu melalui agenda Buku Jingga Pakatan rakyat.
“Esok, Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali akan ke Sarawak untuk memuktamadkan senarai calon akhir parti itu untuk bertanding pada pilihan raya negeri  kali ini sebelum membawanya ke mesyuarat Biro Politik di Kuala Lumpur pada Rabu depan,” kata Baru.
Seterusnya >>>