Skandal NFC: PKR desak Najib buat kenyataan


KEADILAN mengalu-alukan siasatan yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pelbagai urusniaga melibatkan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan Projek Fidlot Kebangsaan, seperti yang diumumkan mutakhir ini.

Walau bagaimana pun, isu paling pokok adalah persoalan pertanggungjawaban awal yang bermula dari Kabinet dan menteri-menteri kanan Barisan Nasional yang terlibat menganugerahkan projek bernilai RM250 juta ini kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman langsung.  Dana awam berjumlah RM250 juta pun disalurkan tanpa ada sebarang jadual pembayaran seperti mana kebiasaannya.

KEADILAN menyeru supaya Perdana Menteri, Najib Razak (gambar kanan )segera membuat kenyataan mengenai skandal ini, lebih-lebih lagi apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Noh Omar mengejutkan negara apabila mengesahkan bahawa kelulusan projek ini tidak dibawa ke peringkat kabinet.  Sebaliknya, projek berjumlah RM250 juta ini khabarnya diluluskan oleh sebuah jawatankuasa bukan kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

KEADILAN pada hari ini boleh mendedahkan bahawa unsur penyelewengan yang mungkin berlaku di dalam NFC dan syarikat-syarikat yang berkaitan melangkaui pendedahan yang mengejutkan rakyat Malaysia selama ini.

Contohnya, dalam tahun 2010 NFC membelanjakan RM31,580 untuk membiayai pakej umrah di atas nama Mohamad Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh.  KEADILAN mempunyai bukti jelas bagaimana arahan agar pembayaran bagi pakej umrah menggunakan dana awam ini datangnya dari pejabat Pengerusi Eksekutif NFC sendiri.

Selain perbelanjaan bersifat peribadi yang tidak sepatutnya dibiayai dana awam seperti itu, lebih membimbangkan adalah pelbagai urusniaga dan pemindahan wang yang melibatkan syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat Jalil di Singapura.

Justeru, KEADILAN menggesa supaya PAC dan PDRM menyiasat segala urusniaga di antara NFC, NMLC dan RFC dengan syarikat-syarikat berikut di Singapura:

Global Biofuture Pte Ltd (200822772H) – carian syarikat disertakan bersama
Meatworks Singapore Pte Ltd (200923276Z) – carian syarikat disertakan bersama

Global Biofuture Pte Ltd terlibat di dalam urusniaga makanan dan bahan api.  Semakan awal menunjukkan syarikat ini dalam proses menubuhkan pasaraya di Singapura dan disyaki juga terlibat sebagai ejen untuk mengimport lembu dari luar negara melalui Singapura untuk dibekalkan kepada NFC.  Semakan KEADILAN menunjukkan sehingga akhir Jun 2010, Global Biofuture Sdn Bhd berhutang dengan RFC sebanyak RM939,495.

KEADILAN percaya bahawa sejumlah wang disalurkan dari pinjaman asal RM250 juta kepada pelbagai syarikat-syarikat peribadi milik keluarga Shahrizat Jalil, termasuklah untuk menubuhkan dan membiayai Global Biofuture Pte Ltd di Singapura.

Meatworks Singapore Pte Ltd pula bertanggungjawab menguruskan beberapa restoran mewah milik keluarga Shahrizat Jalil di Singapura.  Semakan penyata kewangan menunjukkan bahawa pada akhir Jun 2010, Meatworks Singapore Pte Ltd berhutang dengan RFC sebanyak RM2,416,815.

Bukti-bukti awal ini sudah cukup untuk membolehkan satu siasatan terperinci dibuat untuk menentukan sama ada penyelewengan berlaku, apabila wang rakyat yang disalurkan untuk projek nasional berimpak tinggi digunakan bagi tujuan peribadi termasuklah membuka pelbagai syarikat milik keluarga yang menyimpang dari tujuan asal pinjaman diberikan.

Skandal ini akan terus terbongkar dan Perdana Menteri perlu tampil memberi penjelasan memandangkan beliaulah yang bertanggungjawab mengkaji cadangan projek dan meluluskan dana awam sebanyak RM250 juta.

*Kenyataan media oleh Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR merangkap ahli parlimen Machang, Zuraida Kamaruddin (Ketua Wanita PKR merangkap ahli parlimen Ampang) dan Mohd Rafizi Ramli (Pengarah Strategi PKR).

0 Komen pengunjong :