KUALA LUMPUR:
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon
mengutuk kenyataan Presiden MCA Dr. Chua Soi Lek yang mendakwa seramai
1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS
melaksanakan hudud di Malaysia.
Katanya, dakwaan Chua hanya berdasarkan SMS yang tidak dapat
mengesahkan pengirim menunjukkan Chua semata-mata mengarut dan cuba
mengalih fokus rakyat yang benci terhadap rasuah dan penyelewengan yang
diamalkan oleh Umno BN.
Beliau berkata, Chua telah banyak kali memilih untuk mempermainkan
isu hudud demi politik sempit MCA tetapi memperlekehkan isu rasuah dan
penyelewengan yang ditemui dalam Laporan Audit Negara 2011.
“Dr. Chua juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa politk wang bukan
rasuah dan sebagainya yang langsung tidak memahami kebencian rakyat
terhadap kerajaan yang rasuah dan bukannya hukum hudud,” ujarnya dalam
satu kenyataan.
Tambahnya, AMK berpendapat bahawa Dr. Chua masih dalam keadaan berkhayal serta ilusi baik (
feel good) dan sentiasa mengeluarkan kenyataan yang memutarbelitkan serta mengelirukan.
Katanya, Chua langsung tidak ada keupayaan untuk refleksi diri dalam
isu hudud dan pentadbiran kerajaan Umno BN yang menyeleweng.
Justeru, AMK menyindir Dr. Chua seperti meludah ke langit dengan
mendakwa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat, maka
semua premis arak, judi, siber cafe dan refleksologi akan ditutup.
“AMK menegaskan bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah
parti politik yang demokratik, sederhana dan terbuka,” ujarnya lagi.
Katanya, PAS telah bersama-sama dengan DAP dan Keadilan dalam Pakatan
Rakyat dan mendokong agenda reformasi bersama yang tertakluk dalam Buku
JIngga.
Beliau menegaskan, perjuangan PAS untuk merealisasikan sebuah Negara
Berkebajikan juga disokong oleh semua ahli parti dan rakyat Malaysia.
Katanya, yang mendukacitakan adalah MCA yang masih mempermainkan isu perkauman dan agama untuk mengaut modal politik.
Oleh itu, AMK berpendapat bahawa Dr. Chua Soi Lek telah ketandusan
idea dan tidak berupaya bersaing dengan Pakatan Rakyat atas dasar atau
halatuju pembangunan Negara yang sepatutnya.
Maka, ujarnya Pilihanraya Umum yang akan datang amat penting dan
significant untuk rakyat merealisasikan perubahan yang perlu ada di Malaysia.
“Selamatkan Malaysia daripada rasuah dan penyelewengan supaya menjadi
sebuah negara yang demokratik, bebas dan adil,” katanya lagi.