Bapa Saiful Bukhari : Tidak Perlu Sumpah Laknat

bapa saiful masuk PKR 01

PETALING JAYA, 11 MAC: Bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim menegaskan beliau tidak akan melakukan sebarang sumpah laknat bagi membuktikan kesahihan dakwaannya minggu lepas bahawa kes liwat II adalah konspirasi menjatuhkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini soal sumpah-sumpah kalau kita tengok sejarah Malaysia dah banyak. Saya tidak akan bersumpah.
“Saya tegas dengan kenyataan (sebelum ini). Saya tidak takut,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.
Azlan hari ini mengumumkan penyertaannya ke dalam PKR setelah membuat kenyataan minggu lalu bahawa anaknya dipergunakan pihak tertentu di dalam kes liwat II Anwar Ibrahim.
Azlan mendakwa anaknya dipergunakan pegawai kerajaan persekutuan untuk menjatuhkan Anwar.
Borang penyertaan diserahkan kepada Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. Turut hadir MP Shah Alam, Khalid Samad dan MP Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
Sebagai simbolik penyertaan, Saifuddin mengenakan jaket lambang PKR kepada Azlan.
“Sebenarnya saya telah lama berjuang di dalam PKR sejak tahun 1998 sebagai penyokong bawahan, saya mengikuti dengan penuh minat.
“Dengan ini saya menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai Ketua Umum PKR.
“Saya mendoakan PKR dan parti komponen Pakatan Rakyat mencapai kemenangan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)
dibanding dengan PRU-12,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, penyertaan ini bukan bertujuan untuk menganiaya mahupun mengkhianati anak-anaknya.
“Saya menyayangi mereka tanpa berbelah bahagi sehingga akhir hayat.”
Tegasnya, penyertaan beliau di dalam parti politik tidak mempunyai kaitan dengan prosiding mahkamah satu ketika dahulu dimana beliau bersama Saiful.
“Menyertai politik tidak ada kaitan dengan kes mahkamah. Kebetulan saya menyertai PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar.
“Kalau saya sertai sebelah sana (Umno-BN), mungkin tidak menjadi isu,” ujarnya lagi.
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan
meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari di sebuah kondominium di ibu negara pada 2008.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan demikian selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan
Mohd Saiful Bukhari dan tidak selamat bagi mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

0 Komen pengunjong :