Bersih mahu pembaharuan total, syor panel Parlimen perlu didedah


KUALA LUMPUR, 16 Ogos — Bersih 2.0 menyambut baik langkah pentadbiran Najib yang bersedia membentuk sebuah jawatankuasa pemilih bagi menghalusi sistem pilihan raya tetapi menekankan syor-syor panel itu seharusnya diumumkan kepada publik.
Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menekankan bahawa kesemua lapan tuntutan yang dibawa gabungan itu seharusnya diambil kira, malah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan publik seharusnya terlibat dalam keseluruhan proses kajian semula.
“Ya, sudah pasti kami mengalu-alukan langkah ini. Tidak ragu-ragu satu langkah dalam hala tuju yang betul dan satu respons yang positif kepada aspirasi rakyat,” katanya.
“Kami berharap pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan akan terlibat dalam proses ini dan kesemua lapan tuntutan akan menerima perhatian sebelum pilihan raya umum ke-13,” kata Ambiga kepada The Malaysian Insider.
“Kami bersedia untuk membantu,” kata bekas presiden Majlis Peguam ini.
Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, syor-syor akhir jawatankuasa pemilih ini seharusnya merangkumi maklum balas dan pandangan daripada orang ramai.
Malah tadi, Maria memberitahu The Malaysian Insider bahawa kerajaan seharusnya mempertimbangkan pandangan rakyat Malaysia sebelum membuat keputusan mengenai syor-syor mengenai sistem pilihan raya.
“Bersih 2.0 menyambut baik jawatankuasa pemilih Parlimen tetapi kami mahukan ketelusan sepenuhnya dalam proses ini,” kata beliau.
“Perlu ada perundingan melibatkan orang ramai,” katanya lagi.
Maria berkata Bersih 2.0 akan memberikan jawatankuasa itu tiga bulan untuk bertemu, berbincang dan menyediakan laporannya.
“Kami mahukan jaminan kerajaan bahawa ia akan melaksanakan pembaharuan,” kata beliau lagi.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa pemilih Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.
Perdana Menteri berkata jawatankuasa berkenaan yang akan dianggotai oleh anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.

0 Komen pengunjong :