Suruhanjaya Diraja sahaja mampu tutup kes NFC


KUALA LUMPUR, 13 Mac — Walaupun Pengerusi Pusat Fidlot Nasional (NFC) telah didakwa di mahkamah semalam atas kesalahan jenayah pecah amanah, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini tetap berpendapat skandal berkenaan masih lagi menjadi kontroversi.
Pemimpin PR yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, tekanan masih lagi diberikan kepada kerajaan untuk menyiasat dengan lebih terperinci “terhadap semua pihak” yang didakwa terlibat dengan skandal berkenaan yang telah menyalahgunakan dana awam, dan hanya melalui Suruhanjaya Diraja perkara itu mampu dilaksanakan.
“Perkara itu tidak akan mengubah hakikat keperluan untuk mewujudkan Suruhanjaya Diraja bagi mencari keadilan di sebalik NFC,” kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar. “Sepanjang pengetahuan kami, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Kewangan turut bertanggungjawab meluluskan projek berkenaan. Mereka harus bertanggungjawab. “Rakyat perlu tahu sama ada NFC adalah ‘modus operandi’ untuk semua projek kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya percaya individu-individu seperti menteri yang tidak dilanjutkan pekhidmatannya dan dakwaan terhadap pengarah-pengarah NFC tidak seharusnya digunakan untuk menyembunyikan skandal yang berkait rapat dengan BN,” tambahnya merujuk kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan suaminya, Datuk Seri Salleh Mohamad Salleh Ismail.
Mohamad Salleh, yang merupakan Pengarah Eksekutif NFCorp telah didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas kesalahan pecah amanah dan pelanggaran terhadap Akta Syarikat berhubung penggunaan RM49 juta dana kerajaan yang telah diberikan kepada syarikatnya.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesalahan pecah amanah termasuk dua tuduhan lain yang mana telah menyebabkan Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan BN menerima tekanan memandangkan pilihan raya semakin hampir.
Nurul Izzah berkata isunya sekarang bukanlah penggunaan dana NFC sebagai “senjata” untuk kempen, tetapi bagaimana sesetengah institusi negeri telah digunakan bagi menyembunyikan “penyalahgunaan yang jelas terhadap dana kerajaan dan anggota Kabinet”.
“Perkara ini turut menghantui pentadbiran walaupun Shahrizat mengambil keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatannya yang sememangnya akan tamat tidak lama lagi.
“Memang Salleh sudah didakwa. Tapi jelas Peguam Negara tersekat dalam mood inersia apabila tidak membenarkan semua yang terbabit di bawa ke muka pengadilan,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai ini.
Beliau menegaskan rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui sejauh mana penglibatan anggota Kabinet dalam meluluskan projek penternakan lembu itu, dan pihak yang bertanggungjawab dalam hal itu perlu di bawa ke muka pengadilan.
Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Anthony Loke berkata dakwaan terhadap Mohamad Salleh hanyalag satu contoh “ketara” konsep “kapitalis kroni” yang diamalkan Umno-BN. “Dakwaan terhadap kes berprofil tinggi ini berlaku disebabkan tekanan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat,” jelas Loke kepada The Malaysian Insider.
“Ini hanyalah satu kes. Terdapat banyak lagi skandal yang telah kami dedahkan.”
Menurutnya, PR akan terus memberikan tekanan hinggalah setiap individu yang terlibat dengan NFC di bawa ke muka pengadilan.
Shahrizat Ahad lalu telah mengumumkan untuk tidak menyambung jawatan di Kabinet sebagai Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat. Beliau bagaimanapun akanmeneruskan tugas sebagai Ketua Wanita Umno walaupun telah lebih empat bulan setengah menerima tekanan berhubung skandal NFC.
NFC telah menajdi topik hangat selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati projek berkenaan gagal menepati sasaran. Polis turut mencadangkan kepada Peguam Negara supaya membuat pendakwaan terhadap pengarah NFCorp atas kesalahan pecah amanah, namun Peguam Negara mengarahkan pihak berkuasa berkenaan supaya menjalankan siasatan terperinci terhadap Mohamad Salleh.
NFCorp bukanlah satu-satunya skandal yang melanda pentadbiran Najib, namun skandal penternakan lembu ini menarik perhatian seluruh masyarakat kerana kebanyakan rakyat Malaysia lebih memahami skandal seperti ini berbanding skandal yang melibatkan perkara berkaitan kewangan.

0 Komen pengunjong :