Mahathir: Jangan ulas apa anda tidak tahu

Mahathir: Jangan ulas apa anda tidak tahuKUALA LUMPUR,-Tun Dr Mahathir Mohamad diminta tidak mengulas isu 'bai'ah' dalam PAS kerana tidak semua benda yang beliau ketahui di dalam dunia ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, adalah lebih baik Mahathir diam sahaja dalam isu ini kerana beliau tidak tahu sebenarnya apa dia bai'ah dalam PAS.
Mustafa mengulas ulasan Mahathir sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Mahathir, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sepatutnya meminta ahli PAS berbai'ah kepada Allah dan bukannya kepada pemimpin mereka yang hanya berminat untuk menang pilihan raya.
"Sebab itu saya kata, Mahathir tidak perlu ulas semua perkara. Dia tidak tahu hal bai'ah ini," kata Mustafa kepada Harakahdaily.
Menurut beliau, bai'ah dalam PAS sangat tersendiri kerana kesemua pemimpinnya berbai'ah untuk menegakkan perjuangan Islam di negara ini.
"Oleh itu, bila Mahathir minta kita berbai'ah kepada Allah dan bukan pemimpin, saya kata Mahathir tak perlulah ulas semua benda atas dunia ini...buat malu sahaja," kata beliau.

0 Komen pengunjong :