Pada jam 1 pagi, selepas keputusan pilihan raya umum
ke-13 (PRU) diketahui, kita boleh lihat rupa Pengerusi BN, Datuk Seri
Mohd Najib Razak seakan sedih dan lesu apabila hanya berjaya memperoleh
majoriti mudah bagi membentuk kerajaan persekutuan.
Dalam
fikirannya, penulis merasakan beliau mungkin sedih dengan kemenangan
berkenaan yang nampak tidaklah memberangsangkan. Ini adalah keputusan
PRU terburuk BN atau Perikatan (sebelum 1969) yang pernah dicapai sejak
merdeka.
Hakikatnya, Najib mungkin juga sukar menerima
kemenangan ala kadar itu berlaku kerana sudah banyak perkara yang
dilakukan oleh jentera beliau demi ‘membeli' undi rakyat Malaysia.
Jika
diterjemahkan kepada jumlah nilai wang ringgit yang telah dibelanjakan
sebelum dan semasa PRU maka jumlahnya pasti mencapai jutaan ringgit.
BN berbelanja dengan menyewa ruang iklan dalam laman web termasuklah
dalam laman web yang dilihat pro-Pakatan Rakyat (PR), kempen iklan dalam
media massa serta menaikkan papan tanda besar-besaran di sepanjang
jalan dan lebuh raya utama di negara ini.
Nampaknya ‘pelaburan' bernilai jutaan ringgit tersebut tidaklah memberikan hasil yang dijangkakan sama sekali.
Malah,
penyusutan jumlah kerusi Parlimen yang pernah dikuasai selepas PRU 2008
iaitu 140 kerusi ke 133 kerusi dan bagi DUN (kecuali Sarawak) pula
menyaksikan penurunan banyak dari 307 kerusi ke 275 kerusi, sekali gus
menampakkan pelaburan ini tidaklah berbaloi.
Yang merugikan kerajaan BN juga apabila terlepas dengan lebih teruk
negeri-negeri maju iaitu Selangor dan Pulau Pinang, yang rakyatnya
memilih memberi peluang sekali lagi kepada Pakatan Rakyat memberikan
khidmatnya.
Di Selangor, BN hilang lapan kerusi DUN dirampas
oleh PAS dan DAP. Dalam lain perkataan, Pakatan berjaya membentuk
kerajaan negeri yang mempunyai majoriti 2/3 di kedua-dua negeri itu.
Meskipun
begitu, BN berjaya menawan Kedah tetapi tanpa menguasai 2/3 majoriti.
Malah, keadaan juga berakhir getir buat BN apabila Perak dan Terengganu
menyaksikan perkongsian kerusi DUN nampak seimbang yang tiada satu parti
pun berjaya menguasai 2/3 kerusi.
Najib sebagai pengerusi BN terjejas
Kedudukan Najib sendiri amat kritikal kerana beliau kini dilabel
sebagai Perdana Menteri yang memimpin jentera parti yang mencapai
keputusan terburuk, malah kehilangan penguasaan undi popular seluruh
negara.
SPR memaklumkan BN memperoleh 5.2 juta undi popular
manakala lawannya Pakatan mendapat 5.5 juta undi popular. PR mempunyai
lebih penyokongnya di Malaysia dibandingkan dengan BN kali ini.
Namun yang menjadi lumrah kuasa di Malaysia adalah berpaksi pada parti yang memenangi majoriti kerusi bagi membentuk kerajaan.
Sememangnya
tidak dapat dielakkan bahawa jumlah komposisi pengundi dalam sesebuah
kerusi Parlimen tidak dapat dipertikaikan tetapi jelas nampak bahawa
wujudnya keadaan tidak setara.
Bayangkan di Selangor sahaja
,contohnya kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dimenangi BN mempunyai
pengundi seramai 37,390 orang tetapi diberikan sama tarafnya dengan
kerusi Parlimen Selayang yang dimenangi Pakatan yang mempunyai tiga kali
lebih ramai pengundi iaitu 106,055 orang.
Keadaan beginilah yang menjadi pertikaian tetapi apa boleh buat sudah semuanya ditentukan sedemikian rupa oleh pemerintah.
Menjadi persoalannya, adakah Umno yang kini menjadi tonggak kepada BN apabila menguasai 103 kerusi dari 133 akan terus memberi wala (kesetiaan) kepada Najib untuk terus memimpin parti?
Adakah
Umno perlu melalui lagi saat getir berkemungkinan berlakunya perpecahan
dan perebutan kuasa di dalam parti sekiranya Najib berundur memberi
laluan kepada pertandingan?
Namun begitu, menjadi langkah bijak
untuk Najib berundur diri dalam masa terdekat dan menyerahkan kepada
parti untuk memilih kumpulan pemimpin yang baru bagi membawa Umno ke
arah yang lebih popular.
Lima tahun akan datang pasti berlalu
begitu sahaja dan Umno tidak mempunyai masa yang lama untuk mengawal dan
mendamaikan perpecahan di dalam parti sebelum menghadapi PRU ke-14.
Tsunami ‘Cina' tidak cerminkan segalanya
Walaupun begitu, tindakan menghuraikan keputusan PRU ke-13 sebagai ‘tsunami' pengundi Cina adalah tidak tepat sama sekali.
Namun
begitu, tidak dinafikan pengundi Cina memang sudah menolak
komponen-komponen parti Cina dalam BN seperti MCA, Gerakan, SUPP
(Sarawak) dan LDP (Sabah).
Tetapi jangan lupa pengundi Melayu
bandar dan subbandar juga menyokong Pakatan. Contoh mudah ialah apabila
PAS Selangor berjaya menambah tujuh kerusi DUN, menjadikannya kesemua 15
DUN di Selangor.
Kawasan-kawasan baru ini bermajoriti pengundi
Melayu di antara 52 hingga 65 peratus dari jumlah pengundi. Oleh itu,
faktor tsunami politik ‘Cina' tidak boleh dipakai langsung di kawasan
ini.
Bukan itu sahaja, PAS Terengganu yang berjaya ‘hampir'
membentuk kerajaan negeri juga pastinya memerlukan undi pengundi Melayu
untuk mencapai kedudukan tersebut.
PAS Terengganu kali ini
memenangi 15 kerusi DUN Terengganu (termasuk satu dimenangi calon PKR)
manakala BN Terengganu pula mendapat 17 kerusi DUN.
Ini
membuktikan lagi bahawa tsunami Cina tidak relevan sama sekali kerana
pengundi bukan Melayu di negeri Terengganu tidak sampai pun 5 peratus.
Kajian menyeluruh perlu dilakukan dan tidak sekadar menyalahkan pengundi Cina yang memberi kemenangan kepada Pakatan.
Selagi kerusi-kerusi Melayu masih lagi dimenangi Umno maka amat sukarlah PAS dan PKR untuk memperoleh majoriti dalam Pakatan.
DAP
tidak wajar disalahkan oleh penyokong Pakatan Melayu kerana sebagai
parti yang masih dilihat mewakili bangsa Cina dan India apabila menang
38 kerusi Parlimen.
DAP hanya berjaya memperoleh 70 peratus
kemenangan di 55 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Malah, dua pemenang
Parlimen untuk DAP juga adalah dua calon Islam yang masing-masing di
kerusi Bukit Bendera, Pulau Pinang dan kerusi Raub, Pahang.
Umno tidak lagi mempunyai banyak masa untuk berehat walaupun menang tidak bergaya kali ini.
Strategi-strateginya
sebelum ini seperti membiarkan persepsi umum mengenai perkaitannya
dengan pertubuhan ultra Melayu seperti Pertubuhan Pribumi Kebangsaan
(PERKASA) dan membiarkan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad
bercakap sesuka hatinya.
Ia sebaliknya perlulah dikawal demi menarik kembali sokongan pengundi Cina dan muda di bandar.
Dalam
usaha transformasi Najib sebelum ini, umum melihat BN hanya
memperjuangkan atau membantu golongan luar bandar dan gagal melihat
kepada keperluan hidup pengundi di bandar terutamanya di bandar-bandar
besar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
BN perlu sedar
pengundi bandar tidak berkongsi sentimen perkauman yang cuba dimainkan
oleh sesetengah pemimpin BN sendiri apabila berkempen.
Bagi mereka, periuk nasi dan taraf kehidupan mereka memainkan peranan mereka untuk memilih parti yang disokong.
Bukan
itu sahaja, faktor media sosial dan sikap BN yang mengawal media massa
sepenuhnya terus membuatkan para pengundi geram kerana kesal BN terus
mendakwa Malaysia ini bebas dan demokrasi tetapi mempertahankan
penggunaan media massa tempatan sebagai haknya sahaja.
Keperluan transformasi dalaman BN
Bukan sahaja BN patut menumpukan pada transformasi nasional tetapi yang
paling penting ialah BN perlu melakukan muhasabah atau dalam bahasa
sosialnya ialah transformasi dalaman.
Masa bakal berlalu dengan
cepat sebelum PRU ke-14 dan BN perlu memulakan transformasi imej,
doktrin, ketelusan pengurusan wang dan organisasi untuk mendapatkan
sokongan semula.
Jika PRU ke-12 dan PRU ke-13 terus menunjukkan
penyusutan kerusi dan undi popular pada BN maka tidak mustahil untuk
trend berkenaan berterusan di masa hadapan yang boleh menghumbankan
mereka terus dari puncak kuasa.
Oleh itu, BN kenalah anggap
situasi sekarang hanya sebagai talian hayat atau satu lagi peluang (yang
mungkin juga terakhir) untuk memerintah dan berubah sepenuhnya jika
mahu terus relevan di masa hadapan.
Bagi Pakatan, terimalah keputusan dalam PRU-13 tidak kiralah apa dakwaan ke atas ketelusan SPR demi keharmonian negara.
Pakatan perlulah berfikiran positif kerana mereka sememangnya masih menang tetapi belum cukup sahaja untuk berkuasa.
Usahlah turun berdemonstrasi buat masa sekarang tetapi merancang semula pelan kempen mereka terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Pakatan kena akur tanpa sokongan kuat rakyat Sabah dan Sarawak, cita-cita ke Putrajaya tidak akan tercapai.
Apa
yang boleh diteruskan sekarang ialah memperbaiki permuafakatan sesama
komponen Pakatan dan berusaha agar menjadikan satu barisan parti
dikenali sebagai Pakatan Rakyat didaftarkan secara rasmi menjelang PRU
akan datang.
Selain itu, berhentilah mendendami dan
membuli Pakatan seperti yang dilakukan sepanjang lima tahun lalu kerana
rakyat menilai setiap tindak-tanduk yang dilakukan oleh pemimpin BN
sebagai bermotif politik.
BN dan Pakatan perlulah bertoleransi
di antara satu-sama lain serta bersepakat sekali-sekala di dalam
perkara-perkara yang menjamin kepentingan masa hadapan negara kita.
Sekiranya
Najib sedar akan keperluan untuk penyatuan nasional, usahlah
syarat-syarat untuk ke arah itu merupakan syarat-syarat diletakkan oleh
BN sahaja tetapi mengambil kira kepentingan rakyat dan memerlukan buah
fikiran parti lawan.
Dalam berbuat apa-apa untuk negara, BN kena
sedar sekali lagi bahawa partinya tidak lagi memiliki majoriti undi
popular dan ini bukan saya yang cakap tetapi SPR sendiri sudah maklumkan
pada umum.
BN hanya beruntung kerana menang paling banyak kerusi di Dewan Rakyat sahaja.