Isunya bukan biometrik tapi SPR perlu hapus pengundi hantu


KUALA LUMPUR, 25 Julai — Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas Malaysia (Mafrel) menegaskan sistem biometrik hanya wajar digunakan jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat memberi jaminan berjaya menangani isu pengundi hantu sepenuhnya.
Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata sekiranya sistem biometrik masih gagal mengatasi isu pengundi hantu, amat tidak wajar sekiranya SPR menggunakannya ketika pilihan raya ke-13 tetapi lebih baik memperkenalkan dakwat kekal.
“Kita punya pendirian bukan soal biometrik atau dakwa kekal kerana yang penting ia mesti menangani isu keraguan daftar pengundi dan pengundi hantu.
“Jadi cara yang paling mudah, cepat dan efektif adalah dengan menggunakan dakwa kekal, kita sokong guna dakwa kekal sejak pilihan raya umum 2008 kerana ia cara yang paling berkesan untuk menangani isu pengundi hantu,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Jelas beliau, sistem biometrik memerlukan kajian yang lebih mendalam selain sukar untuk dilaksanakan kerana perlu mendapat pengesahan banyak pihak termasuk pengundi sendiri.
Justeru kata Syed Ibrahim, amat wajar SPR mengkaji semula keberkesanan sistem biometrik sebelum dilaksanakan.
“Sistem biometrik ini kos lebih tinggi dan persoalannya adalah bagaimana sistem ini beroperasi dan ia juga memerlukan pengesahan dari semua pihak, mungkin sistem ini agak hebat bunyinya tapi bagaimana keberkesanannya.
“Dakwat kekal mudah dan efektif, sistem biometrik ini saya rasakan ia agak sukar untuk dilaksanakan dan ia tidak mudah untuk diterima kerana kita tidak tahu keberkesanannya,” katanya.
Tegas beliau, sekiranya SPR tetap mahu melaksanakan sistem biometrik maka agensi itu perlu memberikan penjelasan kepada semua pihak terutamanya parti-parti politik.
“SPR perlu beri penerangan, macam mana proses, cara beroperasi, apa tindakan pencegahan penipuan, apa keberkesanannya.
“Ia bergantung kepada penerangan yang dilakukan SPR, saya sendiri tidak tahu macam mana sistem biometrik ini beroperasi... sistem ini bunyi hebat tapi bila tiba pilihan raya ia sangat sukar,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada SPR bagi mengadakan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.
Beliau berkata, ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.
Laporan media memetik Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya masih melakukan kajian secara terperinci mengenai sistem biometrik.
Kata beliau, segala aspek berkaitan mengenai keupayaan, aplikasi, teknikal, kesan dan kosnya masih di peringkat kajian.
Bagaimanapun Pakatan Rakyat terus dengan pendiriannya menolak sistem biometrik dan masih mahu kerajaan menggunakan dakwat kekal.
Penggunaan dakwa kekal merupakan salah satu tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

0 Komen pengunjong :