JOHOR BARU, 27 Nov – Sementara PKR meletakkan sasaran dapat meneruskan tapaknya di Johor, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berharap rakyat akan membuang rasa khuatir terhadap komponen Pakatan Rakyat itu kerana ia tetap akan memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu.
Khalid yang berucap pada akhir Kongres Nasional PKR Kelapan di sini memberitahu, matlamat utama perjuangan PKR adalah untuk mengembalikan hak rakyat yang dirampas Umno dan sepatutnya masyarakat Melayu membuang perasaan takutkan politik PKR.
“PKR hanya akan melakukan reformasi terhadap sistem pentadbiran Melayu, ia harus dilakukan sekarang, orang Melayu tidak seharusnya takutkan PKR kerana matlamat kami adalah untuk memperbaiki kekurangan dan mengembalikan hak orang Melayu yang dirampas Umno,” katanya.
Malah, Khalid menegaskan, sekiranya pengurusan aset Melayu ditadbir dengan betul, orang Melayu akan mempunyai nilai aset yang lebih banyak berbanding dengan apa yang mereka miliki sekarang kerana urus tadbir Umno membenarkan aktiviti kronisme dan rasuah.
“PKR tidak akan membenarkan aktiviti rasuah dan kronisme menular dalam pentadbiran, perjuangan kami adalah untuk membela nasib masyarakat yang miskin kerana PKR percaya, di negara ini terdapat lebih ramai rakyat yang berpendapatan rendah berbanding golongan kaya,” kata beliau yang menceburi bidang politik selepas meninggalkan dunia korporat.
Dalam ucapannya, Khalid turut berjanji akan membawa model pentadbiran yang diamalkan mereka di Selangor dan akan melaksanakannya di Johor sekiranya rakyat Johor memberi mereka mandat untuk memerintah pada pilihan raya umum ke-13.
“Rakyat Selangor telah menikmati air percuma, pentadbiran yang telus dan berhemah, kebajikan daripada saat lahir hinggalah kepada ketika mereka meninggal dunia, kerajaan PKR tetap membela rakyat Selangor.
“Perkara itu juga akan dilaksanakan PKR sekiranya rakyat negeri Johor memberi mandat untuk kami memerintah di sini (Johor),” katanya.
Jelas Khalid, perjuangan PKR adalah untuk membebaskan masyarakat Melayu yang kebanyakannya merupakan golongan berpendapatan rendah dan miskin.
Dalam pada itu, Ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng pula berjanji akan mempertahankan hak masyarakat Melayu dan Bumiputera sekiranya PKR berjaya menawan Putrajaya.
Chua berkata, kerisauan yang timbul dalam masyarakat Melayu terutamanya di Johor sekiranya PKR memerintah adalah kehilangan hak dan keistimewaan mereka.
“Saya berjanji, saya akan bersama-sama dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan hak orang Melayu terutamanya di Johor sekiranya PKR menguasai Putrajaya,” katanya dalam ucapan penggulungan beliau.
“Saya akan mempertahankan hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan termasuk juga hak-hak kaum lain termasuk Orang Asal, India dan bangsa Cina,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, kegusaran orang Melayu seharusnya dilemparkan kepada Umno kerana parti itu yang banyak melakukan penyelewengan terhadap orang Melayu.
“Umno telah banyak menipu orang Melayu, mereka tidak memperjuangkan rakyat dan orang Melayu, sebaliknya membenarkan penyelewengan terhadap air dan pasir negeri ini yang mencecah berbilion ringgit,” kata bekas menteri kesihatan dan bekas naib presiden MCA ini.
Pekara yang utama PKR wajib lakukan dulu ialah
ReplyDeletememastikan bakal calon yang akan bertanding itu
mestilah berkualiti.Kita tidak mahu peristiwa
di Perak berulang.Dan nama seperti ALIAS BIN ZENON
Ketua Cabang PKR Padang Rengas wajib disiasat
perilakuknya sekiranya dicalonkan.Jangan sekalix
bercakap soal keadilan untuk rakyat sekiranya
mamat ini masih dicalonkan dalam PRU kelak.