SHAH ALAM, 17 Nov: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini memberitahu Dewan Undangan Negeri Selangor tidak akan dibubarkan jika Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) dilaksanakan kurang dari enam bulan dari tarikh hari ini.
Beliau yang menjelaskan pendirian kerajaan negeri itu dengan hasrat segala apa yang dijanjikan pada Belanjawan 2012 Negeri Selangor dapat di laksanakan sepenuhnya serta memenuhi apa yang telah dijanjikan kepada rakyat.
"Saya sebagai Menteri Besar hari ini menyatakan pendirian kerajaan negeri bahawa jika pilihanraya umum dilakukan kurang enam bulan maka kita tidak akan sertai tetapi jika sebaliknya Negeri Selangor akan bersama dalam pilihan raya itu.
"Ini adalah ingin memastikan segala apa yang kita janjikan pada belanjawan kali ini dapat dipenuhi sepenuhnya serta rakyat dapat menikmati apa yang telah kita janjikan.
"Banyak yang kerajaan negeri telah janjikan dan kita mahu pastikan ia dapat dilaksanakan sepenuhnya," jelasnya sewaktu penutup Sidang Dewan Undang Negeri Selangor hari ini.
Khalid memberitahu, setiap pihak jangan memikirkan sebaliknya kerana niat kerajaan yang tidak mahu menyertai pilihan raya itu.
"Kita kena fikir positif dan apa yang dilakukan ini adalah untuk kebaikan, untuk apa kita berbahas tentang bajet dan sebagainya jika kita turut sama dalam pilihan raya sehinggakan apa yang dijanjikan pada belanjawan kali ini tidak dapat ditunaikan sepenuhnya," sambungnya lagi.
Dalam masa yang sama Khalid juga meminta setiap pihak menghormati intitusi di negeri ini terutamanya Institusi Raja, Dewan Negeri, Kerajaan Negeri dan rakyat.
Sebagai menjadikan sebuah negeri yang harmoni setiap pihak perlu bekerjasama tanpa ada sebarang sikap prasangka dan yang perlu dilakukan oleh wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat adalah melaksanakan apa yang telah diamanahkan.
0 Komen pengunjong :