SHAH ALAM : Wakil Kerajaan Negeri Selangor dalam Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Idris Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kampung baru (JKBPKB) dan telah mengadakan mesyuarat pertamanya, semalam.
"JKBPKB ini ditubuhkan oleh Pejabat Dato' Menteri Besar selepas menerima maklum balas berterusan dari pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang mahu kepentingan dan kesejahteraan mereka diutamakan dalam apa jua pembangunan yang dirancangkan," kata kenyataan media oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Dato' Menteri Besar.
Menurut sekretariat akhbar itu JKBPKB dianggotai wakil Pejabat Dato' Menteri Besar, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Yayasan Selangor (YS), Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB), wakil pemilik dan pewaris tanah serta ahli-ahli profesional termasuk peguam serta jurutera.
JKBPKB ini akan berperanan sebagai badan yang meneliti isu-isu berkaitan Kampung Baru termasuk perundangan, perancangan dan pelaksanaan pembangunan serta mengadakan sesi penerangan.
Hasil daripada itu, JKBPKB akan mengemukakan cadangan kepada pemilik dan pewaris tanah dan akan dijadikan sebagai pilihan untuk dipertimbang dan dipersetujui.
"JKBPKB bertanggungjawab memastikan kepentingan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru sentiasa dipelihara dan dilindungi.
JKBPKB akan mengadakan pertemuan dengan berbagai pihak bagi mendapatkan pandangan bagi membolehkan satu cadangan pembangunan yang terbaik diterbitkan dengan mengambil kira semua faktor," katanya.
0 Komen pengunjong :