Mat Sabu Nafi Berlakon, Semakin Sihat Sekarang

SHAH ALAM 21 JULAI : Kesihatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu kini semakin baik selepas insiden dirempuh kereta polis ketika mahu menyertai Himpunan Bersih 9 Julai lalu.


"Saya (masih) boleh bersyarah (berceramah) dalam tempoh 30 minit... Doktor pun kata, boleh bergerak mengikut keupayaan kita. (Malah) doktor bagi ubat tahan sakit dan antibiotik," kata beliau dipetik dari portal Malaysiakini.


Jumaat lalu, Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu menjalani pembedahan membetulkan ligamen lututnya yang terkoyak akibat dirempuh Land Rover polis.


Ekoran itu, kaki kanan beliau mengalami kecederaan dan satu pembedahan dilakukan di Hospital Pakar KPJ Selangor di Shah Alam, di mana doktor terpaksa memasukkan skru sepanjang 2.5 inci ke belakang pelipat lutut kanannya itu.


Ditanya sama ada beliau akan menangguhkan ceramah dalam masa terdekat, Mat Sabu berkata beliau terpaksa menangguhkan semua programnya, tetapi tidak menolak kemungkinan hadir memenuhi beberapa jemputan.


Menurut portal itu Mat Sabu kelihatan lebih sihat, bertenaga dan sudah mampu menggerakkan kaki kanannya jika dibandingkan sewaktu menziarahi Allahyarham Baharuddin Ahmad 10 Julai lalu.


Beliau kini mampu mengangkat, melunjurkan kaki di atas sofa, manakala bila berjalan pula, dalam keadaan terhencot-hencot dengan bantuan tongkat. Sebelum ini, beliau terpaksa dipapah oleh pembantunya.


Dalam pertemuan selama 30 minit itu juga, beliau ditemani pembantunya, bergerak menaiki tangga rumah dua tingkatnya untuk bersiap ke pejabatnya di Jalan Raja Laut.


Sewaktu menuruni tangga kemudiannya, Mat Sabu- yang akan menyambut ulangtahun ke-58 Oktober ini - turut kelihatan penat sambil berseloroh berkata:


"Budak-budak kalau lima hari, dah melompat dah. Orang tua lambat sikit (sembuh)".


Dalam pertemuan itu, Mat Sabu turut menyatakan kekesalan beliau dengan laporan media arus perdana yang mendakwa beliau cuba menarik simpati dengan berkain pelikat dan berkerusi roda sepanjang sidang DUN Selangor minggu lalu.


Bagaimanapun beliau enggan melayani permintaan akhbar itu yang berhasrat mahu bertemu beliau.


Bahkan beliau turut menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu yang beliau berlakon untuk meraih simpati susulan kecederaan lututnya itu.


"Saya tidak berlakon," tegasnya sambil menegaskan kecederaan itu dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua bulan.


Mengulas lanjut, Mohamad berkata kemungkinan hari ini beliau akan pulang ke kampung halamannya di Pulau pinang untuk mendapatkan rawatan kampung secara tradisional di samping bertemu dengan saudara-mara di sana.

0 Komen pengunjong :