KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini mengambil ketetapan mendesak Kerajaan BN menarik balik Akta Perhimpunan Aman yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Ketetapan itu dibuat memandangkan akta tersebut jelas menekan rakyat, malah lebih zalim berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang akan dimansuhkan itu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, sehubungan itu, Pakatan Rakyat akan mengadakan bantahan keras terhadap akta tersebut di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) esok pada jam 1.30 tengah hari.
Menurut beliau, selain itu, Pakatan Rakyat akan turut mengadakan beberapa siri perhimpunan besar dengan dimulakan di Shah Alam pada 4 Disember, di Ipoh pada 10 Disember dan di Melaka pada 16 Disember nanti.
Katanya, perhimpunan besar Pakatan Rakyat bagi membantah akta tersebut akan turut diadakan setiap tahun mengikut jadual yang akan dibuat dalam waktu terdekat.
"Akta Perhimpunan Aman 2012 itu ternyata bercanggah dengan janji Perdana Menteri untuk menghormati hak rakyat kerana jelas lebih menekan rakyat," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Penekanan terhadap rakyat menerusi akta itu, menurutnya, jelas terserlah apabila pihak polis diberikan kuasa lebih besar dan mutlak, walaupun Seksyen 27 Akta Polis dimansuhkan.
Katanya, menerusi akta itu, rakyat diminta mengemukakan permohonan kepada polis sehingga 30 hari sebelum perhimpunan diadakan, tanpa keizinan polis tidak boleh diadakan perhimpunan, selain terpaksa membuat rayuan kepada menteri.
"Ini jelas menunjukkan kongkongan pihak pemerintah terhadap rakyat, sama seperti di negara-negara ekstrim Arab dan Myanmar," tegasnya.
Dalam usaha membantah akta itu, tambahnya, beliau dan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan turut menyebutnya pada persidangan Dewan Rakyat secara berterusan.
Beliau turut berbangga kerana Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen yang turut dianggotai PAS dengan diwakili Ketua Pengarah Pilihanraya parti itu, Dr Mohd Hatta Ramli, wakil PKR dan DAP, telah menunjukkkan semangat dan kesungguhan untuk memperbaiki sistem perjalanan pilihanraya di tanah air.
Namun beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 selagi 8 tuntutan Bersih tidak dilaksanakan.
"Antara 8 tuntutan Bersih itu termasuklah penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya yang mestilah dilaksanakan oleh SPR," katanya yang juga Kerua Umum PKR.
Beliau turut berharap agar SPR atau pihak Kerajaan BN tidak menjadikan penubuhan jawatankuasa itu sebagai hujah untuk mengelaburi mata rakyat bagi mengelakkan 8 tuntutan Bersih itu dilaksanakan dalam pilihanraya di negara ini.
Turut hadir pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
0 Komen pengunjong :