Panel Parlimen - Langkah awal dengar suara rakyat : Saifuddin


KUALA LUMPUR, 16 Ogos — Datuk Saifuddin Abdullah, antara pemimpin Umno memberi pandangan terbuka mengenai keperluan pembaharuan sistem pilihan raya menyifatkan pembentukan jawatankuasa pemilih Parlimen sebagai permulaan kepada langkah “usaha berdialog dan konsultatif” ke atas isu-isu melibatkan rakyat.
“... di mana kepentingan parti dikemudiankan,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno ini kepada The Malaysian Insider mengulas perkembangan terbaru berkaitan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa pemilih Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.
Najib berkata panel itu yang akan dianggotai oleh anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.
“Ini supaya kita akan dapat kata sepakat untuk mengendalikan pilihan raya akan datang tanpa sebarang rasa syak wasangka bahawa ada sesuatu manipulasi yang dilakukan oleh kerajaan,” kata beliau.
Saifuddin, sebelum ini telah beberapa kali memberikan pandangan bahawa parti-parti poliitik perlu mengambil pendekatan terbuka dan progresif yang sesuai dengan perkembangan semasa.
Misalnya Sabtu lalu, Saifuddin mencadangkan agar kerajaan menggubal satu undang-undang baru bagi membolehkan rakyat turut serta dalam membuat keputusan terutamanya yang melibatkan isu-isu besar dan teras negara.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini berkata selain melalui Parlimen, keputusan rakyat juga perlu diambil kira dan referendum adalah jalan terbaik untuk mendapatkan keyakinan mereka.
Selain itu, Saifuddin juga menyatakan sokongan terhadap sistem pendaftaran pengundi secara automatik selain bersetuju kelayakan umur bagi seseorang berhak untuk ditetapkan 18 tahun dan perkara itu perlu dipertimbangkan untuk dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengulas lanjut pengumuman Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Saifuddin memberitahu, jika jawatankuasa pemilih Parlimen itu sesuatu yang bersifat dwipartisan, “maka ia satu pengiktirafan kepada suara rakyat yang telah memilih ahli-ahli Parlimen.”
“Jadi pembentukan jawatankuasa Parlimen ini akan menjadi permulaan kepada langkah mendengar suara rakyat,” kata beliau.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Temerloh ini juga berkata, pengumuman Najib semalam menunjukkan beliau benar-benar komited untuk mengadakan transformasi politik.
“Ini sesuai dengan realiti-realiti baru dalam dunia politik kini iaitu media baru yang menjadi gelanggang aktivisme bentuk baru, kemunculan kesedaran baru sosial di kalangan golongan muda, terdidik, akademia, profesionalisme, seniman dan lain-lain yang ingin tegakkan nilai-nilai murni dalam masyarakat, transformasi dalam demokrasi di mana rakyat semakin tahu tentang hak dan peranannya... ini langkah penting ke arah wujudnya budaya politik baru dan demokrasi yang matang di negara ini,” katanya.

0 Komen pengunjong :