KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak perlu meminta maaf secara terbuka terhadap rakyat di negara ini berhubung kos sebanyak RM84 juta yang dibayar kepada syarikat perunding luar, FBC Media.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, permohonan maaf itu juga perlu dilakukan terhadap umat Islam di Malaysia, kerana penglibatan FBC yang menyokong tindakan tentera zionis dan menghina Nabi Muhammad.
Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution baru-baru ini bahawa FBC menyokong tindakan Israel menyerang kapal misi bantuan ke Gaza dan memburukkan imej junjungan besar umat Islam itu.
“Pertama, kita minta Najib tampil dan menjawab isu ini. Kedua, sekiranya betul, beliau wajar meminta maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia,” katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.
Menurutnya lagi, bayaran menggunakan khidmat FBC Media sebanyak 19.6 juta Euro (RM84 juta) merupakan hasil wang dari cukai rakyat termasuk majoriti muslim, justeru, tindakan Najib itu dianggap menghina umat Islam keseluruhan.
FBC Media dilantik kerajaan Malaysia bagi menerbitkan program TV berkaitan negara ini yang kemudian ditayangkan syarikat penyiaran antarabangsa seperti CNBC, CNN dan BBC.
Bagaimanapun program TV berkenaan digantung selepas siasatan mendapati kerajaan Malaysia membayar FBC Media, yang menyalahi peraturan dan etika media penyiaran.
Pada sesi parlimen Isnin lalu, Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang mendedahkan FBC menyokong tindakan Israel menahan kapal Mavi Mara yang menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, 31 Mei lalu.
FBC secara terbuka menyokong serangan berkenaan yang menyaksikan lebih 10 aktivis terbunuh, manakala 12 sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal itu turut ditahan.
Malah lebih teruk, kata Saifuddin, kempen media FBC Media juga secara terang-terangan memburukkan Nabi Muhammad.
“Peranan FBC Media untuk mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara Islam yang berjaya, terang-terang bercanggah. Dia dapat duit kita, dia puji Israel. Kalau baca kempen online mereka, Nabi Muhammad diserang dengan begitu hina dan jijik sekali,” Saifuddin dipetik berkata.
Sebelum ini, Najib turut mengupah perunding Israel, Apco Worldwide, untuk menaikkan imejnya termasuk mempopularkan idea 1Malaysia yang mirip kepada One Israel.
Rentetan pendedahan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen Pakatan Rakyat digantung dari menghadiri sesi dewan rakyat selama hampir setengah tahun.
0 Komen pengunjong :