Anwar lebih dahulu perkenal wasatiyyah sebelum Najib


KUALA LUMPUR 14 Mac: Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali berkata wasatiyyah bukan perkara baru dalam pentadbiran negara dan gagasan itu telah dikupas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berbangga kerana kononnya memperkenalkan konsep wasatiyyah dalam pentadbiran kerajaan.
“Saya agak tersinggung apabila ada pihak mendabik dada kononnya memperkenalkan konsep wasatiyyah. Pada  7 Disember 1975, ketika menyampaikan ucapan dasar dasar Muktabar ABIM yang ke 5 bertemakan Jelas Wadah Perbaharu Tekad, Anwar telah mencetuskan gagasan al-wasatiyyah untuk membawa umat memahami dan menghayati prinsip keserhanaan dalam masyarakat.
“Pada tahun 1978, Anwar mengupas konsep wasatiyyah dalam kertas kerjanya yang berjudul Islam dan Masyarakat Majmuk di Universiti Kebangsaan Malaysia yang turut di hadiri Lim Kit Siang. Pemimpin DAP memahami konsep wasatyyah ini jauh lebih awal daripada pemimpin Umno.
“Pada 9 Ogos 1981 sekali lagi Anwar membawa tema dalam ucapan dasarnya bertajuk ‘Membina Generasi Satu Gagasan’ ketika merasmikan muktamar ABIM ke 10 di UM.
“Setelah menyertai kerajaan, Anwar sekali lagi mengupas secara panjang lebar konsep wasatiyyah dalam bukunya Gelombang Kebangkitan Asia,” katanya ketika menyampaikan ucapan menjunjung kasih Seri PAduka Baginda Yang Di Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata, konsep itu telah lama didukung Pakatan Rakyat.
Ia terbukti, kata Azmin, apabila Pulau Pinang yang ditadbir Ketua Menteri Lim Guang Eng, melancarkan buku Dr Syeikh Al-Qardawi yang bertajuk ‘al-Wasatiyyah’ sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri pada 2010.
Dalam ucapan itu, menurut Azmin, Guan Eng mengajak pemimpin Umno memahami dan menghayati konsep wasatiyyah dan bukan sekadar menjadi retorik politik untuk dicandukan kepada rakyat.
“Wasatiyyah dalam politik memperkukuhkan kedaulatan rakyat kerana rakyat adalah sumber kuasa. Kalau benar menjunjung konsep wasatiyyah jangan tipu rakyat dalam pilihanraya, jangan ada pengundi hantu dan jangan memperlembukan Suruhanjaya Pilihanraya semata-mata demi kuasa,” katanya.
Beliau juga menyindir kerajaan yang kononnya mengamalkan konsep wasatiyyah sedangkan dalam masa sama melakukan pembaziran dana awam untuk tujuan peribadi seperti skandal NFC, majlis pertunangan anak perempuan dan majlis hari jadi Najib.

0 Komen pengunjong :